The Sultanate: Lord Empero oleh Elvroseth
The Sultanate: Lord Empero
Oleh Elvroseth
883 halaman
Diterbitkan oleh Suara Hati Publication (2021)
Dalam novel setebal lebih 800 halaman ini, garisan masa yang berlalu adalah lebih daripada satu tahun lamanya. Sejujurnya terlalu banyak perkara yang berlaku dalam tempoh tersebut. Namun malang sekali di penghujung novel ini, hampir kesemua watak boleh dikatakan kembali ke status quo asal sejak halaman pertama. Kisah mereka masih tiada konklusi – kerana segalanya hanya bakal terjawab dalam sekuel novel ini nanti. Dalam buku pertama ini, semua watak berputar-putar ibarat bermain merry-go-round – dan bila-bila sahaja, salah seorang daripada mereka boleh terjatuh dari merry-go-round itu, menuju ajalnya.
Novel ini sepatutnya mengambil latar masa hadapan yang bersifat distopian, namun ada kemungkinan juga novel ini lebih berupa ‘alternate reality’ berbanding distopia masa hadapan. Ini kerana novel ini mengandungi rujukan kepada budaya popular masa kini (seperti Blackpink dan Ji Chang Wook 😅), selain ketiadaan sebarang rekaan teknologi baru yang secara logiknya akan wujud di masa hadapan.
Menyentuh mengenai genre, aku sejujurnya masih gagal menentukan genre yang mana satukah paling sesuai buat The Sultanate 1: Lord Empero. Aku lebih cenderung mengkategorikan novel ini secara umumnya sebagai sebuah fiksyen berunsur gelap (dark fiction). Namun pada masa yang sama, penulis ini berjaya menyelitkan unsur humor dalam dialog di beberapa babak, menjadikan novel ini tidaklah seratus-peratus bernada ‘suram’.
Mungkin, novel ini boleh diletakkan di bawah kombinasi beberapa genre sekaligus. Apa yang paling jelas adalah elemen thriller kerana novel ini penuh konspirasi yang meresahkan pembaca, selain kewujudan banyak watak yang tidak boleh dipercayai. Novel ini juga mempunyai unsur mirip fantasi – kerana latar dunia yang jauh daripada realiti masa kini mahupun masa lampau – namun, novel ini tidak pula mengandungi elemen magis ataupun kuasa sakti.
Selain itu, Lord Empero juga mengandungi kisah percintaan yang amat menyentuh hati, namun kegelapan yang menyelubungi pasangan dua sejoli tersebut menjadikan novel ini tidak sama seperti novel cinta yang kebiasaan. Kisah percintaan dalam novel ini banyak diinspirasikan daripada hikayat Greek purba tentang Hades dan Persephone: Hades, sang raja dunia kegelapan dan kematian, yang cuba mencari sebuah ‘kehidupan’ setelah jatuh hati terhadap dewi Persephone.
Ilustrasi Hades dan Persephone oleh AlexandraVBach, DeviantArt
Walaupun novel ini tidaklah menggunakan bahasa setaraf karya sastera, namun ia memaparkan tema dasar yang agak berat, iaitu isu kekuatan akidah serta perjuangan jihad dalam menegakkan agama Islam. Selain itu, alam distopian yang diwujudkan mampu membuat pembaca terasa sesak dan tumpang bersimpati dengan masyarakat yang terpaksa hidup dalam dunia yang jauh daripada kegembiraan dan kebebasan.
The Sultanate 1: Lord Empero merupakan novel Melayu yang paling tragis pernah aku baca, dan watak-watak antagonis dalam novel ini sesungguhnya layak mengungguli Anugerah Watak Paling Jahat Dalam Novel Melayu (setakat ini)!
Novel Lord Empero membawa latar di mana golongan marhaen sentiasa takut akan kezaliman pemerintah sehingga sanggup bersujud sembah terhadap mereka. Sebahagian besar dunia pada masa itu ditadbir oleh lima empayar besar yang bersatu di bawah One Eye, sebuah pakatan yang mengamalkan konsep mirip “Dewa Raja”, di mana raja mereka dianggap seperti Tuhan. Organisasi One Eye ini juga mengamalkan tradisi yang berpandukan falsafah Yunani purba yang bersifat pagan.
Lima buah empayar besar di bawah One Eye adalah Empero yang ditadbir oleh keluarga Morgan, Victora (keluarga Rockefeller), Vermic (keluarga Rothschild), Francassa (keluarga DuPont), dan Americana (keluarga Bush).
Musuh tradisi pakatan One Eye merupakan kerajaan Al-Saud yang dikuasai pemerintah beragama Islam. Al-Saud yang juga memiliki kekuatan ketenteraan serta wilayah jajahan yang luas, langsung tidak gentar terhadap kerajaan-kerajaan One Eye. Situasi antara kedua belah pihak ini sentiasa tegang dan keduanya sentiasa bersedia sekiranya pihak yang satu lagi memulakan sebarang provokasi atau serangan.
Sementara itu, kedudukan masyarakat Islam yang tinggal di dalam wilayah kelima-lima anggota One Eye ini berbeza-beza. Antara kesemua empayar tersebut, hanya kerajaan Victora yang berpusat di Korea Selatan yang memberikan hak sama rata kepada rakyatnya yang beragama Islam. Semua rakyatnya dibenarkan mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sekatan walaupun pemerintah Victora sendiri tidak mempercayai tuhan. Di bawah empayar Vermic pula, umat Islam dijadikan hamba, namun golongan hamba ini masih mempunyai hubungan yang baik dengan tuan mereka.
