S.O.S oleh Hinako Ashihara

S.O.S

Karya Hinako Ashihara

Edisi Bahasa Malaysia diterbitkan oleh Gala Unggul Resources Sdn. Bhd. (2005)

Hinako Ashihara ni sudah lama berkarya, malah manga-manga beliau sudah mempunyai edisi terjemahan ke Bahasa Melayu sejak hampir 20 tahun yang lalu. Senang cerita manga yang dia hasilkan sudah berada di Malaysia sejak aku masih di usia remaja lagi. Tetapi untuk aku, hari ini merupakan kali pertama aku membaca karya beliau!

Walaupun menampilkan kisah-kisah percintaan remaja (sama seperti manga genre shoujo yang lain), namun manga S.O.S ini menyedarkan aku bahawa karya Hinako Ashihara mungkin tidak klise sepenuhnya. Mangaka ini turut bijak bermain dengan perasaan pembaca; walaupun pada permulaan kisah pembaca akan menyangka ia genre komedi, namun tidak lama selepas itu plot cerita akan berubah sehingga membuat perasaan pembaca terganggu.

Kisah pertama dalam buku ini, S.O.S membawa pembaca menyelami hati wanita yang tidak dapat memiliki orang yang sangat dicintainya. Segalanya bermula daripada tiga sahabat iaitu Raku, Nono dan Yu pelajar sekolah menengah yang menubuhkan “Agensi Dating” di sekolah bagi membantu pelajar-pelajar mencari kekasih. Agensi mereka ini merupakan pertubuhan rahsia dan tidak sepatutnya diketahui oleh guru-guru. Malah mereka mendapat pulangan wang yang lumayan hasil daripada aktiviti mereka ini.

Pada suatu hari, seorang guru bernama Encik Toda telah melihat iklan promosi agensi mereka yang tidak disimpan dengan cermat oleh seorang pelajar. Encik Toda mengugut untuk melaporkan aktiviti mereka ini dan menghukum mereka, kecuali jika mereka sanggup membantunya dalam suatu hal. Encik Toda mahu ketiga-tiga mereka membantu seorang kawan perempuannya bernama Kazuki bagi mencari seorang teman lelaki.

Pada mulanya Raku, Nono dan Yu berasa bahawa tugas itu mudah sahaja memandangkan Kazuki seorang wanita yang cantik. Tetapi setelah mengenalinya, nyata tugas itu bukan sahaja susah malah hampir mustahil. Kazuki enggan dijodohkan dengan mana-mana lelaki pun, kerana di hatinya hanya ada Encik Toda!

Barulah mereka tahu bahawa Encik Toda selalu diganggu oleh Kazuki yang tergilakannya. Encik Toda sudah mempunyai teman wanita, namun Kazuki gemar membuat pengakuan bahawa dialah teman wanita Encik Toda yang sebenar. Kazuki kerap menelefon Encik Toda untuk mengganggunya. Malah dia juga pernah menghantar surat ugutan kepada teman wanita Encik Toda. Oleh itu Encik Toda merasakan mungkin cara terbaik untuk menghentikan perbuatan gila Kazuki itu adalah dengan cuba memperkenalkannya dengan seorang lelaki lain.

Namun tugas itu sememangnya tidak mudah. Tambahan pula Kazuki yang sentiasa berlemah-lembut terhadap kanak-kanak itu boleh berubah menjadi ganas dalam sekelip mata sekiranya hal Encik Toda dipersoalkan.

Sebuah lagi kisah melankolik dalam buku ini, Lagu Manis Buatmu mengambil latar tahun 1922 dan membawakan kisah Setsu yang bekerja di sebuah kedai buku. Pada suatu hari dia telah berkenalan dengan pemuda bernama Shotaro yang amat mencintai bidang muzik dan menyimpan cita-cita untuk menjadi penggubah lagu. Setsu pernah mendengar Shotaro bermain organ di gereja dan yakin bahawa lelaki itu sememangnya berbakat. Impian Shotaro mahu menghasilkan lagu yang kekal diingati sekalipun dirinya sudah tidak ada lagi. Setsu setia mendorong Shotaro agar terus mengejar impiannya dengan penuh semangat.

Shotaro berjaya menghasilkan sebuah lagu dan memperdengarkannya kepada Setsu. Namun lagu itu tidak sempat pun diperdengarkan kepada orang ramai. Tidak lama selepas itu Shotaro terkorban dalam sebuah tragedi gempa bumi.

Setsu yang patah hati akhirnya telah dikahwinkan dengan seorang lelaki lain walaupun Setsu tidak mencintainya. Namun lelaki itu seorang yang baik dan Setsu meneruskan kehidupannya dengan lelaki tersebut.

Pada tahun 1995 sebuah gempa bumi melanda kampung halaman Setsu tempatnya berkenalan dengan Shotaro lebih 70 tahun yang lalu. Gereja tempat Shotaro pernah bermain organ dahulu telah ranap dan kerana itulah, orang ramai yang sedang membersihkan lokasi bencana telah menemui organ itu beserta lirik lagu yang pernah ditulis oleh Shotaro. Seorang pelajar telah memainkan lagu tersebut di organ dan dirakam di kaca televisyen untuk didengari oleh semua rakyat Jepun. Lagu itu benar-benar menyentuh perasaan semua yang mendengarnya, termasuklah Setsu yang sudah tua dan kini mempunyai beberapa orang cucu. Akhirnya tertunai sudah impian Shotaro yang mahukan lagu ciptaannya didengari dan dihayati oleh semua orang walaupun dia sendiri sudah berdekad lamanya meninggalkan dunia ini.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Jangka Atribut oleh Clay

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)