Dunia Temakul oleh Baharudin A. Manan
Dunia Temakul
Oleh Baharudin A. Manan
113 halaman
Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1995)
Sebagai membuka tirai tahun 2022 ini, teringin hati aku untuk mengimbau sedikit nostalgia ketika masih bersekolah dahulu. Dahulu, aku gemar ke perpustakaan untuk membaca novel kanak-kanak dan remaja yang berderetan di rak buku. Pada ketika itu, novel kanak-kanak dan remaja berbahasa Melayu yang aku minati kebanyakannya diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka, Utusan Publications, dan Edusystem. Novel-novel ini biasanya membawa kisah kehidupan kanak-kanak dan remaja, tetapi yang paling aku sukai adalah jika terdapat elemen fantasi, misteri atau pengembaraan di dalam karya tersebut.
Dunia Temakul satu novel yang tidak pernah aku baca ketika bersekolah dahulu, namun menepati ciri novel kegemaran aku dahulu iaitu kandungan elemen fantasi. Aku membacanya sambil membayangkan aku sedang berada di perpustakaan sekolah, sama seperti yang biasa aku lakukan lebih 20 tahun yang lalu...
Bab awal novel Dunia Temakul memperkenalkan watak Salmi, gadis berusia 16 tahun yang mengalami tekanan jiwa kerana tidak dapat menerima takdir hidupnya sebagai seorang yang menghidap albinisme. Sebagai remaja dengan jiwa yang memberontak, dia berasa marah terhadap segalanya dalam hidupnya. Dia marah akan keadaan kulit dan penglihatannya yang sangat sensitif terhadap cahaya matahari. Dia marah kerana ibu bapanya selalu risau akan keadaan dirinya sehingga mengongkong kebebasannya. Dia marah terhadap masyarakat sekeliling yang mencemuhnya sebagai anak haram hasil hubungan sulit ibunya dengan orang putih. Dia juga marah kenapa Tuhan memilih dirinya menjadi seorang albino. Dia turut merasakan, bahawa mati adalah jalan yang paling tepat untuk menamatkan penderitaan hidupnya.
Pada suatu hari, ketika merintih nasib hidupnya, Salmi terlihat banyak ikan temakul di sungai berhampiran rumahnya kerana ketika itu musim mengawan. Salmi cuba untuk menangkap salah seekor ikan temakul itu dengan bersungguh-sungguh. Tiba-tiba, dia terasa dirinya ditarik arus yang sangat deras dan setelah sedar apa yang berlaku, Salmi mendapati dirinya dikelilingi ikan temakul bersaiz manusia yang bukan sahaja boleh berdiri seperti manusia, bahkan boleh berkata-kata.
Kata ikan-ikan temakul, Salmi tidak akan dapat pulang ke dunia asalnya lagi. Salmi kini berada di dunia temakul, sebuah dunia yang terasing – sama seperti dunia albino yang selama ini dirasai oleh Salmi. Warna kulit Salmi yang dicemuh di dunia asal Salmi, menjadi pujaan ramai di dunia temakul. Para temakul memandang tinggi pada Salmi kerana warna kulitnya lalu Salmi ditabalkan menjadi ratu dunia temakul.
Walaupun dilayan bagaikan ratu, Salmi tetap tidak gembira hidup di dunia temakul. Dia rindukan keluarganya walaupun sebelum ini dia berkecil hati dengan perbuatan ibu bapa yang mengongkong kebebasannya. Salmi baru mempunyai kesedaran bahawa perbuatan ibu bapanya adalah kerana ingin melindunginya dan bukan kerana menzalimi. Salmi ingin sangat kembali ke dunia asalnya dan bertemu keluarganya lagi.
Pada suatu hari, dunia temakul diserang oleh kaum kodok dari negara lain. Kodok-kodok ini juga adalah kodok luar biasa yang bersaiz seperti manusia dan mampu berbicara. Kodok-kodok ini membawa Salmi ke dunia kodok untuk dikahwinkan dengan raja mereka.