Umat Islam di Empero – yang berpusat di Sepanyol – adalah yang paling malang dan paling ditindas. Mana-mana rakyat Empero yang mempunyai pegangan agama – tidak kira Islam, Kristian mahupun lain-lain agama – berada pada kasta paling rendah dalam hierarki masyarakat. Malah golongan beragama ini langsung tidak diiktiraf sebagai rakyat Empero dan mereka tidak mempunyai hak untuk bekerja, mendapat pendidikan atau perkhidmatan kesihatan sekalipun. Ringkasnya masyarakat yang beragama dianggap seperti pelarian yang melukut di tepi gantang. Kebiasaannya umat Islam di Empero yang sudah tidak sanggup meneruskan kehidupan di situ akan memilih untuk berhijrah ke Al-Saud.
Lilith Alai’syah, seorang gadis beragama Islam yang dilahirkan dan membesar di Empero dalam keadaan membenci keluarga Morgan yang memerintah. Ketika berusia 20 tahun, Lilith dikejutkan dengan tawaran untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Empero Augustus yang terkemuka. Oleh kerana memang impiannya untuk menuntut ilmu ke peringkat tinggi, Lilith telah melapor diri pada hari pendaftaran universiti tersebut walaupun kehadirannya mengundang rasa pelik orang ramai (dan dirinya sendiri). Kebanyakan pelajar di situ merupakan golongan kasta tinggi seperti golongan Lord dan King. Lilith merupakan penganut Islam pertama yang berjaya terpilih ke universiti paling berprestij di Empero itu.
Pada hari pertama Lilith di universiti, Crown Lord (setaraf Putera Mahkota) Empero, Lord Emuel Hayden Morgan telah membuat kemunculan mengejut di kampus. Semua pelajar di situ telah bersujud hormat bagi menyambut ketibaan Lord Emuel Hayden, kecuali Lilith. Sebagai seorang Muslim, Lilith enggan bersujud kepada seorang manusia, apatah lagi manusia yang zalim seperti ahli keluarga Morgan. Perbuatan Lilith telah menimbulkan kemarahan Lord Emuel Hayden lalu dia ditangkap oleh para pengawal diraja dan dibawa ke istana Empero.
Alangkah terkejutnya Lilith apabila dia dibawa ke istana bukannya untuk dihukum, sebaliknya untuk dikahwinkan dengan Lord Emuel Hayden! Rupa-rupanya pemilihan Lilith ke Universiti Empero Augustus hanyalah suatu komplot yang sudah dirancang awal oleh pihak keluarga diraja Empero untuk mengenalpasti lokasi gadis itu dan membawanya ke istana.
Walaupun keluarga diraja Empero tidak menganut mana-mana fahaman agama, mereka tunduk kepada undang-undang Majlis Fate, iaitu sebuah kumpulan mirip pendeta yang menentukan kod kehidupan rakyat Empero. Antara yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Fate ialah sistem pencarian jodoh rakyat yang dipanggil Fate Mate.
Bagi golongan atasan dalam hierarki masyarakat, pasangan hidup mereka telah dipilihkan oleh ahli-ahli Fate yang menentukannya melalui kaedah tilikan dan sebagainya. Setiap tahun, semua gadis berumur 20 tahun dan lelaki berumur 25 tahun akan dikumpulkan dalam sebuah dewan besar dan nama ‘jodoh’ mereka akan diumumkan ketika majlis itu.
Sepatutnya, setiap individu hanya akan dijodohkan dengan mereka yang sama taraf sahaja. Namun Lilith – sebagai seorang Muslim yang berada di kedudukan paling rendah dalam masyarakat – tiba-tiba sahaja terpilih sebagai jodoh Lord Emuel Hayden, bakal High Lord (Maharaja) Empero! Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Soalan ini bukan sahaja berlegar dalam fikiran keluarga diraja Empero malahan Lilith juga. Nama Lilith tidak sepatutnya berada di dalam sistem Fate itu kecuali jika ada seseorang yang telah mendaftarkan namanya tanpa pengetahuan sesiapa.
****AWAS!!! SPOILER DI HADAPAN****
(Nota: Tujuan utama bahagian spoiler ini adalah untuk menjadi rujukan aku sendiri apabila sekuel novel ini diterbitkan nanti. Jika tidak dicoret segalanya, boleh terlupa pula nama dan peristiwa yang berlaku dalam novel pertama ini!)
Fikiran Lilith bercampur-baur ketika mendapat tahu hal jodohnya yang ditentukan Majlis Fate itu. Lilith lebih rela mati dibunuh berbanding dipaksa hidup sebagai isteri kepada seorang pemimpin yang angkuh, zalim lagi tidak bertuhan.
Jauh di sudut hati Lilith, dia sebenarnya ada menyimpan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan Empero pimpinan Morgan ini. Ketika masih kecil, arwah ibu Lilith selalu berpesan kepadanya agar tidak takut kepada keluarga Morgan itu kerana mereka juga hanyalah manusia biasa.
“Jangan bersujud pada Empero, Lilith... tapi bawa mereka untuk sujud bersama-sama. Sujud pada Tuhan Yang Esa.” (Lady Lila, halaman 67)
Walaupun pada mulanya Lilith menyangka dia boleh mengambil peluang “menjadi ahli keluarga diraja” ini untuk menjatuhkan Empero dari dalam, tetapi nyata tugasan tersebut teramat sukar untuk digalas. Ahli keluarga diraja Empero lebih licik dalam taktik mereka untuk memberi tekanan ke atas Lilith agar menurut perintah mereka. Lilith sendiri nyaris-nyaris berputus asa dengan nasibnya yang berada di dalam tangan kerabat Empero itu.
