Antologi Suamiku (Terfaktab Media)

Antologi Suamiku

176 halaman

Diterbitkan oleh Terfaktab Media (2015)

Antologi Suamiku terlahir daripada niat penerbit indie ini untuk melantunkan ide yang lari daripada kebiasaan yang diketengahkan oleh novel-novel cinta ‘mainstream’ masa kini seperti cinta romantis, suami yang berbicara manis, ‘happily ever after’ dan yang sewaktu dengannya.

Antologi ini menampilkan 18 buah cerpen berkonsep parodi novel-novel cinta popular, yang berhasil membawa pembaca kembali ke alam ‘realiti’ tentang perkahwinan orang kebanyakan di Malaysia ini: suami berhati kering, suami nak kahwin lagi, isteri curang, realiti andartu, atau paling kurang pun kisah kehidupan suami isteri yang normal (yang tidak seperti jalan cerita novel cinta terlaris).

Beberapa karya dalam buku ini turut membawa kisah ‘bukan realiti’ yang berbaur ‘pulp fiction’, namun tetap membawa impak yang serupa. Ringkas kata, hati pembaca yang bujang dijamin tidak akan berbunga-bunga cinta dan tidak akan timbul angan-angan untuk berkahwin segera selepas membaca buku ini!

18 cerpen, 18 penulis: ada karya yang menarik, ada juga yang ‘entah apa-apa’

Antara kesemua karya dalam buku ini, mungkin yang paling aku ‘enjoy’ sekali adalah cerpen bertema ‘cinta luar biasa’ bertajuk Suamiku Bangla, Nepal, Negro, Vietnam, Siam, Indon, Cina, Rusia, Sweden, Myanmar, Itali, Anjing dan Juga Pekerja Kilang Kondom (gila tak tajuknya!), karya Asyraf Bakti. Pada permulaan kisah ini pembaca dihidangkan pengenalan diri watak utama bergelar Leena Aoi, dan tidak sukar untuk membuat telahan bahawa dia merupakan seorang pelacur. Demikianlah kenapa ‘suaminya’ terdiri daripada ‘spesis’ yang amat pelbagai.

Pada suatu hari, Leena dikunjungi seorang pekerja kilang (lebih spesifik lagi, pekerja kilang kondom) yang datang untuk bersembang sahaja kerana mahu melepaskan tekanan. Pekerja kilang itu tidak seperti pelanggan-pelanggan Leena Aoi yang lain yang selalunya bernafsu rakus. Leena Aoi terus ‘tangkap cintan’ dengan pekerja kilang itu. Selepas pekerja kilang itu tidak mengunjunginya lagi, Leena Aoi menanggung rindu yang teramat sangat. Sehinggalah suatu hari, si dia yang dirindui muncul lagi lalu Leena Aoi tidak membuang masa mengajak pekerja kilang itu berkahwin. Pekerja kilang kondom itu terkejut dan terus menolak kerana dia sebenarnya pengkid dan bukannya lelaki tulen. Perempuan mana boleh berkahwin dengan perempuan?! Namun Leena Aoi tidak terkesan langsung dengan pengakuan buah hati pengarang jantungnya itu dan bertegas bahawa mereka tetap boleh berkahwin: sebabnya, Leena Aoi rupa-rupanya adalah seorang mak nyah! 😂😂😂

Dua lagi karya kesukaan aku dalam buku ini adalah Suamiku Berambut Panjang (tulisan Afiqah AR) dan Suamiku Kucing Berbulu Singa (tulisan Kuhaf). Kedua-duanya adalah kisah rumahtangga yang ‘biasa-biasa’ sahaja, iaitu kisah isteri yang kurang senang terhadap sesuatu hal mengenai suami masing-masing. Bagi aku, keistimewaan kedua-dua karya ini terletak pada gaya penceritaan yang bernada komedi [tidak romantik]. 

