Cinta Suci Zahrana
Penulis: Habiburrahman El Shirazy
275 Halaman
Diterbitkan oleh Ar-Risalah Product Sdn. Bhd. (2012)
***AWAS! SETERUSNYA ADALAH SPOILER***
275 Halaman
Diterbitkan oleh Ar-Risalah Product Sdn. Bhd. (2012)
Satu perkataan yang mampu menjelaskan perasaan aku tatkala mula-mula membaca beberapa bab terawal Cinta Suci Zahrana: SENTAP!
Watak utama novel ini, Zahrana merupakan seorang pensyarah dalam bidang senibina yang mempunyai pencapaian akademik yang sangat cemerlang. Zahrana seorang yang bercita-cita tinggi dan terlalu asyik mengejar ilmu sehingga tidak berasa terlalu tertarik untuk mendirikan rumahtangga. Sudah ramai lelaki yang cuba melamar Zahrana tetapi semuanya telah ditolak mentah-mentah oleh gadis itu atas sebab-sebab yang remeh.
Zahrana anak tunggal kepada Pak Munajat dan Bu Nuriyah. Pencapaian hidupnya dibanggakan oleh kedua ibu bapanya, tetapi hanya dalam diam. Di hadapan Zahrana mereka tidak menunjukkan kegembiraan yang teramat atas pencapaian-pencapaian akademik gadis itu. Ini kerana mereka tidak mahu Zahrana terus bersemangat untuk hanya mengejar kejayaan akademik dan kerjaya sahaja. Pak Munajat dan Bu Nuriyah berharap semoga Zahrana cepat mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak agar hidup mereka diserikan dengan kehadiran cucu. Tambahan pula Zahrana sudah berumur 34 tahun.
Apa yang membuat aku sentap ialah mesej-mesej nasihat agar gadis-gadis jangan mengabaikan kepentingan berkahwin lebih awal. Contohnya adalah mengenai keburukan berkahwin usia lewat (terutama berkaitan potensi dikurniakan anak) dan juga perasaan kesunyian ibu bapa yang sudah tua tatkala hidup mereka tidak diserikan dengan kehadiran cucu. Aku bukanlah seperti Zahrana yang kuat me’reject’ lelaki, tetapi dah belum ada jodoh walaupun sudah mencecah usia 30-an, nak buat macam mana hahaha...
Apa pun, berbalik semula kepada novel ini – aku tetap membuka hati dan meneruskan pembacaan kerana merasakan plot ceritanya mungkin agak berbeza dengan novel-novel lain yang pernah dibaca. Tambahan pula aku berasa yakin hasil karya novelis Habiburrahman El Shirazy ini pastinya adalah sebuah karya yang berkualiti.
Menerusi perantaraan Lina, sahabat baik Zahrana, Pak Munajat dan Bu Nuriyah menyampaikan hasrat mereka melihat satu-satunya anak mereka mendirikan rumahtangga. Setelah dipujuk dengan penuh hikmah oleh Lina, hati Zahrana akhirnya terbuka untuk mencari jodohnya.
Namun, dugaan terus melanda dirinya sebaik memasang niat suci tersebut. Zahrana telah dilamar oleh beberapa orang lelaki lagi, namun semua calon tersebut tidak sesuai dijadikan suami; seorang lelaki yang tidak tahu bersolat, manakala seorang lagi adalah lelaki yang sudah pun mendirikan rumahtangga tetapi ingin menjadikannya isteri kedua.
Paling menjengkelkan Zahrana ialah lamaran daripada dekan fakultinya sendiri, Pak Sukarman. Pak Sukarman yang sudah agak berusia adalah seorang duda yang kematian isteri. Bagaimanapun, Zahrana tidak sanggup bersuamikan Pak Sukarman kerana akhlaknya yang buruk; dia sebenarnya seorang lelaki tua yang gatal dan selalu mempunyai skandal dengan pelajar-pelajar perempuan di fakulti. Malahan, Pak Sukarman sebenarnya berniat memperisterikan Zahrana hanya kerana ingin menumpang nama Zahrana yang sudah terkenal di seluruh Indonesia. Dia hanya mahu orang ramai kagum terhadap dirinya sekiranya dia mampu memenangi hati Zahrana yang hebat lagi cemerlang.