Lilith Yang Membenci Keluarga Morgan
Sebenarnya Lilith ada sebab untuk amat membenci keluarga diraja Empero ini. Arwah ibunya, Lady Lila, sebenarnya merupakan pewaris takhta kerajaan Empero suatu masa dahulu. Mengikut sistem Fate Mate, Lady Lila sepatutnya dikahwinkan dengan sepupunya Lord Christopher, namun dia telah melarikan diri setelah jatuh cinta dengan Putera Mahkota Al-Saud ketika itu, Syeikh Abdul Muhammad. Lady Lila telah melarikan diri dari istana untuk memeluk Islam dan berkahwin dengan Syeikh Abdul Muhammad yang kemudiannya menukar nama kepada Abdul Yaseer selepas mereka nekad menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa sahaja.
Lord Christopher, atas persetujuan pendeta Fate, telah berkahwin dengan Lady Jasmine lalu merekalah yang ditabalkan sebagai High Lord (Maharaja) dan High Lady (Maharani) Empero terkini. Sementara di Al-Saud pula, takhta diraja diwarisi oleh adik Syeikh Abdul Muhammad selepas kekandanya itu melarikan diri ke Empero untuk menikahi Lady Lila.
Lady Lila dan Syeikh Abdul Muhammad a.k.a Abdul Yaseer kemudiannya dianugerahkan dengan kehadiran Lilith Alai’syah, dan kehidupan mereka sekeluarga bahagia – sehinggalah mereka berjaya dikesan oleh pihak keluarga diraja Empero yang rupa-rupanya masih memburu mereka. Ketika itu, Lilith sudah berusia empat tahun. Lady Lila dan Abdul Yaseer dibawa pergi dan dijatuhkan hukuman bunuh. Lilith berjaya disembunyikan oleh sebuah keluarga angkat yang membawanya jauh dari tempat tinggalnya dahulu. Pemerintah Empero tetap ligat memburu Lilith kerana mereka tidak mahu Lilith muncul semula suatu hari nanti bagi menuntut takhta Empero yang sememangnya lebih layak buatnya. Namun Lilith tetap tidak berjaya ditemui, sehinggalah gadis itu menginjak usia 20 tahun dan namanya terpilih dalam sistem Fate untuk dijodohkan dengan Lord Emuel Hayden.
Kehadiran Lilith ke istana Empero telah mengundang reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak. High Lord Empero, Lord Christopher, tahu bahawa Lilith merupakan anak Lady Lila yang dicari selama ini. Memandangkan dia tidak berhak menghalang jodoh yang sudah ditetapkan dalam sistem Fate, maka Lord Christopher mencuba pelbagai helah untuk menggagalkan rancangan perkahwinan antara Lilith dengan Lord Emuel Hayden. Sementara di pihak Lord Emuel Hayden pula, dia sangat inginkan perkahwinan tersebut kerana dia punya agenda yang tersendiri.
Mengikut undang-undang Empero, seseorang itu tidak layak menaiki takhta sebagai High Lord selagi dia belum berkahwin. Menurut tradisi, upacara pertabalan High Lord baru akan diadakan selepas beberapa hari Crown Lord mendirikan rumahtangga. Oleh itu, mahu atau tidak Lord Emuel Hayden sememangnya nekad untuk mengahwini Lilith agar dia berkelayakan mendapat takhta Empero bagi menggantikan Lord Christopher. Dia tersangat inginkan takhta Empero, dan sememangnya impian Lord Emuel Hayden untuk menjatuhkan dan menghapuskan ayahanda yang amat dibencinya itu.
Kisah Hidup Lord Emuel Hayden
Hayden bukan anak Lord Christopher dengan isterinya Lady Jasmine, kerana Lady Jasmine tidak dapat mengandung. Lord Christopher pernah menjalinkan hubungan gelap dengan seorang wanita dan wanita itulah yang melahirkan Hayden. Kekasih gelap Lord Christopher itu merupakan seorang wanita Muslim yang longgar pegangan agamanya bernama Fatimah Zahra. Hayden sebenarnya dilahirkan sebagai seorang Muslim yang bernama Muhammad Eman dan dibesarkan oleh keluarga sebelah ibunya. Namun pada suatu hari, Lord Christopher telah merampas anak tersebut dan menamakannya Emuel Hayden lalu membesarkannya sebagai seorang yang tidak mempercayai tuhan. Tidak cukup dengan itu, Lord Christopher turut melatih Hayden menjadi seorang manusia yang tidak berperasaan dan sanggup membunuh.
Hayden yang masih muda ketika itu amat takut terhadap Lord Christopher dan hanya mampu menurut sahaja arahan-arahan ayahandanya walaupun dia tidak sanggup melakukannya. Lord Christopher telah mengarahkan Hayden untuk membunuh semua ahli keluarga yang membelanya sejak kecil dahulu. Malah Lady Lila sendiri sebenarnya mati di tangan Hayden; ketika itu Hayden masih kecil lagi dan dipaksa melakukan pembunuhan kejam itu. Kezaliman-kezaliman yang Lord Christopher paksakan ke atas Hayden telah menggelapkan jiwa anak itu dan dia membesar menjadi seorang yang sentiasa tertekan mentalnya kerana menanggung rasa bersalah yang teramat sangat. Hampir setiap malam, Hayden akan bermimpi buruk dan jeritan-jeritan manusia yang pernah dizaliminya sentiasa menghantui hidupnya.
