Kasih Yang Suci oleh Meen Zulaikha
Kasih Yang Suci
Oleh Meen Zulaikha
562 halaman
Diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn. Bhd. (2007)
Para aktivis dan pejuang hak wanita pastinya berasa agak kurang senang terhadap novel ini. Masakan tidak, novel Kasih Yang Suci memaparkan kisah seorang wanita yang pernah menjadi mangsa rogol sehingga mengakibatkannya kehilangan peluang membina sebuah rumahtangga bersama lelaki yang dicintainya.
Nora Elena telah dirogol ketika berusia 15 tahun oleh seorang lelaki yang tidak dapat dikenalpasti kerana perogol tersebut memakai topeng ski ketika melakukan jenayah tersebut. Oleh kerana berasa takut, keliru dan malu, Elena langsung tidak melaporkan peristiwa tersebut kepada sesiapa pun, hatta ibu bapanya sendiri. Sedangkan bapanya Encik Nordin adalah seorang anggota polis.
Tidak lama selepas itu, Elena sekeluarga berpindah dari Kampung Jaya Sepakat kerana mengikuti Encik Nordin yang ditugaskan ke tempat lain. Seiring perpindahan itu, Elena langsung menguburkan segala memorinya terhadap kampung tersebut dan berharap peristiwa hitam yang terjadi di situ dapat dilenyapkan terus daripada hidupnya.
Sepuluh tahun kemudian, Elena kini bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat perkapalan yang berjaya. Seorang lelaki bernama Saiful Idham amat tertarik kepada Elena dan berusaha keras untuk memenangi hatinya. Namun Elena was-was untuk menerima cinta mana-mana lelaki kerana sedar kesucian dirinya yang sudah diragut tanpa rela, maka lelaki manakah yang sanggup menerima keadaan dirinya itu? Tanpa mengungkit tentang kisah lampaunya itu, Elena lebih selesa untuk tidak menerima cinta daripada mana-mana lelaki dan cukup sekadar berkawan sahaja.
Saiful Idham tidak tahu penyebab kenapa Elena berat hati menerima cintanya, namun dia tetap nekad untuk memenangi hati wanita itu. Akhirnya Elena cair hati juga terhadap pujukan Saiful Idham dan alam percintaan mereka kemudiannya membawa pula kepada fasa pertunangan.
Kira-kira sebulan sebelum majlis perkahwinan mereka, tiba-tiba terjadinya pertemuan demi pertemuan yang tidak disangka oleh Elena. Seorang demi seorang kenalannya ketika di Kampung Jaya Sepakat dahulu muncul semula dalam hidupnya tanpa diduga: Seth, Amir, Razak, Halim. Memori yang selama ini Elena berusaha keras untuk hapuskan, sedikit sebanyak menghantui dirinya semula.
Sehinggalah pada suatu hari Saiful Idham menerima panggilan misteri daripada seseorang yang tidak dikenali yang membocorkan rahsia tentang Elena yang sudah tiada dara lagi. Pemanggil misteri itu tidak pula memberitahu Saiful Idham bahawa Elena sebenarnya dirogol, sebaliknya hanya mengejek-ejek Saiful Idham kerana sanggup mengahwini Elena yang bolehlah dianggap sebagai ‘sisa orang’.
Tuduhan tersebut telah mengakibatkan Saiful Idham salah sangka terhadap Elena. Fikirnya, Elena seorang wanita jalang yang sesuka hati menyerahkan maruah diri kepada sembarangan lelaki. Saiful Idham juga rasa tercabar dengan ejekan pemanggil misteri tersebut. Akhirnya Saiful Idham telah mengambil tindakan melulu dengan memutuskan pertunangannya dengan Elena sedangkan masa tinggal tiga minggu sahaja lagi sebelum majlis diadakan. Kad jemputan sudah diedarkan, segala kelengkapan sudah ditempah. Namun apakan daya, tindakan Saiful Idham dibuat ketika dirinya emosional dan masih belum dapat berfikir secara waras.
