Perempuan Tanpa Dosa oleh Fatinilam Sari Ahmad

Perempuan Tanpa Dosa

Oleh Fatinilam Sari Ahmad

286 halaman

Terbitan Creative Enterprise Sdn. Bhd.


Ini merupakan karya Fatinilam Sari yang pertama aku baca. Aku dengar-dengar cerita daripada rakan-rakan seperjuangan yang arif dalam dunia perbukuan negara, kata mereka antara kesemua novel Fatinilam Sari, Perempuan Tanpa Dosa yang paling ‘hot’ sekali dan menjadi buruan ramai peminat. Nyata, aku lihat naskhah novel ini juga sudah diterbitkan semula oleh penerbit yang baru. Pastinya ada sesuatu tentang novel ini!

Perempuan Tanpa Dosa kisah dua wanita yang sedang mencari: mencari diri sendiri, mencari cinta sejati, mencari penghidupan baru. Walau latar kehidupan mereka berbeza bagai langit dan bumi, namun penulis berjaya mencipta dua watak wanita yang menimbulkan rasa kasih dan kasihan pembaca terhadap mereka.

Manakala watak lelaki utama dalam novel ini pula sememangnya berhasil membuat pembaca seperti aku terasa menyampah. Aku yakin memang niat novelis untuk menimbulkan emosi-emosi kurang enak terhadap lelaki itu. Atau barangkali, novelis cuba untuk menyatakan secara halus, bahawasanya lelaki tidak romantik adalah lebih tipikal; justeru para wanita di luar sana hendaklah lebih realistik dan tidak terlalu berangan memiliki suami seperti dalam kisah dongeng. Mungkin!

Watak lelaki utama dalam novel ini bukan sahaja tidak romantik, malah berperangai haprak kerana melukakan hati wanita-wanita di sekelilingnya dengan sewenang-wenang. Ibunya sudah dia hampakan, adik angkatnya sudah dia kecewakan, isterinya sendiri pun turut dilukai. Malah mungkin tidak melampau jika mengatakan dia juga menyakitkan perasaan para pembaca wanita novel ini 😂.

Rizal merantau ke Kuala Lumpur dari sebuah kampung di Pahang ketika umurnya sekitar 20 tahun. Niatnya ingin membina masa depan yang lebih cerah di kota raya. Dia percaya kehidupan kampung tidak mampu membawa kesenangan. Dia bertekad mahu pulang ke kampung hanya setelah mendapat harta kekayaan yang banyak di bandar; dia mahu membuktikan kepada semua penduduk kampung bahawa kesenangan boleh dicapai dengan kemajuan.

Rizal anak tunggal Mak Som, tetapi mempunyai seorang adik angkat perempuan yang ditinggalkan di rumah Mak Som ketika berusia empat tahun. Mak Som mengasihi Usu Sakinah seperti anaknya sendiri. Di kala Rizal dan Usu Sakinah semakin menginjak dewasa, Mak Som berhajat menjodohkan mereka. Namun pemergian Rizal ke Kuala Lumpur telah menyebabkan hasrat itu tertunda. Malah Rizal sendiri teragak-agak memenuhi hajat ibunya itu. Dia sendiri tidak memberi jawapan sama ada bersetuju dinikahkan dengan adik angkatnya itu. Semenjak bekerja di Kuala Lumpur, Rizal hanya pulang ke kampung sekali-sekala. Tetapi setelah Mak Som meninggal dunia, Rizal tidak lagi pulang ke kampung dan mendiamkan Usu Sakinah tanpa sebarang khabar berita.

Ketika usianya mencecah awal 30-an barulah Rizal pulang ke kampung secara mengejut. Usu Sakinah juga sudah berusia 30 tahun dan sudah mendapat gelaran andartu kampung yang dicemuh orang. Orang kampung semuanya yakin Usu Sakinah tidak berkahwin kerana menunggu kepulangan Rizal.