Maka Hayden nekad untuk menjatuhkan ayahandanya selepas menaiki takhta Empero nanti agar Lord Christopher tidak boleh memperalatkannya sesuka hati lagi. Hayden sebenarnya berhasrat meminta bantuan daripada kerajaan Al-Saud untuk merealisasikan impiannya itu – dan di sinilah peranan Lilith amat diperlukan. Sebagaimana Lilith berhak ke atas takhta Empero, Lilith juga berhak ke atas takhta Al-Saud kerana Lilith merupakan anak kepada Syeikh Abdul Muhammad, Putera Mahkota Al-Saud dahulu. Sekiranya Lilith bersetuju mengahwini Hayden dan akhirnya naik takhta sebagai High Lady Empero, maka Lilith boleh menjadi jambatan penghubung antara dua empayar yang bermusuhan ini.
Selain daripada mendapatkan bantuan kerajaan Al-Saud, terdapat satu kaedah lagi untuk menjatuhkan Lord Christopher dan membawanya ke muka pengadilan. Suatu masa dahulu, Empero ditadbir berdasarkan kod undang-undang yang tertulis dalam sebuah kitab. Lord Christopher sebenarnya sudah banyak melangar undang-undang Empero yang termaktub di dalam kitab tersebut. Malangnya, kitab itu sudah hilang dan sehingga kini tiada sesiapa pun – hatta Lord Christopher sekalipun – yang mengetahui di mana letaknya kitab itu. Sekiranya kitab tersebut ditemui, kandungannya boleh digunakan sebagai bukti untuk mendakwa Lord Christopher dan mengheretnya ke mahkamah Majlis Fate.
Perkahwinan Lilith Dengan Hayden
Pada suatu malam, demi meyakinkan Lilith agar menerimanya sebagai suami, Hayden telah membawa Lilith bertemu dengan pemerintah kerajaan Al-Saud yang terkini iaitu Sultan Mustaqim. Sultan Mustaqim merupakan sepupu Lilith yang telah mewarisi takhta kerana ketiadaan waris yang lain. Sultan Mustaqim amat mengalu-alukan sekiranya Lilith ingin kembali ke Al-Saud, malah dia sendiri sanggup menyerahkan takhtanya kepada Lilith kerana berasakan Lilith lebih layak mewarisi takhta sebagai Sultanah Al-Saud.
Sultan Mustaqim juga membenarkan kata-kata Hayden bahawa mereka sememangnya sedang berusaha mencari jalan bagi membantu Hayden mematikan pengaruh Lord Christopher dan seterusnya membebaskan Empero daripada cengkaman pakatan One Eye yang tidak bertuhan itu. Walaupun pada mulanya Lilith ragu untuk menerima Hayden, namun dia akhirnya bersetuju setelah diyakinkan oleh Sultan Mustaqim.
Maka pada malam itu juga, Hayden memperbaharui syahadahnya dengan disaksikan oleh Sultan Mustaqim. Sejurus selepas itu, Sultan Mustaqim menikahkan pula Lilith dengan Hayden mengikut cara Islam yang sebenar. Selepas upacara pernikahan mereka secara senyap itu, Lilith tidak gusar lagi untuk menghadapi upacara perkahwinan menurut tradisi Empero sebagai syarat mengaburi mata semua pihak.
Berdikit-dikit, Lilith cuba memahami sikap, tindak-tanduk serta latar belakang suaminya itu. Walaupun Hayden sudah membuat pengakuan bahawa dialah yang telah membunuh Lady Lila, namun Lilith sudi memaafkannya setelah memahami kedudukan Hayden sebagai kanak-kanak yang ditekan ketika itu. Bagaimanapun, Lilith tetap membenci Lord Christopher yang menjadi punca kematian kedua ibu bapanya.
Manakala Hayden pula, berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang baik setelah menikahi Lilith. Dengan bimbingan Sultan Mustaqim yang dihubunginya melalui panggilan video, Hayden belajar mengamalkan ajaran Islam sebaik mungkin. Hayden dan Lilith, dalam diam sama-sama menghidupkan Islam di dalam istana Empero yang dihuni oleh manusia-manusia yang tidak bertuhan. Dan perlahan-lahan, rasa cinta antara Lilith dan Hayden berputik dan semakin berkembang mekar.
Setelah Hayden dan Lilith ditabalkan sebagai High Lord dan High Lady Empero, kebenaran tentang pegangan agama keduanya mula dapat dihidu oleh Lord Christopher. Lord Christopher berkali-kali cuba menghasut Hayden agar tidak terlalu menurut permintaan Lilith, terutamanya yang ‘bertentangan’ dengan tradisi Empero.
Selama ini pun, Lord Christopher membesarkan Hayden dengan hasutan-hasutan agar Hayden tidak mengasihi sesiapa. Menurutnya, percintaan akan melemahkan dan menyakitkan, dan orang yang dicintai pasti akan tetap meninggalkan kita. Lord Christopher sebenarnya amat mencintai Fatimah Zahra dan ingin memilikinya, namun Fatimah telah ‘meninggalkannya’. Daripada kisah percintaannya sendiri yang berakhir tragis, Lord Christopher tidak mempercayai cinta lagi dan enggan membenarkan Hayden menikmati cinta.
Lord Christopher bukan sahaja cuba menjauhkan Hayden daripada perasaan cinta, malah dia juga sering menakut-nakutkan Lilith bahawa di dalam Hayden wujud satu ‘monster’ yang menyebabkan dia tidak akan mampu untuk menyayangi; kononnya kegelapan di dalam jiwa Hayden sudah mustahil untuk dipadam oleh sesiapa pun. Lord Christopher tidak berputus asa untuk meyakinkan Lilith dan Hayden bahawa kisah ‘cinta’ antara mereka adalah mustahil dan tidak akan berkekalan.
