Cahaya Bidadari oleh Nur Rosmah

Cahaya Bidadari

Penulis: Nur Rosmah

144 Halaman

Diterbitkan oleh KarnaDya Solutions Sdn. Bhd. (2009)

Amirul seorang pelajar tahun enam yang tidak percaya akan kewujudan makhluk halus, hantu dan yang sewaktu dengannya. Amirul lebih suka menggunakan logik akal untuk menerangkan kejadian aneh yang berlaku, dan mengenepikan pendapat yang mengaitkan unsur-unsur makhluk halus.

Pada suatu hari, ibu bapa Amirul terpaksa meninggalkan Amirul selama tiga bulan kerana perlu menguruskan hal berkaitan perniagaan mereka di Sabah. Oleh itu Amirul terpaksa tinggal bersama datuk dan neneknya di kampung di Pahang. Dia juga perlu berpindah sekolah dan menghadapi peperiksaan UPSR di Pahang.

Ketika mengikuti Atuk Samad memikat burung pada suatu petang, Amirul sempat bertanyakan datuknya itu tentang kewujudan makhluk halus. Atuk Samad menerangkan bahawa makhluk halus sememangnya wujud dan merupakan salah satu ciptaan Allah juga. Atuk Samad menerangkan dengan penuh hikmah sehingga akhirnya Amirul dapat menerima bahawa makhluk halus memang wujud di dunia ini.

Pada suatu hari, Amirul menyertai sebuah kem motivasi di Gunung Senyum anjuran sekolahnya. Sebaik tiba di Gunung Senyum, Amirul kerap terasa seperti ada seseorang yang sedang memerhatikannya. Kadangkala dia terlihat kelibat seorang kanak-kanak perempuan yang comel, tetapi dia beranggapan anak itu merupakan anak salah seorang renjer hutan di situ.

Apabila salah seorang renjer hutan di situ, Encik Solehuddin, bercerita mengenai kejadian-kejadian misteri yang pernah berlaku di Gunung Senyum, Amirul menerima kisah-kisah tersebut dengan hati terbuka kerana kini Amirul sudah mula mempercayai kewujudan alam ghaib dan makhluk halus. Terdapat beberapa buah gua di Gunung Senyum, dan setiap satu dinamakan mengikut lagenda yang dikaitkan dengan gua tersebut. 

Encik Solehuddin menceritakan mengenai salah satu lagenda popular di situ yang melibatkan sebuah gua yang dinamakan Gua Makam Tok Long. Menurut kisah turun-temurun, Tok Long merupakan seorang manusia yang telah mengahwini seorang Puteri Bunian. Pada suatu hari, Tok Long telah melanggar pantang-larang dengan bercerita kepada orang ramai bahawa beliau telah mengahwini orang bunian. Sejak dari itu, Tok Long tidak dapat mendekati Puteri Bunian lagi. Akibat kecewa dan menyesal, Tok Long telah menghabiskan sisa umurnya dengan beribadah di dalam salah sebuah gua di Gunung Senyum sehingga beliau meninggal dunia di situ. Sejak itu gua tersebut dikenali sebagai Gua Makam Tok Long. Ada pengunjung ke Gunung Senyum yang pernah melihat kewujudan tapak kaki misteri dan juga sebuah rumah yang indah di sekitar Gua Makam Tok Long.

Selepas mendengar kisah tersebut, Amirul dan para pelajar lain telah dibawa melawat ke sekitar Gunung Senyum. Ketika berada di dalam Gua Terang Bulan, Amirul telah ditolak oleh sekumpulan pelajar nakal di suatu sudut yang gelap. Dalam keadaan gelap-gelita di dalam gua, tambahan pula dengan kaki yang sudah terseliuh, Amirul tidak dapat bergerak. Dia cuba menjerit meminta tolong tetapi tiba-tiba sahaja suaranya seolah-olah tersekat. Selepas itu rombongan sekolahnya telah meninggalkan Amirul keseorangan di gua tersebut tanpa menyedari kehilangannya.

Tidak lama selepas Amirul ditinggalkan, tiba-tiba muncul kelibat kanak-kanak perempuan yang comel itu bersama ibunya. Kanak-kanak itu bernama Mawar. Ibu Mawar telah memberikan Amirul sejenis minuman yang telah menyembuhkan kecederaan kakinya sekelip mata. Selepas itu, mereka menjemput Amirul ke rumah mereka yang sangat indah. Di situ Amirul dihidangkan dengan hidangan yang enak-enak. Kemudian Amirul telah mengikuti mereka ke pusara arwah bapa Mawar.

Sebaik melihat papan tanda Gua Makam Tok Long, Amirul baru tersedar kemungkinan dia telah bertemu dengan Puteri Bunian yang mengahwini Tok Long sebagaimana yang diceritakan dalam lagenda. Dan kemungkinan besar Mawar merupakan anak Tok Long dengan Puteri Bunian tersebut. Sebaik sahaja Amirul tersedar akan hal tersebut, Mawar dan ibunya hilang dari pandangan. Amirul kembali ke alam realiti dalam keadaan bersendirian dalam gua yang gelap-gelita dan kakinya terasa sakit kembali.

Bagaimanapun, Amirul bernasib baik kerana tidak lama selepas itu pasukan penyelamat telah berjaya menemuinya di dalam gua tersebut. Menurut mereka, Amirul sudah hilang selama dua hari. Walhal Amirul merasakan baru seketika dia bertemu dengan Mawar dan ibunya. Apa yang lebih aneh, Amirul dilaporkan hilang di Gua Terang Bulan tetapi akhirnya ditemui di Gua Makam Tok Long.

Hal yang berlaku telah menyebabkan Amirul yakin akan kewujudan alam ghaib. Ironinya, tiada sesiapa yang menyertai lawatan tersebut yang mempercayai apa yang diceritakan oleh Amirul kecuali Encik Solehuddin seorang sahaja.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Jangka Atribut oleh Clay