Aku Mahu Jadi The Wannababes oleh Ain Maisarah dan Haziq Ridzuan

Aku Mahu Jadi The Wannababes

Oleh Ain Maisarah dan Haziq Ridzuan

267 halaman

Diterbitkan oleh Blink Book Sdn. Bhd. (2015)

Kumpulan tujuh orang pelajar perempuan paling diva di Sekolah Sri Bangsar, The Wannababes, menerima kejutan apabila naib presidennya Shasha terpaksa meninggalkan mereka selama dua bulan. Bapa Shasha iaitu Dato’ Saidini telah memaksa Shasha untuk menyertai program pertukaran pelajar ke Vietnam selama dua bulan. Tindakan nekad tersebut adalah sebagai hukuman kerana keputusan peperiksaan Shasha yang sangat teruk baru-baru ini.

Bagi Dato’ Saidini, penyertaan Shasha adalah demi meningkatkan markah penyertaan aktiviti ko-kurikulumnya – memandangkan markah akademik Shasha sememangnya tidak boleh diharap langsung. Tetapi Shasha teramat kecewa dengan keputusan bapanya itu: Shasha yang sudah terbiasa hidup mewah di Malaysia, pastinya enggan menjejakkan kaki ke negara yang dianggapnya mundur, kotor lagi miskin itu. Tambahan pula, Shasha memang berat hati mahu berpisah dengan rakan-rakannya dalam The Wannababes!

Selepas keberangkatan Shasha ke Vietnam, pengasas dan presiden The Wannababes iaitu Fasha menjadi tidak tentu arah. Antara kesemua ahli The Wannababes, Shasha adalah sahabatnya yang paling rapat dan paling dipercayainya. Malah selama ini Shasha juga bertindak sebagai pembantu peribadinya yang menguruskan jadual aktivitinya. Fasha menjadi kemurungan dan emosional selepas pemergian Shasha.

Akhirnya Fasha mengambil keputusan untuk mengambil ahli baru The Wannababes bagi menggantikan tempat Shasha buat sementara waktu. Ahli sementara tersebut hanya akan berada bersama The Wannababes sepanjang ketiadaan Shasha sahaja. Selepas itu dia akan disingkirkan sebaik sahaja Shasha pulang ke Malaysia.

Ahli-ahli The Wannababes terus mencadangkan agar ditetapkan beberapa syarat pemilihan bagi sesiapa yang ingin mencuba nasib menyertai kumpulan tersebut, kononnya bagi menjaga status The Wannababes sebagai kumpulan yang eksklusif lagi berprestij.

Antara syarat yang mesti dipenuhi bukan sahaja cantik dan pandai berfesyen mengikut trend terkini, malah beberapa syarat aneh termasuklah mempunyai ketinggian seperti yang ditetapkan, memakai saiz baju antara XS hingga S sahaja, pandai bergosip dan sangat arif hal ehwal dunia hiburan, suka membeli-belah dan paling utama, calon mestilah merupakan anak orang berada!

Selepas pengumuman mengenai peluang menyertai The Wannababes dihebahkan, mereka menerima tidak kurang daripada 200 permohonan daripada para pelajar Sekolah Sri Bangsar. Setelah ditapis, hanya empat orang sahaja calon yang layak ke peringkat pemilihan seterusnya iaitu termuduga bersemuka dengan kesemua ahli The Wannababes.

Semasa proses temuduga tersebut, calon yang pertama gagal kerana berfesyen dengan gaya yang teruk. Calon yang kedua pula disingkirkan kerana menipu ukuran ketinggiannya; rupa-rupanya ketinggiannya tidak cukup 1 cm daripada syarat yang telah ditetapkan. Calon yang ketiga pula gagal kerana tidak mempunyai pengetahuan tentang dunia hiburan antarabangsa.

Tiba giliran calon yang keempat barulah Fasha terasa senang hati dengannya. Gadis bernama Izrina Amanda Dato’ Megat Tuah itu bukan sahaja cantik, malah juga adalah anak orang berpangkat dan berada dan pernah tinggal di luar negara. Menurut Izrina – yang kemudiannya digelar Rina oleh Fasha – dia pelajar baru di Sekolah Sri Bangsar. Dia baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat. Dia juga mengaku bahawa dia hanya ingin bergaul dengan pelajar yang setaraf dengannya sahaja, oleh sebab itulah dia telah menghantar penyertaannya kepada The Wannababes.