Namun Lilith dan Hayden tetap berusaha untuk membuktikan bahawa Lord Christopher salah dalam hal ini. Seperti kisah percintaan Persephone dengan Hades dalam mitos Greek purba, Lilith dan Hayden terus berusaha mempertahankan cinta mereka walaupun hidup diselubungi kegelapan. Kelahiran anak kembar mereka, Alexander Zulkarnain serta Rose Al-Zehra, menambah sekelumit bahagia di tengah-tengah keributan suasana politik dalam negara Empero.
Bibit-bibit Kejatuhan High Lord Emuel Hayden dan High Lady Lilith Alai’syah
Dalam hal urus tadbir Empero, Hayden ligat memperkenalkan reformasi dalam kerajaan sehingga menimbulkan rasa kurang senang Lord Christopher serta para pengikut yang masih setia kepadanya. Antara pembaharuan yang diperkenalkan termasuklah menambah baik kualiti hidup rakyat Empero yang beragama.
Ketika Hayden akhirnya mengumumkan bahawa dia ingin membawa Empero meninggalkan pakatan One Eye, Lord Christopher tahu bahawa dia perlu segera mengambil tindakan drastik untuk menghentikan rancangan tersebut. Lord Christopher, dengan bantuan pengikut setianya dalam istana serta organisasi One Eye, akhirnya melancarkan rampasan kuasa terhadap High Lord dan High Lady Empero itu.
Hayden telah ditembak menggunakan peluru istimewa yang tidak membunuh – tetapi bakal menghilangkan sebahagian besar memorinya. Alexander dirampas oleh orang suruhan Lord Christopher, manakala Rose Al-Zehra ditembak mati di hadapan mata Lilith. Manakala Lilith pula dijadikan orang tawanan dan dipaksa melakukan sesuatu yang tidak terfikir oleh dirinya selama ini!
Lilith dipaksa membuat rakaman suara yang mengakui kononnya dia telah curang terhadap Hayden dan kini merancang untuk melarikan diri dari Empero. Pengakuan palsu tersebut bertujuan untuk ‘membuktikan’ kepada Hayden bahawa cintanya terhadap Lilith sememangnya sia-sia. Dalam keadaan Hayden yang bakal kehilangan memorinya akibat tembakan beracun tersebut, Lord Christopher dan pengikutnya nekad mencipta ‘memori baru’ buat Hayden bahawa kononnya dia telah ditinggalkan oleh isterinya yang curang.
Lilith enggan membuat pengakuan palsu tersebut, namun dia diumpan bahawa dia akan dibenarkan bermesra dengan Alexander sekiranya menurut perintah. Dengan emosi yang tidak stabil dan tidak mampu berfikir dengan baik, Lilith bersetuju lalu merakamkan pengakuan palsu tersebut. Setelah rakaman suara itu berjaya diperolehi Lord Christopher dan pengikutnya, ternyata mereka tetap tidak membenarkan Lilith menyentuh Alexander walau secuit pun. Lilith telah ditipu oleh mereka semua!
Ketika Lilith hampir hilang akal akibat kedajalan Lord Christopher dan para pengikutnya, bantuan yang tidak disangka-sangka tiba tidak lama selepas itu. Tiba-tiba sahaja istana Empero digegarkan dengan serangan ketenteraan daripada pihak yang tidak dapat dikenalpasti. Lord Christopher dan pengikutnya melarikan diri dan meninggalkan Lilith seorang, namun pihak yang melakukan serangan tersebut sememangnya mahu Lilith ditinggalkan sendirian. Mereka kemudiannya mengangkat Lilith ke dalam sebuah helikopter lalu membawa Lilith pergi jauh dari situ.
Rupa-rupanya ‘serangan’ gimik tersebut – yang sememangnya bertujuan untuk menyelamatkan Lilith daripada cengkaman Empero – sudah dirancang secara diam oleh pemimpin empayar Victora, iaitu High Lord Victor. Walaupun Lord Victor juga sebahagian daripada pakatan One Eye, namun dia masih punya perasaan perikemanusiaan berbanding ahli yang lain. Apatah lagi Lord Victor sebenarnya pernah menaruh perasaan terhadap Lilith sebelum ini.
Membina Hidup Baru Di Victora
Dalam keadaan kini, di mana amat berbahaya bagi Lilith untuk terus berada di Empero, Lord Victor nekad melarikan Lilith ke Victora dan membantunya membina semula kekuatan diri yang sudah luput akibat perbuatan musuh dalam selimut di Empero itu. Dengan sokongan daripada Lord Victor dan dua adiknya, Samuel dan Rozayn, Lilith berusaha untuk bangkit walaupun pada mulanya dia sudah pun berputus asa untuk meneruskan kehidupan.
“Everybody is fighting in their own life, Lilith. It’s just not fair to think that they have to be in your shoes just to feel what you have endured to understand you...” (High Lord Victor, halaman 688)
“Life would never get easier, Lilith. It always gets harder and harder. But if one day, you feel like your life is getting easier, trust me. It’s actually you who got stronger. Life never change, you are the one who made the view of your life changed (sic)” (Rozayn Rockefeller, halaman 811)
Lilith turut disokong oleh adik angkatnya, Dahlia, yang juga telah melarikan diri ke Victora untuk bekerja di istana Lord Victor. Keluarga angkat Lilith rupa-rupanya telah dipulaukan oleh masyarakat Islam di Empero kerana mereka dikaitkan dengan Lilith, yang mereka sangka telah meninggalkan Islam demi mengahwini Lord Emuel Hayden. Ibu bapa angkatnya melarikan diri ke Al-Saud, manakala Dahlia yang ketika itu terpisah daripada kedua ibu bapanya, akhirnya mengambil keputusan mengikut Lord Victor dan berhijrah ke Victora.
