Nakalnya Setan Cinta (“Ijiwaru Love ♡ Devil”)

Nakalnya Setan Cinta (tajuk asal “Ijiwaru Love ♡ Devil”)

Karya Nakahara An

189 halaman

Diterbitkan oleh Art Square Creation Sdn. Bhd. (2009)


Jyan adalah daripada spesies setan dan berniat membuat kacau dengan melepaskan aura negatifnya di dunia manusia. Bagi menjayakan misi jahatnya, dia telah menjelmakan diri dalam rupa bentuknya yang mirip manusia, namun malangnya dilanggar lori sebelum sempat berbuat apa-apa. Jasad Jyan mati di tempat kejadian, namun rohnya boleh terus hidup sekiranya berjaya mencari jasad baru dengan segera. Sekiranya dia tidak dapat mencari jasad gantian, rohnya akan musnah sedikit demi sedikit.

Dalam keadaan terdesak, roh Jyan melihat sebuah patung beruang ‘teddy bear’. Tanpa berfikir panjang, roh Jyan terus merasuk teddy bear tersebut bagi menjadikan teddy bear itu sebagai jasad gantiannya sementara mencari jasad baru.

Teddy bear tersebut adalah milik seorang gadis 14 tahun bernama Yui Yoshimura. Apabila mendapati teddy bearnya mampu bercakap dan bergerak, Yui pada awalnya sangat gembira kerana merasakan keadaan tersebut sangat comel.

Terasa diremehkan, Jyan segera menjelmakan dirinya di hadapan Yui dan memberitahu bahawa dia seorang setan dan berniat mahu menumpang jasad teddy bear tersebut sementara dia mencari jasad baru untuk dimasuki. Jyan bercakap dengan nada kasar dan menampilkan kegarangan terhadap Yui agar Yui takut kepadanya. Jyan memberitahu bahawa mencari jasad baru tidak semudah yang disangka, malah proses peralihan daripada satu jasad ke jasad yang lain akan menggunakan tenaga yang banyak. Oleh itu Jyan mahu memulihkan tenaganya terlebih dahulu sambil-sambil mencari jasad yang sesuai.

Selepas itu barulah Yui mula berasa tidak selesa dengan kehadiran Jyan. Apa yang lebih membimbangkan, selagi Jyan tidak menemui jasad baru, dia akan tinggal bersama di rumah Yui. Maka bermulalah kisah hidup Yui yang terpaksa berdampingan dengan Jyan!

Manga komedi ini sememangnya sungguh menghiburkan dan membuat para pembaca tidak kering gusi. Walaupun tajuk manga ini ada menggunakan perkataan “Cinta” namun bagi aku manga ini tetap dalam genre komedi. Hanya 10% sahaja plot manga ini yang boleh dikatakan genre romantik, itu pun bukannya bercinta bagai nak rak sebaliknya lebih kepada kasih-sayang sahabat baik.

Jyan pada awalnya sememangnya suka membuat hidup Yui haru-biru. Ketika Yui mahu meluahkan perasaan kepada pelajar lelaki di sekolah yang diminatinya bernama Seiji, Jyan membuat pelbagai kekacauan untuk menghalang Yui melakukannya. Yui sangat marah lalu mengikat teddy bear (Jyan) itu dengan kemas agar setan itu tidak dapat menghalangnya lagi. Rupa-rupanya Seiji seorang yang sombong dan menolak cinta Yui dengan penghinaan.

Jyan memberitahu Yui bahawa sebagai seorang setan, dia sudah dapat merasai aura negatif dalam diri Seiji sedari awal lagi. Disebabkan itulah dia cuba menghalang Yui daripada mendapat malu. Namun apakan daya semuanya sudah terlambat. Selepas peristiwa itu, barulah Yui mula bertambah selesa dengan Jyan dan menganggapnya sahabat yang baik.

Pelbagai cabaran timbul selepas itu untuk menduga persahabatan mereka – termasuklah kehadiran Bibi, setan yang sangat meminati Jyan sejak kecil lagi. Watak Bibi menambahkan elemen komedi dalam manga ini walaupun pada awalnya dia berniat jahat terhadap Yui kerana berasa cemburu akan hubungan antara Yui dengan Jyan. Namun akhirnya Bibi berbaik jua dengan Yui setelah Jyan meyakinkan bahawa Bibi tetap antara sahabat terbaiknya memandangkan mereka sudah mengenali sejak kecil.

Manga ini tidak memberi kesimpulan terhadap kesudahan hubungan antara Yui dengan Jyan. Ini memandangkan Jyan masih lagi dalam proses mencari jasad baru. Hubungan antara Yui dengan Jyan terus rapat dalam mengharungi hari-hari yang berlalu bersama-sama!


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Jangka Atribut oleh Clay

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)