Tidak sampai beberapa hari putusnya tali pertunangan Elena dengan Saiful Idham, Seth muncul menawarkan diri sebagai pengganti. Seth merupakan abang kepada sahabat baik Elena ketika di Kampung Jaya Sepakat dahulu, Mei Ling. Seth kini salah seorang ketua di pejabat tempat Saiful Idham bekerja, maka dia dapatlah menghidu hal-hal yang berkait dengan keretakan perhubungan Saiful Idham dengan Elena.
Elena dan keluarganya keliru dengan niat Seth namun akhirnya bersetuju juga menerima Seth sebagai pengganti. Seth sanggup memeluk Islam dan membuat persediaan kahwin dalam tempoh yang singkat itu.
Maruah keluarga Elena akhirnya berjaya diselamatkan kerana tidak perlu membatalkan majlis perkahwinan tersebut. Hanya pengantin lelaki sahaja bertukar orang, namun tiada pihak yang mahu membuka mulut menawarkan pencerahan tentang apa sebenarnya yang sudah berlaku. Elena bungkam tentang punca terputus hubungannya dengan Saiful Idham. Seth juga tidak berkata apa-apa tentang kesungguhannya menggantikan tempat Saiful Idham. Keluarga Elena langsung tidak tahu apa-apa maka mereka juga tidak mampu berbicara sembarangan.
Elena tidak punya perasaan langsung terhadap Seth, namun dia menerima sahaja pernikahan ini demi maruah keluarga. Bukan dia ingin sangat untuk bernikah pun. Dia cuma sekadar mahu menyelamatkan maruah keluarga, apatah lagi ibunya jatuh sakit ketika mendapat tahu Saiful Idham memutuskan pertunangan. Maka Elena menerima sahaja lamaran Seth sebagai takdir ketentuan Ilahi.
Walaupun pada mulanya Elena enggan disentuh oleh Seth kerana teringat-ingat akan peristiwa hitam yang melanda dirinya sepuluh tahun lalu, namun perlahan-lahan dia belajar untuk menerima suaminya itu. Tidak sampai beberapa bulan pun perkahwinan mereka, Elena disahkan mengandung.
Elena kemurungan dengan berita kehamilannya kerana merasakan dirinya belum bersedia menjadi seorang ibu. Belum pun dapat dipujuk perasaannya tentang kehamilannya yang begitu pantas, Elena terduga sekali lagi apabila mendapat tahu bahawa lelaki durjana yang telah merogolnya dahulu ternyata adalah Seth sendiri! Bukan sahaja Seth telah merogolnya, malah dialah juga yang telah membuat panggilan misteri kepada Saiful Idham dan membuka aib Elena sehingga terputusnya pertunangan mereka.
Luka lama berdarah kembali, Elena nekad memulaukan Seth sebagai balasan. Walaupun Seth berulang kali memohon ampun dan menyatakan kekesalan atas keterlanjurannya, Elena enggan memaafkan. Walau Seth memberi alasan melakukan kekhilafan tersebut kerana terlalu mencintai Elena sekalipun, namun hati wanita itu sudah pun membeku seperti ais. Malah jika diikutkan perasaannya, Elena benar-benar mahu menggugurkan kandungannya itu. Jika tidak pun, dia mahu Seth menceraikannya selepas dia melahirkan anak itu nanti.
Sepanjang tempoh sembilan bulan mengandung, Elena dingin dan memberi layanan buruk terhadap Seth. Hampir setiap hari Elena berkasar dengan suaminya, melarang Seth menyentuhnya, menunjukkan wajah masam mencuka, melawan bicara dan permintaan Seth, malah mengeluarkan kata-kata yang melukakan hati suaminya itu. Elena hanya berbicara lembut dengan Seth sekiranya dia perlu berlakon sebagai pasangan bahagia di hadapan pembantu rumah atau keluarga yang datang melawat.
