Ombak Rindu oleh Fauziah Ashari

Ombak Rindu

Oleh Fauziah Ashari

563 halaman

Diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn. Bhd. (2003)

Barangkali novel ini dinamakan “Ombak Rindu” kerana perasaan dua watak utama novel ini iaitu Izzah dan Hariz yang bagaikan ombak yang membadai pantai. Kadangkala terasa rindu sangat, kadangkala hati menjauh. Ibarat ombak yang ada pasang dan surutnya.

Izzah seorang gadis yatim piatu telah dibela oleh Pakcik Taha dan Makcik Hajar sepeninggalan ibu bapanya ketika dia berusia 13 tahun. Izzah tidak pernah dilayan dengan baik oleh Pakcik Taha dan Makcik Hajar, sebaliknya selalu menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental mereka. Selepas tamat peperiksaan SPM, Izzah telah bekerja di sebuah kilang bagi mengumpul wang untuk melanjutkan pengajiannya. Bagaimanapun, Pakcik Taha ada rancangan lain buat dirinya.

Selama ini Pakcik Taha dan Makcik Hajar hidup susah kerana Pakcik Taha terlalu banyak hutang judi di keliling pinggang. Mereka menganggap kehadiran Izzah cuma menyusahkan mereka sahaja, oleh itu bercadang mengaut keuntungan besar daripada gadis itu: Pakcik Taha akhirnya menjual Izzah kepada seorang tauke kelab malam di Kuala Lumpur.

Sepanjang Izzah berkhidmat di kelab malam itu, seorang pengunjung bernama Hariz tidak henti-henti berusaha mendapatkan khidmatnya. Izzah pandai mengelakkan diri agar tidak dinodai mana-mana pelanggan. Namun pada suatu malam Hariz akhirnya berjaya juga meragut kesucian Izzah setelah Izzah dipaksa minum ubat khayal oleh pekerja-pekerja kelab.

Tidak rela menjadi langganan lebih ramai lelaki yang entah mana datangnya di kelab itu, Izzah nekad membebaskan diri daripada belenggu tempat maksiat itu. Dia telah merayu Hariz agar membebaskannya daripada kelab malam itu. Hariz akhirnya bersetuju membayar sejumlah wang kepada tauke kelab malam itu sebagai syarat melepaskan Izzah. Izzah kini menjadi miliknya seorang.

Bagaimanapun, bukan itu yang dimahukan Izzah. Izzah merayu Hariz agar menikahinya pula agar hubungan mereka selepas itu menjadi halal. Pada mulanya Hariz enggan, namun akhirnya dia mengalah. Tambahan pula Izzah telah memberi jaminan bahawa dia tidak akan menuntut sebarang hak sebagai isteri. Izzah rela kiranya Hariz menganggap dirinya sebagai perempuan simpanan sahaja, asalkan secara rasminya mereka menikah. Hariz bersetuju dengan syarat tambahan bahawa Izzah menurut apa sahaja arahan yang bakal diberinya nanti.

***SPOILER DI HADAPAN!!!***

Hariz ‘menyimpan’ Izzah di sebuah apartmen dan Izzah tidak dibenarkan untuk keluar rumah sembarangan atau berbual dengan jiran kerana ditakuti rahsia mereka akan terbongkar. Status hubungan mereka yang sebenar tidak boleh diberitahu kepada sesiapa pun. Hariz memperlakukan Izzah sesuka hati dan memaki hamunnya sekiranya Izzah berbuat salah. Hariz hanya ke apartmen itu untuk bertemu Izzah sekiranya dia mahu. Izzah tidak boleh mempersoalkan apa-apa mengenai dirinya. Itu adalah antara syarat yang Hariz kenakan sebagai ganti persetujuan berkahwin dengannya.