Rupa-rupanya, dalam diam Lord Victor juga mahu membebaskan kerajaan Victora daripada pakatan One Eye. Sejak dahulu lagi organisasi One Eye kurang mempercayai Victora hanya kerana polisi kerajaan itu yang berlaku adil terhadap masyarakat beragama. Maka Lord Victor nekad meninggalkan pakatan tersebut. Dalam diam Lord Victor sudah pun menghubungi Sultan Mustaqim dan menyatakan hasratnya untuk membentuk gabungan baru dengan Al-Saud.
Peperangan Yang Bakal Tiba
Sementara itu, serangan ‘misteri’ yang berlaku di istana Empero yang membawa kepada ‘kehilangan’ Lilith itu, dianggap oleh puak Lord Christopher sebagai serangan yang didalangi oleh pihak Al-Saud yang bertujuan melarikan Lilith ke sana. Sultan Mustaqim sendiri enggan menafikan tuduhan terbabit dan membiarkan pihak Empero terus mengesyaki Al-Saud. Tambahan pula Al-Saud sudah bersedia melancarkan peperangan ke atas Empero setelah apa yang terjadi.
Semasa Lilith masih lagi High Lady Empero, kerajaan Empero dan Al-Saud telah menandatangani persetujuan untuk berkongsi La Espada, iaitu sebuah kawasan di antara Ethiopia dan Sudan yang kaya dengan hasil emas, secara damai. Kawasan tersebut berada di antara wilayah jajahan Empero dan Al-Saud. Bagi mengelakkan pertelingkahan, La Espada telah dijadikan wilayah di bawah kuasa Lilith sendiri sebagai High Lady Empero dan Sultanah de facto Al-Saud.
Namun setelah Lilith dijatuhkan dan namanya dipadam daripada Empero, Sultan Mustaqim berkira bahawa wilayah tersebut jatuh ke tangan Al-Saud kerana Lilith masih lagi diiktiraf sebagai Sultanah de facto empayar Islam itu. Bertitik tolak daripada itu, Al-Saud bakal berhadapan peperangan dengan Empero dengan menjadikan perebutan La Espada sebagai alasan peperangan.
Victora sepatutnya bersama-sama One Eye merangka strategi peperangan menentang Al-Saud, namun di luar pengetahuan semua, Lord Victor berhubung dengan Sultan Mustaqim untuk bekerjasama dengan Al-Saud dalam peperangan ini. Semua ahli One Eye diikat dengan sebuah perjanjian yang ditandatangani dengan darah, maka satu-satu jalan untuk keluar daripada pakatan ini juga hendaklah melalui pertumpahan darah. Maka Lord Victor nekad, peperangan inilah jalannya!
High Lord Empero Yang Baru
Lebih lima bulan selepas kejadian tragis kudeta di istana Empero, kesemua High Lord daripada pakatan One Eye berkumpul di Victora bagi meraikan Festival Winter Solstice yang dihoskan oleh kerajaan Victora. Atas arahan Lord Victor, Lilith ‘disembunyikan’ daripada pandangan kesemua High Lord yang lain dengan menyamar sebagai orang suruhan istana. Memandangkan umat Islam di Victora bebas mengamalkan ajaran Islam, maka Lilith tiada masalah untuk ‘bersembunyi’ di sebalik hijab serta niqab yang menutupi wajahnya.
Walaupun Lilith pada asalnya berniat menyembunyikan diri sebagai pembantu dapur istana sahaja, namun takdir menentukan Lilith tetap bertemu jua dengan High Lord Emuel Hayden Empero ketika festival musim salji itu berlangsung. Bagaimanapun, Hayden yang kini, tidak sama lagi dengan Hayden yang mula-mula menikahi Lilith dahulu.
Setelah pulih daripada kecederaan tembakan semasa kudeta yang lalu, sebahagian besar memori Hayden sudah terpadam dan dia hanya disogokkan dengan dakyah-dakyah daripada Lord Christopher dan pengikut-pengikutnya yang mahu membentuk pendirian Hayden mengikut acuan yang mereka kehendaki. Dengan rakaman suara pengakuan palsu Lilith itu, mereka meyakinkan Hayden bahawa dia pernah berkahwin namun isterinya itu telah curang dan meninggalkannya. Malah ada yang cuba menyatakan bahawa isterinya itu sudah meninggal dunia ketika melarikan diri dari Empero – mungkin kerana ingin memastikan Hayden tidak akan cuba mencari Lilith lagi. Mereka turut menyogokkan bahawa Alexander Zulkarnain merupakan anak Hayden bersama wanita yang bernama Jeanne. Jeanne sudah lama menaruh perasaan terhadap Hayden namun cintanya tidak pernah berbalas. Jeanne juga amat membenci Lilith dan dialah yang sebenarnya membunuh Rose Al-Zehra yang tidak berdosa. Lord Christopher merancang untuk menyatukan Hayden dengan Jeanne yang juga merupakan anak kepada orang kanan Lord Christopher sendiri.
Walaupun Hayden teramat sakit dengan ‘bukti kecurangan’ Lilith, namun dia tidak pula mempercayai kesemua kepalsuan yang dicipta oleh puak-puak Lord Christopher itu. Jauh di sudut hatinya, dia dapat rasakan seolah-olah semua orang di sekelilingnya sedang menipu dirinya. Dia juga sudah letih kerana tidak berupaya mengingati apa-apa terutama kejadian yang menyebabkannya kehilangan memori itu.
