Bendera Di Atas Bukit karya A. Samad Said
Bendera Di Atas Bukit
Karya A. Samad Said
70 halaman
Terbitan PTS Pop Sdn. Bhd. (2011)
Novel pendek ini mengisahkan empat kanak-kanak awal remaja yang bersahabat baik iaitu Abu, Yahaya, Majid dan Rukiah. Mereka selalu melakukan sebarang aktiviti bersama-sama dalam sebuah kumpulan. Malah kumpulan mereka itu mempunyai ‘ibu pejabat’ yang berupa pondok kecil diperbuat daripada kadbod lama. Pondok mereka itu terletak di atas bukit berhampiran kawasan perkampungan mereka. Pondok di atas bukit itu turut mengibarkan sebuah bendera, iaitu bendera kumpulan mereka.
Ketika cuti persekolahan bermula, kampung itu digemparkan dengan kes kecurian di beberapa buah rumah yang mula berlaku sejak seminggu sebelum itu. Kadangkala barang berharga yang dicuri, kadangkala sekadar pakaian yang dicuri. Sebelum ini tidak pernah berlaku kes kecurian di perkampungan mereka. Kampung mereka aman-damai sahaja.
Lalu Abu, Yahaya, Majid dan Rukiah pun bercita-cita untuk menjejaki pencuri itu. Mereka tahu mereka cuma kanak-kanak dan tidak mungkin mampu menangkap pencuri itu. Namun mereka tekad mahu menjalankan penyiasatan ke atas kes-kes kecurian itu. Mereka mahu menyumbangkan sesuatu, walau sekadar sedikit maklumat yang mungkin boleh dimanfaatkan oleh penduduk kampung untuk mengesan pencuri tersebut.
Hasil risikan mereka yang tidaklah professional itu, mereka berjaya menemui dua orang yang berperangai ganjil di kampung itu. Dua orang itulah suspek yang mereka telah kenalpasti. Seorang daripadanya ialah Sulaiman, seorang pemuda yang pendiam dan tidak bekerja. Tidak banyak yang diketahui tentang Sulaiman tetapi luarannya kelihatan baik.
Seorang suspek lagi ialah Baiyah, seorang nenek tua yang kelihatan uzur tetapi dilihat berlegar-legar di sekitar pondok usang yang terdapat di puncak sebuah bukit lain. Pondok usang itu boleh dilihat dari pondok kumpulan kanak-kanak itu, namun perjalanan ke sana tidaklah begitu mudah. Sebab itu mereka hairan bagaimana seorang nenek tua mampu mendaki ke pondok di bukit itu.
Pada suatu hari, empat sekawan itu nekad menghendap pondok misteri itu. Belum sempat pun mereka menjejakkan kaki ke pondok itu, mereka sudah bertembung dengan nenek Baiyah. Wanita tua itu kelihatan sangat bengis dan mengugut mereka menggunakan kayu. Mereka dihalau dan diarahkan agar tidak datang ke kawasan itu lagi.
Selepas itu mereka bertembung pula dengan Sulaiman yang seolahnya dalam perjalanan ke pondok Baiyah itu juga. Sulaiman jenis ramah dan lembut bicara, namun sering mengelak bercerita tentang diri sendiri. Dia tahu apa kumpulan kanak-kanak itu mahu lakukan, sedangkan mereka tidak tahu apa niat Sulaiman berada di situ. Sulaiman hanya berpesan agar mereka tidak datang lagi ke kawasan itu. Sulaiman juga memberi jaminan bahawa dia akan menyelesaikan urusan berkaitan nenek Baiyah itu.
Abu mengesyaki bahawa Sulaiman seorang mata-mata gelap. Dia tidak kelihatan seperti pencuri pun, apatah lagi Sulaiman dilihat memiliki jam tangan serta pen yang berjenama tinggi, selain mempunyai wang yang bukan sedikit di koceknya. Apa pun, misteri tentang Baiyah tidak terungkap sehingga ke akhirnya. Hal itu mereka serahkan kepada Sulaiman, sebagaimana pinta lelaki itu.
Namun hal kecurian di kampung masih tetap mengganggu fikiran mereka. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menyiasat Omar yang namanya disebut secara tidak sengaja oleh Rukiah. Omar baru berpindah ke kampung itu kira-kira seminggu dua yang lalu. Dia tidak bekerja dan tidak bergaul sangat dengan orang kampung. Mereka tidak pernah terfikir mengesyaki Omar kerana Omar merupakan abang kepada rakan Rukiah yang becok iaitu Esah.
Setelah siasatan dijalankan, nyata Omar merupakan pencuri yang mereka buru sebelum ini. Barang-barang curinya disimpan di dalam bilik tidur Omar. Selepas pembongkaran itu, Omar telah memulangkan barang-barang yang dicuri kepada tuan masing-masing. Di hadapan ketua kampung di masjid, lelaki itu turut berjanji agar tidak melakukannya lagi. Empunya barang yang dicuri bersetuju untuk tidak menghebohkan hal siapa sebenarnya pencuri itu, asalkan Omar tidak melakukannya lagi.
Selepas peristiwa itu, Esah menyertai kumpulan Abu dan kawan-kawannya. Esah tiada kaitan dengan kecurian itu dan dengan bantuannya jugalah mereka semua berjaya menyelongkar bilik Omar dan mendapati hal yang sebenar. Esah memang sudah lama mengimpikan keahlian dalam kumpulan mereka itu. Dengan pertambahan ahli baru, bendera kumpulan mereka juga akan ditukar dan dijahit yang serba-baru.
Comments
Post a Comment