Aku Mahu Banyak Like oleh Ain Maisarah dan Nur Khairiah

Aku Mahu Banyak Like

Oleh Ain Maisarah dan Nur Khairiah

218 halaman

Diterbitkan oleh Blink Book Sdn. Bhd. (2016)

Novel ini mengisahkan Syaza (pernah muncul dalam novel Miss Spa Lawan Gadis Kampung) yang kini mengalami perubahan dalam hidup keluarganya. Segalanya bermula selepas ibu Syaza, Puan Mariah mengambil keputusan untuk berkahwin semula selepas kematian bapa Syaza dahulu.

Puan Mariah berkahwin dengan Tuan Syukur yang mempunyai dua orang anak lelaki – Syawal dan Syakir – daripada perkahwinannya yang terdahulu. Syawal sudah melanjutkan pengajiannya di peringkat kolej manakala Syakir masih berumur lapan tahun.

Sebagai seorang gadis remaja berusia 16 tahun, Syaza mengalami kejutan budaya apabila tiga orang lelaki tiba-tiba sahaja muncul dalam hidupnya. Jika sebelum ini Syaza dibenarkan masuk ke bilik ibunya sesuka hati dan sekali-sekala tidur bersama ibunya, kini dia tidak dapat lagi berbuat demikian kerana ibunya sudah mempunyai suami baru. Syaza juga terpaksa bertudung litup sekiranya Syawal turut berada di rumah. Syaza bertambah tertekan apabila Syawal gemar menyakatnya dengan kata-kata pedas. Malah Syakir yang masih kecil itu pula mempunyai hobi yang tidak menyenangkan Syaza iaitu memelihara haiwan eksotik seperti pelbagai spesis reptilia dan serangga.

Pada suatu hari, Syaza yang biasanya mengenakan kanta lekap setiap hari, terpaksa menggunakan cermin mata setelah kanta lekapnya habis digunakan dan dia tidak sempat membeli yang baru. Cermin mata berbingkai bulat ala Harry Potter itu merupakan pemberian arwah bapanya dahulu, tetapi Syaza tidak mahu menggunakannya sebelum ini kerana dia seorang gadis yang mementingkan penampilan diri. Syaza malu untuk muncul di khalayak ramai dengan gaya berkacamata kerana takut kelihatan seperti ‘nerd’. Dia hanya ingin menggayakan trend remaja terkini, yakni gaya berkanta lekap.

Anehnya, setelah mula berkacamata, Syaza mendapati Syawal dan Syakir tiba-tiba sahaja menjadi patuh kepadanya. Apa sahaja arahan Syaza akan dituruti oleh Syawal dan Syakir walaupun sebelum ini, permintaan seperti itu hampir mustahil untuk dipenuhi oleh kedua-dua adik-beradik tirinya itu. Malah Syawal yang biasanya bermulut ‘longkang’ pun tiba-tiba sahaja menjadi ‘gentleman’ terhadapnya. Syaza mendapati situasi aneh itu akan terjadi sekiranya dia mengenakan cermin mata sahaja. Apabila dia tidak memakai cermin mata, perangai adik-beradik tirinya itu akan kembali normal.

Syaza kemudiannya mula bereksperimen dengan menggunakan cermin mata tersebut. Ternyata, semua lelaki akan tiba-tiba tunduk terhadapnya sekiranya dia mengenakan kacamata. Bukan sahaja Syawal dan Syakir, malah bapa tirinya Tuan Syukur juga akan menurut segala kemahuannya sekiranya dia membuat permintaan sambil memakai cermin mata itu. Di sekolah, tiba-tiba sahaja Syaza menjadi popular di kalangan para pelajar lelaki termasuklah Fahrin yang sebelum ini hanya bergaul dengan pelajar perempuan yang kaya, cantik dan glamor sahaja.

Rakan baik Syaza iaitu Mawar dan Seri mendapati kanta cermin mata Syaza mempunyai kesan pantulan cahaya berwarna-warni dan menyimpulkan bahawa sesiapa yang melihat cahaya tersebut akan terkena aura warna yang membuat mereka mengalami perubahan emosi sehingga mempengaruhi tindak-tanduk mereka. Syaza mula lupa diri setelah yakin cermin matanya mempunyai ‘kuasa ajaib’. Walaupun diberi amaran oleh Mawar, Syaza tetap berdegil dan mula menyalahgunakan ‘kuasa’ tersebut untuk kepentingan diri.