Hayden telah mengupah seorang lelaki bernama Rayyan untuk menyiasat hal sebenar. Hayden berasa curiga apabila Jeanne menyatakan bahawa Alexander adalah anak mereka bersama. Ini kerana wajah Alexander langsung tidak sama dengan Jeanne. Masakan tidak, anak tersebut mewarisi wajah ibu kandungnya, Lilith! Hayden juga tetap mahu menjejaki isterinya yang hilang itu dan sekiranya benar Lilith sudah meninggal dunia, Hayden mahu melihat kuburnya sebagai bukti. Dan sekiranya Lilith masih hidup, dia nekad menjejaki wanita itu dan ‘menghukum’ isterinya yang ‘curang’ itu!
Pertemuan tidak disengajakan antara Hayden dengan Lilith yang menyamar sebagai orang suruhan istana Victora, sekelip mata memberi kesan di hati Hayden. Walaupun dia tidak lagi mengecam wajah itu, namun jauh di sudut hati Hayden terasa seperti mengenali Lilith. Malah dia sendiri berasa tertarik kepada ‘hamba istana’ itu dan mahukan wanita itu. Hayden sememangnya tidak peduli tentang Jeanne langsung. Setelah bertemu Lilith, hatinya amat terpaut kepada Lilith walaupun dia kurang pasti apakah penyebabnya. Hayden juga mengesyaki sesuatu yang pelik dalam diri Lilith kerana seolahnya dia juga ‘mengenali’ Hayden. Malah ‘hamba istana’ itu juga didapati memakai cincin perkahwinan yang mewah dan diperbuat daripada emerald, iaitu batu permata yang menjadi ‘trademark’ kerajaan Empero.
“...I feel like I miss something and now I’ve found it.” (Lord Emuel Hayden, halaman 775)
Pada Lilith pula, walaupun akhirnya dia berpeluang menatap wajah suami yang amat dirinduinya itu, namun hatinya tetap luluh apabila mendapati lelaki itu tidak sama lagi dengan Hayden yang dinikahinya dahulu. Bukan sahaja suaminya itu tidak mengenalinya lagi, malah dengan mudah pula dia termakan dengan tuduhan palsu tentang kecurangan isterinya. Disebabkan itu, Lilith tidak bersedia memberitahu kebenaran tentang dirinya kepada Hayden. Dia hanya memperkenalkan dirinya kepada Hayden dengan nama “Rose”, bersempena nama anak mereka yang telah dibunuh kejam hampir setengah tahun yang lalu.
Lord Roman, Si Pemegang Kepingan ‘Puzzle’ Yang Terakhir
Satu-satunya cara yang ada bagi menafikan tuduhan palsu terhadap Lilith – dan seterusnya membolehkan Lilith mendapatkan semula kepercayaan Hayden – adalah dengan membawa bukti yang selama ini dipegang oleh Roman, bekas pembantu peribadi Hayden. Semasa peristiwa kudeta dahulu, Roman telah cedera ditembak namun dia sempat merakam video kejadian berserta bukti pembunuhan Rose Al-Zehra yang dilakukan oleh Jeanne.
Semasa Lilith menjadi orang tawanan dan dipaksa membuat perakuan palsu itu pula, Lord Victor yang berada di tempat kejadian telah membuat rakaman video juga sebagai bukti Lilith tidak bersalah. Namun Lord Victor telah menyerahkan video tersebut kepada Roman, dan malang sekali Roman pula menyimpan kesemua bukti tersebut di sebuah bilik rahsia di dalam istana Empero.
Lord Victor melarikan Roman ke Al-Saud kerana dia telah diburu oleh Lord Christopher untuk dibunuh. Sultan Mustaqim sudi memberi perlindungan kepada Roman, namun bekas orang kanan Hayden itu teramat tertekan dengan kejadian yang berlaku sehingga nekad membuat percubaan membunuh diri.
Roman telah menulis sepucuk surat buat Lilith dan memaklumkan bahawa segala bukti yang ada boleh didapati di sebuah bilik rahsia di istana Empero yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Roman juga memberi amaran kepada Lilith tentang kewujudan seseorang di istana Empero yang merupakan duri dalam daging tetapi setakat ini, ‘dia’ hanya melihat segalanya dari jauh sahaja tanpa menunjukkan keterlibatannya dalam semua yang berlaku. Malang sekali Roman tidak pula menyatakan nama ‘dia’ yang dimaksudkan itu.
Selepas menyampaikan surat tersebut melalui perantaraan Sultan Mustaqim – yang menyampaikannya pula melalui Lord Victor – Roman telah menelan ubat yang sepatutnya boleh membunuhnya. Namun takdir menentukan bahawa ajalnya belum tiba lagi; Lord Roman hanya jatuh koma dan tidak sedarkan diri sehingga kini.
Dalam keadaan Roman yang sudah kaku dan tidak dapat membantu apa-apa lagi, Lilith dibebani pula dengan misi untuk mendapatkan bukti-bukti tersebut demi mengembalikan memori suaminya yang hilang. Persoalannya, bagaimana Lilith dapat pulang ke Empero lagi?
Situasi Semakin Meruncing
Lord Victor yang pada mulanya ingin melindungi Lilith daripada pandangan Hayden sepanjang Festival Winter Solstice, akhirnya berkira-kira bahawa Lilith boleh cuba mendekati Hayden dan seterusnya mendapatkan sebarang maklumat mengenai peperangan La Espada. Semenjak Lilith tiba di Victora, Lord Victor dan adik-adiknya bukan sahaja memberikan sokongan moral malah mereka turut telah melatih Lilith dengan ilmu pertahanan diri serta ilmu perisikan agar Lilith lebih kuat untuk menghadapi sekitaran yang penuh ancaman ini.
