Puteri

Karya: Kikuchi Kamaro
Versi Bahasa Melayu diterbitkan oleh CLB Enterprise Sdn. Bhd.


Manga ini mengandungi dua manga one-shot iaitu “Puteri” dan “Dilarang Masuk”. Nota: Saya berasa kurang yakin sama ada manga ini merupakan karya Kikuchi Kamaro atau tidak. Ini kerana hasil lukisannya agak berbeza dengan lain-lain karya Kikuchi Kamaro yang lebih popular.

Puteri

Puteri mengisahkan anak perempuan sulung keluarga Eda yang kaya, Ayako, yang ditunangkan dengan Yoko, lelaki yang selama ini menjadi pengawal peribadi untuk keluarga tersebut. Pada Ayako, pertunangan ini adalah lebih kepada keputusan ibu bapa mereka sahaja sedangkan mereka tidak pernah bercinta langsung. Ayako yakin Yoko bersetuju dengan pertunangan tersebut kerana beliau sekadar melakukan tanggungjawabnya berkhidmat untuk keluarga Eda. Apa yang menjadi masalah bagi Ayako adalah kerana dia telah jatuh hati terhadap Yoko.

Selepas pertunangan mereka, Yoko telah pun meluahkan perasaan cintanya terhadap Ayako, tetapi Ayako tetap tidak yakin dan merasakan bahawa luahan perasaan itu tidak lahir ikhlas dari hatinya tetapi lebih kepada rasa tanggungjawab sebagai pelindung keluarga Eda.

Manga ini berkisar mengenai perasaan Ayako yang tidak menentu kerana terlalu memikirkan apa sebenarnya perasaan Yoko terhadapnya. Bagi saya, konflik-konflik perasaan Ayako adakalanya agak ‘annoying’ kerana dia bukan sahaja tidak berterus-terang kepada Yoko, malah menunjukkan sikap dingin pula walaupun dalam hatinya berasa cinta.

Mujurlah di penghujung kisah ini, Ayako akhirnya berjaya meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Yoko sememangnya ikhlas mencintai Ayako; apabila dia mendapat tahu Ayako tidak mempercayai cintanya, dia malah mengucapkan “Apa yang aku kena buat, baru kau mempercayai aku?” Akhirnya Ayako dan Yoko berjaya disatukan dalam perkahwinan yang bahagia.

Dilarang Masuk

Dilarang Masuk pula mengisahkan Chino yang telah jatuh hati terhadap rakan sekelasnya Ta-Idin yang gemar bermain dengan rambut Chino yang cantik. Pada suatu hari, Chino terlihat seorang pelajar wanita meluahkan perasaan terhadap Ta-Idin. Apa yang mengejutkan Chino, Ta-Idin telah menolak cinta gadis tersebut dan memberitahu bahawa dirinya adalah seorang gay.

Selepas peristiwa tersebut, Chino tetap berkawan dengan Ta-Idin tetapi dalam hatinya terasa bercelaru kerana dia yakin ia adalah mustahil untuk memaksa seorang gay untuk mencintai dirinya yang merupakan seorang gadis.

Pada suatu hari, Chino telah memotong rambutnya menjadi pendek agar dirinya kelihatan seperti seorang lelaki. Ketika itulah dia meluahkan perasaannya terhadap Ta-Idin dan bertanya sama ada Ta-Idin akan mencintai dirinya sekiranya dia menyerupai seorang lelaki.

Ta-Idin akhirnya berterus-terang bahawa dia sebenarnya bukanlah seorang gay, tetapi selalu menggunakan alasan tersebut agar dirinya tidak didekati oleh pelajar wanita. Ini kerana dia pernah putus cinta dan merasakan masih belum bersedia untuk bercinta lagi.

Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

The Ravenels #3 – Devil In Spring by Lisa Kleypas

The Count of Monte Cristo by Alexandre Dumas