Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Penulis: Khadijah Hashim
453 Halaman
Diterbitkan oleh ‘K’ Publishing Sdn. Bhd. (Cetakan ke-2, tahun 2000)


Buku ini memuatkan tiga buah karya Khadijah Hashim iaitu Laila Azwa Gadisku, Cinta Kedua dan Senator Adila. Biarpun latar ketiga-tiga novel ini berbeza, namun kesemuanya mempunyai persamaan daripada satu segi: kisah percintaan yang terhalang oleh orang tua, dan bagaimana insan-insan yang terputus kasih ini menghadapinya.

***AWAS SPOILER!!!*** 

LAILA AZWA GADISKU

Sepanjang pembacaan aku, perasaan aku bercampur-baur. Nada cerita ini buat aku terngiang-ngiang akan novel Konserto Terakhir (karya Abdullah Hussain) dan juga Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (HAMKA). Ini kisah cinta antara dua kekasih yang berbeza darjat, tapi punya rasa yang sama, punya kecintaan yang sama terhadap dunia muzik. Cuma beza Laila Azwa Gadisku dengan kedua-dua novel yang aku sebut di atas, kisah ini punya penamat yang lebih gembira dan penuh pengharapan terhadap masa depan. Sekurang-kurangnya tiada sesiapa yang meninggal dunia dalam novel ini 😅

Ini kisah Laila Azwa, anak bongsu berumur 16 tahun yang menjadi harapan ibu bapanya agar menjadi lebih berjaya dalam akademik berbanding dua orang kakaknya yang tidak belajar hingga ke peringkat universiti. Bagaimanapun, Laila Azwa hanya berminat dengan muzik. Cita-citanya adalah untuk menjadi seorang pemuzik. Encik Bakri dan Puan Siti Jahara kurang senang dengan sikap Laila Azwa yang asyik sibuk berlatih bermain biola.

Encik Bakri langsung tidak merestui tindakan Laila Azwa kerana dia mempunyai pengalaman pahit tentang pemuzik. Bapanya adalah pemain biola kumpulan bangsawan yang selalu meninggalkan keluarga, merantau untuk membuat persembahan dan akhirnya tidak ingat lagi untuk kembali ke pangkuan keluarga. Arwah ibu Encik Bakri terlalu sakit akibat ditinggalkan begitu sahaja sehingga akhirnya meninggal dunia. Manakala Encik Bakri hidup merana tanpa kedua ibu bapanya. Disebabkan itulah Encik Bakri berasa trauma untuk mengizinkan Laila Azwa berkecimpung dalam bidang muzik. Sedangkan zaman anaknya kini adalah zaman moden (sekitar tahun 90-an) dan pemuzik sudah boleh mendapat bayaran yang lumayan bagi menyara hidup masing-masing. Pemuzik tidak semestinya merantau bersama kumpulan bangsawan demi mencari sumber pendapatan yang tak seberapa.

Manakala Siti Jahara tidaklah terlalu benci akan penglibatan anak gadisnya dalam muzik. Cuma dia berharap agar Laila Azwa dapat melanjutkan pengajiannya ke luar negara selepas tamat SPM nanti. Siti Jahara juga berniat ingin menikahkan Laila Azwa dengan anak saudaranya sendiri, Agus, yang cemerlang akademik dan sedang belajar di Amerika. Asalkan masa depan Laila Azwa terjamin, Siti Jahara berpuas hati.

Laila Azwa seperti kebanyakan remaja lain: dalam pada terpaksa mentaati permintaan kedua ibu bapanya, ada juga muncul perangai memberontaknya. Pada suatu hari, tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya, dia mendaftarkan diri ke Kem Muzik sebagai langkah pertama dalam menjayakan impiannya menjadi seorang pemuzik. Di situlah pertama kali dia bertemu Adnan, seorang pemuda yang juga mencintai muzik sepertinya. Adnan yang memulakan langkah perkenalan dan dalam tempoh singkat tersebut masing-masing mula menyimpan perasaan antara satu dengan lain.

Adnan pemuda biasa, mempunyai gerai makan kecil di tengah kota Kuala Lumpur yang dikongsi bersama dua sahabatnya Aman dan Hadi. Manakala Laila Azwa anak orang berada, hidup serba-serbi mencukupi. Maka bermulalah kisah percintaan dua darjat yang tidak mendapat restu daripada kedua ibu bapa si gadis. Encik Bakri dan Siti Jahara sebenarnya berniat baik, mereka hanya ingin memastikan masa depan Laila Azwa terjamin. Tetapi tentangan tersebut tidak diterima dengan hati terbuka oleh Laila Azwa dan Adnan. Jiwa muda mereka semakin memberontak.

