Tuk Mudin Datang oleh Ida Munira

Tuk Mudin Datang

Penulis: Ida Munira

179 Halaman

Diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd. (2010)

Jika novel Sarah dan Kasut Tumit Tinggi adalah sebuah kisah “coming-of-age” anak-anak gadis, Tuk Mudin Datang pula adalah kisah “coming-of-age" anak-anak lelaki. Membaca tajuknya sahaja pun sudah tahu, novel ini pastinya berkaitan dengan kisah anak-anak lelaki yang akan dikhatankan!

Hanif, Fadhil, Shukri dan Robert adalah pelajar darjah lima yang bersahabat baik dan tinggal di kampung yang sama. Ketika musim cuti sekolah akhir tahun tiba, ibu bapa Hanif, Fadhil dan Shukri telah bercadang mengadakan kenduri bagi mengkhatankan mereka bersama-sama. Reaksi ketiga-tiga mereka berbeza ketika mendapat tahu mengenai perancangan tersebut.

Fadhil berasa berat hati untuk berkhatan kerana berasa sangat malu untuk menanggalkan seluar di hadapan doktor. Manakala Shukri pula sangat takut untuk menghadapi kesakitan berkhatan; tambahan pula abang-abangnya pernah mengusiknya bahawa Tuk Mudin akan mengkhatannya menggunakan kapak dan bukannya pisau.

Hanya Hanif seorang sahaja yang berani dan tidak sabar-sabar untuk dikhatankan. Ini kerana dia tidak mahu lagi dianggap sebagai kanak-kanak kecil; dia telahpun menunjukkan tanda-tanda ingin menjadi dewasa seperti enggan memakai pakaian yang mempunyai gambar kartun serta malu untuk bermain di padang permainan. Hanif yang juga merupakan anak seorang Ustaz, turut berasa tidak sabar untuk bersolat jemaah di saf hadapan di surau: seorang anak lelaki boleh bersolat di saf hadapan hanya setelah berkhatan.

Sementara itu, Robert yang bukan Islam pula berasa teruja dengan adat berkhatan terutamanya setelah mengetahui kebaikan berkhatan dari sudut kesihatan. Robert juga berasa seronok melihat kawan-kawannya akan diraikan dengan meriah dalam sebuah kenduri. Dia sedikit kecewa dan berasa ketinggalan kerana tidak terlibat sama dalam upacara berkhatan tersebut.

Menjelang detik-detik hari berkhatan mereka, pelbagai perkara yang dilalui empat sekawan tersebut. Pernah sekali mereka cuba datang menghendap rumah Tuk Mudin tetapi kemudian lari bertempiaran setelah disergah Tuk Mudin. Shukri pula membuat percubaan lari dari rumah kerana merajuk rayuannya agar tidak dikhatankan tidak dilayan oleh ibu bapanya. Hanif pula tidak henti-henti berusaha memujuk kawan-kawannya agar tidak takut berkhatan. Ketika Fadhil menunjukkan minat untuk berkenalan dengan sepupunya Suraya, Hanif menghalang dan mengatakan bahawa Fadhil perlu berkhatan dahulu sebelum membuat sebarang percubaan “mengurat”.

Tiba hari berkhatan mereka, Hanif, Fadhil dan Shukri rupa-rupanya dikhatankan di klinik oleh doktor dan bukannya oleh Tuk Mudin. Ini kerana Tuk Mudin sudah tua dan tidak lagi membuat perkhidmatan mengkhatan. Malahan mereka tiga sekawan juga dibius sebelum dikhatankan; oleh itu mereka tidak berasa sakit sedikit pun.

Setelah selamat dikhatankan, mereka akan sama-sama berehat di rumah Hanif sementara menanti luka khatan mereka sembuh. Sebaik tiba di rumah Hanif untuk berehat, mereka terkejut melihat Robert sudah berada di situ dan berehat bagai selepas dikhatan. Rupa-rupanya Robert telah memutuskan untuk berkhatan (dan dipersetujui oleh ibu bapanya) kerana ingin menjaga kesihatan selain tidak mahu ketinggalan merasai pengalaman itu bersama kawan-kawan baiknya.

Novel ini menyampaikan maklumat-maklumat yang berguna mengenai upacara berkhatan, sama ada dari sudut agama Islam, adat mahupun kesihatan. Malah sesetengah maklumat, yang disampaikan secara bersahaja melalui penceritaan novel ini, adalah sesuatu yang aku sendiri tidak pernah tahu sebelum ini. Kesimpulannya, novel ini bagus untuk dibaca terutamanya oleh anak-anak lelaki yang bakal dikhatankan (dan berasa cemas menghadapi detik tersebut) agar tidak lagi berasa takut yang tidak berasas.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Jangka Atribut oleh Clay