Yes, Boss! oleh Areila Sahimi
Yes, Boss!
Oleh Areila Sahimi
457 halaman
Diterbitkan oleh Kaki Novel Enterprise (2013)
Tahukah anda tentang karya William Shakespeare yang bertajuk A Midsummer Night’s Dream? Novel Yes, Boss! ini bolehlah dikatakan hampir selari dengan tema dalam A Midsummer Night’s Dream: kisah sekumpulan manusia yang keliru dengan perasaan cinta dalam diri masing-masing dan kekhilafan mereka itulah yang mengakibatkan kelewatan dalam proses penyatuan hati mereka.
Dua manusia terpenting dalam novel Yes, Boss! ini dinamakan Aryana dan Ilham. Aryana merupakan setiausaha kepada Ilham dan sememangnya telah tersedar akan perasaan pelik di hatinya terhadap bosnya yang masih muda, bujang lagi kacak itu. Bagaimanapun Aryana menafikan segala perasaannya itu kerana ternyata dia tidak memiliki ciri wanita idaman Ilham. Ilham hanya sukakan wanita yang bergaya seksi dan menggoda sahaja; bukan gadis kampung yang berbaju kurung dan bertudung seperti Aryana. Malah Ilham memang sangat jengkel apabila syarikat milik bapanya itu memilih Aryana sebagai setiausahanya dan bukannya wanita yang ‘hot-hot’ di luar sana.
Ilham juga mempunyai perangai liar yang luar biasa: wanita-wanita yang seksi menggoda itu begitu ramai di keliling pinggangnya sehingga dia perlu membuat sistem giliran teman wanita yang mana satukah yang patut dia temui pada tarikh sekian dan sekian. Tugasan mengaturkan ‘date’ Ilham dengan teman-teman wanitanya diletakkan sepenuhnya ke atas bahu Aryana. Aryana bukan sahaja perlu mengatur temu janjinya, malah perlu memastikan tiada teman wanitanya yang tahu Ilham sebenarnya memasang lebih dari seorang.
Jika ada antara teman wanitanya yang mendapat tahu hal tersebut dan datang menyerang di pejabat, maka Aryana jugalah yang perlu menenangkan wanita-wanita itu sementara bosnya itu menyembunyikan diri. Tugas-tugas tambahan buat Aryana ini sebenarnya lebih kepada tindakan Ilham untuk mendera gadis itu dengan harapan Aryana tidak tahan dan akhirnya berhenti kerja.
Lebih dua tahun bekerja, Aryana masih tahan bekerja di bawah telunjuk Ilham. Sehingga pada suatu hari, Ilham tangkap cintan dengan seorang gadis seksi bernama Mellina yang menyebabkan Ilham akhirnya terbuka hati untuk mengikat tali pertunangan dengannya. Aryana yang patah hati pula tanpa sengaja telah mendapat tahu bahawa Mellina sebenarnya diupah oleh pesaing perniagaan Ilham iaitu Jeffry untuk mengintip dalam syarikat tempat Ilham bekerja. Aryana nekad membocorkan hal tersebut kepada Ilham tetapi nyata Ilham tidak mempercayai Aryana kerana sudah mabuk cinta terhadap Mellina.
Akibat hal tersebut Aryana meletak jawatan dan pulang ke kampung. Ilham tidak mempedulikannya pun sehinggalah pada suatu hari Ilham sendiri ternampak Mellina sedang berseronok dengan Jeffry di kelab malam. Ketika itu barulah dia menyedari bahawa Mellina telah menipunya hidup-hidup. Pertunangannya dengan Mellina diputuskan serta-merta.
Setelah rahsia Mellina bocor barulah Ilham cuba untuk memujuk Aryana kembali bekerja sebagai setiausahanya. Aryana tidak banyak soal kerana dia bosan bekerja di kampung. Ketika itu sudah hampir tiga bulan Aryana meninggalkan syarikat milik bapa Ilham itu. Maka kembalilah Aryana sebagai setiausaha Ilham. Tetapi dia berusaha untuk hanya berurusan secara professional dengan Ilham, malah Aryana telah meletakkan syarat bahawa dia tidak mahu lagi menguruskan jadual ‘dating’ Ilham selepas ini.
Selepas itu barulah Ilham terasa rindu pada Aryana yang dahulu, yang gila-gila dan tidak terlalu formal dengannya. Malah Ilham mula menyedari rasa cemburunya terhadap Aryana apabila Aryana kelihatan rapat dengan Udin, jejaka yang sekampung dengannya. Bagaimanapun di hati Aryana sebenarnya Udin hanyalah seorang kawan baik.
Sekembali Aryana sebagai setiausaha Ilham, berlaku beberapa permainan ‘tarik tali’ antara kedua-duanya. Ketika Ilham ingin merapati Aryana, gadis itu jual mahal. Ketika Aryana cuba berbaik dengan Ilham, lelaki itu pula yang merajuk. Maka sukarlah jalan untuk menyatukan hati mereka ini.
Akhirannya ialah ketika Aryana pulang ke kampung kerana opahnya mengadakan kenduri doa selamat, Ilham yang sebelum ini masih dengan rajuknya menjadi kelam-kabut kerana menyangka kenduri di kampung Aryana itu adalah sempena dengan pernikahan gadis itu. Ilham menerjah kampung Aryana dalam keadaan huru-hara, lalu mendapati bahawa majlis itu bukanlah untuk meraikan perkahwinan Aryana. Ketika itu barulah kedua-dua insan ini memuktamadkan perasaan mereka dan akhirnya bersetuju untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.
Mujurlah penghujung novel ini membawa pembaca ke masa hadapan di mana Ilham dan Aryana sudah punya seorang anak berusia enam tahun. Nyata Aryana tidak menyesal dengan pilihannya menikahi Ilham.
Mujurlah begitu kesudahannya! Kerana aku sedari awal novel sebenarnya terasa rimas sangat dengan setianya Aryana terhadap Ilham. Paling rimas apabila Aryana itu jenis yang tidak pandai ‘cover’ perasaannya itu. Walaupun Ilham selalu melayannya dengan buruk dan tidak memandangnya sebelah mata pun, tetapi dia masih lagi cuba mahu bermanja dengan bosnya itu malah sibuk pula menyusahkan diri sendiri menjaga Ilham di hospital semasa bosnya itu kemalangan dibelasah ketika cuba menggoda isteri orang. Rasa cemburunya ketika Ilham bertunang dengan Mellina pun begitu jelas sekali ditunjukkan.
Sebaliknya Ilham pula selalu mempermainkan Aryana dan pernah menyatakan dengan terang dan jelas bahawa Aryana bukan gadis yang menjadi idamannya, malah cara Ilham menyatakan hal tersebut juga adalah sangat menjengkelkan. Malah Ilham pernah mengeluarkan gurauan berbaur penghinaan apabila merujuk Aryana sebagai anak dara tak laku. Kalau sedari awal Ilham setakat tiada perasaan mungkin boleh diterima lagi; tetapi awal lagi Ilham sudah menunjukkan yang dia benci dan jelik terhadap Aryana. Sebab itulah aku mengatakan, mujurlah Aryana berjaya untuk bahagia dalam perkahwinannya dengan lelaki yang dahulu amat membenci dirinya.
Comments
Post a Comment