Puteri Karla oleh Julia Esqa

Puteri Karla

Oleh Julia Esqa

452 halaman

Diterbitkan oleh Fajar Pakeer Sdn. Bhd. (2011)

Perasaan aku bagaikan ‘roller-coaster’ ketika membaca novel ini. Ramai watak dalam novel Puteri Karla mempunyai hati yang mudah berbolak-balik sehingga aku sebagai pembaca pun berbolak-balik hati mengenai penilaian aku terhadap perwatakan mereka. Ada yang aku kurang suka personaliti dia tetapi lama-kelamaan agak menarik hati. Namun disebabkan tindak-tanduk mereka yang ‘slack’ di peringkat awal-awal novel ini maka aku tak dapat membawa hati ini untuk menyukai watak tersebut. Watak yang aku agak senangi sedari awal kisah pula, mula ‘buat hal’ selepas dua pertiga cerita. Akhirnya aku ambil keputusan untuk menjadi 'emotionally distant' terhadap kesemua watak novel ini.

Plot novel ini sebenarnya sangat menarik kerana lari daripada plot kebiasaan kebanyakan novel-novel Melayu. Bagaimanapun ketiadaan watak yang membuat aku jatuh hati maka aku kurang ‘enjoy’ pembacaannya. Malah kalau ditanya pandangan aku, aku merasakan bahawa ‘hero’ yang sebenar dalam kisah ini bukanlah Puteri Karla. Sebaliknya watak penyelamat tersebut hanya muncul pada halaman ke-377!

Pada pandangan aku juga novel ini bukan novel bergenre fantasi romantik sebaliknya lebih kepada genre fantasi dengan unsur noir. Mungkin juga sesuai jika diberikan tajuk ‘Tangisan Bumi Laikra’ atau seumpamanya 😅 ... kerana ia mengisahkan tragedi malang yang menimpa keluarga diraja kerajaan Laikra.

Tanah Laikra yang suatu ketika dahulu subur dan makmur, kini menjadi semakin gersang hari demi hari. Malah kawasan hutan Laikra yang menjadi sumber rezeki rakyat jelata di situ tiba-tiba pula dicerobohi oleh makhluk-makhluk aneh yang ganas dan menakutkan orang ramai. Raja Ossam, pemerintah kerajaan Laikra sungguh galau akan keadaan tersebut kerana berkemungkinan akan menjejaskan kualiti hidup rakyatnya.

Gusar, Raja Ossam akhirnya mengambil keputusan untuk bersahabat dengan kerajaan Hallas yang gagah perkasa dengan harapan kerajaan Hallas akan membantu kerajaan Laikra sekiranya ada kejadian buruk yang menimpa. Raja Ossam dan Permaisuri Dara mempertaruhkan puteri tunggal mereka, Puteri Karla dalam membina hubungan yang lebih baik dengan kerajaan Hallas: mereka berniat mengahwinkan Puteri Karla dengan Putera Mahkota kerajaan Hallas iaitu Putera Alex.

Bagaimanapun, semasa majlis perkenalan kedua-dua keluarga diraja, Raja Kalendra dan Permaisuri Fiona dari Hallas tidak membawa Putera Alex bersama-sama. Hanya adinda Putera Alex iaitu Putera Edwin yang dibawa bersama ketika lawatan ke tanah Laikra tersebut.

Puteri Karla yang kecewa kerana dijodohkan dengan seseorang yang bukan pilihan hatinya, nekad memberontak. Tambahan pula Putera Edwin yang disangka bakal suaminya itu langsung tidak menepati citarasanya. Putera Edwin dilihatnya seorang lelaki yang lembik, kurang kacak, pendek, malah putera itu kelihatan mesra dengan dua pupu Puteri Karla iaitu Puteri Mandisa. Puteri Karla tidak sanggup berkorban demi kerajaan Laikra jika ia melibatkan soal hati dan masa depannya.