Seperti yang tergambar dalam tajuknya, Suamiku Berambut Panjang memaparkan isteri yang sangat rimas dengan kegemaran suaminya menyimpan rambut panjang mengurai. Banyak kali juga, si isteri terkena gegaran jantung kerana takut melihat suaminya ibarat hantu berambut panjang dalam filem-filem. Lalu si isteri pun merancang pelbagai taktik yang melucukan untuk memberi ‘hint’ agar suaminya menggunting rambut itu, namun semuanya gagal. Sehinggalah pada suatu hari, tanpa disuruh-suruh tiba-tiba suaminya pulang ke rumah dengan berkepala botak. Rupa-rupanya, suaminya tiba-tiba terasa ingin pergi menunaikan umrah, maka rambut panjang mengurainya pun dibuang awal-awal agar lebih memudahkan!

Suamiku Kucing Berbulu Singa pula kisah seorang isteri yang tidak senang dengan perangai baran suaminya, Jamal. Bagaimanapun, suatu peristiwa yang berlaku semasa malam sambutan Hungry Ghost Festival, telah merubah segalanya. Pada malam tersebut, Jamal telah pulang lewat dari pejabatnya dan telah diganggu oleh bunyi mesin fotostat di pejabat yang berfungsi dengan sendiri tanpa ada sesiapa menyentuhnya. Ketakutan, dia segera pulang ke rumah dan dalam perjalanan bertembung dengan seorang amoi yang menaiki lif sama di rumah pangsapuri yang didiami. Dalam perjalanan naik ke tingkat atas, lif telah mengalami gangguan dan terhenti di pertengahan jalan. Bau busuk tiba-tiba menerobos sekitar ruang lif dan amoi itu mula berkelakuan aneh: ketawa dan menangis serentak! Jamal benar-benar ketakutan, tetapi apabila lif berfungsi semula dan sampai ke destinasi yang dituju, barulah Jamal tersedar bahawa amoi tadi rupa-rupanya telah tercirit di dalam lif dan itulah yang mengakibatkan bau busuk serta emosi kacau-bilau yang dipamerkannya 😂😂😂 Peristiwa malam itu telah Jamal ceritakan kepada isterinya, dan sejak itu isterinya akan menggunakan kisah itu untuk menyakat Jamal bagi memadamkan baran suaminya yang membawa imej garang macam singa, padahal penakut tahap kucing saja!

Walaupun aku secara peribadi lebih senang dengan kisah-kisah yang ‘happily ever after’, namun banyak juga tulisan dalam buku ini – walaupun tidak ada unsur ‘happily ever after’ – yang berhasil membuat aku ketawa seorang diri (atau sekurang-kurangnya tersengih kerang).

Suamiku dan Si Juwita Malam, karya Nazim Masnawi, bermula dengan babak yang agak menggusarkan hati pembaca wanita: masakan tidak, kisah aneh ini membawa pembaca membayangkan sebuah dunia di mana para kupu-kupu malam sewenang-wenang menjaja diri mereka dari pintu ke pintu, termasuklah rumah lelaki-lelaki yang sudah punya isteri. Baharum jenuh menghalau perempuan-perempuan yang datang ke rumahnya setiap malam untuk mempromosi diri masing-masing. Semakin hari yang datang ke rumahnya semakin mengancam sehingga sangat merimaskan isteri Baharum – dan Baharum sendiri pun, mana mungkin tahan godaan sebegitu?! Pada suatu malam, kupu-kupu malam tidak datang lagi. Tetapi tiba-tiba sahaja rumah Baharum didatangi oleh sindiket yang lain pula: lelaki kacak yang ingin menawarkan servis sama, tetapi kali ini untuk isteri Baharum pula! 😅

Suamiku Laki Dia, Hubby dan... tulisan Salleh Kausari pula mengisahkan tiga wanita yang bermadu telah bersatu-padu merancang strategi untuk mengelakkan suami mereka kahwin yang keempat. Walaupun dasar kisahnya patut mengganggu jiwa para pembaca wanita, namun cerpen ini dicoret dengan gaya bersahaja dan membuahkan sebuah karya yang bersifat komedi. Malah penghujung kisah ini memang gempar bilamana impian Karimon membuka cawangan keempat tidak kesampaian kerana calon yang dipilihnya itu rupa-rupanya seorang bapuk 🤣