Laila Azwa bukan sahaja selamba meneruskan kelas muzik walaupun kurang disenangi kedua ibu bapanya, malah berani menipu orang tuanya itu untuk berjumpa Adnan di gerainya. Jiwa memberontak Adnan juga lebih kurang, walaupun dia tua sedikit daripada Laila Azwa (umurnya tidak dinyatakan dalam kisah ini). Dia tidak kisah perbuatan menipu ibu bapa yang dilakukan Laila Azwa, asalkan mereka boleh bertemu. Pernah sekali Encik Bakri memberi kata dua kepadanya agar jangan mendekati Laila Azwa lagi, Adnan berani pula membentak Encik Bakri. Sudahlah dia telah pun ditolak mentah-mentah oleh Encik Bakri akibat status dirinya, ditunjuk pula perangai tidak hormat kepada orang tua gadis itu! Kalau dalam dunia realiti, bukankah akan mengakibatkan diri sendiri lebih tidak diterima dalam keluarga si gadis? Malah dia mengadu pula kepada Aman dan Hadi, bahawa dia ingin berkahwin dengan Laila Azwa, bukannya dengan kedua ibu bapa gadis itu yang sibuk menentang percintaan mereka. Aduhai jiwa muda yang belum matang!

Laila Azwa dan Adnan terus setia terhadap perasaan mereka, walaupun mendapat tentangan dan terpaksa membelakangkan kedua ibu bapa Laila Azwa. Tahap angau Adnan adalah lebih-lebih lagi, sehingga dia yakin hatinya tidak akan terbuka langsung untuk gadis lain. Pada hari-hari di mana Laila Azwa tidak singgah ke gerainya, Adnan akan susah hati sepanjang hari sehingga tidak fokus bekerja. 

Sementara itu, Aman dan Hadi tidak pernah putus asa memujuk hati Adnan dan cuba menyedarkannya agar ukur baju di badan sendiri: kalau betul-betul anak orang berada yang diminatinya, maka cubalah merubah kehidupan sendiri juga, barulah setaraf nanti. Adnan mula mencari tapak baru untuk membuka restoran pula. Dalam tempoh dua tahun sahaja Adnan sudah membuka dua cawangan restoran, malah dia juga kini mengambil tempahan katering untuk majlis perkahwinan dan sebagainya. Kesungguhan Adnan untuk memajukan perniagaannya agar dapat merubah hidupnya sememangnya menyentuh perasaan.

Sementara itu Laila Azwa mula fokus kepada persediaan SPM ketika peperiksaan itu mula menghampiri. Itu pun mujur kerana ketika itu dia berselisih faham dengan Adnan sehingga merajuk teruk. Jika masih tenggelam dalam percintaan mereka, mungkin sahaja terabai SPM gadis itu 😏 Tambahan pula ibu bapa Laila Azwa sudah berjanji dengannya bahawa dia dibenarkan untuk berlatih muzik sepuas-puasnya selepas peperiksaan SPM nanti. Jadi bertambah semangatlah gadis itu.

Selepas tamat SPM barulah Adnan memulakan langkah memujuk Laila Azwa dan akhirnya mereka berbaik semula. Siti Jahara bimbang ketika mendapat tahu bahawa Laila Azwa masih lagi berhubungan dengan Adnan. Demi untuk menjauhkan Laila Azwa daripada Adnan, Encik Bakri dan Siti Jahara mula mengatur rancangan tanpa pengetahuan gadis itu. Encik Bakri terpaksa mengalah dan bersetuju untuk menghantar Laila Azwa belajar muzik di Amerika. Selain cuba memenuhi minat Laila Azwa, Siti Jahara juga berharap semoga Laila Azwa akan bertambah rapat dengan calon menantu pilihannya iaitu Agus yang masih berada di Amerika.

Laila Azwa yang naif dan tidak tahu percaturan sebenar ibu bapanya dalam hal tersebut bersetuju dan sangat gembira kerana akhirnya dibenarkan menyambung pengajiannya dalam bidang muzik. Dia mula merancang untuk membuka kelas latihan muzik sekembalinya dari Amerika nanti.

Namun begitu, Adnan pula kurang senang Laila Azwa berpergian begitu jauh. Adnan yang kemaruk itu mula berasa risau tentang hubungan mereka. Baginya, tiga hingga empat tahun berpisah itu terlampau lama dan dia bimbang jika Laila Azwa akan melupakannya nanti. Adnan bercadang agar Laila Azwa menikah dengannya terlebih dahulu barulah meninggalkan tanah air. Sekurang-kurangnya dia sudah memiliki gadis itu.

Laila Azwa yang serba-salah akhirnya telah bertanyakan pendapat kakaknya Ani Zaini tentang hal tersebut. Bagi Ani Zaini, Laila Azwa masih muda dan masih banyak yang dia perlu pelajari sebelum masuk ke alam rumahtangga. Laila Azwa berhak menentukan masa depan sendiri dan mengejar cita-citanya terlebih dahulu. Lagipun, jika benar Adnan mengasihi maka sepatutnya dia bersabar menanti kepulangan Laila Azwa, apatah lagi gadis itu hendak merantau pun bukannya atas sebab lain tetapi demi mengejar impian hidupnya.

