Jangka Atribut oleh Clay

Karya: Clay
152 Halaman
Diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Gala Unggul Resources Sdn Bhd (2005)


Ini adalah karya kedua Clay yang diterbitkan selepas Shadow Quest. Jangka Atribut bukanlah sequel kepada Shadow Quest, namun watak utama dalam Shadow Quest iaitu Zion ada membuat kemunculan kameo dalam buku ini.

Jangka Atribut mengisahkan permusuhan yang berlaku antara dua puak iaitu puak Argento yang dipimpin oleh Durk dengan puak Noguchi yang dipimpin oleh Gonzo. Pengikut kedua-dua puak ini selalu terlibat dalam pertarungan yang kebiasaannya akan meragut nyawa-nyawa yang tidak berdosa.

Durk dan Gonzo kerap memikirkan mengenai taktik-taktik untuk melindungi kaum masing-masing selain cara-cara menghapuskan musuh kaum mereka. Puak Argento sedang berusaha mengekstrak kuasa daripada sebuah batu hikmat yang dikatakan dapat melenyapkan puak Noguchi. Manakala puak Noguchi pula handal dalam pertempuran tanpa menggunakan senjata, malah sesetengah daripada mereka mempunyai kuasa pertarungan yang luar biasa.

Muncul Shin, seorang budak lelaki daripada puak Argento yang dibela oleh seorang tua bernama Lasho. Pada suatu hari, semasa puak Noguchi melancarkan serangan ke atas puak Argento, Shin tiba-tiba telah menyerap kuasa salah satu orang Noguchi lalu berjaya membunuhnya. Belum sempat misteri tersebut dirungkai, puak Noguchi menyerang lagi dan telah berjaya membunuh anak perempuan Durk iaitu Kiyo. Semasa Kiyo dibunuh, Kiyo berada bersama Shin. Oleh itu secara automatiknya Shin dipersalahkan atas kematian Kiyo.

***AWAS SPOILER!!!***

Selepas kematian Kiyo, Lasho mengarahkan Shin agar melarikan diri. Tetapi sebelum itu dia sempat memberitahu Shin bahawa ibu bapa Shin sebenarnya adalah daripada puak Noguchi. Disebabkan itulah dia dapat menyerap kuasa yang ada pada petempur dari puak Noguchi.

Shin mengembara sendirian sehinggalah akhirnya dia bertemu dengan Gonzo, ketua puak Noguchi. Rupa-rupanya Gonzo adalah bapa kandungnya sendiri. Semasa Shin masih kecil, Gonzo telah menjadikan dia dan adiknya Rex sebagai bahan eksperimen dengan tujuan menghasilkan manusia yang punya kuasa luar biasa bagi menghapuskan puak Argento. Dalam eksperimen tersebut, Rex telah berjaya menyerap kuasa yang sangat kuat dan sehingga kini dia merupakan petempur puak Noguchi yang paling hebat. Manakala Shin telah tercedera dalam eksperimen tersebut sehingga menyebabkan Gonzo menyangka bahawa dia telah mati. Lasho yang sebenarnya datang mengintip aktiviti Gonzo tersebut telah membawa lari Shin dengan tujuan memberikannya kepada Durk, dengan harapan Durk dapat merungkai rahsia kuasa puak Noguchi. Tetapi akhirnya Lasho tidak sampai hati menyerahkan Shin kepada Durk; lalu Shin dibela oleh Lasho seperti anaknya sendiri.

Gonzo sebenarnya telah menyesali perbuatannya sebelum ini terutamanya bereksperimen dengan tubuh anak sendiri. Gonzo juga berasa menyesal memandangkan Rex yang sangat berkuasa itu kini telah ‘dimakan’ oleh kuasa tersebut sehingga tidak dapat mengawal diri lagi. Rex kini sangat dahagakan pertarungan dan gemar membunuh, malah dialah yang sebenarnya membunuh anak perempuan Durk, Kiyo.

Sementara itu, Durk yang amat marah atas kematian Kiyo telah bertekad untuk membalas dendam selain menghapuskan puak Noguchi habis-habisan. Durk telah menyalurkan kuasa batu hikmat puak Argento ke dalam tubuh Kiyo sehingga ‘Kiyo’ dapat hidup kembali. Bagaimanapun, Kiyo yang baru ini tidak sama lagi dengan Kiyo yang asal: Kiyo kini telah dikawal oleh kekuasaan batu hikmat tersebut sehingga hanya mempunyai naluri untuk membunuh. Akhirnya ‘Kiyo’ tiba di kawasan puak Noguchi dan membuat pemusnahan besar-besaran termasuklah membunuh Rex.

Selepas itu... haaa ini yang saya tak faham. Saya kurang jelas apa yang terjadi seterusnya. Shin bertekad untuk melepaskan Kiyo daripada kuasa kawalan batu hikmat tersebut dan bersedia untuk membuat serangan ke atas Kiyo. Tetapi Shin mempunyai ‘second-thought’ ketika hampir sahaja menyerang Kiyo; agaknya kerana sebelum ini dia pernah ‘crush’ terhadap Kiyo. Oleh itu Kiyo yang telah menyerangnya terlebih dahulu. Kemudian kawasan puak Noguchi menerima serangan akhir daripada kuasa batu hikmat yang dilancarkan oleh puak Argento dari jauh. Selepas itu terjadi suatu letupan yang besar, kemudian... saya tidak tahu apa yang berlaku.

Dalam epilog Jangka Atribut yang berlatarkan tiga tahun selepas itu, Shin dan Zion berbual-bual mengenai peperangan antara puak Argento dan puak Noguchi yang akhirnya menemui penamatnya. Saya tidak faham bagaimana Shin masih hidup sedangkan dalam babak pertarungan akhir tersebut, dialah yang telah dicederakan oleh Kiyo dan dialah juga yang menjadi sasaran serangan batu hikmat puak Argento itu. Tetapi akhirnya dialah yang masih hidup lagi??? Gonzo juga masih hidup tetapi kelihatan agak kurang waras. Shin pula memainkan peranan sebagai satu-satu anak yang tinggal dan bertanggungjawab menjaga bapanya.

Plot dalam Jangka Atribut sebenarnya lebih kompleks daripada apa yang saya ceritakan di sini. Saya tidak menyebut mengenai duri dalam daging atau pembelot-pembelot dalam kalangan puak Argento sendiri. Terdapat beberapa watak dalam kisah ini yang bertindak atas kepentingan diri sendiri dan mempunyai motif tersendiri sehingga menyebabkan kisah ini bertambah kompleks. Siap ada pertarungan tiga penjuru yang melibatkan tiga watak yang mempunyai motif berbeza! Kalau gemar melihat babak-babak pertarungan, maka karya-karya Clay bolehlah dijadikan santapan!

Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)