Tinggalkan sebentar karya-karya bersifat komedi, cerpen Antara Suamiku dan Sebentuk Cincin Hitam (Huda Mutalib) pula bernada lebih serius dengan membawa pembaca menyelami sudut pandang seorang wanita yang aseksual, iaitu golongan yang tidak punya perasaan berahi terhadap mana-mana lelaki (ataupun wanita). Sebenarnya dalam Islam pun, golongan sebegini tidak diharuskan untuk mereka berkahwin kerana sememangnya mereka tidak punya nafsu ke arah itu. Namun masyarakat kita ramai yang tidak memahami hakikat kenapa seorang wanita masih belum berkahwin walaupun usia sudah menginjak tiga puluhan, dan ramai juga yang gemar membuat spekulasi yang tidak tepat langsung.

Sementara itu, beberapa cerpen dalam buku ini pula membuat percubaan menampilkan plot yang luar dari kebiasaan. Suamiku Atukku (Amir Azmi), misalnya, mempunyai unsur-unsur kisah Doraemon yang mengembara dengan mesin masa untuk ke masa lampau sehingga mengakibatkan suatu kitaran perubahan sejarah yang memeningkan kepala kerana tidak tahu di mana titik bermula yang sebenar. Watak Ismadi yang telah berkahwin, kemudiannya pulang ke masa lampau dan mengahwini pula nenek kepada isterinya lalu secara langsung menjadi datuk wanita itu pula (atau sebenarnya, Ismadi mengahwini wanita yang menjadi cucu sendiri? Di sinilah bermula episod ‘keliru’ kerana tidak tahu peristiwa manakah yang terjadi dahulu!) Apa-apa pun kenyataannya pembaca pasti terasa ingin sangat menunjal kepala watak bernama Ismadi tersebut kerana mengahwini dua orang wanita yang mempunyai pertalian darah. Mana-mana satu pun, tindakannya tetap haram jadah!!!

Suamiku Noboru Wataya (Nuruddean) pula mengambil inspirasi daripada karya Haruki Murakami, The Wind-Up Bird Chronicle, serta anime The Cat Returns yang diterbitkan Studio Ghibli, iaitu kisah kucing yang boleh menjelma dalam fitrah manusia. Watak wanita dalam cerpen ini telah bersuamikan seorang lelaki jelmaan kucing: waktu siangnya berjasad kucing, manakala malamnya mengambil bentuk manusia. Tetapi aku lebih berpandangan suaminya lebih mengikut fitrah kucing walaupun ketika dalam tubuh manusia; maka suaminya itu patut dikategorikan sebagai manusia jadi-jadian sahaja.

Karya-karya selebihnya di dalam kolektif ini tidaklah terlalu menarik perhatian aku: mungkin kerana terlalu biasa / tiada apa yang dapat diberi komen, atau terlalu ‘gila’ sehingga tidak mampu dihadam oleh otak aku, dan tidak dapat aku ‘appreciate’ aspek seninya.

Keseluruhannya, karya yang ‘berbeza’ dan bersifat alternatif kepada apa yang ditawarkan dalam penerbitan arus perdana sememangnya wajar diberikan peluang untuk dinilai dan dinikmati oleh pembaca. Namun bagi aku secara peribadi, aku boleh menerimanya selagi tiada mesej ‘hate’ atau unsur sindiran yang melampau. Bagi aku, unsur sindiran yang melampau – seperti beriya-iya mahu menyogok mesej tertentu kepada para pembaca – hanya akan menimbulkan elemen anti-klimaks dalam karya tersebut, sama seperti kita membaca sebuah karya yang terlalu fokus untuk memaparkan tauladan dan pengajaran sehingga pembaca hilang fokus terhadap keindahan seni dalam penceritaan kisah tersebut.


Comments

  1. To be honest, this book is not my kinda read. But some of the stories reminded me of people I know in real life 😆😆😆

    ReplyDelete
    Replies
    1. Same! It's not my cup of tea either.. it's more like something to entertain on short term but definitely not memorable 😅

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Jangka Atribut oleh Clay