***SPOILERS DI HADAPAN***

Syaza menggunakan kuasa aneh itu untuk menyuruh Syawal dan Syakir bergambar dengannya untuk pertandingan wefie Keluarga Harmoni. Selain itu dia juga mengambil kesempatan untuk mengarahkan Syawal dan Syakir melakukan kerja-kerja rumah. Di sekolah, Syaza menggunakan ‘kuasa’ itu untuk menarik perhatian Fahrin, pelajar lelaki paling popular di sekolah. Malah dia telah menggunakan Fahrin untuk mempromosikan spa milik ibunya iaitu Cinta Spa sedangkan Fahrin sebenarnya tidak berminat pun untuk menjadi model.

Populariti Syaza akhirnya mula menggugat The Wannababes, iaitu sekumpulan tujuh pelajar perempuan yang paling kaya, glamor dan trendy di Sekolah Sri Bangsar. The Wannababes yang sememangnya sombong dan gila glamor itu mula terganggu dengan pengaruh Syaza di sekolah: fesyen kacamata ‘nerd’ Syaza kini menjadi ikutan pelajar sekolah tersebut dan bukan lagi trend berkanta lekap yang dipopularkan oleh kumpulan mereka. Malah gambar penyertaan Syaza dalam pertandingan wefie Keluarga Harmoni mendapat bilangan ‘likes’ yang sangat tinggi, sedangkan selama ini hanya ahli The Wannababes sahaja yang mendapat perhatian di media sosial. Dan yang paling menyakitkan hati ahli kumpulan The Wannababes ialah perubahan Fahrin yang tiba-tiba sahaja seperti tertarik kepada Syaza sedangkan selama ini Fahrin hanya bergaul dengan kumpulan The Wannababes sahaja dan langsung tidak mempedulikan pelajar perempuan lain di sekolah.

The Wannababes bertekad untuk menyiasat punca populariti Syaza. Mereka yakin Syaza menggunakan sejenis ilmu pukau untuk mendapat perhatian orang ramai. Tujuh ahli The Wannababes yang pandai bermuka-muka itu mula mendekati Syaza untuk mencungkil rahsianya.

Pada suatu hari, ahli The Wannababes berjaya mencuri barangan peribadi Syaza ketika Syaza sedang bersolat di surau sekolah. Mereka mula bereksperimen dengan barangan peribadi Syaza untuk mengenalpasti yang mana satukah barang yang ‘berkuasa ajaib’ sebenarnya. Akhirnya, mereka berjaya mendapati hal tentang cermin mata tersebut.

Dengan ‘kuasa’ cermin mata aneh itu, ahli kumpulan The Wannababes muka menyalahgunakannya untuk perkara-perkara yang tidak bermoral. Selain mahu mendapatkan semula perhatian semua pelajar lelaki di sekolah, mereka juga menggunakannya untuk mengarahkan para pelajar lelaki melakukan pelbagai jenis arahan seperti membelikan makanan untuk mereka. Mereka juga ‘memukau’ guru lelaki agar dapat membocorkan soalan ujian kepada mereka. Selain di sekolah, The Wannababes juga membuat kekacauan di luar sekolah seperti ‘memukau’ polis trafik agar tidak menyaman kenderaan yang mereka naiki yang telah melanggar peraturan jalanraya.

Kemuncak perbuatan mereka menyalahgunakan cermin mata tersebut adalah ketika mahu mensabotaj populariti Syaza (yang kini terpaksa kembali berkanta lekap) di media sosial. Salah seorang ahli The Wannababes, Nana, telah menipu Syaza dengan mengatakan bahawa dia berminat untuk berkenalan dengan Syawal. Oleh itu Syaza telah mengaturkan pertemuan antara Nana dengan Syawal di sebuah restoran.

Di luar pengetahuan Syaza, pertemuan itu bukanlah antara Syawal dan Nana seorang sahaja, sebaliknya kesemua ahli The Wannababes hadir sama di lokasi pertemuan tersebut. Ketika itu mereka telah menggunakan kaca mata tersebut dan mengarahkan Syawal melakukan pelbagai aksi memalukan seperti berlakon seperti monyet, terkinja-kinja dan menyanyi tak tentu hala. Syawal yang terkena ‘pukauan’ dari kacamata curi tersebut telah melakukan kesemuanya tanpa banyak soal. The Wannababes kemudiannya merakam aksi Syawal tersebut dan menyebarkannya di YouTube.

