Langsir Biji Remia oleh Noor Suraya

Langsir Biji Remia

Oleh Noor Suraya

263 halaman

Terbitan JS Adiwarna Sdn. Bhd. (2011)

Noor Suraya sudah lama berkarya, namun inilah hasil tulisan beliau yang pertama sekali aku pernah baca. Ternyata reputasi beliau yang disebut-sebut selama ini benar belaka: tulisannya menggunakan bahasa yang indah lagi memikat hati. Penggunaan bahasanya ringkas; apa yang paling penting bagi aku ialah karya yang mudah dibaca. Mesej tersirat yang cuba disampaikan oleh penulis jelas semuanya. Penulis banyak membawa persoalan tentang kecintaan terhadap bahasa Melayu, peranan sastera dalam kebudayaan dan kemajuan sesebuah tamadun.

Paling aku suka adalah cara penulis menggambarkan tentang makanan di dalam novel ini – pembaca seolah-olah dapat merasai kesedapan hidangan yang diceritakan itu seperti kita benar-benar sedang menikmatinya! Begitu juga adegan ketika di Tanah Suci Makkah dan Madinah, gaya penceritaannya buat aku terbuai dan berupaya menggamit semula memori sendiri ketika menjejakkan kaki ke sana beberapa tahun sudah.

Langsir Biji Remia kisah Duha Hafa dan Umair yang sudah saling mengenali sejak kecil lagi kerana mereka hidup berjiran. Ketika Duha berusia sepuluh tahun, Umair sudah dalam lingkungan umur akil baligh sekitar 14 tahun – dan dia mula menyedari akan perasaan aneh yang tiba-tiba hadir dalam hatinya terhadap Duha. Umair sukakan Duha kerana dia bukan sahaja seorang yang ramah dan periang, tetapi mempunyai wajah yang indah hasil darah kacukan Melayu-Gujerati yang diwarisi daripada sebelah ibunya. 

Umair dan Duha suka bersembang menerusi jendela bilik masing-masing. Namun persahabatan mereka terhenti di pertengahan jalan apabila mereka berpisah tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal. Ketika Duha pulang ke kampung halaman sebelah ibunya di India, Umair pula terpaksa mengikut keluarganya berpindah kerana bapanya merupakan seorang diplomat yang selalu dihantar bertugas ke luar negara.

Sepuluh tahun berlalu, barulah Umair dan keluarganya kembali ke rumah itu semula. Umair yang baru menamatkan pengajian dari sebuah universiti di New Zealand, rindu untuk bersembang dengan Duha Hafa sekali lagi. Umair yakin perasaannya kepada Duha yang berputik sejak kecil itu, sudah pun berkembang mekar menjadi cinta yang tulus lagi setia. Namun apa yang dilihat jendela bilik Duha sentiasa tertutup kemas, dan langsir warna biji remia (loghat utara – bermaksud warna ungu) di sebalik jendela itu juga langsung tidak terkuak seperti ada sesiapa di sana.

Beberapa lama sekembalinya ke rumah itu barulah Umair terlihat kelibat Duha. Duha kini sudah berubah; dia kini memakai purdah hitam menutup seluruh wajahnya dan sudah tidak ramah seperti dahulu. Malah ketika bertemu semula dengan Umair pun, Duha serius sahaja dan tidak banyak berbicara.

***AWAS!!! SPOILER!!!***

Ada sesuatu yang telah menimpa diri Duha Hafa sehingga dia menjadi takut untuk bersemuka dengan orang ramai. Tiga tahun sudah, Duha terlibat dalam kemalangan api dan lebih separuh wajahnya melecur teruk. Matanya yang indah berjaya diselamatkan, namun tidak sebahagian besar kulit wajahnya. Sejak kemalangan itu Duha mengenakan purdah kerana tidak sanggup menghadapi pandangan orang ramai yang kadangkala takut untuk melihat wajahnya yang buruk. Duha hilang keyakinan diri dan menjadi pendiam serta sukar untuk bergaul dengan orang lain.

Pada suatu hari Umair cuba merisik Duha melalui majikan di mana tempat mereka bekerja sambilan, iaitu Kak Hada dan Kak Ain. Umair yakin dengan perasaannya terhadap Duha dan nekad untuk mengikat tali pertunangan dengan Duha sebelum dia mendapat pekerjaan tetap dan Duha pula meneruskan pengajian dalam semester baru.

Kak Hada sudah tahu perihal Duha dan bimbang kiranya Umair berubah hati selepas melihat wajah sebenar Duha. Sesungguhnya apa yang Umair dapat lihat kini cumalah mata Duha yang masih indah itu, sebaliknya wajah gadis itu keseluruhannya tidak Umair ketahui. Umair hanya membayangkan wajah Duha yang sepatutnya tambah menawan berdasarkan memori lama ketika mereka masih kecil.

