Bukan Aku....
Penulis: Maria Farinna
179 Mukasurat
Diterbitkan di Malaysia oleh Ahadiat Akashah The Writer Sdn. Bhd. (1999)
AWAS SPOILER! (JANGAN BACA PERENGGAN SETERUSNYA JIKA TIDAK MAHU TERBACA PENAMAT CERITA INI)
179 Mukasurat
Diterbitkan di Malaysia oleh Ahadiat Akashah The Writer Sdn. Bhd. (1999)
Novel inilah yang telah berjaya mengembalikan minat aku untuk melayan novel-novel Melayu setelah bertahun-tahun hanya menghadap novel Inggeris dan buku-buku bersifat umum. Sebelum ini, aku hilang minat terhadap novel-novel Melayu kerana tidak tahan membaca lebih 500 halaman novel yang mempunyai plot yang membosankan atau mempunyai konflik yang terlalu ‘stressful’.
Bukan Aku.... mempunyai 179 halaman sahaja; plotnya bergerak pantas sehingga aku tidak sempat berasa bosan! Setiap halaman dan bab padat dengan penceritaan yang membantu dalam pergerakan plot dan pengembangan karakter. Tiada babak yang ‘membazir’ atau tidak perlu di dalam novel ini.
Shahrin merupakan seorang pemuda dari kampung yang diambil bekerja sebagai pemandu dan tukang cuci kereta Datuk Sulaiman. Datuk Sulaiman berkenan mengupah Shahrin setelah melihat kejujuran yang ada pada diri pemuda tersebut. Ketika mula-mula menawarkan pekerjaan kepada Shahrin, Datuk Sulaiman sebenarnya telah membuat satu permintaan untuk ditunaikan oleh Shahrin, yang akan diganjarkan dengan wang yang sangat banyak. Shahrin bersetuju dengan tawaran tersebut tanpa banyak soal kerana beliau amat memerlukan wang untuk menyara hidup ibu dan adik-beradiknya di kampung.
Beberapa bulan selepas Shahrin diambil bekerja dengan Datuk Sulaiman, anak tunggal Datuk Sulaiman yang baru tamat pengajian di London telah kembali ke Malaysia. Suraya seorang gadis cantik tetapi pernah terlanjur dengan bekas teman lelakinya sehingga melahirkan seorang anak luar nikah, Daniel. Ketika pulang ke Malaysia, Suraya meninggalkan Daniel dalam jagaan sahabat baiknya Salinah yang masih berada di London. Suraya mahu merahsiakan kewujudan Daniel dari semua orang di Malaysia termasuklah Datuk Sulaiman sendiri.
Setelah saling berkenalan, Suraya dan Shahrin masing-masing telah jatuh hati dalam diam. Suraya takut untuk meluahkan perasaannya kerana dia merasakan Shahrin sudah mempunyai teman wanita di kampung, selain keadaan dirinya sendiri yang sudah mempunyai seorang anak luar nikah mungkin tidak akan diterima oleh Shahrin yang begitu berbudi bahasa. Shahrin pula cuba menidakkan perasaannya kerana terasa jurang status yang amat jauh antara kedua-dua mereka. Selain itu, Shahrin juga merasakan dirinya tidak layak untuk Suraya kerana permintaan Datuk Sulaiman itu.
Apakah sebenarnya yang dipinta oleh Datuk Sulaiman sehingga sanggup mengupah Shahrin sebanyak RM 200,000 agar melakukannya? Apa yang pasti, permohonan Datuk Sulaiman itu ada kaitannya dengan Suraya. Berkali-kali dalam novel ini, Shahrin bermonolog sendirian dan bertanya diri sendiri sama ada beliau sanggup melakukan ‘perkara itu’ terhadap Suraya. Gayanya seperti sesuatu yang buruk telah dirancangkan oleh Datuk Sulaiman ke atas Suraya. Ini pastinya menimbulkan tanda tanya dalam diri pembaca sehingga sanggup menghabiskan novel tersebut dalam masa sehari sahaja.
Sementara itu, muncul watak Dr. Azlan, sepupu Suraya dari sebelah arwah ibunya Datin Hana. Dr. Azlan sangat dibenci oleh Datuk Sulaiman, malahan Suraya juga tidak gemar bertemu dengannya. Namun beliau sanggup menelan segala layanan buruk tersebut kerana ingin mendekati Suraya. Di sebalik itu, Dr. Azlan sebenarnya disuruh oleh bapanya untuk mendekati dan memenangi hati Suraya dengan harapan Suraya akan mengahwini Dr. Azlan dan semua harta tinggalan Datuk Sulaiman akan dapat dibolot sama.
Setelah aku mendapat tahu apakah sebenarnya permintaan Datuk Sulaiman, semakin pantas aku menyelak setiap helaian buku sehingga berjaya membaca novel tersebut sehingga tamat!
Rupa-rupanya Datuk Sulaiman telah meminta agar Shahrin membunuh Suraya, atas alasan tidak mahu hartanya jatuh ke tangan gadis itu. Shahrin pada mulanya bersetuju tanpa berfikir panjang kerana ketika itu sangat terdesak dari segi kewangan. Selain itu, beliau juga tidak terfikir akan jatuh cinta terhadap Suraya. Setelah berlalu beberapa bulan, Shahrin mula bermuhasabah diri dan mula mempersoalkan niat dan persetujuannya dalam hal tersebut.