Setelah Laila Azwa memaklumkan pendiriannya, Adnan sebenarnya masih sukar untuk menerima. Dia tidak dapat membayangkan hidupnya tanpa Laila Azwa. Akhirnya Adnan mengambil keputusan untuk mengikuti Laila Azwa ke Amerika dan menyambung pengajian bersama. Tambahan pula wang yang dikumpul daripada hasil perniagaannya juga sudah mencukupi untuk perbelanjaan pengajiannya di sana nanti. Tamat!

Walaupun mungkin dianggap romantik oleh sesetengah orang, tapi pada pandangan aku sebenarnya perwatakan Adnan agak merimaskan, mungkin juga menjengkelkan. Keengganannya berpisah dengan Laila Azwa sehingga sanggup meminta gadis itu bernikah gantung dengannya sebelum menyambung pengajian ke luar negara seolah-olah menunjukkan dia mempunyai sikap ‘possessive’ dan tidak betul-betul mengambilkira impian Laila Azwa. Itu belum lagi termasuk kesalahannya yang paling besar bagi aku, iaitu sikapnya yang tidak ralat membelakangkan kedua ibu bapa Laila Azwa.

Watak Adnan yang terlampau mabuk cinta dan tidak boleh ‘move on’ inilah juga yang mengingatkan aku kepada watak Zainuddin dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Sekurang-kurangnya Laila Azwa membalas cinta Adnan. Jadi mungkin Zainuddin lebih teruk tahap kemaruknya berbanding Adnan. Cinta bawa ke mati! Manakala latar dunia muzik dalam novel ini pula yang menyebabkan aku terimbau tentang novel Konserto Terakhir.

CINTA KEDUA

Dalam bab pertama novel ini, begitu banyak nama-nama watak yang disebut sehingga aku keliru, yang mana satukah yang harus aku beri perhatian? Watak manakah yang akan menjadi penting dalam penceritaan kisah ini nanti? Pada pandangan aku, Cinta Kedua adalah kisah kejelikan ragam pelbagai jenis manusia, justeru itu padanlah dengan kemunculan watak yang begitu ramai. Masing-masing membawa personaliti dan cara hidup yang berbeza-beza.

Mungkin juga, novel ini adalah cara Khadijah Hashim menyindir kebusukan dalam masyarakat kita secara halus. Ada watak yang langsung tidak menginsafi kekhilafan diri sejak daripada awal kisah ini sehingga tamat. Hingga ke halaman terakhir pun masih lagi bergelumang dalam kehidupan yang penuh dosa. Pada hemat aku, Khadijah Hashim sengaja meninggalkan kisah ini dalam keadaan tergantung kerana tujuannya lebih kepada memberi peluang kepada pembaca untuk membuat penilaian sendiri terhadap peristiwa-peristiwa dalam novel ini dan mengambil iktibar. Barangkali agar pembaca dapat mencermin diri sendiri dan melihat sama ada sikap hodoh yang dipaparkan oleh watak-watak dalam kisah ini terdapat dalam diri pembaca sendiri.

Cinta Kedua sebuah lagi kisah mengenai lelaki yang tidak mampu ‘move on’ kerana perasaannya yang sudah terikat pada hanya seorang wanita sahaja. Ini juga kisah cinta yang dihalang orang tua serta paparan akibat negatif daripada perbuatan tersebut.

Walaupun lebih kurang 10 tahun telah berlalu, Hasan masih tetap setia mencintai kekasihnya ketika menyambung pengajian di London dahulu, iaitu Intan Maizura. Intan Maizura merupakan anak kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London ketika itu. Hasan benar-benar serius mencintainya dan telah berani bersemuka dengan bapa Intan Maizura untuk meminangnya. Malangnya bapa Intan Maizura menolaknya mentah-mentah kerana pada waktu itu dia hanyalah seorang pelajar dan tidak bekerja. Selepas itu bapa Intan Maizura dihantar bertugas ke Kedutaan Malaysia di Jepun, dan mereka terpaksa berpisah walaupun sebenarnya mereka saling mencintai.

Sekarang Hasan sudah kembali ke Malaysia; dia kini merupakan pembantu khas kepada menteri kedua di Kementerian Harta Negara, iaitu Datuk Sudin. Kepulangannya ke Malaysia juga telah menemukannya semula dengan Intan Maizura yang kini sudah berkahwin dan mempunyai sepasang anak kembar, Nadia dan Nabiha.

