Punch! oleh Aliow
Karya: Aliow
131 halaman
Diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Gala Unggul Resources Sdn Bhd (April 2006)
***AWAS SPOILER!!!***
131 halaman
Diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Gala Unggul Resources Sdn Bhd (April 2006)
Kulit hadapan komik Punch! ialah Edge, watak utama cerita ini
Edge dan Wing, dua orang remaja lelaki yang dihantar ke Pulau Cahaya sebagai hukuman terlibat dalam sebuah pergaduhan di sekolah. Pada asalnya, Wing yang merupakan seorang “nerd” dan selalu dibuli telah terlibat dalam pertelingkahan dengan seorang samseng di sekolah. Edge tiba untuk membela Wing, tetapi akhirnya pergaduhan melampaui batasan sehingga melanggar disiplin sekolah. Kebetulan pula, ketua samseng tersebut adalah anak kepada Pengerusi PIBG sekolah, disebabkan itulah Pengerusi PIBG berkeras mahukan Edge dan Wing dikenakan hukuman yang berat.
Remaja-remaja yang dihantar ke Pulau Cahaya merupakan remaja bermasalah yang biasanya terlibat dalam kes jenayah kekerasan / keganasan, kononnya untuk menjalani pemulihan menerusi suatu projek yang dinamakan Projek Matahari.
Sebaik tiba di Pulau Cahaya, Edge dan Wing mendapati pulau itu seperti sudah lama terbiar dan sesiapa yang berada di situ boleh membuat sesuka hati sahaja. Mereka bertemu seorang gadis bernama Zoe yang mengatakan dia merupakan ketua kumpulan yang dinamakan Fancy Witch.
Menurut Zoe, Projek Matahari diketuai oleh Dr. Chua dan telah mendapat bantahan orang ramai. Ini kerana kaedah yang digunakan untuk mendisiplinkan remaja ganas adalah dengan menggunakan kekerasan yang diharap dapat membuatkan mereka benci kepada keganasan. Bagi remaja yang tidak dapat dikawal pula akan diberikan suntikan khas bagi mengawal mereka. Kerajaan juga telah dihentam oleh rakyat yang tidak bersetuju dengan projek ini. Selepas itu, Dr. Chua menghilangkan diri manakala saintis-saintis lain yang terlibat dalam projek tersebut juga mengambil jalan mudah melarikan diri dari pulau tersebut.
Akibatnya, remaja-remaja bermasalah yang ditinggalkan di Pulau Cahaya telah dibiarkan tanpa kawalan dan mereka mengambil tindakan sesuka hati sahaja. Pulau tersebut pula sebelum ini pernah menjadi pusat pelancongan, oleh itu terdapat kemudahan seperti taman tema, panggung wayang dan pusat boling yang menjadi lokasi lepak remaja-remaja tersebut.
Di Pulau Cahaya terdapat beberapa kumpulan remaja: salah satu kumpulan terbesar ialah Mecha Punk yang dianggotai oleh remaja yang ganas dan suka bergaduh. Lokasi ‘ibu pejabat’ kumpulan Mecha Punk ialah pusat boling di pulau tersebut. Satu lagi kumpulan lain pula bernama Movie Mania dianggotai oleh mereka yang berimej pelik dan suka menonton filem ganas. Ahli kumpulan Movie Mania gemar mengurungkan diri di dalam pawagam pulau tersebut. Yang terakhir ialah kumpulan Fancy Witch yang hanya dianggotai oleh wanita (tapi sebenarnya, tiada ahli Fancy Witch yang dapat dilihat dalam komik ini kecuali Zoe dan seorang gadis bernama Ann sahaja).
Tidak lama selepas tiba di pulau tersebut, Edge dan Wing telah pun terlibat dalam pertelingkahan dengan kumpulan Mecha Punk yang diketuai oleh King Kong. Provokasi bermula daripada tindakan Zoe sendiri yang mencuri lencana salah seorang ahli Mecha Punk, manakala Wing pula ‘menambah perisa’ dengan provokasi dalam bentuk kata-kata. Edge pula yang terpaksa berhadapan dengan kemarahan King Kong.