Selepas video Syawal tular di YouTube, populariti Syaza mula merudum dan jumlah ‘likes’ di gambar keluarganya dalam pertandingan wefie Kekuarga Harmoni juga semakin berkurangan. Syaza kini sedar bahawa cermin mata tersebut telah dicuri oleh The Wannababes yang kemudiannya telah menyalahgunakannya untuk mempermainkan orang ramai.

Kewujudan video tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada Syaza, malah kesan ke atas Syawal adalah lebih lagi. Syawal sebenarnya sedang berusaha untuk menyertai pasukan ragbi di kolejnya, tetapi dengan penularan video tersebut mengakibatkan peluangnya terjejas. Syawal disyaki mengambil dadah atau minuman keras sehingga mengakibatkannya bertindak sedemikian rupa. Akhirnya Syaza terpaksa memohon maaf dan berterus-terang dengan keluarganya bukan sahaja mengenai hal ditipu oleh ahli The Wannababes, malahan hal berkaitan kuasa aneh cermin mata itu juga.

Puan Mariah teramat malu dan marah akibat perbuatan Syaza yang pada peringkat awalnya turut menggunakan kacamata itu untuk kepentingan diri sendiri. Tetapi setelah mereka semua membuat sesi luahan rasa dari hati ke hati, barulah Puan Mariah faham Syaza sebenarnya sedang mengalami tekanan akibat perubahan yang tiba-tiba dalam keluarganya. Syaza yang masih remaja hanya mahukan perhatian tetapi telah mencarinya dengan cara yang salah. Akhirnya Syaza dan kesemua ahli keluarganya bermaaf-maafan dan berbaik-baik semula. Nyata, cermin mata ‘ajaib’ bukanlah cara yang benar untuk mendapat ‘like’ dalam kalangan ahli keluarga. Sebaliknya berterus-terang dan berlaku jujur adalah lebih baik.

Mereka sekeluarga juga kemudiannya berjaya mendapatkan rakaman CCTV daripada restoran tempat kejadian pertemuan Syawal dengan kumpulan The Wannababes tersebut. Rakaman tersebut membuktikan bahawa Syawal tidak mengambil dadah mahupun minuman keras, sebaliknya telah diarahkan oleh tujuh orang gadis itu untuk melakukan aksi-aksi yang pelik. Pihak kolej Syawal akhirnya membenarkan Syawal menyertai pasukan ragbi kolej setelah mendapatkan bukti rakaman terbabit.

Selepas berbaik-baik dengan ahli keluarganya, Syaza berasa lega walaupun masalahnya dengan The Wannababes belum selesai. Pada suatu hari, ketika berada di kantin sekolah, Syaza yang masih amat marah akibat perbuatan The Wannababes telah nekad meragut semula cermin mata miliknya yang sedang dipakai oleh Fasha, ketua kumpulan tersebut. Cermin mata tersebut cuba dirampas semula oleh ahli-ahli kumpulan The Wannababes yang lain. Dalam kekecohan tersebut, cermin mata tersebut telah tercampak ke dalam air panas yang sedang direbus oleh pekerja kantin.

Walaupun cermin mata tersebut masih boleh digunakan, namun lapisan khas pada permukaan kanta yang boleh membiaskan cahaya berwarna-warni tersebut telah rosak. Akibatnya, cermin mata tersebut akhirnya hilang ‘kuasanya’ dan menjadi cermin mata biasa sahaja. Syaza sudah tidak peduli lagi tentang ‘kuasa’ cermin mata tersebut kerana yang paling penting baginya kini adalah hubungannya dengan kesemua ahli keluarga serta sahabat akrabnya sudah kembali baik.

Tidak lama selepas kejadian itu, The Wannababes cuba untuk mengugut Syaza kerana berani merampas cermin mata yang berada di muka Fasha ketika itu. Tetapi Mawar berjaya menyelamatkan keadaan. Dalam diam, Mawar telah mendapatkan rakaman bukti ahli kumpulan The Wannababes yang sedang cuba memujuk guru lelaki untuk memberikan soalan bocor peperiksaan. Mawar mengugut akan menyebarkan video tersebut dan melaporkannya kepada pengetua sekolah sekiranya The Wannababes cuba mengganggu Syaza lagi. The Wannababes yang takut akan ugutan Mawar bukan sahaja bersetuju untuk tidak mengganggu Syaza lagi, malah mereka berjanji akan menghapuskan video yang mengaibkan Syawal itu.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Jangka Atribut oleh Clay