Falcon oleh Clay
Karya: Clay
Diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Gala Unggul Resources Sdn Bhd (2006)
***AWAS SPOILER!!!***
Diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Gala Unggul Resources Sdn Bhd (2006)
Pada suatu waktu dahulu, seekor helang telah menerbangkan seorang lelaki misteri yang cedera parah ke Kota Taka. Lelaki misteri tersebut bernama Shin. Pemimpin Kota Taka ketika itu mengambil keputusan merawat kecederaan pada Shin dan membenarkan dia tinggal di kota tersebut untuk sementara waktu, walhal selama ini Kota Taka sangat tertutup dan tidak membenarkan orang luar tinggal di kawasan mereka.
Setelah Shin semakin pulih, tiba-tiba Kota Taka diserang oleh sekumpulan orang asing yang menggelar diri mereka sebagai Kumpulan Fathom. Ketua Kumpulan Fathom, Galbalo sedang memburu Shin yang dituduh telah merampas suatu harta berharga milik kumpulan tersebut. Harta tersebut berupa pingat kecil yang dinamakan Wing. Shin enggan menyerahkan Wing kepada Galbalo kerana menurutnya, sesiapa yang memiliki Wing boleh mengawal kuasa yang hebat dan tidak sepatutnya dimiliki oleh calang-calang orang. Wing adalah kunci untuk mendapatkan sebuah kitab yang mengandungi rahsia mengenai kuasa tersebut. Shin bertarung dengan Galbalo demi mempertahankan Wing dan penduduk Kota Taka sehingga akhirnya Shin terkorban.
Penduduk Kota Taka mendirikan sebuah patung bagi memperingati Shin yang digelar Falcon King, manakala Wing selamat disembunyikan oleh Shark, anak pemimpin Kota Taka ketika itu yang sangat rapat dengan Shin.
Galbalo berundur diri dari Kota Taka, tetapi sebelum itu dia sempat memaksa penduduk Kota Taka berjanji dengannya untuk mengorbankan seekor helang pada setiap bulan, sedangkan helang merupakan haiwan suci bagi penduduk Kota Taka. Mereka dipaksa agar mengorbankan seekor helang dan menggantung helang tersebut di sebuah tiang yang tinggi sebelum matahari terbenam pada malam bulan purnama. Sekiranya misi tersebut gagal, maka salah seorang penduduk Kota Taka akan kehilangan nyawa dengan cara yang mengerikan. Kebiasaannya misi mengorbankan helang itu pasti gagal kerana tiang yang dimaksudkan itu sangat sukar dipanjat. Ketika hari cerah, tiang itu teramat panas sehingga boleh melecurkan tangan sesiapa yang memegangnya. Manakala ketika hari hujan, tiang yang basah tersebut mengalirkan arus elektrik dan mudah disambar kilat. Jika menggantung helang tersebut pada waktu malam, ia adalah tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Galbalo.
25 tahun selepas peristiwa tersebut, bukan sahaja populasi helang suci Kota Taka semakin pupus, malah penduduknya turut kerap menjadi mangsa pembunuhan kejam kerana kebiasaannya misi menggantung helang tersebut akan gagal. Kini Shark menjadi pemimpin Kota Taka bagi menggantikan bapanya.
Pada suatu hari Shark telah mengupah sekumpulan pemburu helang bernama Tetsu Horu agar menyelesaikan misi menggantung helang tersebut. Sejak kemunculan kumpulan Tetsu Horu, misi tersebut sering berjaya dan penduduk Kota Taka selamat daripada menjadi korban.
Sehinggalah seorang budak lelaki dari Kota Taka bernama Jing yang sangat teruja dengan kehadiran pasukan Tetsu Horu masuk campur dan berdegil ingin menggantung helang tersebut sendiri. Ketika itulah tindakannya telah disabotaj oleh ahli kumpulan Fathom. Barulah dia menyedari bahawa selama ini misi menggantung helang tersebut kerap gagal bukan sahaja kerana cabaran mendaki tiang tersebut, tetapi juga kerana tindakan sabotaj dari kumpulan Fathom yang menerima arahan daripada ketua mereka agar menggagalkan misi tersebut. Ahli kumpulan Fathom memang sengaja ingin melihat misi menggantung helang tersebut gagal kerana mahu mencipta alasan membunuh penduduk Kota Taka. Bagaimanapun, Jing telah diselamatkan oleh ahli kumpulan Tetsu Horu.
Jing kemudiannya mendapat tahu bahawa bukan sahaja kumpulan Fathom yang sedang cuba mencari harta kepunyaan Falcon King, iaitu Wing – malah ketua kumpulan Tetsu Horu juga telah membelot kumpulan tersebut kerana ingin memiliki sendiri Wing.
Merumitkan lagi kisah ini adalah Moon seorang gadis asing yang entah kenapa datang mencari Jing untuk meminta pertolongan bagi mencari kakaknya yang telah hilang sekian lama. Menurut Moon, kakaknya telah menghilangkan diri semasa dalam misi mencari Wing kerana bapa mereka sangat inginkan Wing tersebut. Demi merebut kasih-sayang bapanya, kakak Moon sanggup meninggalkan keluarganya demi mencarikan Wing untuk bapanya.
Sementara itu, Shark sememangnya maklum bahawa semakin ramai orang terutamanya orang-orang luar Kota Taka yang kini mahu meloloskan diri ke dalam kota tersebut demi mendapatkan Wing.
Selepas itu... malangnya, Falcon adalah buku pertama dalam kisah yang bersiri! Oleh itu saya perlu mencari buku siri yang kedua demi mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya! Huhuhuu... ðŸ˜
Comments
Post a Comment