Susuk oleh Nizam Zakaria
Susuk
Oleh Nizam Zakaria
299 halaman
Diterbitkan oleh Marshall Cavendish (Malaysia) Sdn. Bhd. (2007)
Novel ini merupakan adaptasi daripada sebuah filem dengan judul yang sama. Aku sendiri tidak pernah menonton filem Susuk. Tetapi aku pernah membaca reviu filem tersebut dan mendapati kemungkinan terdapat perbezaan antara novel ini dengan filem asalnya.
Novel Susuk mengisahkan Soraya, gadis kampung yang baru berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai jururawat pelatih. Soraya memang gemar menyanyi dan pernah menyanyikan lagu istimewa untuk para pesakitnya di wad. Ketika zaman persekolahannya dahulu dia mempunyai keinginan menjadi penyanyi kerana gaya hidup yang glamor selain mengangankan pendapatan lumayan yang boleh digunakannya untuk menyara hidup ibu di kampung.
Dalam 100 halaman pertama, plot novel ini bergerak perlahan dan hambar. Soraya sentiasa disibukkan dengan aktiviti hariannya sebagai seorang jururawat pelatih dan menjalani kehidupan yang rutin lagi membosankan. Paling buat aku meluat ialah kisah sampingan mengenai konflik rumahtangga kakak Soraya iaitu Sofia. Drama rumahtangga Sofia yang sepatutnya hanya sampingan seolah-olah menjadi plot utama sehingga menenggelamkan kisah impian Soraya mahu menjadi selebriti.
Aku lebih tertarik membaca babak berkaitan Dewangga yang diselang-selikan dengan kisah Soraya. Dewangga seorang dukun yang telah hidup lebih seribu tahun lamanya. Dia telah pun wujud pada abad ke-9 Masihi dan umurnya yang sebenar mungkin setua Candi Borobudur. Dia memang bercita-cita mahu hidup kekal abadi sehingga sanggup membunuh gurunya sendiri yang telah menurunkan pelbagai ilmu sakti kepadanya.
***AWAS!! SPOILER SELEPAS INI!!!***
Selepas membunuh gurunya dan mencuri semangat gurunya itu, Dewangga berjaya hidup melepasi garisan waktu tanpa sedikit pun kesan dimamah usia. Malah dengan umurnya yang panjang itu, dia dapat hidup merentasi zaman dan mempunyai banyak peluang untuk mengkaji kitab-kitab ilmu mistik lama yang boleh menambahkan ilmu pengetahuannya. Dewangga hidup berpindah-randah agar tidak menimbulkan masalah pengenalan identiti kelak. Dia hidup di zaman pemerintahan Kerajaan Majapahit dan pernah bersemuka dengan Raja Hayam Wuruk serta Patih Gajah Mada. Dia pernah menjadi saksi kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka dan kemudiannya zaman kejatuhan empayar agung itu. Dia juga melihat sendiri rantau nusantara bertukar tangan daripada satu penjajah ke penjajah yang lain.
Ketika di era penjajahan Jepun sekitar tahun 1940-an, Dewangga bertemu dengan seorang wanita bernama Fatimah yang bekerja sebagai penari kabaret di Singapura. Dewangga yang mampu menilik untung nasib seseorang, dapat melihat bahawa wanita itu mempunyai ciri individu yang boleh membantunya dalam upacara pemasangan Susuk Keramat. Upacara Susuk Keramat itu nampaknya merupakan impian terbesar Dewangga yang sudah lama ingin dia sempurnakan.
Penjelasan dalam novel ini tentang apa itu Susuk Keramat, bagi aku, masih tidak cukup terperinci kerana aku mengalami kesukaran untuk memahaminya. Mengikut kefahaman aku, Susuk Keramat merupakan susuk tingkatan tertinggi yang wujud. Susuk Keramat kononnya bukan setakat menjadikan pemakainya cantik, malah dikatakan boleh menjadikan pemakainya bagaikan dewa. Sebelum ini hanya golongan istana sahaja yang pernah memakai susuk jenis ini. Ritual Susuk Keramat ini hanya boleh dilakukan oleh orang tertentu sahaja dan pada waktu tertentu sahaja, iaitu ketika kesemua planet dan bintang berada dalam kedudukan selari. Kononnya pengamal Susuk Keramat ini akan menyerap semangat kehidupan orang di sekelilingnya dan itulah yang menjadikan dirinya mampu hidup lama.
Pada tahun 1962, Fatimah yang gila glamor dan mahu mencipta nama sebagai bintang di Studio Jalan Ampas sebaris primadona yang lain, tekad mahu Dewangga memakaikan Susuk Keramat kepadanya. Dewangga juga sudah membuat percaturan bahawa tahun itu merupakan tahun terbaik kerana terdapat suatu malam yang mana kedudukan planet dan bintang adalah menepati keperluannya.
Bagaimanapun, upacara pemakaian susuk itu telah diganggu oleh anak angkat Fatimah iaitu Effendi. Effendi merayu Dewangga agar tidak menggunakan ibu angkatnya dalam upacara tersebut. Dia tahu ritual tersebut akan memberi akibat yang buruk kepada Fatimah yang amat dikasihinya.