Pada suatu malam, Puteri Karla nekad melarikan diri daripada istana. Niatnya bukanlah untuk melarikan diri selama-lamanya, tetapi sekadar untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan ayahanda dan bondanya sahaja. Namun tindakan memberontaknya itu telah membawa dirinya berhadapan dengan sesuatu yang jauh lebih menakutkan berbanding perlu berkahwin dengan lelaki bukan pilihan hati.

***AWAS!!! SPOILER DI HADAPAN!!!***

Ketika berada di dalam hutan Laikra, Puteri Karla telah bertemu dengan seorang tua bernama Tuan Eldon. Rupa-rupanya Tuan Eldon adalah bekas panglima tentera kerajaan Laikra semasa zaman pemerintahan mendiang datuknya dahulu iaitu Raja Oswald. Tuan Eldon sebenarnya sudah lama menantikan saat bertemu dengan Puteri Karla, iaitu bakal pewaris kerajaan Laikra. Tuan Eldon telah diamanahkan untuk memberitahu puteri tersebut mengenai kemusnahan alam yang kini sedang menimpa Laikra secara berdikit-dikit.

Menurutnya, kejadian aneh yang berlaku di hutan Laikra sekarang merupakan angkara ahli sihir bernama Cassondra yang bersengketa dengan Raja Oswald dahulu. Walaupun Raja Oswald dahulu seorang pahlawan yang handal, namun Cassondra bijak menggunakan taktik serangan psikologi yang membuatkan Raja Oswald tidak sampai hati membunuhnya. Akhirnya Cassondra dapat hidup sehingga kini dan mula membuat kacau di Laikra selepas kemangkatan Raja Oswald.

Selepas kemangkatannya, Raja Oswald bukan sahaja mewariskan pedang saktinya, Pedang Neva kepada Puteri Karla, tetapi juga mengamanahkan agar Puteri Karla membunuh Cassondra sebagai penyelesaian kepada masalah yang sedang melanda Laikra sekarang. Hanya pewaris pedang Neva sahaja yang boleh menjalankan tanggungjawab tersebut, kerana pedang itu sahaja yang boleh digunakan untuk membunuh Cassondra.

Selepas pertemuan dengan Tuan Eldon, Puteri Karla nekad menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu. Malah demi menjayakan misi berbahaya itu Puteri Karla sanggup memotong rambutnya dan menyapu seluruh tubuhnya dengan kulit kayu yang membuatkan wajahnya menjadi hitam legam sebagai taktik penyamaran.

Sementara itu, berita kehilangan Puteri Karla telah sampai ke pengetahuan pihak kerajaan Hallas jua. Putera Alex nekad meninggalkan istana demi menjejaki tunangannya itu dan menyelamatkannya sekiranya Puteri Karla berada dalam bahaya. Namun Putera Alex telah pergi bersendirian dan tidak membawa para tentera Hallas yang handal-handal. Putera itu nekad menyamar sebagai seorang pemburu biasa sahaja.

Hari berganti minggu, akhirnya Putera Alex bertemu dengan Puteri Karla. Memandangkan mereka tidak pernah bertemu mata sebelum ini, maka mereka tidak mengecam antara satu sama lain. Putera Alex menyangka gadis yang ditemui di dalam hutan Laikra itu hanyalah gadis kampung yang hodoh lagi hitam-legam, manakala Puteri Karla pula menyangka Putera Alex adalah pemburu biasa sahaja. Namun agaknya kerana jodoh di antara mereka kuat, maka mereka telah tertarik antara satu sama lain. Puteri Karla terpikat kepada ‘pemburu’ yang memperkenalkan dirinya sebagai Alex itu kerana lelaki itu bukan sahaja tampan tetapi gagah perkasa dan bersifat pelindung. Manakala Putera Alex terpikat kepada si ‘gadis hitam’ yang memperkenalkan diri sebagai Ros itu kerana dia kagum dengan semangat serikandi yang ada pada gadis itu. Putera Alex nekad membantu ‘Ros’ dalam misinya membunuh Cassondra.