Umair, kadang-kadang kita tidak kenal hati kita sendiri, kalau jarak itu terlalu lama. Maksud Kak Hada, sudah sepuluh tahun Umair tidak berkawan dengan Duha. Dia bukan lagi Duha yang Umair kenal dulu barangkali. Dulu tu dia gadis kecil yang periang, cantik dan memikat siapa saja. Tetapi masa telah mengubah semuanya. Mungkin apa yang Umair cari dalam Duha sudah tidak ada lagi. Umair kena kenal dia yang sekarang ini, bukannya bayang-bayang ‘indah dan tertarik’ masa lalu.” (halaman 78)

Namun Umair tetap berdegil. Dia mahu memiliki Duha; dia yakin cintanya terhadap Duha tulus. Setelah Duha mendapat tahu hasrat hati Umair menerusi Kak Ain, Duha nekad menunjukkan wajahnya kepada Umair agar Umair dapat menilai semula keputusannya sama ada benar-benar mahu meneruskan peminangan itu atau tidak.

Nyata, setelah Duha membuka purdahnya untuk ditunjukkan wajahnya yang buruk itu kepada Umair, lelaki itu terperanjat bukan kepalang. Sejak itu Umair tidak menegur Duha lagi malah mengelakkan diri daripada gadis yang kononnya dia sudah cintai sejak sepuluh tahun yang lalu. Kata hati Umair, dia masih mengasihi Duha, namun dia merasa tidak sanggup jika terpaksa menatap wajah buruk tersebut sehingga akhir hayatnya. Umair meminta Duha memberinya masa untuk berfikir lagi tentang masa depan mereka.

Duha redha menerima hakikat jika Umair tidak mahu meneruskan hasrat meminangnya. Duha tidak mengharap pun. Semenjak kebakaran ngeri itu, Duha tidak pernah berharap untuk bernikah dengan sesiapa. Dia sedar tidak mungkin ada lelaki yang sanggup memperisterikan wanita berwajah buruk sepertinya. Cuma Duha agak terkilan kerana Umair seperti menjauhkan diri daripadanya – walau sekadar untuk bersahabat. Seolah-olah wajahnya yang buruk itu turut memusnahkan persahabatan mereka yang terjalin sejak kecil!

Tidak lama selepas itu, Duha berangkat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah bagi menunaikan ibadah umrah bersama bapanya. Duha bimbang kerana terpaksa membuka purdahnya ketika di sana nanti memandangkan wanita diharamkan menutup wajah ketika dalam ihram. Malah Duha juga terpaksa mendedahkan wajah kepada rakan sebiliknya nanti semasa di penginapan.

Dalam perjalanan ke sana, Duha banyak bermuhasabah diri. Dia baru menyedari bahawa dia sepatutnya tidak menutup wajahnya dengan purdah sedari awal lagi. Tujuannya berpurdah adalah kerana hendak menutup wajah yang buruk, tetapi akhirnya disalah sangka oleh orang ramai – termasuk Umair – bahawa dia menutup wajah kerana keimanan di hati. Niatnya berpurdah sejak awal memang bukan kerana iman, sebaliknya kerana menyembunyikan diri. Malah ketika dia masih indah rupawan dahulu, ada perasaan riak di hati setiap kali orang memuji kecantikan wajahnya. Duha nekad membuka tutup mukanya itu sekembali ke Malaysia nanti dan cuba redha serta bersyukur dengan nikmat Allah. Sekurang-kurangnya, nikmat penglihatannya masih dimiliki.

Semasa di Madinah, Duha berkenalan dengan keluarga Haji Amiruddin yang baik hati. Anak perempuan Haji Amiruddin, Faridah Hanin sebilik dengan Duha dan mereka bersahabat baik sepanjang mereka berziarah di Madinah selama tiga hari. Malah bapa Duha, Dr Hud juga bersahabat baik dengan Haji Amiruddin.

Keluarga Haji Amiruddin disertai oleh anak bongsunya yang sedang belajar di Universiti Islam Madinah iaitu Ahmad Muhsin. Haji Amiruddin serta Kak Hanin berkenan dengan budi pekerti Duha dan berhasrat menyatukan Duha dengan Muhsin suatu hari nanti. Walaupun mereka tahu wajah Duha cacat, mereka menerima seadanya kerana akhlak Duha yang indah. Muhsin pula tidak memberikan sebarang respon terhadap hal tersebut kerana dia seorang yang pendiam dan menjaga tingkahlaku.

Duha tidak tentu arah apabila mengetahui hasrat keluarga Haji Amiruddin. Duha yang telah berubah menjadi pesimis selepas peristiwa kemalangan itu, enggan menerima Muhsin sebagai suami. Bagi Duha, kalau Umair yang sudah mengenali hati budinya sejak kecil pun tidak sanggup menerimanya kerana wajah yang buruk itu, inikan pula Muhsin yang baru mengenalinya selama beberapa hari.