Malangnya, kepulangan Rizal yang mengejut itu turut membawa berita yang melukakan hati Usu Sakinah: Rizal sudah berkahwin dengan seorang gadis kota. Kepulangannya ke kampung itu diiringi seorang wanita muda lagi jelita yang datang dari Kuala Lumpur.

***AWAS!!! SPOILER DI HADAPAN!!!***

Namun Usu Sakinah adalah seorang wanita yang kuat hati. Usu Sakinah tidak melatah dan banyak mendekatkan diri dengan Tuhan bagi mencari ketenangan jiwa. Semenjak kecil pun, Mak Som sudah mendidiknya dengan ilmu agama agar dia tergolong dalam kalangan wanita yang mulia akhlaknya.

Usu Sakinah tidak mengetahui, bahawa terdapat suatu konspirasi di sebalik perkahwinan Rizal dengan Lily Haryani itu sebenarnya. Rizal dan Lily tidak pernah mencintai antara satu sama lain. Sebaliknya bapa Lily, Datuk Majid yang memaksakan pernikahan tersebut. Rizal bekerja sebagai kerani di syarikat Datuk Majid, dan Datuk Majid merasakan bahawa Rizal itu seorang lelaki yang boleh dipercayai. Dia melihat Rizal sebagai penyelesaian kepada masalah keluarganya.

Lily seorang gadis yang hidup terkapai-kapai dalam usia mudanya itu. Ibunya sudah lama meninggal dunia manakala Datuk Majid pula asyik sibuk dengan perniagaan. Tanpa bimbingan hidup daripada sesiapa, Lily menjalani kehidupannya tanpa hala tujuan dan hanya mahu mencari hiburan sahaja. Dia tidak tahu bersembahyang, tidak mengenal Tuhan dan hidup berseronok tanpa mempedulikan dosa dan pahala. Akhirnya Lily terlanjur dengan teman lelakinya Eddie dan mengandung luar nikah. Eddie pula enggan bertanggungjawab dan terus menghilangkan diri.

Lalu Datuk Majid memaksa Rizal agar menjadi pak sanggup dan mengahwini Lily demi menutup aib keluarga mereka. Sememangnya Rizal enggan, namun Datuk Majid sebagai orang berpengaruh serta majikannya mengugut untuk menghancurkan hidup Rizal sekiranya dia menolak. Sebagai ganti persetujuan Rizal menjadi pak sanggup, Datuk Majid akan turut memberi imbuhan kewangan kepada Rizal.

Setelah mendapat habuan kira-kira RM5 juta daripada Datuk Majid, Rizal diarahkan oleh Datuk Majid agar membawa Lily pulang ke kampung halamannya dan tinggal di sana sehingga Lily melahirkan. Selepas itu, Datuk Majid mahu Lily pulang semula ke Kuala Lumpur. Tujuannya tidak lain untuk ‘menyembunyikan’ Lily yang semakin boyot itu daripada pandangan orang ramai yang mengenali Datuk Majid.

Lebih kurang tiga hari usia pernikahan mereka, Rizal membawa Lily pulang ke kampungnya. Kepulangan semula Rizal bersama pasangannya yang sama cantik sama padan itu tentulah menjadi bualan orang ramai. Apatah lagi Rizal kini kelihatan lebih mewah dengan memiliki kereta berbanding orang kampung yang kebanyakannya hanya bermotosikal atau berbasikal.

Wang berkepuk yang diberikan Datuk Majid sebagai habuannya menjadi pak sanggup, Rizal gunakan untuk membangunkan tanah pusaka milik arwah ibu bapanya. Rizal mula mengusahakan ladang kelapa sawit demi membawa kemajuan serta peluang pekerjaan kepada orang kampungnya.