Ketika Zahrana menolak lamaran Pak Sukarman, Pak Munajat dan Bu Nuriyah berasa kecewa kerana mereka menyangka Zahrana masih lagi tidak berubah; masih lagi ingin terus hidup solo dan memburu kejayaan akademik dan karier. Mereka tidak tahu mengenai peribadi Pak Sukarman yang sebenar kerana Pak Sukarman berpura-pura baik ketika bertemu dengan kedua orang tua Zahrana.
Tidak lama selepas menolak lamaran Pak Sukarman, Zahrana meletak jawatan sebagai pensyarah di universiti tersebut. Dia akhirnya bekerja sebagai guru sekolah sahaja. Pak Sukarman yang merasakan egonya terpukul akibat penolakan tersebut, berjanji akan membalas dendam terhadap Zahrana.
Selepas peristiwa itu, Zahrana kerap menerima SMS misteri daripada seseorang yang mengejinya sebagai anak dara tua dan sebagainya. Kadangkala SMS tersebut berbaur ancaman, tetapi Zahrana hanya mengabaikan sahaja mesej-mesej tersebut.
Pada suatu hari, Zahrana telah meminta bantuan seorang kiai pesantren untuk mencarikannya jodoh yang mempunyai pegangan agama dan akhlak yang baik. Zahrana akhirnya bersetuju untuk berkahwin dengan Rahmad. Walaupun Rahmad mempunyai tahap pendidikan yang rendah dan hanya berniaga keropok sahaja, tetapi beliau berakhlak mulia dan mempunyai pegangan agama yang bagus.
Pada hari sebelum berlangsungnya perkahwinan Zahrana dengan Rahmad, Zahrana telah menerima SMS misteri yang mengancam dirinya lagi. Zahrana tidak mempedulikan SMS tersebut. Pada malam sebelum pernikahan tersebut, Rahmad telah ditimpa kemalangan ngeri lalu meninggal dunia.
Zahrana patah hati dan pengsan selama beberapa hari, manakala Pak Munajat pula terkena serangan jantung lalu meninggal dunia kerana terlalu tertekan dengan apa yang berlaku.
Zahrana yakin bahawa kematian Rahmad adalah akibat dibunuh dengan sengaja. Dia yakin bahawa Pak Sukarman bertanggungjawab mengakibatkan kemalangan tersebut. Apatah lagi Pak Sukarman seolah-olah tahu mengenai SMS berbaur ancaman yang diterima oleh Zahrana.
Setelah musibah bertimpa-timpa mengenai dirinya, Zahrana menjadi semakin kuat dan semakin mendekatkan diri kepada Allah. Dia selalu berdoa agar ditemukan jodohnya dan agar sesiapa yang menzalimi dirinya menerima balasan setimpal.
Tidak lama selepas itu, Zahrana mendapat berita bahawa Pak Sukarman telah mati dibunuh oleh seorang pelajar lelaki ketika membuat gangguan seksual ke atas isteri pelajar terbabit.
Berkat kesabaran Zahrana juga, akhirnya beliau telah dipinang oleh Hasan, salah seorang pelajarnya ketika mengajar di universiti dahulu. Hasan mempunyai pendidikan yang tinggi, karier yang bagus dan akhlak yang baik. Hasan lebih muda daripada Zahrana sebanyak lima tahun, tetapi itu tidak menjadi masalah lagi. Zahrana akhirnya menerima pinangan Hasan dan bernikah dengannya. Ternyata, Allah telah takdirkan Zahrana bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang sekufu dan setaraf dengannya.
Comments
Post a Comment