Fasha terus menerima Rina menyertai The Wannababes. Salah satu ahli The Wannababes, Fazura, berasa agak kurang senang terhadap Rina tetapi Fasha dan yang lain semuanya menerima kehadiran Rina dengan hati terbuka.

Ternyata, dalam masa singkat sahaja perangai Rina menjadi lebih sudu daripada kuah. Oleh kerana lantikannya sebagai pembantu peribadi Fasha, maka dia mula memonopoli Fasha seorang diri. Dia menjadi penasihat tidak bertauliah untuk Fasha. Segala cadangan Rina dituruti sahaja oleh Fasha. Beberapa kali Fazura terjebak dengan perang mulut dengan Rina, namun Fasha selalu menyebelahi Rina kerana merasakan hujah Rina lebih logik berbanding Fazura yang lebih beremosi.

Rupa-rupanya di sebalik semua itu, Rina sememangnya mempunyai niat buruk terhadap Fazura. Dia selalu bermanis mulut dan berlagak lemah di hadapan Fasha, tetapi akan mengeluarkan kata-kata pedas apabila berhadapan dengan Fazura. Rina sebenarnya mahu kekal menjadi ahli The Wannababes walaupun selepas kepulangan Shasha nanti. Oleh kerana itu dia berniat mahu mensabotaj Fazura agar Fazura dilucutkan keahlian kumpulan itu. Sekiranya salah seorang ahli The Wannababes dikeluarkan, Rina yakin dia akan diangkat menjadi ahli tetap dan bukan lagi ahli sementara.

***SPOILERS DI HADAPAN***

Pada suatu hari Fazura dan Rina terlibat dalam pergaduhan mulut lagi. Kelancangan mulut Rina telah membuat Fazura hilang pertimbangan lalu menyerangnya secara fizikal. Rina cedera ringan, tetapi perbuatan Fazura itu dianggap melampau oleh Fasha. Fasha terus melucutkan keanggotaan Fazura dalam The Wannababes; maka rancangan Rina telah pun mencapai kejayaan.

Selepas digugurkan taraf, Fazura menjadi bahan hinaan di seluruh Sekolah Sri Bangsar. Jika sebelum ini dia dipandang tinggi dan disegani kerana menjadi ahli kumpulan paling hebat di sekolah, kini dia dihina dan dianggap setaraf pelajar ‘golongan bawahan’ di sekolah itu.

Namun begitu, Fazura enggan mengalah. Dia nekad membalas dendam terhadap Rina. Fazura mula menyiasat setiap kecurigaannya selama ini terhadap latar belakang Rina. Bagi Fazura, kecantikan Rina adalah terlampau sempurna seperti dibuat-buat. Selain itu, Fazura juga sangsi mengapa Rina tidak berlagak seperti anak orang berada: setiap kali keluar membeli-belah, Rina tidak pernah membelanjakan walau satu sen pun sedangkan ahli The Wannababes yang lain semuanya boros berbelanja produk fesyen terkini. Dan Rina juga seolah-olah cuba menyembunyikan latar belakang keluarganya. Setiap kali The Wannababes menyatakan niat untuk datang melepak di rumahnya, Rina akan menghalang dengan pelbagai alasan. Malah ketika mereka hendak makan di restoran terkemuka yang kononnya adalah milik bapa Rina, Rina juga akan menghalang.

Misi penyiasatan Fazura bermula selepas tamat waktu persekolahan suatu hari. Fazura mengekori Rina yang ternyata pulang ke sekolah dengan berjalan kaki sahaja dan bukannya dijemput oleh pemandu sebagaimana yang dicanangnya. Fazura mendapati bahawa Rina benar-benar pulang ke kediaman Dato’ Megat Tuah, namun tetap berasa aneh kerana Rina hanya berjalan kaki sahaja.