Di sebalik keindahan luaran itu tidak siapa yang tahu betapa kucar-kacirnya perkahwinan antara dua insan itu. Lily yang terpaksa berkahwin secara mengejut, langsung tidak tahu menguruskan rumahtangga. Rizal pula, yang masih amat marah dengan tindakan Datuk Majid yang memaksanya, bertindak melepaskan kemarahannya terhadap Lily. Saban hari suami isteri itu bertengkar sahaja. Malah tidur pun di bilik yang berasingan.

Pada suatu malam, Rizal dan Lily bergaduh lagi dan dalam keadaan emosional itu Lily melarikan diri. Tidak tahu arah di kampung itu, Lily tersesat sehingga akhirnya membawa dia ke rumah Usu Sakinah. Lily meminta tolong Usu Sakinah kerana bimbang dan takut keadaan malam gelita itu. Walaupun Usu Sakinah mengetahui bahawa Lily adalah isteri Rizal, dia tetap membantu Lily.

Semenjak perkenalan Lily dengan Usu Sakinah, Lily mula berubah. Lily sendiri mahu berubah. Dia mahu menjadi wanita yang lebih dekat dengan Tuhan dan meninggalkan kehidupan lampaunya yang tidak berpedoman itu. Usu Sakinah membimbing Lily belajar bersembahyang, mengaji Al-Quran dan banyak menitipkan kata-kata positif agar jiwa Lily bertambah kuat. Walhal tanggungjawab mendidik Lily sepatutnya berada di bahu Rizal.

Namun kerana itulah, Lily berasa amat kasih kepada Usu Sakinah dan hubungan mereka bertambah erat. Lily turut berkongsi kisah lampaunya dengan Usu Sakinah, di mana Usu Sakinah langsung tidak memandang hina terhadapnya. Usu Sakinah terus memimpin Lily agar terus berubah ke arah kebaikan. Namun, Usu Sakinah tidak pernah menceritakan kepada Lily bahawa Rizal hampir dijodohkan dengannya dahulu. Bagi Usu Sakinah, seeloknya dia berundur diri dan membiarkan Lily dengan Rizal membina rumahtangga yang bahagia.

Sejak Lily mula mengenal agama, Lily sudah semakin berlembut terhadap Rizal. Malah dia sabar sahaja dengan tindakan serta kata-kata Rizal yang seringkali menyakitkan hati. Lily belajar untuk mengasihi dan menghormati suaminya itu. Lama-kelamaan, Rizal juga berubah sedikit demi sedikit. Rizal cuba untuk menerima ketentuan takdir yang menjodohkan mereka walaupun dia kadangkala kelihatan ragu-ragu.

Ketika bahagia itu sedang cuba digapai, ujian yang besar melanda mereka. Eddie muncul semula dan ingin Lily pulang ke pangkuannya. Malah Eddie juga mahukan anak yang dikandung Lily itu. Eddie tidak henti-henti membuat kacau agar Lily berpisah daripada Rizal. Tidak cukup dengan Eddie, Rizal yang masih belum benar-benar redha terhadap pernikahannya dengan Lily, ada hati mahu cuba bermesra dengan Usu Sakinah. Sedangkan wanita itu dulunya dia tinggalkan tanpa khabar berita dan tanpa kata putus pun. Ketika Rizal menyangka Lily tiada, Rizal mengajak Usu Sakinah menggamit semula memori lama kenangan mereka dahulu yang hampir bernikah. Lily berasa amat terluka lalu melarikan diri pulang ke Kuala Lumpur. Ketika itu dia sudah pun melahirkan, dan anaknya itu juga dibawa pulang ke pangkuan Datuk Majid.

Lily galau; dia enggan pulang kepada Eddie dan berharap dapat terus hidup bersama Rizal. Dia juga sebenarnya masih sayangkan Usu Sakinah. Lily selalu menganggap Usu Sakinah sebagai kakaknya sendiri. Cuma Lily agak terkilan kerana Usu Sakinah tidak pernah memberitahunya tentang kisah lamanya dengan Rizal. Sangka Lily, Usu Sakinah mahu kembali bersatu dengan Rizal.