Kini, apa yang mengelirukan aku dalam novel ini ialah siapakah yang Dewangga maksudkan untuk memakaikan Susuk Keramat itu? Adakah untuk dirinya sendiri atau benar-benar untuk Fatimah? Jika Susuk Keramat itu adalah untuk Fatimah, mengapakah Effendi yakin ia akan memberi kesan buruk kepada Fatimah? Ataukah sebenarnya Fatimah hanyalah boneka yang bakal dipergunakan oleh Dewangga agar dirinya sendiri dapat terus hidup lama?
Effendi – yang juga mempunyai sedikit ilmu perbomohan – terus merayu kepada Dewangga agar melepaskan Fatimah pergi. Effendi memujuk Dewangga dengan menyatakan bahawa dia akan mendapat peluang yang sama 37 tahun lagi; ketika itu susunan planet dan bintang di langit juga adalah sesuai untuk ritual Susuk Keramat. Akhirnya Dewangga bersetuju melepaskan Fatimah pergi – tetapi Fatimah hilang ingatannya terhadap Dewangga dan Effendi dan terus hidup sebagai orang biasa sahaja. Manakala Effendi pula terpaksa berkhidmat dengan Dewangga sebagai hambanya dalam tempoh 37 tahun itu.
37 tahun kemudian, Effendi telah didatangi oleh Soraya yang mahu mengenakan susuk agar orang lebih terpesona ketika dia menyanyi. Dewangga yang memerhatikan gerak-geri Effendi setiap waktu, terus mengenalpasti bahawa Sorayalah orangnya yang akan menjayakan upacara Susuk Keramatnya nanti.
Selepas itu plot novel ini tiba-tiba bergerak pantas sehingga perkenalan antara Soraya dengan Dewangga serta perhubungan mereka tidak sempat untuk berkembang dengan meyakinkan. Dewangga dengan mudah memasukkan hasutan-hasutan ke dalam minda Soraya sehingga Soraya menjadi seolah-olah dipukau dan mengikut apa sahaja kemahuan Dewangga. Jika Dewangga mahu Soraya ke suatu tempat, ke situlah dia akan pergi tanpa banyak soal dan tanpa dapat mengawal gerak-geri sendiri. Senang cerita, Soraya sudah menjadi boneka.
Penamat novel ini memaparkan impian Dewangga yang akhirnya tercapai jua. Ritual Susuk Keramatnya berjaya dilakukan dengan menggunakan Soraya yang kelihatan sudah tidak dapat berfikir secara waras lagi selepas itu.
***
Pada pandangan aku, banyak halaman novel ini terbazir oleh kisah drama rumahtangga kakak Soraya, Sofia, yang langsung tidak signifikan dan tidak membantu perjalanan cerita. Soraya terlalu disibukkan dengan kisah kakaknya itu sehingga aku tidak dapat melihat dirinya sebagai seorang yang benar-benar mencintai dunia nyanyian dan mahu menjadi terkenal. Personaliti Soraya yang sepatutnya mengimpikan kehidupan glamor itu langsung tidak terserlah dan tidak dapat dikembangkan sebaiknya kerana telah dipesongkan oleh drama rumahtangga Sofia.
Soraya dipaparkan sebagai gadis yang sederhana dan pasrah dengan kehidupan sendiri. Dia tidak pernah sibuk berbelanja untuk bergaya cantik dan glamor. Pakaian glamor yang digunakan untuk ujibakat nyanyian pun dipinjam daripada teman serumahnya. Soraya tidak pernah sibuk untuk mencantikkan diri dengan solekan mahupun rawatan spa. Dia tidak kisah menaiki kenderaan awam untuk ke sana sini. Malah dia memarahi teman lelakinya sekiranya jejaka itu mahu berbelanja lebih demi dirinya.
Soraya juga nampak tidak begitu bersungguh untuk menceburi dunia nyanyian. Halangan yang sedikit sahaja terus melunturkan semangatnya seolah-olah dia tidak kisah pun jika impian itu tak kesampaian. Kalau betul-betul mahu, sepatutnya Soraya sanggup buat apa sahaja asalkan impiannya terlaksana. Sepatutnya sejak awal lagi Soraya sudah mengintai peluang menjadi penyanyi di Kuala Lumpur. Tetapi tidak! Soraya sekadar menyanyi buat para pesakitnya yang meminta dia menyanyi di hospital. Kalau diikutkan novel ini, melalak di pusat karaoke pun Soraya tidak pernah! Jadi aku benar-benar tidak nampak keinginan dan kesungguhan Soraya mahu menjadi bintang itu. Malah niat asalnya menjadi penyanyi yang kaya-raya ialah kerana mahu ibunya hidup senang. Malangnya ibu Soraya sudah pun meninggal dunia, menjadikan salah satu motifnya untuk terus mengejar cita-cita itu semacam tidak berguna lagi.
Selain itu, perkenalan serta hubungan antara Soraya dan Dewangga juga tidak cukup berkembang. Segalanya berlaku dengan pantas dan tiba-tiba. Tidak seperti hubungan antara Dewangga dengan Fatimah yang lebih meyakinkan. Soraya tiba-tiba sahaja mengiyakan hasutan Dewangga bahawa dia ingin menjadi bintang terkenal, sedangkan selama ini dia kelihatan akur sahaja dengan kehidupannya yang sungguh hambar itu.
Comments
Post a Comment