Dendam Hantu Toyol (tulisan Siti Esah Kamarulzaman)
Dendam Hantu Toyol
Tulisan Siti Esah
204 halaman
Diterbitkan oleh SAM Synergy Media Sdn. Bhd.
Buku ini mengandungi kompilasi 11 kisah seram dan mistik yang ditulis berdasarkan pengalaman sebenar individu yang mengalaminya. Kesemua cerita sudah digarap dengan gaya penulisan kreatif oleh penulis Siti Esah Kamarulzaman. Berdasarkan maklumat yang didapati daripada kisah-kisah ringkas dalam buku ini, dapat ditafsirkan bahawa tidak semuanya berlaku di Malaysia tetapi ada juga kisah dari negara jiran, Indonesia.
Antara yang terkandung dalam buku ini ialah kisah peniaga perabot terpakai yang diganggu oleh bunyi piano setelah sebuah piano lama dibawa ke gudang barangannya (Misteri Piano Tua), mengenai seorang gadis yang mengalami kejadian aneh semasa menggunakan tandas bawah tanah di pejabatnya (Toilet Puaka Bawah Tanah), lelaki yang diganggu pelbagai jenis hantu selepas membuka kedai di sebelah tanah perkuburan (Puntianak Pun Takut), seorang wanita yang terlihat hantu tanpa wajah di tepi perigi sebuah rumah tinggal (Hantu Perigi Usang), dan pengalaman individu yang terlihat jelmaan orang yang mati dalam keadaan tragis (Perempuan Mati Tergantung dan Kerat Enam Belas). Ada juga kisah pengalaman individu yang menyertai program realiti televisyen yang memaparkan cabaran uji keberanian (Berdamping Dengan Hantu).
Kisah Dendam Hantu Toyol yang menjadi pilihan tajuk utama buku ini pula mengisahkan seorang gadis yang diekori seekor toyol tidak bertuan semasa pergi berkelah di kawasan hutan dalam keadaan datang bulan. Toyol itu telah mengekorinya pulang ke rumah kerana mahu menghisap darah kotor gadis itu.
Antara kesemua kisah dalam buku ini, ada tiga kisah yang paling berbekas di hati aku. Yang pertamanya ialah kisah Kubur Menangis, mengenai sebuah kubur baru yang mengeluarkan bunyi tangisan dan rintihan pada waktu malam. Kubur tersebut dikatakan adalah milik seorang remaja perempuan yang baru meninggal dunia ketika ingin menggugurkan kandungan luar nikahnya.
Setelah tular berita mengenai kubur yang boleh menangis, masyarakat setempat mahupun yang jauh terus menyerbu ke kawasan tanah perkuburan itu bagi merakamkan kejadian tersebut. Malahan wartawan televisyen pun hadir bagi membuat liputan tentang kejadian aneh itu. Malangnya ketika dikerumuni ramai orang (dan pada siang hari pula), tiada seorang pun yang mendengar bunyi tangisan tersebut. Akhirnya wartawan televisyen itu membuat kesimpulan bahawa berita tentang kubur menangis adalah tidak benar dan hanyalah khabar angin.
Dua bersahabat, Faizal dan Raihan, yang teringin benar muncul di kaca televisyen, bertekad untuk mengunjungi kubur menangis tersebut pada waktu malam ketika tiada orang dan merakam sendiri sekiranya peristiwa aneh itu berlaku. Tujuan mereka tidak lain hanyalah untuk menjadi masyhur sekiranya menjadi individu pertama yang berjaya membuktikan kesahihan berita kubur menangis itu.
Pada waktu malam yang gelap lagi sunyi, akhirnya mereka benar-benar terdengar bunyi rintihan dan tangisan yang keluar daripada kubur yang dimaksudkan. Malangnya mereka terlampau takut sehingga tidak mampu merakamkan kejadian itu. Apatah lagi mereka telah terlihat suatu lembaga yang sedang berdiri di tepi kubur itu sambil menangis. Faizal dan Raihan lari lintang-pukang meninggalkan kubur itu sehinggalah mereka bertembung dengan seorang lelaki berkopiah yang mereka percaya adalah penjaga tanah perkuburan tersebut.