Hariz tidak pernah memberitahu mengenai hal Izzah kepada sesiapa pun termasuk ibunya Datuk Sufiah. Hanya pemandunya Pak Dollah sahaja yang mengetahui tentang kewujudan Izzah; namun dia tidak tahu bahawa Izzah merupakan isteri Hariz yang sah. Dari semasa ke semasa Hariz akan mengarahkan Pak Dollah membeli barangan keperluan dapur dan menghantar ke tempat tinggal Izzah. Bagaimanapun, perjanjian kerahsiaan antara Hariz dan Izzah telah menyebabkan Pak Dollah menyangka Izzah adalah perempuan simpanan Hariz. Akhirnya Hariz sendiri membuat pengakuan di hadapan Pak Dollah bahawa Izzah adalah isterinya, namun perkara tersebut hanya menjadi rahsia antara mereka sahaja.

Hanya selepas enam bulan pernikahan senyap mereka barulah kehadiran Izzah mula mencuit hati dan perasaan Hariz. Dia mula berasa kasih dan rindu kepada Izzah. Hariz mula bermanja dan selalu mahu meluangkan masa bersama Izzah. Masalahnya, Hariz seorang ahli korporat dan pewaris sebuah empayar perniagaan yang besar. Rasionalnya dia sepatutnya berkahwin dengan seorang wanita yang secocok dengannya: berkerjaya, elegan, bijak dan moden – bukan seorang gadis kampung yang kolot, tidak berkeyakinan diri dan tidak tahu berfesyen.

Datuk Sufiah sendiri tidak mahu menantu yang kolot. Dia mahu menantu yang bijak, bergaya dan daripada keluarga berstatus tinggi. Dia mahu menjodohkan Hariz dengan Mila Amylia, anak kepada rakan perniagaannya iaitu Tan Sri Rashdan. Mila seorang pelakon dan model terkenal yang cantik serta berpelajaran tinggi. Hariz dan Mila pula memang sudah saling mengenali sejak zaman persekolahan lagi kerana keluarga mereka bersahabat.

Hariz cuba menolak cadangan Datuk Sufiah menjodohkan dirinya dengan Mila, namun Datuk Sufiah berkeras. Datuk Sufiah menetapkan perkahwinan antara Mila dan Hariz sebagai syarat utama Hariz menjadi pewaris harta dan syarikatnya. Sekiranya Hariz tidak mematuhi, Datuk Sufiah tidak teragak-agak untuk memadamkan nama Hariz daripada senarai pewarisnya. Hariz serba-salah kerana dia benar-benar mahu mewarisi perniagaan tersebut.

Dalam masa yang sama, Datuk Sufiah mulai sangsi terhadap perangai Hariz yang kadangkala tidak pulang ke rumah dan acuh tak acuh terhadap prospek perkahwinannya dengan Mila. Hasil intipan orang suruhannya, Datuk Sufiah mendapat tahu bahawa Hariz mempunyai hubungan dengan Izzah – namun dia tetap tidak tahu bahawa Izzah merupakan isteri Hariz yang sah. Datuk Sufiah mengarahkan Hariz agar memutuskan hubungannya dengan Izzah sebelum berlangsungnya perkahwinannya dengan Mila yang bakal diadakan beberapa tahun lagi.

Namun Hariz tetap enggan melepaskan Izzah. Di luar pengetahuan Datuk Sufiah, Hariz berjaya ‘menyembunyikan’ Izzah dengan menghantarnya melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Johor. Kebetulan Hariz ada menguruskan sebuah projek syarikat di Johor Bahru, oleh itu dia mengambil kesempatan bertemu Izzah setiap kali ke Johor Bahru. Hubungan mereka yang masih berterusan tidak diketahui Datuk Sufiah.