Beberapa bulan selepas pulang ke Malaysia, Muhsin bertandang ke rumah Duha untuk bertemu bapa Duha. Muhsin ingin memaklumkan Dr Hud bahawa Haji Amiruddin sudah meninggal dunia. Selain itu, dia juga memberitahu bahawa bapanya benar-benar berkenan menjadikan Duha sebagai menantunya, justeru Muhsin turut datang untuk berbincang hal tersebut. Duha menolak Muhsin mentah-mentah kerana bagi Duha, tiada keikhlasan di pihak Muhsin memandangkan dia hanya ingin menunaikan hasrat arwah bapanya sahaja.

Tanpa ada kata putus tentang hubungan mereka, Muhsin kembali menyambung pengajiannya di Madinah dan Duha meneruskan kehidupannya seperti biasa. Namun sejak itu Duha sentiasa menjadi bahan perlian ahli keluarganya termasuk ibu bapanya sendiri serta kedua orang neneknya: mereka mendakwa Duha tidak reti bersyukur dan menolak rezeki apabila sampai hati menolak pinangan seorang lelaki yang bukan sahaja baik rupanya, malah indah pula akhlaknya. Kedua-dua ibu dan bapa Duha berharap benar kiranya Muhsin itu menjadi menantu mereka.

Namun Duha sebenarnya bercelaru; dia tidak tahu apa yang ada di hatinya sendiri. Adakah dia masih menanti Umair?

Namun Umair yang kini bertugas di Labuan dan sudah lama tidak menghubungi Duha, tiba-tiba sahaja pulang dengan berita pertunangannya dengan seorang gadis yang dikenalinya semasa bertugas di sana. Malah Umair menikahi gadis tersebut beberapa bulan selepas itu. Tamara seorang wanita berdarah kacukan orang putih yang cantik jelita, jauh bezanya dengan Duha yang berwajah buruk itu.

Duha tidak terlalu kecewa dengan berita tersebut kerana dia sudah dapat merasakan bahawa Umair memang tidak dapat menerimanya langsung. Namun peristiwa itu sedikit sebanyak menyebabkan Duha bertambah negatif dan yakin bahawa tiada sesiapa pun yang akan mampu untuk ikhlas mengasihinya melainkan ahli keluarganya sahaja. Duha tidak mengharapkan sebuah perkahwinan pun dalam hidupnya.

Dua tahun kemudian, Muhsin menamatkan pengajian di Madinah dan sudah kembali ke Malaysia. Namun Muhsin masih setia mengharapkan Duha untuk menerima pinangannya. Ahli keluarga Duha mula menekan lagi dan neneknya telah memberitahu Muhsin bahawa Duha perlu dihadapi dengan tegas kerana perasaan negatif dalam dirinya sungguh kuat. Bagi Duha, Muhsin sempurna serba-serbi dan sepatutnya layak mendapat wanita yang jauh lebih baik daripada wanita buruk sepertinya.

Sebenarnya Muhsin sudah membuat solat istikharah selepas mereka bertemu di Madinah dahulu. Sebaik sahaja Haji Amiruddin memaklumkan hasratnya bermenantukan Duha, Muhsin terus menunaikan solat istikharah mencari jawapan daripada Allah. Dan nyata, dia menerima jawapan yang pasti – Duhalah orangnya! Muhsin sendiri tidak tahu sebabnya tetapi dia berasa sejuk hati tatkala melihat wajah Duha walaupun tanpa purdahnya.

Akhirnya Muhsin membuat pengakuan bahawa dia memilih Duha kerana itulah jawapan kepada istikharahnya sebelum ini. Allah yang memberinya petunjuk itu dan membuka hatinya untuk Duha. Muhsin mengasihi Duha kerana Allah dan bukannya sebab-sebab lain. Malah kata Muhsin, kalau dia tidak tertarik kepada Duha, masakan dia sanggup meminang Duha untuk dijadikan isteri!

Duha selalu sahaja melihat kekurangan diri tanpa lihat orang lain pun ada kekurangan juga. Yang Maha Sempurna itu hanya Allah!” (halaman 250)

Sebaik mengungkapkan kata-kata itu, Muhsin menunjukkan tangannya kepada Duha dan Duha dapat melihat sendiri bahawa jari-jemari Muhsin di tangannya itu, ada dua belas semuanya! Muhsin juga tidak sempurna dan ada cacatnya, namun Duha tidak pernah nampak semua itu kerana asyik berfikir tentang kecacatan sendiri.

Serentak itu hati Duha terbuka untuk menerima Muhsin. Duha bertekad mahu menjadi isteri yang terbaik untuk Muhsin. Ketentuan jodoh adalah urusan Allah dan nyata, Duha telah dikurniakan suami yang jauh lebih baik daripada Umair.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Jangka Atribut oleh Clay

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)