Pada suatu hari, Shahrin memohon cuti dari tugasannya dan berpura-pura pulang ke kampung halaman. Sebenarnya beliau hanya melarikan diri ke sebuah hotel berhampiran kerana fikirannya telah bercelaru. Di situ Shahrin cuba merancang pembunuhan Suraya dalam keadaan serba-salah.
Belum sempat Shahrin merancang pembunuhan tersebut dengan teliti, tiba-tiba sahaja beliau dikejutkan dengan berita bahawa Suraya telah mati lemas di dalam kolam renang di rumah. Shahrin mendapat mesej di telefon bimbitnya dari Datuk Sulaiman yang mengucapkan terima kasih atas tindakannya membunuh Suraya. Di fikirannya penuh tanda tanya, siapa sebenarnya yang mengakibatkan kematian Suraya. Yang pasti “bukan aku!”, jerit Shahrin dalam fikirannya.
Setelah berlaku peristiwa tersebut, Shahrin tidak lagi bekerja dengan Datuk Sulaiman. Dengan wang upah yang begitu banyak, Shahrin berjaya membuka perniagaan cuci kereta yang berjaya. Datuk Sulaiman pernah melawat Shahrin di kedainya sekali; sambil memaklumkan kepadanya bahawa Dr. Azlan juga telah meninggal dunia secara mengejut.
Semakin lama masa berlalu, semakin Shahrin yakin akan perasaan cintanya terhadap Suraya, dan semakin beliau merindui kelibat Suraya. Setiap kali dihantui oleh imej Suraya, Shahrin akan menegaskan kepada dirinya sendiri, “bukan aku” yang membunuh Suraya!
Suatu hari, Shahrin dikunjungi oleh Salinah, kawan baik Suraya yang menetap di London. Salinah membawa bersama Daniel, anak luar nikah Suraya dan memperkenalkannya kepada Shahrin. Mereka berkongsi cerita; Salinah menceritakan tentang siapa Daniel sebenarnya dan betapa Suraya sebenarnya ada menaruh hati pada Shahrin. Shahrin juga mengakui, kalaulah Suraya masih ada, dia sanggup menerima Suraya dan Daniel kerana dia juga sudah mempunyai perasaan terhadap Suraya.
Tidak lama selepas itu, tiba-tiba sahaja Suraya memunculkan diri di hadapan Shahrin semula. Rupa-rupanya Suraya telah berpura-pura mati lemas sebelum menghilangkan diri ke London. Semua ini adalah percaturan Datuk Sulaiman untuk melindungi Suraya dan dirinya sendiri. Dan sebenarnya Datuk Sulaiman tahu bahawa Shahrin tidak akan sanggup membunuh Suraya kerana memang dia seorang yang berhati baik.
Datuk Sulaiman mengetahui niat sebenar Dr. Azlan dan keluarganya untuk merampas harta tinggalannya. Datuk Sulaiman tahu bahawa Dr. Azlan telah merancang untuk membunuh dirinya dan Suraya demi mendapatkan harta kekayaan tersebut. Oleh itu Datuk Sulaiman telah mendahului rancangan jahat Dr. Azlan. Beliau tahu Dr. Azlan akan bertindak semasa ketiadaan Shahrin yang sedang bercelaru fikiran. Dan beliau tahu strategi Dr. Azlan ialah mahu melemaskan Suraya di dalam kolam renang kerana taktik pembunuhan seperti itu mungkin agak sukar dicari bukti. Oleh itu Datuk Sulaiman menyuruh Suraya berpura-pura mati lemas di kolam renang sekiranya diserang oleh Dr. Azlan. Ternyata ramalan Datuk Sulaiman benar dan Dr. Azlan benar-benar telah membuat percubaan untuk membunuh Suraya di kolam renang. Apabila Suraya berpura-pura mati, Dr. Azlan melarikan diri tanpa memastikan sama ada Suraya benar-benar telah mati kerana berasa takut dirinya tertangkap.
Selepas itu, Datuk Sulaiman telah menyuruh Suraya menyembunyikan diri di London sementara beliau menyelesaikan ancaman Dr. Azlan (dan, entah bagaimana Datuk Sulaiman sebenarnya mengetahui tentang kewujudan Daniel). Datuk Sulaiman juga telah mengupah media massa untuk menyebarkan berita tentang kematian Suraya agar lakonan tersebut kelihatan sahih. Kemudian entah apa yang berlaku, tahu-tahu Dr. Azlan menemui ajal secara misteri. Paling misteri ialah watak Datuk Sulaiman yang serba tahu!
Setelah tiada lagi ancaman dari keluarga Dr. Azlan, barulah Datuk Sulaiman membenarkan Suraya kembali ke Malaysia dan bertemu Shahrin semula. Suraya pula sengaja menghantar Salinah dan Daniel dahulu untuk menemui Shahrin dan ‘meluahkan perasaan’ bagi pihaknya. Setelah Salinah memperolehi jawapan meyakinkan bahawa Shahrin benar-benar mencintai Suraya, barulah Suraya muncul kembali di hadapan Shahrin. Kasih mereka bertaut kembali.
Comments
Post a Comment