Maka bermulalah kisah cinta gelap antara Hasan dan Intan Maizura. Ketika suaminya Akmal keluar bekerja atau outstation, Intan Maizura dan Hasan akan saling berhubungan, kadangkala melalui telefon, kadangkala bertemu di luar, kadangkala bertemu di rumah Intan Maizura. Mereka berdua tanpa rasa bersalah menggunakan perkataan “sayang” dan “I love you” ketika berbicara. Anak-anak Intan Maizura juga sudah biasa dengan kelibat Hasan dan mereka juga manja dengan Hasan sebagaimana mereka manja dengan bapa mereka sendiri. Malah Hasan juga menyayangi anak-anak tersebut seolah-olah itu darah dagingnya sendiri. Walaupun tidak pernah dinyatakan secara langsung dalam novel ini, namun monolog hati Hasan jelas membayangkan harapannya: Hasan ingin sangat jika Intan Maizura memohon cerai daripada Akmal agar dia pula yang dapat mengahwini wanita itu.

Kebanyakan babak dalam novel ini diceritakan menerusi perspektif Hasan yang berpandangan negatif terhadap banyak perkara. Ada-ada sahaja kritikan dan cacian Hasan di dalam hatinya terhadap perilaku manusia di sekelilingnya. Hasan selalu mencemuh segala mesyuarat dan seminar yang selalu melibatkan pegawai-pegawai kerajaan sepertinya: buang masa sahaja memandangkan tiada juga tindakan yang diambil atau resolusi yang disepakati walaupun entah berapa kali mesyuarat dan seminar diadakan, fikir Hasan. Dia juga menyindir rakyat marhaen yang bertemu dengan Datuk Sudin untuk membuat aduan masalah dan meminta bantuan: macamlah Datuk Sudin mempunyai penawar bagi segala masalah mereka, fikirnya, sedangkan masalah dia sendiri pun ditala kepada pembantu khasnya untuk diselesaikan. Antara tugas yang paling tidak disukai Hasan ialah mengawal pergerakan isteri gelap Datuk Sudin iaitu Linda. Datuk Sudin telah meminta bantuan Hasan untuk mengawal Linda agar status Linda tidak diketahui oleh isteri pertamanya Datin Sakinah. Niat asal Hasan bekerja dengan Datuk Sudin ialah kerana ingin berbakti kepada masyarakat dan memperjuangkan nasib rakyat jelata, tetapi bagi Hasan apa yang dia lakukan sehingga kini kebanyakannya cumalah membantu menyelesaikan masalah orang yang sudah sedia kaya-raya. Dalam masa yang sama, Hasan juga terasa jengkel apabila ada orang kampung yang datang merayu di pejabatnya dan hanya mengharapkan bantuan kewangan semata-mata tanpa cuba berusaha memperbaiki hidup sendiri. Cemuhan-cemuhan Hasan ini jelas adalah sindiran penulis sendiri terhadap ragam masyarakat di negara kita.

Sementara itu, berkisar kepada kehidupan peribadinya pula, keluarganya yang tinggal di kampung berharap Hasan yang kini berumur 30 tahun itu akan terbuka hati untuk mengakhiri zaman bujangnya. Ibunya pernah mencadangkan Hasan untuk berkahwin dengan anak gadis imam kampungnya yang bernama Asiah. Kata ibu Hasan, Asiah berperwatakan baik, pandai mengaji, pandai menyulam. Hasan menolak sambil mencaci pilihan ibunya di dalam hati; baginya isteri yang setakat pandai mengaji dan pandai menyulam itu sudah tidak relevan lagi dalam kehidupan masyarakat zaman sekarang. Sementara itu, Jasmin seorang ahli perniagaan muda lagi jelita juga menunjukkan tanda-tanda seperti menyukainya, tetapi bagi Hasan, Jasmin hanya ingin mendekatinya sebagai helah bagi mendapatkan tender daripada kerajaan yang diuruskan oleh kementerian tempat Hasan bekerja. Ada udang di sebalik batu. Senang cerita, semua wanita di sekelilingnya serba cacat pada pandangan Hasan. Hasan yakin hanya Intan Maizura sahaja yang tulus ikhlas mencintai dirinya, hanya Intan Maizura sahajalah yang tiada cacat-celanya, hanya Intan Maizura sahaja yang mampu membuat hidupnya sempurna.

Pada suatu hari, Hasan perlu mewakili Datuk Sudin yang ke luar kawasan untuk merasmikan sebuah acara berbentuk keagamaan di sebuah masjid. Hasan menuruti sahaja kerana niatnya hanya mahu menjalankan tugasnya, tetapi akhirnya terkesan dengan ucapan seorang ustaz ketika dalam majlis tersebut. Selepas itu dia mula mencermin dirinya, apakah yang dia kejar sebenarnya dalam hidup ini? Sedangkan solat lima waktu pun selalu dia tinggalkan. Sejak itu dia mula berjinak-jinak mendirikan solat semula. Dia juga bertekad untuk membantu penduduk di kampung asalnya Kampung Bertam yang sekian lama hidup dalam kedaifan kerana diabaikan oleh wakil rakyat di kawasan itu. Ironinya, keinsafan itu masih belum mencukupi untuk menyedarkannya tentang perbuatan dosa bercinta dengan isteri orang yang bernama Intan Maizura itu. Apakan daya, sikap Intan Maizura yang sentiasa lunak dan manja setiap kali bersama Hasan sememangnya membuat Hasan tewas.