Sedar tidak sedar sudah lima tahun perkahwinan Hariz dengan Izzah, dan majlis pertunangan dan perkahwinan Hariz dengan Mila bakal menjelma. Hariz sudah puas mengajak Mila berkomplot dengannya untuk menggagalkan rancangan penyatuan mereka. Hariz telah meminta Mila agar menolak apabila rombongan peminangan daripada pihaknya bertandang. Hariz juga sudah memaklumkan Mila bahawa dia mencintai seseorang dan enggan melepaskan wanita itu, namun Hariz tidak memberitahu bahawa wanita itu adalah Izzah dan Izzah sebenarnya adalah isterinya.

Sangka Mila, wanita itu hanyalah kekasih Hariz. Dan Mila yang mempunyai ego tinggi, yakin dia mampu menundukkan Hariz dengan kecantikannya selepas mereka berkahwin. Mila kurang senang apabila menyedari Hariz tidak ada hati kepadanya – sedangkan seumur hidupnya tiada lelaki yang pernah menolaknya. Mila seorang selebriti pujaan ramai lelaki. Oleh itu dia mahu Hariz juga tunduk kepadanya sebagaimana lelaki lain. Dari kerana keegoannya, Mila enggan menolak peminangan daripada keluarga Hariz itu.

Akhirnya Hariz disatukan dengan Mila jua. Perasaan Hariz tetap kuat terhadap Izzah, namun dinikahinya juga Mila kerana bagi Hariz, Mila sendiri yang mencari fasal kerana menerima peminangan tersebut. Mila mempunyai peluang untuk menolak perkahwinan mereka tetapi dia sendiri yang berdegil mahu meneruskan perkahwinan dengan Hariz walaupun tahu hati Hariz sudah dimiliki.

Hati Izzah bengkak dengan berita perkahwinan antara Hariz dengan Mila. Namun kerana sudah jatuh cinta, Izzah tetap setia dengan Hariz dan berbuat baik kepada suaminya itu jika Hariz datang menemuinya senyap-senyap. Malah Hariz telah mengambil Izzah sebagai setiausahanya kerana mahu Izzah selalu berada di hadapannya.

Malangnya Datuk Sufiah dapat menghidu helah Hariz itu. Dia dapat mengecam wajah Izzah sebagai gadis kekampungan yang mempunyai hubungan dengan Hariz sebelum Hariz bernikah dengan Mila. Datuk Sufiah nekad menghalang Izzah daripada ‘menghancurkan’ rumahtangga Hariz dengan Mila, lalu pelbagai tipu-daya dan pengkhianatan yang dia lakukan untuk memisahkan Izzah jauh daripada Hariz.

Datuk Sufiah bukan sahaja menggunakan sihir untuk membuat Hariz menjauhkan diri daripada Izzah, malah dia juga telah memberhentikan Izzah daripada tugas sebagai setiausaha Hariz ketika Hariz tidak hadir bekerja. Datuk Sufiah menghalau Izzah keluar dari apartmen yang dibelikan Hariz untuk Izzah. Di hadapan Hariz, Datuk Sufiah menabur fitnah tentang Izzah agar Hariz membenci Izzah. Kata Datuk Sufiah, Izzah telah meletak jawatan, lari dari rumah apartmen Hariz itu dan mencurangi Hariz ketika Hariz sedang sakit akibat kemalangan. Hariz percaya bulat-bulat apa yang diperkatakan Datuk Sufiah kerana Datuk Sufiah bijak berlakon dan mempersembahkan bukti-bukti yang agak meyakinkan. Hariz sangat sedih kerana dia masih mencintai Izzah, namun dia berusaha untuk membenci Izzah sebencinya agar perbuatan Izzah itu tidak terasa terlalu sakit di hatinya.

Izzah yang tidak keruan akhirnya mengadu kepada keluarga Pak Dollah. Ketika Pak Dollah cuba bertemu Hariz untuk memujuknya dan memberitahu hal sebenar tentang Izzah, Hariz mengamuk dan mula mencaci-maki Pak Dollah. Hilang sabar, Pak Dollah telah menampar Hariz dan dia telah membongkar kisah sebenar tentang identiti Hariz: dia bukan anak kandung Datuk Sufiah!