Lelaki berkopiah itu menasihati Faizal dan Raihan agar tidak memanggil semula wartawan mahupun membuat kecoh tentang kejadian kubur menangis yang sudah terbukti benar itu. Pesannya, usahlah diganggu lagi mereka yang telah meninggal dunia. Tangisan yang timbul daripada kubur itu pastilah milik seseorang yang sungguh menyesal atas dosa yang telah dilakukan ketika hayatnya dahulu, dan amat malang sekali kerana dia sudah tidak boleh kembali lagi ke dunia ini untuk memperbetulkan segala kekhilafan. Orang yang masih hidup, sepatutnya mengambil iktibar atas kematian orang lain dan bukannya menggunakannya sebagai peluang meraih populariti atau membuka aib si mati. Malah lebih baik lagi jika dapat mendoakan kesejahteraan roh orang yang telah meninggal dunia.
Faizal dan Raihan tersedar akan kesilapan diri dan berazam untuk mendiamkan diri sahaja mengenai pengalaman mereka dengan kubur menangis itu. Setelah berpisah dengan lelaki berkopiah tadi, dua sekawan itu bertembung dengan seorang lagi lelaki berkopiah yang juga penjaga di tanah perkuburan yang sama. Setelah mereka memaklumkan pertemuan dengan lelaki berkopiah yang pertama tadi, si penjaga kubur itu terkejut. Menurutnya, lelaki berkopiah yang Faizal dan Raihan temui dan memberi nasihat kepada mereka sebentar tadi telah meninggal dunia sejak setahun yang lalu!
Sebuah lagi kisah menyayat hati, Bertemu Roh Di Perpustakaan mengisahkan seorang mahasiswa bernama Izwan yang sedang mengulangkaji pelajaran di perpustakaan universiti pada suatu malam. Oleh kerana kesunyian, dia telah membuka chat Facebook dan mengajak rakannya Farid untuk belajar bersama di perpustakaan. Farid bersetuju untuk datang ke perpustakaan itu. Tidak lama selepas itu, Farid muncul di hadapan Izwan tetapi wajahnya pucat dan kosong. Farid berpesan kepada Izwan agar datang ke rumahnya esok jam 12 tengah hari. Selepas itu bekalan elektrik di perpustakaan itu tiba-tiba terputus.
Bekalan elektrik disambung semula dalam tempoh yang singkat, tetapi Farid sudah pun hilang dari pandangan. Izwan bertanya kepada kakitangan perpustakaan sama ada mereka melihat Farid sudah keluar dari perpustakaan, namun jawapan yang diterima sungguh mengejutkan. Menurut kakitangan itu, sepanjang malam tersebut hanya Izwan seorang sahaja pelajar yang keluar masuk perpustakaan itu!
Dalam perjalanan pulang, Izwan bertembung dengan seorang lagi rakannya bernama Faiz. Faiz memaklumkan bahawa Farid terlibat dalam kemalangan jalanraya pada petang tadi dan telah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Jenazah arwah akan dikebumikan keesokan hari jam 12 tengah hari. Izwan terperanjat kerana sudah tentunya yang ditemui di perpustakaan sebentar tadi adalah roh semata-mata yang mungkin mahu menemuinya buat kali terakhir.
Kisah terakhir dalam buku ini bertajuk Penunggu Di Air Terjun adalah yang paling meremangkan roma bagi aku. Ia memaparkan kisah seorang gadis yang mengikuti aktiviti perkhemahan sekolahnya di kawasan kaki gunung. Pada waktu awal-awal pagi tanpa disedari orang ramai, Nana dan Fifi telah turun ke kawasan air terjun untuk mandi-manda. Hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ ketika itu, jauh daripada ahli rombongan yang lain.
Selepas 20 minit, Nana ingin mengajak Fifi pulang ke tapak perkhemahan tetapi dilihatnya Fifi semakin jauh daripada dirinya. Nana menjerit-jerit memanggil nama Fifi untuk mengajaknya pulang, tetapi anehnya Fifi seperti tidak langsung mendengar panggilannya. Nana cuba merapatkan jaraknya dengan Fifi yang masih tidak mengendahkannya. Tiba-tiba ada seseorang menarik tangan Nana dari arah belakang. Alangkah terkejutnya Nana apabila melihat Fifi berada di belakangnya! Menurut Fifi, dia hairan melihat Nana yang asyik terpanggil-panggil akan namanya tetapi dalam masa yang sama berjalan semakin menjauh seperti mengejar sesuatu. Nana rungsing dan keliru memikirkan tentang ilusi Fifi yang telah dilihatnya sebentar tadi....
Comments
Post a Comment