Kemahiran pertahanan diri yang Lilith miliki sekarang turut disedari oleh Hayden yang menyangka Lilith seorang assassin. Hayden sendiri telah menawarkan kepada Lilith untuk menjadi assassin bagi pasukan tentera Empero semasa peperangan La Espada nanti. Namun Lilith, tentulah berada di pihak Al-Saud! Sebarang maklumat risikan penting yang Lilith berjaya perolehi, dia akan salurkan kepada Sultan Mustaqim bagi membantu Al-Saud merangka strategi peperangan yang bakal menjelma itu.
Pada suatu malam, Lilith bertemu dengan Hayden dengan niat berbincang mengenai La Espada. Dalam pada berbincang perihal strategi Empero untuk peperangan La Espada, rasa galau yang bertakhta di hati kedua mereka semakin menggila. Lilith teramat rindukan suaminya, manakala Hayden pula sememangnya teramat mahukan Lilith. Akhirnya mereka hanyut dibuai perasaan dan tidur bersama walaupun situasi tersebut sebenarnya sangat berbahaya kerana ingatan Hayden yang masih belum pulih sepenuhnya.
Ketika Lilith tersedar daripada tidurnya, dia terus menghubungi Rozayn untuk memberi maklumat penting mengenai peperangan La Espada yang diperolehinya sebelum dia ‘hanyut’ bersama Hayden tadi: kerajaan Empero rupa-rupanya telah berjaya menyogok beberapa anggota tentera Al-Saud untuk membelot dan membocorkan rahsia kerajaan!
Babak terakhir novel ini memaparkan Hayden yang sudah turut bangkit daripada tidurnya dan menyedari apa yang sedang dilakukan oleh Lilith. Saat itu juga, Hayden sudah yakin bahawa “Rose” yang baru ditidurinya itu adalah isteri yang dicarinya selama ini, iaitu Lilith Alai’syah!
Dalam keadaan ingatan yang tetap belum pulih sepenuhnya, Hayden mengugut Lilith dengan sebilah pisau yang dihunus ke dada isterinya itu – kemudian novel The Sultanate 1: Lord Empero pun TAMAT DI SITU.
****SPOILER TAMAT****
The Sultanate 1: Lord Empero bakal mempunyai sekuelnya yang akan merungkaikan segala kekusutan yang berlaku dalam novel pertama ini. Jadi agak-agaknya apakah situasi yang mungkin menjadi pembuka kepada novel sekuel ini?
1. Lilith cuba untuk ‘slow-talk’ Hayden bagi melepaskan diri?
2. Lilith ditangkap dan dibawa pulang ke Empero untuk diseksa kejam?
3. Lilith menggunakan kemahiran bertarung yang dipelajarinya untuk menumpaskan Hayden?
4. Lilith terpaksa menerima hukuman mati daripada Hayden? (namun, kebarangkalian untuk situasi ini terjadi adalah hampir mustahil kerana tidak mungkin Lilith meninggal dunia di halaman pertama novel)
5. Muncul watak penyelamat yang muncul di lokasi? (juga mempunyai kebarangkalian rendah walaupun tidak mustahil – manalah tahu kalau adik-beradik Rockefeller itu ‘berani mati’!)
Apa-apa pun yang berlaku, aku berharap agar sekuel novel ini dapat menjawab segala persoalan dengan sempurna. Dan aku pasti, novel sekuel ini semestinya dipenuhi lebih banyak lagi kegelapan, darah dan kematian: Peperangan La Espada. Perjuangan Lilith sendiri yang belum berputus asa untuk cuba mendapatkan kembali suami dan anaknya. Memori Hayden yang masih kabur serta ‘monster’ dalam dirinya yang masih belum mampu dikawal sepenuhnya. Misi mencari kitab undang-undang Empero dan membawa Lord Christopher dan kuncu-kuncunya ke muka pengadilan. Membongkar topeng si pembelot dalam istana Empero yang selama ini hanya menjadi pemerhati. Membebaskan Empero (dan Victora) daripada cengkaman One Eye.
Aku sangat kagum akan idea epik yang asli yang ditampilkan oleh penulis novel ini, namun aku masih belum dapat menentukan sama ada secara keseluruhannya aku ‘suka’ atau ‘tidak’ novel ini. Segala-galanya akan aku tentukan setelah selesai membaca sekuelnya nanti!
Apa pun aku ingin berterima kasih kepada penulis novel ini kerana telah menimbulkan rasa minat aku terhadap kisah percintaan antara Hades dengan Persephone yang sebenarnya agak popular dalam kalangan peminat mitos Greek purba. Selama ini aku hanya tahu siapa Hades, namun tidak pernah mengambil tahu kisahnya dengan Persephone.
Satu lagi ilustrasi Hades dan Persephone, karya Andrromeda Guardamano, DeviantArt
Wow... looks like this novel has a thought provoking storyline and plot. But I believe the author has a good imagination and idea (especially in world-building). Plus, it is cool that the author get inspiration from Hades and Persphone's love story. Reading your review makes me curious about this novel. And at the same time you make it easy for me to visualise the story. Good review ^_^
ReplyDeleteThank you for taking the time to read this post! And I'm glad what I wrote could be understood. Hehehehe! If you think you might enjoy the suspenseful storyline, and all the combination of love, tears, blood and gore, I recommend you to read this novel too. Very interesting 😉
Delete