Aku Mahu Popular oleh Ain Maisarah

Aku Mahu Popular

Oleh Ain Maisarah

230 halaman

Diterbitkan oleh Blink Book Sdn. Bhd. (edisi kemas kini tahun 2014)

Selama ini, Sekolah Sri Bangsar mempunyai sebuah sistem ‘hierarki’ pelajar (yang direka-reka sendiri oleh para pelajar) yang tidak ubah seperti sistem kasta.

Pelajar yang berada di hierarki paling tinggi adalah pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan ramai seperti para atlet sekolah, kumpulan pancaragam, kumpulan sorak dan semestinya kumpulan The Wannababes, iaitu kumpulan tujuh pelajar perempuan yang paling popular, paling kaya dan paling bergaya di sekolah. Golongan ini dikagumi para pelajar lain yang menjadikan mereka sebagai ikutan. Ramai pelajar yang bercita-cita untuk masuk bergaul dalam kumpulan mereka.

Malah pelajar yang berada dalam ‘kelas satu’ ini disegani (atau mungkin sebenarnya, ditakuti) para pelajar lain sehingga mereka mendapat layanan luar biasa oleh para pelajar lain. Contohnya, kumpulan The Wannababes mempunyai meja khas untuk makan di kantin sekolah yang tidak boleh digunakan oleh pelajar lain. Jika ada sesiapa yang berani menggunakan meja tersebut, maka mereka akan terkena bahananya. Kalaupun tidak dibuli teruk oleh The Wannababes, paling kurang pun mereka akan merasai penangan kata-kata nista daripada ahli-ahli kumpulan tersebut.

Sementara itu, pada hierarki pertengahan ialah kumpulan pengawas sekolah.

Manakala pelajar-pelajar lain yang tidak termasuk dalam kategori pelajar popular atau pengawas, secara automatik akan dianggap pelajar marhaen dan berada di ‘kasta’ paling rendah.

Dua sahabat baik, Farah dan Ina sebenarnya sangat cemerlang dalam pelajaran mereka, namun kebijaksanaan akademik nyata tidak dipandang oleh warga (pelajar) Sekolah Sri Bangsar. Walau bagaimana cemerlang pun, Farah dan Ina tetap berada dalam ‘hierarki’ paling rendah di sekolah.

Pada suatu hari, Farah dan Ina tiba-tiba sahaja tergerak hati untuk menjadi pelajar popular di Sekolah Sri Bangsar walhal ketika itu mereka sudah pun berada di tingkatan lima. Tiba-tiba sahaja mereka terasa ingin mengecap populariti seperti kumpulan The Wannababes dan menjadi tumpuan pelajar lain di sekolah. Mereka berharap dengan populariti itu membolehkan mereka mendapat meja khas untuk makan di kantin sekolah, selain berpeluang mendekati pelajar lelaki idaman masing-masing, iaitu Fahrin (bagi Farah) dan Tengku Affin (Ina). Fahrin dan Tengku Affin kedua-duanya berada dalam ‘kelas pertama’ hierarki pelajar dan selama ini hanya berkawan dengan kumpulan sama taraf mereka seperti The Wannababes sahaja.

Bermula daripada itu maka tercetuslah strategi-strategi ‘gila’ yang dirancang kedua sahabat baik itu demi mencapai populariti di sekolah. Langkah pertama mereka ialah dengan cuba membuat perubahan pada penampilan diri dengan meniru gaya berfesyen The Wannababes yang sememangnya sentiasa mengikut arus terkini selain sentiasa menggayakan produk-produk berjenama mewah. Setelah berimej baru yang lebih menarik perhatian nanti barulah Farah dan Ina bercadang memulakan langkah perkenalan dengan Fahrin dan Tengku Affin.

Perancangan Farah dan Ina yang mereka sangka cukup bijak lagi sempurna itu rupa-rupanya banyak cacat-celanya. Memandangkan ibu bapa Farah dan Ina bukanlah jenis yang gemar menabur kemewahan sewenang-wenangnya (seperti ibu bapa ahli The Wannababes), maka Farah dan Ina sememangnya tidak mampu untuk bergaya setaraf The Wannababes.

***SPOILERS DI HADAPAN***

Rancangan Farah dan Ina untuk melakukan rawatan mencantikkan rambut di salun tidak kesampaian kerana mereka tidak mampu pun untuk membayar kos rawatan rambut tersebut. Lalu mereka melakukan rawatan sendiri di rumah, namun perbuatan itu telah menyebabkan rambut mereka bukan sahaja bertambah hodoh, malah rosak pula.

Seterusnya, cadangan Farah agar mereka membeli beg berjenama Louis Vuitton (LV) yang diciplak pula membawa akibat yang juga tidak menyenangkan. Farah dan Ina telah membeli dompet LV ciplak yang sama rekaannya dengan dompet LV milik ketua kumpulan The Wannababes, Fasha. Walaupun pada mulanya Farah dan Ina mula mendapat perhatian para pelajar lain, namun kebanggaan mereka ketika menjadi tumpuan ramai itu tidak lama.