Semasa Edge bertarung dengan King Kong, Zoe sempat memberikan sebiji pil kepada Wing. Katanya, pil tersebut adalah pil ajaib untuk memberikan keberanian dan pastilah berguna kepada Wing agar dapat membantu Edge (sedangkan, Edge sebenarnya mempunyai kepantasan yang menakjubkan dan tidak perlukan bantuan sesiapa untuk bertarung).
Akhirnya King Kong dikalahkan hasil gabungan Edge dan Wing. Sebelum mereka bertarung, Edge dan King Kong telah bersetuju bahawa sesiapa yang kalah akan menjadi pengikut pihak yang menang. Oleh itu King Kong dan seluruh ahli Mecha Punk telah berbaik dengan Edge dan Wing.
Sementara itu, pil hati berani yang diberikan oleh Zoe sudah mula memakan diri Wing. Wing menjadi seorang yang agresif, ganas dan tidak terkawal. Pada suatu malam, Wing telah membelasah seorang ahli kumpulan Movie Mania dan menimbulkan kemarahan kumpulan tersebut. Keesokan harinya mereka terus menerima surat cabaran daripada kumpulan Movie Mania yang menjemput mereka ke sarang Movie Mania.
Movie Mania mempunyai anggota-anggota yang ganas dan handal bertarung seperti Crow (seorang gadis yang kononnya suka menghisap darah manusia), Frank (lelaki tangkas yang mempunyai senjata kuku tajam berbentuk pisau) dan Mr. X (wrestler ‘underground’ yang pernah menghentak lawannya sehingga mati). Sehandal-handal mereka, kesemuanya pernah dikalahkan oleh ketua kumpulan Movie Mania iaitu Max. Max mempunyai kebolehan menggunakan teknik mengelirukan lawan ketika bertarung.
Edge, Wing, Zoe dan King Kong tiba di sarang Movie Mania untuk menyahut cabaran tersebut. Sebaik tiba, mereka mendapati terdapat empat lorong berbeza dan mereka dikehendaki memilih salah satu lorong tersebut. Lorong tersebut akan membawa mereka bertemu dengan lawan masing-masing. Setelah memilih lorong masing-masing, berikut adalah lawan yang mereka temui: Edge vs Frank, Zoe vs Crow, King Kong vs Mr. X dan Wing bertemu dengan Max.
Satu demi satu, ahli kumpulan Movie Mania berjaya dikalahkan (King Kong saja kot, like, seri dengan lawannya! Lagipun lawannya Mr. X rupa-rupanya adalah abang kandungnya!). Zoe telah mengalahkan Crow, Edge mengalahkan Frank dan Wing yang telah dikuasai oleh kesan pil hati berani berjaya mengalahkan Max.
Aksi-aksi pertarungan antara mereka dipersembahkan secara sedikit-sedikit dan ‘melompat’ daripada watak ke watak, menjadikan komik ini lebih suspens! Contohnya, satu halaman diperuntukkan untuk aksi Zoe vs Crow, kemudian halaman seterusnya terus melompat ke aksi King Kong vs Mr. X sedangkan Zoe belum selesai bertarung dengan Crow. Selepas itu ‘skip’ pula ke aksi Wing dengan Max. Apa pun, paling tak puas hati ialah aksi pertarungan antara Edge dan Frank tidak ada (sengaja di’tiada’kan)!!! Tahu-tahu Frank sudah tersadai dan Edge menang.