Hampir dua bulan selepas itu, barulah Rizal menjejaki Lily semula di Kuala Lumpur. Sepanjang tempoh itu, Rizal hidup tidak terurus dan tertekan. Namun ladangnya terus diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Dia rindukan Lily serta anak Lily yang sudah dianggapnya seperti anak sendiri.

Tambahan pula, Usu Sakinah nyata tidak mengharapkan Rizal pun. Dalam diam Usu Sakinah telah bertunang dengan sahabat baik Rizal iaitu Rahman. Rahman sudah lama menaruh hati terhadap Usu Sakinah, tetapi tidak berani untuk menyatakan hasrat hatinya kerana dia bimbang kiranya Rizal masih mahu menikahi Usu Sakinah. Namun setelah mendapati bahawa Rizal telah menikah dengan Lily, Rahman berasa lega dan nekad menyunting Usu Sakinah sebagai isteri. Usu Sakinah juga telah membuka hatinya untuk Rahman dan yakin Rahman merupakan calon suami yang terbaik.

Akhirnya Rizal terpaksa merestui hubungan mereka walaupun pada mulanya Rizal dilihat kesal terhadap tindakan Rahman yang melamar Usu Sakinah diam-diam. Begitu dahsyat ego Rizal sehingga dia mendapat kepuasan sekiranya kedua-dua Lily dan Usu Sakinah mendambakan dirinya! Sedangkan isteri yang seorang itu pun tidak dididik, ada hati pula mahu memiliki hati dua orang wanita sekaligus.

Menjelang hari langsung perkahwinan Usu Sakinah dengan Rahman, Rizal mengajak Lily pulang ke kampung semula. Lily pulang sendirian pada hari pernikahan tersebut kerana Rizal sibuk menguruskan majlis adik angkatnya itu. Sehingga ke saat itu, Lily masih menyangka bahawa Usu Sakinah benar-benar akan bernikah dengan Rizal. Dia pasrah sahaja, namun setelah melihat pengantin lelakinya barulah Lily berasa lega. Rupa-rupanya selama ini dia banyak salah faham; salah faham itu pula sengaja dibiarkan oleh Rizal tanpa sebarang penjelasan kerana kononnya mahu menguji tahap kecemburuan Lily. Cemburu tandanya sayang. Aduhai!

Semenjak itu Lily kembali mendiami kampung itu dan hubungannya dengan Rizal bertambah baik. Mereka hidup bahagia selepas itu dan hubungan mereka dengan Usu Sakinah dan Rahman juga bak saudara kandung sedarah.

NOTA KAKI:

Aku semacam boleh mengagak apa kesudahan novel ini sebaik sahaja tamat membaca Bab 2. Yang aku tidak sangka cumalah kemunculan semula Eddie (oh ya! Eddie akhirnya meringkuk di penjara kerana terlibat dengan geng mat rempit). Tetapi kesudahan cerita di mana akhirnya Usu Sakinah bersatu dengan Rahman, sudah dapat aku jangka.

Satu lagi, aku mengesyaki bahawa hubungan antara Usu Sakinah dengan Lily yang sebenarnya adalah saudara tiri seibu. Pada awalnya aku terasa aneh kenapa babak Usu Sakinah ditinggalkan di rumah Mak Som dahulu dijadikan prolog novel ini. Aku sangka ia signifikan kerana ibu Usu Sakinah yang meninggalkannya itu kemudiannya telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan mungkin telah berkahwin dengan Datuk Majid dan kemudiannya melahirkan Lily pula. Namun spekulasi aku yang satu ini tiada jawapannya hingga ke muka akhir sekalipun.



Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

The Ravenels #3 – Devil In Spring by Lisa Kleypas

The Count of Monte Cristo by Alexandre Dumas