Skandal antara Hasan dan Intan Maizura berterusan sehinggalah pada suatu hari, Intan Maizura mendapati suaminya Akmal mempunyai hubungan dengan seorang wanita lain. Intan Maizura sangat marah dan kesal dengan perbuatan suaminya, dan sanggup meminang wanita itu untuk suaminya jadikan sebagai isteri kedua. Namun begitu perkara itu rupa-rupanya mustahil apabila Intan Maizura mendapat tahu bahawa wanita yang menjadi kekasih gelap Akmal itu adalah isteri orang! Babak tentang kecurangan Akmal ini diceritakan menerusi perspektif Intan Maizura. Oleh itu segala macam emosi bercelaru, daripada kekecewaan, kesedihan sehinggalah kebencian terhadap perbuatan Akmal, adalah daripada kacamata Intan Maizura sendiri.

“Bagaimana isteri orang boleh bersekedudukan dengan suamiku? Buruknya cerita itu.”

“Bagaimana seorang isteri boleh meninggalkan rumah berhari-hari pergi berseronok dengan suamiku?”

“Aku benci kepada kecurangan.”

Itulah antara bisikan-bisikan hati Intan Maizura yang... sebenarnya, sungguh ironi. Oleh kerana babak kecurangan Akmal ini hanya diceritakan menerusi perspektif Intan Maizura (dan juga Hasan), maka hanya Akmal yang dipersalahkan dan diburukkan dalam hal ini. Intan Maizura terlalu buta hati untuk melihat peristiwa itu sebagai hukum karma yang menimpa dirinya akibat perbuatan sendiri. Intan Maizura langsung tidak menginsafi bahawa dirinya sendiri juga adalah isteri orang yang berlaku curang terhadap suami sendiri – seolah-olah perbuatannya berkasih dengan Hasan di belakang suaminya adalah sesuatu yang dibolehkan. Sesungguhnya, tiada satu ayat pun dalam novel ini yang menyebut bahawa perbuatan Intan Maizura sendiri selama ini adalah suatu kecurangan yang tidak patut dipandang ringan. Nyata penulis sememangnya memberi peluang kepada para pembaca untuk menilai sendiri peristiwa tersebut. 

Ketika Intan Maizura patah hati akibat perbuatan Akmal, dia telah mengadu kepada Hasan tentang hal tersebut. Hasrat Hasan untuk memiliki Intan Maizura kembali menggunung selepas itu. Dia yakin dia tidak akan mempersiakan wanita itu sebagaimana dilakukan Akmal. Hasan tidak dapat membayangkan bagaimana Akmal sanggup mencurangi Intan Maizura yang sempurna itu. Baginya Akmal memang lelaki tidak tahu diuntung. Kini Hasan cuma menunggu masa agar Intan Maizura bercerai dengan Akmal supaya dia dapat mengahwininya selepas itu. Bagi Hasan, inilah detik baginya menyulam cinta kedua. Jelas, takrifan cinta kedua bagi Hasan ialah bercinta semula dengan kekasih pertama untuk kali yang kedua 😏.

Malang bagi mereka, Akmal enggan melepaskan Intan Maizura. Dia mahu Intan Maizura kekal sebagai isterinya supaya kedua anak mereka tidak ketandusan kasih sayang serta menerima didikan sempurna daripada ibu bapa kandung mereka. Malah ketika Hasan cuba meyakinkannya untuk terus berusaha membebaskan diri daripada Akmal, Intan Maizura sendiri agak kurang yakin kerana baginya kepentingan anak-anak adalah yang paling utama. Dia sendiri tidak mahu memutuskan kasih sayang yang anak-anaknya terima daripada Akmal selama ini.

Sementara itu, usaha Hasan untuk berbakti kepada penduduk Kampung Bertam semakin menunjukkan hasil yang positif. Langkah pertama Hasan ialah meminta bantuan sahabatnya Nizam yang merupakan seorang wartawan akhbar agar menyiarkan tentang kedaifan Kampung Bertam di akhbar. Perkara tersebut telah menggertak wakil rakyat di situ tentang kelalaiannya menjaga kebajikan rakyat yang telah mengundinya pada pilihanraya selama ini. Kerana terasa malu dengan pendedahan tersebut, barulah wakil rakyat itu mula memikirkan cara untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk Kampung Bertam.

