Pengintip Bangsawan (“Eikoku Kizoku Goyoutashi”)
Pengintip Bangsawan (tajuk asal “Eikoku Kizoku Goyoutashi”)
Karya Sakurakouji Kanoko
189 halaman
Edisi terjemahan ke Bahasa Malaysia diterbitkan oleh Art Square Creation Sdn. Bhd. (2011)
Manga Pengintip Bangsawan ini agak berbeza sedikit daripada manga shoujo lain-lain yang pernah aku baca. Sebab itu aku sudi hasilkan sebuah post untuk komen tentang manga ini. Buku ini mengandungi empat buah kisah pendek bertemakan cinta (seperti biasa), namun aku terus terasa kelainannya apabila kisah yang pertama menampilkan hero berbangsa kulit putih. Setakat ini aku belum pernah baca manga shoujo yang mempunyai hero Caucasian tulen (kalau kacukan Jepun pun, mungkin tidak terlalu luar biasa juga).
Chiyoko bekerja di sebuah kedai barang kemas yang dimiliki keluarganya. Dia merupakan pewaris tunggal empayar perniagaan yang lumayan itu. Pada suatu hari, seorang lelaki British yang berambut perang dan bermata biru bernama Edward Harris telah mendatangi Chiyoko di kedai lalu memulakan perkenalan. Seumur hidupnya Chiyoko tidak pernah bercinta kerana jodohnya pasti bakal ditentukan oleh ibu bapanya juga akhirnya.
Chiyoko agak naif dalam bab perhubungan dengan lelaki dan terus mempercayai Edward tanpa banyak soal. Dalam masa yang singkat dia sudah benar-benar jatuh cinta – sehingga akhirnya dia disedarkan oleh kakitangan kedai barangan kemas itu bahawa ada kemungkinan Edward itu seorang penipu. Sebelum itu sudah banyak berlaku kes-kes penipuan ke atas gadis Jepun yang dilakukan oleh lelaki berkulit putih. Mangsanya biasanya adalah gadis yang kaya-raya, di mana wang mereka akan dikikis habis-habisan sebelum mereka ditinggalkan oleh lelaki itu.
Chiyoko enggan menerima kemungkinan itu. Chiyoko yakin Edward juga mencintai dirinya. Namun perasaannya tetap terbelah-bahagi kerana dia tetap adalah pewaris harta kekayaan yang naif dan boleh digula-gulakan dengan mudah.
Namun akhirnya kebenaran terbongkar jua; nyata Edward bukan seorang penipu seperti yang disyaki ramai. Edward sebenarnya seorang anggota polis British yang datang ke Jepun bagi menjejaki kasanova kulit putih dari negara itu yang telah melarikan diri ke Jepun untuk menjalankan aktiviti penipuannya. Oleh kerana pihak polis yakin Chiyoko bakal menjadi sasaran seterusnya, maka Edward diarahkan untuk mendekati Chiyoko dalam langkah melindunginya. Namun perkara yang pada asalnya sepatutnya dilakukan secara professional nyata telah berbunga ke arah yang lain: Edward juga telah benar-benar jatuh hati terhadap Chiyoko!
Manga kedua dalam buku ini, Kisah Seribu Satu Malam, pula berkisar perasaan halus yang berputik antara seorang penulis terkenal bernama Ken Misawa dengan seorang gadis yang bekerja di kedai buku, Mio. Mereka sama-sama tidak pernah langsung menyatakan perasaan sebenar kepada yang seorang lagi. Namun Ken Misawa berhasrat meluahkannya secara tidak langsung menerusi koleksi cerpen bersiri yang ditulisnya sebagai melambangkan cintanya terhadap Mio.
Pada pandangan aku, hasil karya mangaka ini lebih sweet, tidak cliché sangat (bukan kisah gadis sekolah yang memendam hasrat terhadap rakan sekelas atau senior popular), dan yang penting watak-wataknya tidaklah terlampau gedik. Aku juga minat dengan lukisannya – walaupun kelihatan simple tetapi comel benar rupanya!
Comments
Post a Comment