The Fishes oleh Ben
143 halaman
Diterbitkan oleh Gala Unggul Resources Sdn. Bhd. (Ogos 2005)
Walaupun novel grafik ini sarat dengan air mata dan kejadian tragis yang menimpa watak-watak utamanya, namun garapan dan teknik penceritaan Ben berjaya menjadikan The Fishes sebuah kisah yang tetap indah.
The Fishes mengisahkan sekumpulan karakter yang semuanya berzodiak Pisces – justeru lambang ‘ikan’ yang membawa kepada tajuk karya ini.
Ann hidup sebatang kara selepas kakaknya Angel melanjutkan pelajaran ke luar negara dan seterusnya mendirikan rumahtangga di sana. Bapa mereka sudah lama meninggalkan keluarga untuk bersama wanita lain. Manakala ibu mereka telah membunuh diri selepas ditinggalkan suami.
Pada suatu hari Ann telah terserempak dengan bekas kekasih Angel secara tidak sengaja. Ann menggelarkan bekas kekasih Angel itu dengan nama “Mr. Cool” (nama sebenar watak ini tidak diketahui sehingga ke akhir kisah ini sekalipun). Pertemuan yang bagai ditakdirkan itu telah membibitkan perasaan antara mereka berdua. Mr. Cool – yang sebenarnya masih mempunyai sisa perasaan terhadap Angel – mula tertarik kepada Ann. Manakala Ann yang sememangnya hidup dalam kesepian, mengharap agar Mr. Cool dapat menemani hidupnya dan melindungi dirinya.
Bagaimanapun, Mr. Cool sebenarnya menyimpan terlalu banyak rahsia yang Ann tidak ketahui. Malah kisah sebenar yang berlaku yang menyebabkan hubungannya dengan Angel dahulu terputus di tengah jalan, juga tidak diketahui Ann. Cintanya terhadap Ann adalah ikhlas, tetapi malangnya he’s a broken man.
***AWAS SPOILER!!!!***
Sebenarnya, Angel telah dipaksa oleh bapanya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Mr. Cool yang kecewa kerana terpaksa berpisah dengan Angel untuk satu tempoh yang lama, telah melakukan ‘kerja bodoh’ dan terlibat dalam skandal dengan seorang gadis lain sehingga menyebabkan gadis itu hamil. Akhirnya Mr. Cool terpaksa bertanggungjawab dengan mengahwini gadis tersebut. Angel sangat terluka atas perbuatan Mr. Cool, namun setelah ke luar negara, Angel berjaya ‘move-on’ dan akhirnya menemui cinta baru di sana sehingga akhirnya mendirikan rumahtangga. Sedangkan Mr. Cool terus terperangkap dalam hubungan tanpa cinta serta rasa bersalah terhadap Angel. Sehingga kini Mr. Cool masih lagi berstatus suami orang yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Elis. Mr. Cool selalu bertengkar dengan isterinya kerana ingin bercerai dan memulakan hidup baru, namun isterinya enggan berpisah.
Akhirnya Ann mendapat tahu juga status sebenar Mr. Cool. Ann terus menjauhkan diri daripada Mr. Cool walaupun sebenarnya sukar untuk melupakan. Ann benar-benar berharap Mr. Cool tidak meninggalkannya kerana dia enggan hidup kesepian lagi.
Sebenarnya selama ini, seorang sahabat Ann iaitu Elvin sebenarnya sangat-sangat mencintai Ann dan selalu berusaha memikat hati Ann. Namun apakan daya soal hati adalah sesuatu yang sukar ditebak. Ann hanya menganggapnya sebagai sahabat baik sahaja dan tidak mempunyai perasaan cinta terhadap Elvin.
Semasa dalam tempoh konflik inilah Elvin mengambil kesempatan untuk membuat percubaan mendekati Ann lagi. Ann juga perlahan-lahan cuba membuka pintu hatinya untuk Elvin. Sehinggalah Elvin membawa Ann untuk bertemu ibu bapanya. Rupa-rupanya bapa Elvin ialah bapa kandung Ann yang telah meninggalkan keluarganya dahulu kerana ingin bersama ibu Elvin. Bapa Ann bukanlah bapa kandung Elvin – oleh itu mereka bukanlah adik-beradik tiri – namun Ann tidak dapat menerima Elvin kerana rasa dendam terhadap bapanya itu.
Sebaik pulang dari bertemu dengan ibu bapa Elvin, Ann semakin keliru dan rasa kesepian yang teramat. Dalam mencari teman untuk berbicara, Ann akhirnya membuat luahan apa yang terbuku di hatinya dengan menelefon deejay radio yang menyiarkan ucapannya melalui sebuah program. Siaran langsung tersebut telah didengari oleh Mr. Cool dan juga Elvin. Setelah selesai meluahkan segala perasaan yang berkecamuk di jiwanya, Ann terus menelan pil untuk membunuh diri.
Elvin dapat merasakan bahawa Ann akan membunuh diri berdasarkan luahannya di radio sebentar tadi. Oleh itu dia segera ke rumah Ann dan nyata sekali ketika dia tiba, Ann sudah pun tidak sedarkan diri. Elvin terus menyelamatkan Ann dan membawanya ke hospital untuk rawatan. Sementara itu, Mr. Cool pula berhasrat untuk bertemu Ann untuk mendapatkan peluang kedua setelah mendengar luahan hati Ann di radio tersebut. Malangnya Mr. Cool telah terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan ke rumah Ann lalu meninggal dunia.
Dalam epilog komik ini, Angel pulang ke tanah air untuk bertemu Ann yang sudah tersedar daripada koma setelah membuat percubaan membunuh diri. Ann membuat keputusan untuk mengikut Angel ke luar negara untuk sementara bagi mencari ketenangan jiwa setelah apa yang berlaku. Elvin yang masih tidak berputus asa pula, masih mahu mencuba nasibnya memikat Ann. Petak terakhir komik ini menggambarkan Elvin sudah bersiap sedia dengan barang-barangnya untuk menemani Ann ke luar negara walaupun tidak diminta.
Comments
Post a Comment