Yo! It’s Me! oleh Aznil Haji Nawawi
Yo! It’s Me!
Oleh Aznil Haji Nawawi
130 halaman
Terbitan Melati Publishers Sdn. Bhd. (1993)
Menyelak helaian novel karya Pak Nil ini, aku terasa sedikit-sedikit aura Ahadiat Akashah: novel santai, kisah remaja dan paling penting bahasanya mudah. Bezanya, tulisan Pak Nil lebih kelakar lagi. Baru halaman pertama aku dah terkekek gelak. Walaupun kisah ini bukannya novel lawak bodoh – malah ada mesej-mesej serius yang disampaikan juga – namun gaya penceritaannya memang menghiburkan. Ada sindiran yang mahu disampaikan dengan cara santai dan lawak.
Yo! It’s Me! mengisahkan ragam muda-mudi yang sedang belajar di universiti. Ini kisah Wan Kamarul Zamli Wan Ramli, seorang budak kampung yang bijak akademik tetapi dipinggir oleh warga kampus. Wan berpenampilan selekeh, berkacamata tebal, mempunyai badan berbau, cemerkap, lurus bendul lagi ‘blur’. Disebabkan ‘pakej’ imej diri yang sebegitu, Wan telah digelar ‘Mat Kemut’ oleh seorang senior bernama Fadzli ketika minggu orientasi universiti.
Fadzli adalah senior paling popular di universiti, mempunyai wajak yang kacak selain merupakan anak orang berada. Fadzli digilai oleh para gadis di kampus terutamanya junior yang baru mendaftar. Ini kerana mereka belum tahu perangai sebenar Fadzli yang merupakan spesis buaya darat. Antara gadis-gadis junior yang tergoda dengan Fadzli ialah Faridah, gadis jelita sekuliah dengan Wan. Wan agak terpesona dengan kecantikan Faridah, namun Faridah tidak pernah mempedulikannya pun.
Fadzli serta kumpulan pengampunya suka membuli Wan, tetapi seperti biasa reaksi Wan sememangnya bendul. Walaupun Wan cuba membalas dengan kata-kata, namun responnya yang serba tidak kena dengan situasi itu menjadikannya bahan ketawa semua pelajar dengan berkali-kali ganda lagi. Malah Faridah yang disukai Wan itu pun memperbodohkannya terutama semenjak dia semakin intim dengan Fadzli.
Sebenarnya bukan tidak ada yang kasihan pada Wan. Ada yang ingin berkawan dengannya tetapi takut juga dibuli sama kerana ada kaitan dengan ‘Mat Kemut’ itu.
***SPOILER***
Satu hari sebelum cuti semester bermula, Wan mengharungi hari yang paling malang sekali. Dia telah tertumpahkan Nescafe pada pakaian Faridah, lalu Faridah amat marah kepadanya. Di kelas, dia terjatuh dan menumpahkan dakwat pada pakaian pensyarahnya pula. Wan menjadi bahan ketawa warga kampus sepanjang hari itu. Dia benar-benar tertekan.
Namun di penghujung hari yang malang itu, Wan telah didatangi oleh dua pelajar yang satu kuliah dengannya iaitu Asri dan Kelly. Asri dan Kelly telah memujuknya agar jangan terus bersedih hati. Rupanya selama ini mereka sudah lama memerhatikan Wan dan mereka tidak mahu Wan terus menjadi bahan ketawa orang ramai. Mereka menawarkan diri untuk membantu Wan mengubah penampilan dirinya.
Maka sepanjang cuti semester itu, Wan ‘berkampung’ bersama Asri dan Kelly untuk belajar memperbaiki imej dan pembawaan dirinya. Antara perubahan paling awal yang Asri dan Kelly cadangkan adalah agar Wan menggunakan kanta lekap (pada tahun 1990-an ketika novel ini ditulis, kacamata itu sesuatu yang merosakkan gaya dan ingin dijauhi semua orang. Malah wujud kata-kata “Men don’t make passes to girls who wear glasses” – lelaki tidak akan memandang wanita yang berkacamata).
Asri dan Kelly turut mengubah stail rambut Wan selain membantunya memilih pakaian yang lebih trendy. Wan juga disuruh menggunakan deodoran bagi menghilangkan bau badannya serta diajar postur yang betul ketika berjalan agar kelihatan lebih berkeyakinan. Nyata, perubahan yang amat positif dapat dilihat. Malah, ternyata Wan sebenarnya jauh lebih kacak daripada Fadzli yang bongkak itu!
Dalam tempoh cuti semester itu juga, di luar pengetahuan Wan, ada perkara hangat lain yang berlaku. Fadzli telah dipaksa berkahwin oleh kedua ibu bapanya kerana telah menghamilkan seorang wanita bernama Shahila. Shahila yang dikenalinya di kelab malam suatu masa dahulu, telah menemui kedua orang tua Fadzli untuk mengadu tentang kandungannya yang kini berusia lima bulan. Atas sebab itu Fadzli terpaksa bertanggungjawab dan menikahi Shahila.
Faridah patah hati kerana Fadzli telah memutuskan hubungan dengannya. Walhal Faridah sebenarnya sudah mempunyai teman lelaki pun, iaitu Nik yang sedang belajar di luar negara. Namun berita kecurangan Faridah sampai jua ke pengetahuan Nik, lalu Nik turut memutuskan hubungan dengan Faridah. Nasib Faridah bagai sudah jatuh ditimpa tangga pula.
Maka ketika semester bersambung semula, dan ketika Faridah mendapat tahu bahawa Wan kini dengan imej baru yang teramat kacak, Faridah sudah berkira-kira mahu mendampingi Wan pula. Dia tahu selama ini Wan selalu cair dengannya. Maka sudah tentulah dia akan dengan mudah dapat memenangi hati Wan. Faridah cuba bermesra menegur Wan dan mempelawanya duduk di sebelahnya ketika di dewan kuliah.
Namun percaturan Faridah silap. Wan tidak sebendul dahulu lagi. Dia sudah tahu menilai erti keikhlasan dan persahabatan yang sebenarnya. Sesiapa yang memanggilnya Mat Kemut, dia akan membantah dengan lantang dan memberitahu semua agar memanggilnya dengan nama Iwan. Iwan hanya memandang Faridah dengan bersahaja sebelum mendapatkan sahabat-sahabat baiknya, iaitu Asri dan Kelly. Faridah malu besar!
Comments
Post a Comment