Alangkah terkejutnya Salmi apabila mendapati raja kaum kodok itu adalah seorang kenalan sekolahnya yang juga berpenyakit albino, bernama Salami. Menurut Salami, dia juga telah diculik oleh para kodok dan dibawa ke alam ini, sebagaimana Salmi diculik oleh ikan temakul dahulu. Kaum kodok dan temakul ini sama-sama menyanjung tinggi manusia albino sehingga sanggup menjadikan mereka pemimpin negara.
Salami juga mahu pulang ke dunia asal mereka, dan dia sedang berusaha mencari helah untuk melepaskan diri. Setakat ini, Salami hanya menurut kata kodok-kodok itu sambil mencari peluang untuk lari.
Peluang tiba tidak lama selepas itu apabila Salami mendapat akal ketika melihat gajah diraja negara kodok yang berwarna putih akibat albinisme. Salami menggunakan kuasanya sebagai raja dengan mencabar ketua doktor kodok untuk menukar warna gajah itu agar mempunyai warna kulit sawo matang seperti manusia. Doktor kodok yang cerdik itu telah menyuntik hormon perangsang pigmen warna kulit dan akhirnya gajah tersebut mempunyai warna kulit seperti manusia normal.
Melihat keberkesanan suntikan pigmen warna kulit itu, Salami telah menggunakan hormon tersebut untuk menyuntik dirinya dan Salmi tanpa pengetahuan kodok-kodok. Akhirnya kulit mereka berdua berubah sawo matang dan tidak lagi berwarna putih albino. Disebabkan warna kulit mereka telah berubah, maka para kodok tidak mahu mereka menjadi raja dan ratu lagi. Kaum kodok hanya mengiktiraf mereka yang mempunyai gen albino tulen sahaja sebagai pemimpin.
Dengan itu, para kodok telah membebaskan Salmi dan Salami pulang ke dunia asal mereka. Betapa leganya Salmi dan Salami setelah dapat pulang ke rumah masing-masing akhirnya. Dan alangkah gembiranya Salmi apabila mendapati warna kulit sawo matang yang diperolehinya dari dunia kodok itu masih kekal sehingga saat itu.
Keluarga Salmi dan seluruh kampung gempar apabila mendapati Salmi bukan sahaja tiba-tiba pulang setelah lama menghilangkan diri, tetapi diri gadis itu turut berubah dan penyakit albino yang dideritainya sudah sembuh begitu sahaja.
Ahli keluarga Salmi keharuan menyambut kepulangannya, apatah lagi mereka sudah hampir berputus asa mencari Salmi yang hilang. Masakan tidak, hampir satu bulan sudah berlalu sejak kehilangannya dahulu! Ada penduduk kampung yang percaya Salmi sudah mati dibaham buaya, ada pula yang berkata Salmi diculik bunian.
Salmi serba-salah untuk menceritakan segalanya walaupun kepada ahli keluarga sendiri kerana bimbang dikatakan karut. Apatah lagi dia sendiri terasa segalanya berlalu bagaikan mimpi. Salmi akhirnya lebih selesa untuk berdiam diri. Akhirnya keluarga Salmi dan para penduduk kampung terus memegang tanggapan bahawa Salmi sememangnya telah diculik bunian dan penyakit kulitnya itu pula telah diubati oleh raja bunian.
Walaupun Salmi gembira kerana warna kulitnya sudah tidak cacat seperti dahulu, namun dia sangat terperanjat apabila bertemu dengan Salami tidak lama selepas itu. Ini kerana Salami masih lagi menderita penyakit albino, malahan Salami seolah-olah tidak pernah mengalami pun pengembaraan ke dunia kodok itu. Salami kelihatan terkejut ketika melihat Salmi sudah pulih daripada albinisme. Malah, Salmi mendengar khabar bahawa ibu bapa Salami mengatakan bahawa Salami tidak pernah hilang dari rumah semasa tempoh kehilangan Salmi dahulu.
Persoalan tentang sama ada Salami yang ditemui Salmi di alam kodok itu adalah dirinya yang sebenar atau bukan, kekal tidak terjawab sehingga ke akhirnya...
Comments
Post a Comment