Diari Rahsia Si Genit Hye-jee oleh Park Gyung-eun

Karya: Park Gyung-eun
217 halaman
Versi Bahasa Malaysia diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Anjung Taipan Sdn Bhd (2013)


Diari Rahsia Si Genit Hye-jee merupakan sebuah komik pendidikan yang membawa tema ‘coming-of-age’ gadis awal remaja. Kisah ini diceritakan dalam bentuk diari watak utama yang bernama Hye-jee, di mana gadis tersebut banyak memfokuskan persoalan-persoalan biasa yang melanda diri gadis-gadis yang menginjak usia awal remaja.

Antara isu-isu remaja yang dibawakan dalam kisah ini termasuklah isu rasa cemburu terhadap adik-beradik, perasaan kecil hati terhadap tindakan ibu bapa yang dianggap tidak memahami, perasaan minat terhadap jantina yang berlawanan, proses akil baligh serta masalah berkaitan imej diri.

Hye-jee selalu merasa cemburu terhadap kakaknya Hye-mi yang lebih cantik dan diminati ramai lelaki. Selain itu, Hye-mi juga lebih cemerlang dalam akademik berbanding dirinya dan amat dibanggakan oleh kedua ibu bapanya. Ini menyebabkan Hye-jee menganggap ibu bapanya hanya menyayangi kakaknya seorang dan langsung tidak memahami dirinya. Hye-mi ada berusaha untuk membantu Hye-jee memperbetulkan kesilapan diri, tetapi bantuan tersebut disalah anggap oleh Hye-jee sebagai tindakan kakaknya ‘berlagak bagus’ di hadapannya.

Pada suatu hari, Hye-jee telah jatuh hati terhadap seorang senior di sekolahnya bernama Hyeon Seung-min. Malangnya Seung-min rupa-rupanya adalah teman lelaki Hye-mi! Ini telah menyebabkan Hye-jee mengalami tekanan. Hye-jee melepaskan tekanannya dengan cara tidur, makan yang tidak terkawal selain berangan dan melayan perasaan kecewanya. Akhirnya kulitnya ditumbuhi jerawat yang banyak sehingga dia malu untuk ke sekolah.

Ketika di sekolah, Hye-jee melihat rakan-rakan baiknya berubah menjadi semakin matang dan cantik seiring dengan pertambahan usia. Oleh kerana ingin menjadi cantik juga, dia telah menjalani rejim kecantikan yang bakal membinasakan diri seperti diet melampau dan senaman yang berlebihan.

Sepanjang melalui tempoh yang penuh cabaran ini, Hye-mi tidak jemu-jemu memberi nasihat kepada Hye-jee dengan sokongan kedua ibu bapa mereka. Akhirnya Hye-jee bangkit dan bertekad untuk berubah ke arah yang lebih baik. Hye-jee akhirnya menyedari bahawa keluarganya, termasuk kakaknya yang dia amat ‘menyampah’ itu sebenarnya amat menyayangi dirinya. Tambahan pula, Hye-jee juga mendapat tahu bahawa selama ini seorang budak lelaki yang sebaya dengannya, iaitu Gang Woo-chan sebenarnya menaruh perasaan terhadap dirinya. Maka lengkaplah sudah jawapan kepada persoalan-persoalan zaman remaja yang dihadapi Hye-jee. Akhirnya Hye-jee bertekad untuk melalui zaman remajanya dengan penuh cemerlang.

Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Jangka Atribut oleh Clay

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)