Malang buat mereka, Cassondra yang sememangnya bijak menggunakan tipu daya telah menciptakan sebuah alam sihir yang indah dihiasi istana mewah, dipenuhi jamuan yang enak serta kecantikan alam bak syurgawi untuk memerangkap mereka. Puteri Karla dan Putera Alex termasuk ke dalam dunia ilusi tersebut dan terus melupakan segala-galanya. Mereka terperangkap di alam tersebut kerana sudah terpedaya dengan keindahan alam fantasi tersebut. Kedua-duanya terus terlupa akan misi mereka, sebaliknya terus dilalaikan dengan kehidupan indah di dunia sihir itu. Mereka menyangka mereka sedang hidup bahagia di taman syurga dan tidak ingin kembali lagi.

Bulan demi bulan terus berlalu; Puteri Karla dan Putera Alex telah pun berada di alam sihir tersebut selama hampir setahun. Sekiranya mereka tidak berjaya sedar daripada cengkaman sihir itu, mereka berdua akan terus terperangkap di sana dan akan dianggap ‘hilang’ selamanya dari muka bumi ini. Keluarga diraja Laikra dan Hallas sama-sama bimbang tentang apakah sebenarnya yang telah menimpa pewaris takhta kedua-dua kerajaan itu.

Pada suatu hari, kerajaan Laikra telah menerima kunjungan daripada seorang pedagang Arab bernama Dawood. Dawood telah mengambil kesempatan berdakwah kepada Raja Ossam dan Permaisuri Dara sehingga kedua-dua akhirnya tertarik untuk menganut agama Islam. Lama-kelamaan, ajaran Islam telah turut tersebar luas dalam kalangan rakyat jelata di negara Laikra. Penduduk Laikra telah mengamalkan ajaran Islam sebaik mungkin dan hampir setiap malam istana Laikra mengadakan majlis membaca Al-Quran. Akhirnya, sihir Cassondra yang mencengkam tanah Laikra semakin lama semakin beransur lemah.

Puteri Karla dan Putera Alex akhirnya dapat tersedar daripada sihir ilusi yang digunakan oleh Cassondra ke atas mereka setelah sihir itu semakin lemah. Mereka tiba-tiba mendapati dunia syurgawi mereka berubah menjadi buruk lagi busuk; ketika itu barulah mereka sedar bahawa mereka telah terpedaya oleh Cassondra sekian lama. Malah kehilangan mereka daripada istana diraja sudah hampir genap setahun.

Tanpa membuang masa, Puteri Karla dan Putera Alex berganding bahu untuk menewaskan Cassondra. Putera Alex tercedera dalam pertempuran tetapi Puteri Karla akhirnya berjaya membunuh Cassondra menggunakan Pedang Neva. Seusai kematian Cassondra, hutan yang gelap dan kontang akibat sihirnya itu, kembali pulih. Tanah Laikra kembali subur dan indah seperti sebelum terkena sihir Cassondra.

Puteri Karla segera pulang ke istana Laikra untuk mendapatkan rawatan buat Putera Alex. Ketika di istana Laikra barulah identiti mereka terbongkar: Puteri Karla terkejut apabila mendapati lelaki yang menyertai misinya memburu Cassondra itu ternyata adalah tunangannya sendiri. Manakala Putera Alex juga terperanjat atas sebab yang sama. Malah Putera Alex bertambah terperanjat lagi apabila mendapati wajah sebenar Puteri Karla adalah jauh lebih indah daripada wajah comot yang ditemui di dalam hutan itu. Akhirnya Puteri Karla dan Putera Alex selamat dinikahkan.

Dalam halaman terakhir novel ini, Puteri Karla dan Putera Alex telah terdengar sayup-sayup suara-suara aneh di luar istana... seolah-olah bisikan saki-baki sihir Cassondra yang masih ada, barangkali. Begitulah pengakhiran novel ini yang agak mengundang tanda tanya dan mempunyai sedikit aura noir.