Fazura kemudian memberanikan diri menyelongkar barangan peribadi Rina ketika waktu rehat di sekolah. Fazura menemui sekeping kad keahlian perpustakaan Sekolah Menengah Seri Kinrara yang tidak dapat dipastikan siapa pemiliknya. Tetapi dia kemudiannya pergi ke sekolah tersebut dan [merasuah] seorang kakitangan sekolah itu untuk memberikan maklumat mengenai pemilik kad perpustakaan tersebut.

Untuk siasatan seterusnya, Fazura mengunjungi restoran Secret Ingredient milik Dato’ Megat Tuah dan cuba menyiasat sama ada kakitangan di restoran itu mengetahui sebarang maklumat mengenai Rina.

Akhirnya Fazura berjaya merungkai segalanya tentang individu bernama Izrina Amanda yang telah menganiayanya itu: ternyata, dia adalah seorang penipu! Rina bukanlah anak Dato’ Megat Tuah, tetapi hanyalah anak kepada tukang cuci pinggan di restoran Secret Ingredient. Ibu Rina pula merupakan pembantu rumah di rumah Dato’ Megat Tuah – oleh sebab itulah Rina sememangnya tinggal di kediaman hartawan tersebut. Rina mengakui dirinya sebagai anak Dato’ Megat Tuah sementara Dato’ tidak berada di Malaysia ketika ini. Malah pengakuannya baru pulang dari Amerika Syarikat ternyata palsu belaka kerana dia sebenarnya baru berpindah dari Sekolah Menengah Seri Kinrara sahaja.

Walau apa pun, penemuan paling mengejutkan Fazura tentulah wajah sebenar Rina. Mengikut rekod di Sekolah Menengah Seri Kinrara, Rina sebenarnya mempunyai wajah yang sangat hodoh dengan kulit yang bermasalah! Akibat daripada satu kemalangan yang mencacatkan wajah Rina, Dato’ Megat Tuah telah membayarkan kos rawatan pembedahan plastik – dan pembedahan plastik itulah yang berjaya menjadikan Rina secantik seperti sekarang.

Fazura nekad mendedahkan kepalsuan Rina kepada semua warga Sekolah Sri Bangsar. Dia mencetak gambar-gambar lama Rina yang begitu hodoh dan menampalkan gambar tersebut di seluruh papan buletin sekolah. Malah Fazura turut melampirkan sekali pendedahan maklumat mengenai latar belakang sebenar Rina. Semua bukti yang ada didedahkan agar semua orang tahu siapa sebenarnya Rina!

Akibatnya, seluruh Sekolah Sri Bangsar kecoh dan The Wannababes juga terkena tempiasnya! Prestij kumpulan The Wannababes tergugat setelah mereka didapati mengambil seorang pelajar ‘kelas bawahan’ menjadi ahlinya. Malah yang paling memalukan apabila ramai yang mula menuduh ahli-ahli The Wannababes yang lain yang semulajadi cantik itu, turut melakukan pembedahan plastik!

Fasha dan kesemua ahli The Wannababes amat berang dengan pendedahan tersebut. Mereka terus menyerang Rina beramai-ramai dan menjirus Rina dengan air perahan mop yang diambil daripada tukang cuci sekolah. Setelah Rina dihina sebegitu, Fasha mengumumkan pelucutan keahlian Rina daripada kumpulan The Wannababes.

Kesemua ahli The Wannababes kesal kerana telah tertipu oleh kelicikan Rina selama ini. Mereka juga menyesal kerana telah menyisihkan Fazura dan melebihkan Rina yang tidak diketahui asal-usulnya itu. Fasha dan semua ahli The Wannababes kemudiannya nekad memujuk Fazura dengan pelbagai cara. Akhirnya permohonan maaf mereka diterima oleh Fazura dan keahlian Fazura dalam kumpulan The Wannababes dikembalikan.

Sementara itu, Rina tidak muncul lagi di Sekolah Sri Bangsar. Selama ini rupa-rupanya Rina mempunyai masalah konflik personaliti dan kejadian dengan The Wannababes itu telah memberi tamparan besar buat dirinya sehingga membuatkan gangguan emosi Rina menjadi lebih berganda lagi... (Nota: kisah lanjut mengenai Rina ada diterbitkan dalam sebuah novella lain)


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Jangka Atribut oleh Clay