Dalam masa yang sama, Hasan telah berjaya mendapatkan tender bagi membekalkan komputer ke pejabat-pejabat kerajaan kepada syarikat milik Jasmin. Bagaimanapun, bantuannya kepada Jasmin bukanlah percuma: Hasan telah meminta Jasmin menyerahkan RM 20,000 kepadanya sebagai ganti mendapatkan tender tersebut untuknya. Wang sebanyak RM 20,000 bukanlah untuk dirinya sendiri, sebaliknya Hasan menyalurkan bantuan tersebut untuk projek pembaikan masjid dan sekolah di Kampung Bertam. Katanya kepada penduduk kampung, duit RM 20,000 itu adalah sumbangan Jasmin sendiri sedangkan gadis itu tidak tahu-menahu langsung akan rancangan tersebut.

Hasan dan Jasmin mula mengenali hati budi masing-masing sejak Hasan mula berusaha memastikan tender itu jatuh ke tangan syarikat Jasmin. Pada awalnya, Hasan hanya menganggap Jasmin sebagai gadis yang suka mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Tetapi setelah mula mengenali Jasmin dengan lebih mendalam, dia mula kagum dengan sikap Jasmin yang positif, bijak, kuat semangat dan sangat bersungguh-sungguh memperjuangkan syarikatnya yang hampir muflis itu demi menjaga nama baik keluarga. Ketika inilah Hasan sudah mula bermuhasabah diri; kenapa isteri orang juga yang dikejarnya? Kenapa berdegil mahukan orang yang hampir mustahil dimiliki, sedangkan yang di depan mata pun bukannya tidak sempurna? Hati Hasan mula terbuka sedikit demi sedikit.

Sementara itu, Jasmin sebenarnya telah ditunangkan dengan sepupunya sendiri Azmir yang menjadi pilihan ibunya. Namun baginya Azmir tidak matang dan dilihat enggan berkongsi kesusahan hidup dengannya. Ketika Jasmin sibuk berusaha untuk mendapatkan tender kerajaan bagi membantu syarikatnya, Azmir tidak berusaha membantunya. Jasmin selalu berfikir sendiri, adalah ini bakal suami yang diingininya? Adakah Azmir itu boleh diharap menjadi pelindungnya dan teman hidupnya ketika susah dan senang setelah mereka berkahwin nanti? Perasaan Jasmin terhadap Hasan tidak dinyatakan dengan jelas dalam novel ini. Jasmin masih menyoal hatinya tentang Azmir, tetapi dalam masa yang sama dia juga kelihatan ikhlas dan selesa untuk terus berkawan dengan Hasan. Walaupun telah berjaya mendapat tender tersebut, dia masih mengekalkan hubungan baik dengan Hasan.

Dalam bab terakhir novel ini, nyata hubungan Hasan dan Jasmin sebenarnya sudah semakin intim. Mereka sudah boleh bergurau manja, tidak lagi dibataskan oleh hubungan asal mereka yang asalnya hanya berlandaskan kerja sahaja. Malah Hasan juga sudah semakin rajin bertemu dengan Jasmin, sama ada untuk makan bersama mahupun bermain tenis. Pembaca sudah semakin diyakinkan bahawa Hasan akan menemui cinta kedua yang sebenarnya menerusi Jasmin. 

Tiba-tiba, dalam dua halaman terakhir, Intan Maizura muncul lagi! Dia menelefon Hasan di rumah dan dengan riang memberitahu bahawa dia akan ke Los Angeles bersama Akmal untuk menghiburkan anak-anaknya di taman tema Disneyland. Kata Intan Maizura, dia tetap bersama Akmal demi anak-anaknya. Selepas perbualan tersebut, kekecewaan bertandang di hati Hasan. Dia nyata kecewa kerana terasa ditinggalkan oleh Intan Maizura yang dikasihi. Selepas itu dia mula bermonolog sendiri, apakah yang dicarinya dalam hidup ini? Adakah ingin terus mengharap kasih Intan Maizura? Kisah ini tamat dalam monolog Hasan yang tiada kesimpulannya.

Ketika pembacaan aku tiba ke penamat novel ini, pada awalnya aku berasa agak tertipu dan berfikir, “Penat aku baca lebih 150 halaman, rupa-rupanya tidak ada apa-apa yang berlaku pun” memandangkan persoalan yang bermain di fikiran Hasan sama sahaja seperti di awal novel. Masih tidak mampu melupakan Intan Maizura. Kebanyakan watak juga masih dengan kehidupan yang sama. Intan Maizura terus berlaku curang terhadap suaminya kerana masih lagi menghubungi Hasan. Datuk Sudin masih selamat menjalani kehidupan beristeri dua tanpa pengetahuan Datin Sakinah. Status Jasmin dan Azmir masih lagi sebagai tunangan meskipun hubungan mereka sudah keruh. Mungkin sahaja yang mendapat habuan dan kehidupan bertambah baik cumalah watak-watak sampingan iaitu masyarakat di Kampung Bertam.