Secara keseluruhannya novel ini memang bagus dan lain dari yang lain; perjalanan cerita pun bagus cuma watak-wataknya memang agak kurang memuaskan aku.

Puteri Karla, awalnya memang aku tak berkenan kerana perangai ‘kerek’nya serta hatinya yang tak putus-putus mengutuk Putera Edwin sebagai ‘putera pendek’ (tindakan body-shaming). Kalau dihina Putera Edwin dengan gelaran putera gatal mungkin aku boleh terima lagi. Walaupun aku kagum ketika Puteri Karla akhirnya sanggup berkorban demi Laikra, mengembara dengan wajah hodoh dan langsung tidak ‘control ayu’ ketika berhadapan dengan Putera Alex, tapi aku akhirnya tetap tidak dapat membawa hati ini untuk menyukai wataknya.

Begitu juga dengan Putera Alex. Aku lembut hati ketika dia jatuh hati kepada Puteri Karla ketika puteri itu disangkanya gadis biasa yang hodoh dan tidak mempunyai ciri kewanitaan. Aku tabik apabila Putera Alex sedar bahawa kecantikan dan darjat bukan segala-galanya apabila hati sudah tertarik. Namun hati Putera Alex yang berbolak-balik di awal novel – sehingga nyaris tergoda dengan Puteri Amara – membuatkan aku kurang suka juga kepada watak ini.

Putera Edwin pula, pada awalnya aku agak senang dengan wataknya. Dia tidaklah terlihat sebagai playboy yang digembar-gemburkan sebaliknya seorang pencinta yang romantis. Malah aku sangka dia seorang watak yang mempunyai pendirian kukuh kerana dialah yang meyakinkan Putera Alex agar setia kepada Puteri Karla. Ironinya, cinta Putera Edwin sendiri berbolak-balik dan dengan mudah tertipu jerat Putera Nolan lalu mengahwini Puteri Amara tanpa cuba menjejak ke mana perginya Puteri Mandisa yang dia cintai.

Puteri Mandisa, agaknya watak yang paling suci hatinya dalam novel ini. Malangnya dia seorang watak yang sering bernasib malang dan lemah dianiaya; selogiknya pembaca patut merasa kasih dan kasihan kepadanya – tetapi tidak bagi aku. Kelembaban Puteri Mandisa dalam mencari akal untuk menyelamatkan diri sendiri atau membongkar kejahatan bapa dan kakaknya membuat aku akhirnya meluat kepadanya.

Bagi watak antagonis Puteri Amara pula, sedari awal lagi aku sudah mual dengan perangainya. Walaupun dia terpaksa berkahwin dengan Putera Edwin yang pernah dihina dan langsung tidak dicintai itu, tetapi suatu hari nanti dia tetap bakal menjadi permaisuri kerajaan Hallas yang hebat kerana Putera Alex telah melepaskan kedudukannya sebagai putera mahkota. Helloooooo???!!!! Tiada maaf bagi Puteri Amara tu kerana dialah yang mengkhianati Puteri Mandisa dan merampas Putera Edwin daripada adiknya itu. Balasan yang diterimanya tidak setimpal dengan penganiayaan yang pernah dia lakukan.

BONUS: FANTASY CAST

Akhir kata, walaupun aku tidak ada watak 'favourite' daripada novel ini, aku saja nak berkongsi sedikit bayangan imaginasi aku tentang wajah watak-watak novel ini.


Putera Alex

Putera Edwin

Panglima Agus, panglima tentera kerajaan Laikra

Harap para pembaca dapat 'cuci mata' menghilangkan stress dengan pilihan aku ni. Semua imej diambil dari internet secara rambang dan aku tidak memilik hak cipta terhadap semua gambar tersebut. Sekian ^_^






Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Jangka Atribut oleh Clay