Semasa mereka bertemu dengan lawan masing-masing, rahsia Projek Matahari terbongkar sedikit demi sedikit. Rupa-rupanya Zoe adalah anak kepada Dr. Chua, dan ahli kumpulan Movie Mania semua mengetahui bahawa Wing telah diperalatkan oleh Zoe untuk mencuba pil yang dicipta oleh Dr. Chua. Crow telah mempersendakan Zoe mengenai hal tersebut dan itulah yang menyebabkan Zoe naik berang sehingga berjaya mengalahkan Crow. Max pula bersusah-payah ‘berceramah’ kepada Wing tentang kesan sampingan pil berani tersebut sambil cuba menyedarkan Wing bahawa beliau telah menjadi bahan eksperimen Dr. Chua yang menggunakan Zoe untuk memperalatkannya. King Kong juga sempat berdialog dengan abangnya Mr. X semasa bertarung. Hanya Edge sahaja yang langsung tidak mengetahui hal ini kerana... well, pembaca pun tak tahu apa yang berlaku semasa pertarungannya dengan Frank kann?? Yang pasti, setelah mereka berkumpul semula, hanya Edge sahaja yang kelihatan ‘blur’ dan tidak tahu hal yang sebenar.
Tidak lama selepas itu, Dr. Chua tiba-tiba muncul di hadapan mereka semua dan Zoe tidak teragak-agak untuk mengakui bahawa sememangnya dia merupakan anak Dr. Chua. Zoe dan Dr. Chua cuba meyakinkan mereka semua bahawa tindakan mereka benar dan niat mereka sememangnya untuk membantu semua remaja yang bermasalah ini. Dr. Chua juga mengajak mereka bekerjasama dengan beliau untuk ‘membalas dendam’ terhadap kerajaan yang kononnya membiarkan mereka semua dalam keadaan begitu.
Edge enggan diperalatkan lalu menentang cadangan Dr. Chua. Begitu juga King Kong dan ahli-ahli Movie Mania yang berada di situ seperti Mr. X dan Max, semua menentang Dr. Chua. Bagaimanapun, Wing tiba-tiba bersetuju untuk menyokong Dr. Chua. Wing membuat pengakuan bahawa dia kini gembira apabila mempunyai kuasa pil tersebut. Hidupnya telah berubah setelah memakan pil tersebut: dahulunya dia hanya seorang yang lemah dan selalu dibuli, kini tidak lagi kerana dia sudah mampu membela diri sendiri tanpa bantuan Edge seperti sebelum ini. Wing menyatakan bahawa dia sanggup bermusuh dengan Edge jika mereka tidak sehaluan lagi (Wing juga sebenarnya terganggu dengan kata-kata Max terhadap dirinya semasa bertarung sebelum ini: kata Max, Edge adalah pemenang yang sebenar kerana beliau menang dalam pertarungan dengan kekuatan sendiri dan tanpa bantuan pil).
Selepas itu, Wing mula menyerang Edge. Namun begitu, kesan pil tersebut semakin menguasai Wing sehingga dia mula mengalami halusinasi. Pandangannya semakin gelap dan kabur sehingga menyebabkan Wing tersilap membelasah orang lain (watak sampingan – tidak bernama) dan bukannya Edge. Setelah menyedari hal tersebut, Wing mula dikuasai oleh ketakutan kerana kesan yang telah mengganggu penglihatannya.
Tidak lama selepas itu, sebuah letupan berlaku dan rupa-rupanya makmal kajian Dr. Chua telah ditemui oleh King Kong lalu beliau telah meletupkannya agar Dr. Chua tidak dapat lagi menghasilkan ubat-ubatan yang merosakkan manusia. Adegan terakhir dalam komik ini ialah Dr. Chua yang sedang ‘heartbroken’ meratapi kemusnahan makmalnya sambil menyebut “segalanya dah usai...”. King Kong pula berkata-kata sendirian, “Macam dia cakaplah, segalanya dah usai...”. The end 😅
Idea komik ni memang bagus, tapi sebagaimana komik buku tunggal – contohnya seperti karya-karya Clay - memang tak puas baca! Rasa macam banyak lagi plot yang masih boleh dikembangkan. Tapi nak buat macam mana kan, Punch! tamat dalam satu buku sahaja.
Comments
Post a Comment