Sebagaimana yang aku sebut di awal tadi, novel Cinta Kedua mungkin adalah wadah bagi sang penulis menyindir kepincangan dalam masyarakat kita. Aku akui, sikap kesemua watak dalam novel ini adalah suatu realiti. Dalam kehidupan aku yang sudah melebihi 30 tahun ini, aku sudah melihat kesemua ragam manusia sepertimana yang dipaparkan dalam Cinta Kedua. Setakat ini hanya satu situasi sahaja yang aku masih belum temui, iaitu anak-anak kecil yang gembira melihat ibunya bermesra dengan lelaki lain yang bukan bapa mereka – sebagaimana sikap yang ditunjuki oleh anak kembar Intan Maizura.

Bila difikir-fikirkan lagi, sebenarnya pengakhiran novel Cinta Kedua yang tergantung itu agak unik juga. Menjadi kebiasaan dalam semua novel, di mana plot penceritaannya bermula dengan pengenalan (latar, watak dan lain-lain), disusuli perkembangan cerita / konflik dan konflik itu menjadi bertambah kompleks sehingga mencapai kemuncak cerita tersebut. Selepas itu, konflik akan diselesaikan sebelum sesebuah cerita itu tamat. Tetapi tidak bagi Cinta Kedua. Konflik utama dalam novel ini sebenarnya tidak diselesaikan hingga ke akhirnya. Konflik dalam novel ini ibarat simpulan-simpulan tali; ada simpulan yang berjaya dilonggarkan tetapi masih banyak yang belum berjaya dileraikan. Mungkin sahaja, inilah perumpamaan hidup manusia. Selagi masih hidup di dunia ini, selagi itulah kita akan bertembung dengan pelbagai ragam manusia, untuk menguji diri barangkali. Kisah kita akan tamat hanya setelah tamatnya riwayat hidup kita nanti.

SENATOR ADILA

Adila ialah cucu kesayangan ahli korporat berjaya iaitu Datuk Fahmi yang juga merupakan pengasas Parti Negara Tercinta. Datuk Fahmi bercita-cita tinggi; dia ingin melihat kekayaan yang diusahakannya selama ini diwarisi pula oleh anak cucu keturunannya. Dia juga ingin melihat anak cucunya meneruskan impiannya untuk berjaya dalam bidang politik; lebih baik jika mendapat kerusi menteri. Nyata Adila yang menepati ciri-ciri sebagai pewarisnya yang sejati berbanding cucu-cucunya yang lain.

Adila bijak menguruskan hal perniagaan syarikat datuknya, dan berjaya juga dalam bidang politik. Ini kerana Adila pernah menjadi pelakon teater dan banyak terlibat dalam aktiviti kebajikan, oleh itu popularitinya agak tinggi sehingga membolehkannya mudah mendapat tempat sebagai ahli politik. Tidak lama selepas itu Adila juga terpilih menjadi Senator di Dewan Negara. Ramai yang mula iri hati dengan kejayaan Adila, kononnya dia berjaya sebegitu jauh dalam politik adalah kerana dia bekas selebriti yang cantik, tambahan pula dengan kuota wanita yang kurang di arena politik membuat namanya cepat naik kerana tiada saingan. Adila sebenarnya tidak inginkan semua itu. Dia hanya menjalankan kehendak datuknya.

Sementara itu, perkahwinan Adila dengan sepupunya sendiri Lokman juga diatur oleh Datuk Fahmi. Ini kerana Datuk Fahmi juga mahu harta kekayaannya hanya beredar dalam kalangan anak cucu keturunannya sahaja. Sedangkan Adila sebenarnya sudah lama berkasihan dengan Nasir, rakan baiknya ketika di universiti dahulu yang turut terlibat dalam bidang teater bersamanya. Datuk Fahmi tidak sukakan Nasir keturunan orang marhaen. Namun begitu, ibu Adila sebenarnya berkenan sungguh pada Nasir (bapa Adila sudah meninggal dunia dan dia dibesarkan oleh Datuk Fahmi).

Akibat daripada perkahwinan yang diatur ini – dalam keadaan memisahkan pasangan saling mencintai iaitu Adila dan Nasir – maka wujudlah kecurangan, di mana Adila dan Nasir masih lagi berhubung melalui telefon sebagai cara meneruskan hubungan mereka. Tetapi berbanding watak Intan Maizura yang menjengkelkan aku dalam novel Cinta Kedua, kecurangan Adila dalam Senator Adila tidak terlalu menimbulkan kebencian aku. Ini mungkin disebabkan Adila kelihatan lebih profesional dan kurang ‘menggedik’ berbanding Intan Maizura. Layanan Adila terhadap Nasir seperti Nasir itu adalah sahabat baiknya dan bukan kekasih.