Sebenarnya Pak Dollah berkawan rapat dengan bekas suami Datuk Sufiah yang juga bernama Abdullah. Abdullah – yang disangka Hariz sebagai bapa kandungnya – telah meninggal dunia dan membawa bersama rahsia tentang identiti Hariz yang sebenarnya. Anak lelaki Abdullah dengan Datuk Sufiah yang sebenarnya telah meninggal dunia selepas dilahirkan, tetapi Datuk Sufiah tidak mengetahui hal tersebut. Ini kerana suaminya ketika itu, Abdullah nekad merahsiakannya kerana bimbang isterinya itu akan kemurungan.

Abdullah telah merayu Pak Dollah untuk menukar bayi lelaki Pak Dollah yang juga lahir pada hari yang sama kepadanya sebagai ganti. Pak Dollah akhirnya bersetuju lalu memberitahu isterinya Mak Jah bahawa bayinya telah meninggal dunia – sedangkan yang sebenarnya meninggal dunia ialah bayi Datuk Sufiah dengan Abdullah. Bayi yang telah diserahkan kepada Abdullah itu telah diberi nama, Hariz. Sebagai mengenang pengorbanan Pak Dollah, Abdullah selalu berpesan kepada Hariz agar sentiasa berbuat baik kepada keluarga Pak Dollah, namun sebabnya tidak pernah diterangkan. Rupa-rupanya Pak Dollah sekeluarga merupakan keluarga kandung Hariz!

Rahsia tersebut hanya diketahui oleh Abdullah, Pak Dollah serta isteri kedua Abdullah yang dikahwini selepas perceraiannya dengan Datuk Sufiah. Malah setelah diamati, sememangnya wajah Hariz lebih mirip keluarga Pak Dollah dan langsung tiada persamaan wajah dengan keluarga Datuk Sufiah.

Kebenaran tentang identiti Hariz yang dihamburkan oleh Pak Dollah telah didengari oleh Datuk Sufiah secara tidak sengaja. Sejurus selepas itu Datuk Sufiah terkena serangan jantung lalu meninggal dunia serta-merta.

Hariz pula berubah selepas insiden dengan Pak Dollah itu. Hariz menjadi lebih menunduk diri dan hilang sudah imej Hariz yang bongkak sebelum ini. Malah Hariz akhirnya kembali berbaik dengan Izzah setelah Pak Dollah memberitahunya tentang fitnah yang ditabur oleh Datuk Sufiah untuk memisahkan mereka berdua.

Akhirnya Hariz nekad berlaku jujur terhadap Mila dan memberitahunya bahawa wanita yang dicintainya selama ini ialah Izzah, dan sesungguhnya Izzah tidak merampas Hariz daripada Mila kerana mereka sudah pun bernikah bertahun-tahun sebelum Hariz bernikah dengan Mila.

Walaupun Mila kecewa dan sakit hati terhadap Hariz kerana tidak benar-benar jujur kepadanya sejak awal dahulu, namun dia menerima kenyataan bahawa Izzah bukan seorang perampas. Dia bersemuka dengan Izzah secara professional untuk mendengar penjelasan daripada pihak Izzah pula. Selepas itu Mila mengambil keputusan untuk memohon cerai daripada Hariz. Mila, sebagai seorang selebriti, selama ini sudah pun panas telinga mendengar gosip tentang ‘kecurangan’ Hariz. Setelah diketahui hal yang sebenar, Mila nekad berpisah agar tiada lagi suara-suara sumbang yang mengata tentang perkahwinannya itu. Jika dahulu Izzah bernikah dengan Hariz kerana maruah diri, maka kini Mila pula berpisah dengan Hariz juga kerana maruah dirinya.

Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

The Ravenels #3 – Devil In Spring by Lisa Kleypas

The Count of Monte Cristo by Alexandre Dumas