Sarah Dan Kasut Tumit Tinggi oleh Ezee Rahmani
Sarah dan Kasut Tumit Tinggi
Penulis: Ezee Rahmani
274 halaman
Diterbitkan oleh PTS One Sdn. Bhd. (2007)
Sarah dan Kasut Tumit Tinggi adalah sebuah kisah “coming-of-age” yang padat dengan nasihat dan pengajaran buat kumpulan pembaca sasarannya, iaitu golongan awal remaja. Ia mengisahkan seorang remaja berusia 13 tahun bernama Sarah yang sangat obses terhadap kasut tumit tinggi. Novel ini hampir-hampir tiada unsur konflik; setiap bab adalah kisah yang berbeza tetapi tetap berkaitan dengan perkembangan hidup Sarah menjalani kehidupan sebagai seorang gadis yang semakin meningkat remaja.
Sarah selalu berangan-angan untuk memakai kasut tumit tinggi suatu hari nanti. Selalunya dia akan mencuba memakai kasut tumit tinggi ibunya dan berjalan-jalan di sekitar rumah. Dan biasanya Sarah akan jatuh terseliuh kerana tidak pandai berjalan menggunakan kasut tumit tinggi. Tetapi itu tetap tidak mematikan minatnya terhadap kasut tumit tinggi. Jika mengikut ibu bapanya membeli-belah di pasaraya, Sarah akan ralit mencuba setiap kasut tumit tinggi yang dijual. Sarah juga pernah mengigau bermimpi memakai kasut tumit tinggi, malah boleh jatuh terseliuh juga di dalam mimpinya.
Pada suatu hari, ibu saudara Sarah, Mak Su, menghadiahkan kasut tumit tinggi kepadanya kerana memahami minatnya itu. Sejak itu Sarah memakai kasut tersebut ke mana sahaja, hatta membuang sampah di luar rumah. Dia pernah tersekat di dalam selut, terjatuh basikal, dan terseliuh beberapa kali kerana memakai kasut tumit tinggi. Tetapi Sarah tetap juga tidak serik memakai kasut tumit tinggi ke mana sahaja.
Sehinggalah suatu hari apabila Sarah dan kawan-kawannya telah dikejar lembu. Semasa melarikan diri dari lembu tersebut, kaki Sarah telah terseliuh teruk sehingga dia terpaksa berehat di rumah selama seminggu. Sejak itu barulah Sarah sedar bahawa selama ini dia memakai kasut tumit tinggi tak bertempat. Tidak salah untuk bergaya memakai kasut tumit tinggi, tetapi seharusnya dia memakai kasut tersebut pada waktu-waktu yang sesuai sahaja dan bukannya setiap masa.
Demikianlah plot utama dalam novel Sarah dan Kasut Tumit Tinggi. Di sebalik plot tersebut, terselit banyak maklumat dan nasihat untuk golongan awal remaja terutamanya untuk anak gadis. Contohnya, nasihat agar menjadi lebih matang seiring dengan usia, peringatan tentang tanggungjawab untuk menjadi seorang anak yang baik dan berdikari, selain penekanan tentang tanggungjawab sebagai seorang pelajar sekolah yang harus bersemangat menimba ilmu. Turut dimuatkan di dalam novel ini adalah persoalan yang biasa bermain di fikiran anak-anak gadis yang mendekati umur akil baligh, iaitu mengenai kedatangan haid dan perubahan fizikal yang lainnya.
Comments
Post a Comment