Tambahan pula suami Adila iaitu Lokman itu sendiri mempunyai perwatakan menjelikkan dan seolah-olah tidak ikhlas terhadap Adila berbanding watak Akmal dalam Cinta Kedua. Lokman, pada pandangan aku, tidak ikhlas menikahi Adila dan tidak layak pun mendapat Adila sebagai isteri. Baginya perkahwinannya dengan Adila ialah “wedding of convenience”. Dia berharap kasih sayang dan segala harta Datuk Fahmi akan tempias kepadanya kerana Adila cucu kesayangan Datuk Fahmi. Harapan awalnya adalah ingin menumpang populariti Adila, dengan harapan dia juga mendapat tempias pangkat dan jawatan dalam politik sebagai suami Adila. Malah Lokman juga mempunyai skandal seks dengan seorang jururawat bernama Ramzah yang sudah berlangsung selama bertahun-tahun.

Sementara itu Ramzah sebenarnya sedar apa yang dilakukannya salah; dia bukan sahaja menyerahkan diri kepada lelaki yang bukan suaminya, bahkan lelaki itu suami orang yang sudah punya dua orang anak. Tetapi dia rasakan segalanya sudah terlewat. Hatinya bagai sudah terpaut mati, tambahan pula dia tidak yakin sama ada masih ada lelaki lain yang sanggup menikahi dirinya yang sudah menjadi sisa orang. Oleh itu dia terus-menerus berharap Lokman akan menikahinya jua, malah menyatakan kesediaannya untuk hidup bermadu.

Akhirnya pada suatu hari Lokman membawa Ramzah ke selatan Thailand dan melangsungkan pernikahan mereka secara diam-diam. Pembahagian masa untuk bertemu dengan Ramzah tiada masalah bagi Lokman memandangkan selama ini pun dia sudah selalu sibuk dengan kerjayanya; alasan kerjaya sering digunakan untuk curi-curi bertemu Ramzah.

Nasib Lokman tidak begitu baik memandangkan dia adalah suami kepada Adila yang merupakan tokoh masyarakat yang menjadi perhatian ramai. Pada suatu hari tembelangnya pecah apabila ada pihak yang telah menghidu perbuatan curangnya dan telah melaporkan hal tersebut di akhbar. Kecoh apabila suami kepada Senator Adila berlaku curang dan memadukannya.

Adila tidak emosional menghadapi dugaan ini; walaupun terluka tetapi dia sedar perkahwinan antaranya dan Lokman hanyalah kerana permintaan keluarga dan sememangnya bukan didasari oleh perasaan cinta. Adila nekad memohon cerai daripada Lokman. Baginya, walaupun Lokman bukan suaminya lagi tetapi mereka tetap ada hubungan darah kerana mereka adalah sepupu dan sama-sama merupakan cucu kepada Datuk Fahmi. Oleh itu tidak timbul halangan dari sudut penjagaan anak-anak.

Setelah menceraikan Adila, hidup Lokman dengan Ramzah bukanlah bahagia sangat. Walaupun Ramzah menjadi isteri yang baik terhadapnya, Lokman tetap terasa hambar dan tawar. Setiap kali dia bertemu anak-anaknya dengan Adila dia mengambil kesempatan untuk melihat keadaan bekas isterinya itu. Malah dia masih berasa cemburu kalau-kalau Adila sudah mempunyai teman baru. Adila pula tenang sahaja meneruskan kehidupannya, apatah lagi kesibukan dirinya sebagai tokoh korporat dan politik agak membantu dia untuk melupakan masalah peribadi yang menyesakkan itu.

Dalam pada itu, Nasir yang tidak pernah berhenti berharap tentang hubungannya dengan Adila mula mengharapkan sinar baru dalam percintaan mereka. Adila juga masih menyayangi Nasir, tetapi trauma akibat dicurangi oleh Lokman itu menjadikan Adila agak lengah terhadap keputusan untuk menikahi Nasir. Dia juga mahu Nasir tahu tentang kehidupannya yang sebenar; sentiasa sibuk dengan urusan kerja dan kerap meninggalkan keluarga. Ini bagi mengelakkan sebarang ketidakpuasan hati jika mereka menjadi suami isteri nanti.

Adila terus berbolak-balik tentang cadangan untuk menikahi Nasir. Bagaimanapun Adila ada menjemput Nasir ke rumahnya sekali-sekala untuk berjinak-jinak dengan Datuk Fahmi, dengan harapan Datuk Fahmi dapat membuka hatinya untuk menerima Nasir sebagai ahli keluarga mereka yang baru. Nasir kini adalah seorang usahawan yang berjaya, bukan seperti dirinya yang mula-mula dulu. Kesungguhan Nasir berusaha merubah hidupnya sehingga mempunyai syarikat perniagaan yang hebat telah mengagumkan Datuk Fahmi. Malah ketika itulah Datuk Fahmi dapat melihat betapa bagusnya Nasir sebenarnya berbanding Lokman yang bodoh sombong, tidak cukup berusaha untuk mengubah nasib diri dan hanya sekadar menunggu disuap dengan segala kemewahan. Akhirnya Datuk Fahmi sendiri yang terbuka hati dan meminta Nasir untuk mengahwini Adila.

Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Jangka Atribut oleh Clay