Ketika Fasha mendapat tahu Farah dan Ina juga menayangkan dompet ‘LV’ yang sama di sekolah, dia mula berasa sangsi. Dompet LV Fasha adalah tulen dan dibeli di Paris, malah rekaan tersebut sebenarnya merupakan edisi terhad. Kesangsian kumpulan The Wannababes terhadap mereka telah membuat Farah dan Ina panas punggung dan bimbang sekiranya tembelang mereka pecah dan diketahui seluruh warga sekolah.

Dalam pada itu, taktik Farah dan Ina untuk membuka peluang berkenalan dengan Fahrin dan Tengku Affin berjaya namun hasilnya tidak seperti diharapkan. Mereka telah mengusulkan kepada pihak sekolah agar para pelajar yang cemerlang akademik dilantik menjadi pembimbing kepada para pelajar lemah dalam sebuah study group. Farah dan Ina telah memilih sendiri pelajar-pelajar yang perlu mereka bimbing, dan semestinya Fahrin berada dalam kumpulan Farah manakala Tengku Affin bersama Ina. Untuk strategi ini, Ina berjaya berkenalan dengan Tengku Affin yang ramah dan baik hati walaupun lelaki itu selama ini berada dalam ‘kasta’ teratas di sekolah.

Namun nasib tidak menyebelahi Farah apabila Fahrin yang dipuja-puja selama ini ternyata indah khabar dari rupa. Fahrin rupa-rupanya adalah seorang yang biadap dan bongkak dengan kekayaan keluarganya. Tidak padan dengan keputusan peperiksaan yang corot, Fahrin menghina usaha Farah untuk menjadi pembimbingnya dalam pelajaran. Kata Fahrin, keluarganya kaya-raya dan dia boleh mendaftar ke pusat tuisyen sahaja jika ingin meningkatkan keputusan pelajarannya.

Peristiwa kerosakan rambut mereka, rasa kebimbangan kerana takut rahsia mereka membeli barangan ciplak diketahui umum, serta realiti perangai Fahrin – semuanya telah membuka mata Farah dan Ina bahawa perbuatan mencari populariti di sekolah tidaklah seindah mana. Mereka mula insaf dan ingin kembali menjadi Farah dan Ina yang dahulu, yang tidak dipedulikan oleh sesiapa pun.

Namun Farah dan Ina perlu terlebih dahulu membayar harga sebuah populariti (walaupun populariti sementara) sebelum mereka bebas daripada belenggu itu!

Disebabkan kumpulan The Wannababes sangat pantang sekiranya ada pelajar marhaen yang tiba-tiba mendapat perhatian ramai sehingga menggugat populariti mereka, maka kumpulan tujuh orang itu pasti akan merancang sesuatu untuk mengenakan ‘pesaing’ mereka itu. Maka bermulalah ‘perang dingin’ antara Farah dan Ina dengan kumpulan The Wannababes!

The Wannababes mula menyebarkan risalah informasi kepada semua pelajar berkenaan cara-cara mengenalpasti sesuatu produk berjenama sama ada tulen atau tiruan. Risalah tersebut mula membuat para pelajar yang sebelum ini mempunyai sedikit kekaguman terhadap Farah dan Ina, mula memandang serong terhadap mereka. Farah dan Ina pula membalasnya dengan cara menyebarkan markah mata pelajaran matematik yang diperolehi oleh semua ahli The Wannababes, di mana kesemua mereka mendapat keputusan yang amat corot. Selepas itu The Wannababes berterusan mengganggu hidup Farah dan Ina, antaranya dengan melekatkan kotoran pada meja tulis Farah dan Ina selain membuang kasut mereka ke dalam tong sampah yang penuh sisa makanan.

Akhirnya Farah dan Ina nekad memaksa The Wannababes agar bersetuju membuat ‘gencatan senjata’. Farah dan Ina telah mengintip aktiviti malam minggu The Wannababes, di mana mereka berseronok di kelab malam sedangkan mereka masih di bawah umur. Farah dan Ina telah merakam gambar The Wannababes di kelab malam itu dan kemudian mengugut untuk menyebarkan gambar tersebut kepada pihak pengurusan sekolah selain melaporkan kegiatan ahli-ahli The Wannababes itu kepada pihak polis.

Ugutan Farah dan Ina itu akhirnya membuatkan The Wannababes bersetuju untuk tidak mengganggu hidup Farah dan Ina lagi. Sebagai gantinya, Farah dan Ina bersetuju untuk tidak melaporkan The Wannababes kepada pihak pengurusan sekolah serta pihak polis.

Rentetan daripada pelbagai masalah yang menimpa mereka itu, Farah dan Ina tidak lagi teringin untuk mengejar populariti di sekolah. Mereka hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran sahaja memandangkan tahun itu mereka perlu menghadapi peperiksaan SPM.

Selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan, akhirnya Farah dan Ina menjadi popular jua di sekolah setelah kedua-duanya diumumkan sebagai pelajar paling cemerlang dalam peperiksaan tersebut.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Jangka Atribut oleh Clay