Pelbagai cara sudah Seth lakukan untuk memujuk Elena namun semuanya hampa. Seth ikhlas mencintai Elena; ketika dirinya menjadi rebutan wanita yang bukan sahaja cantik dan seksi malah ikhlas mencintainya, hati Seth tetap tidak berubah. Cintanya tetap hanya untuk Elena. Namun sayangnya Elena bukan sahaja tidak membalas cintanya, malah membenci pula.
Selepas Elena selamat melahirkan seorang bayi lelaki, dendam kesumatnya terhadap Seth masih tidak reda lagi. Kerana marahkan suaminya, anak yang tidak bersalah itu turut terkena tempiasnya. Selepas kelahiran bayi itu, Elena tidak peduli pun untuk menyusukan anak itu atau memilihkan nama untuknya. Malah Elena tidak mahu pun melihat wajah bayi tersebut. Akhirnya Seth sendiri yang menamakan anak itu Muhammad Qadri. Elena pula terpaksa dirayu barulah sudi menyusukan bayi itu, meskipun separuh hati sahaja.
Pada suatu hari, bekas setiausaha Seth, Yvonne telah membuat onar dengan menculik Qadri ketika Seth tiada di rumah. Yvonne amat mencintai Seth namun kecewa kerana cintanya bukan sahaja ditolak, malah Seth telah memecatnya setelah dia tidak henti-henti menggoda Seth walaupun lelaki itu sudah berkahwin. Yvonne teramat benci kepada Elena kerana Seth amat setia terhadap Elena, sedangkan Elena tidak pernah menghargai pun kasih Seth. Yvonne separuh gila setelah diberhentikan kerja, sehingga membawa kepada tindakan gilanya menculik Qadri.
Yvonne bukan mahu apa-apa sebagai pertukaran; dia berjanji akan memulangkan semula Qadri sekiranya Seth sanggup mengahwininya. Seth nanar namun dia tahu Qadri mesti diselamatkan. Apatah lagi Elena hampir histeria ketika mendapat tahu anak itu telah diculik. Akhirnya Seth nekad bersemuka dengan Yvonne. Sekiranya tiada jalan rundingan lain lagi maka dia terpaksalah mengahwini Yvonne sebagai galang-ganti.
Ketika Seth keluar untuk berhadapan dengan Yvonne, Elena baru tersedar betapa kosong hidupnya tanpa suami dan anaknya itu. Ketika dia berdepan dengan situasi di mana dia mungkin kehilangan Qadri atau Seth – atau kedua-duanya sekali, barulah Elena sedar betapa keduanya amat bermakna dalam hidupnya. Namun dia sahaja yang tidak pernah mensyukuri kewujudan suami dan anaknya selama ini.
Sementara itu, ketika Seth dalam perjalanan bertemu dengan Yvonne, dia telah mendapat panggilan telefon daripada seorang kakitangan syarikatnya bernama Pamela. Rupa-rupanya Yvonne telah menyuruh Pamela menjaga Qadri sementara dia menyiapkan diri untuk memaksa Seth menjalani upacara perkahwinan kilat yang dirancangnya. Pamela tidak mahu bersubahat dalam jenayah penculikan tersebut maka dia telah segera menghubungi Seth untuk memberitahu bahawa Qadri ada bersamanya.
Seth terus berpatah balik dari menghadiri 'majlis perkahwinan’ rancangan Yvonne itu sebelum mereka sempat diikat sebagai suami isteri. Seth terus bertemu Pamela untuk mendapatkan Qadri semula. Yvonne teramat marah lalu cuba untuk mengejar Seth namun akhirnya terlibat dalam kemalangan yang meragut jiwanya.
Seth akhirnya bukan sahaja berjaya membawa pulang Qadri dengan selamat, bahkan dia terselamat daripada dipaksa berkahwin dengan Yvonne. Ketika melihat kepulangan suami dan anaknya, hati Elena yang mendingin selama ini hilang serta-merta. Peristiwa tersebut telah mengajar Elena agar lebih menghargai kehadiran Seth dan Qadri dalam hidupnya. Elena terus memohon ampun daripada Seth dan redha melupakan kisah lalu demi memulakan hidup baru yang lebih bahagia.
Comments
Post a Comment