Hello, Mr. Perfect! oleh Waniey Zakaria

Hello, Mr. Perfect!

Oleh Waniey Zakaria

674 halaman

Diterbitkan oleh Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd. (2012)

Aku agak ‘pening-pening lalat’ sepanjang pembacaan novel Hello, Mr. Perfect! Masakan tidak, dua watak utama novel ini mempunyai pendirian dan perasaan terhadap satu sama lain yang boleh dikatakan agak ‘bipolar’. Sekejap sayang, sekejap menjauhkan diri. Sekejap berikrar untuk setia dan menerima pasangan seadanya, sekejap mempersoalkan ketepatan tindakan itu. Pendirian yang tidak konsisten ini bolehlah aku samakan seperti watak Hariz dalam novel Ombak Rindu yang sekian lama memberikan layanan pasang-surut terhadap isterinya Izzah.

Idea asas novel Hello, Mr. Perfect! sebenarnya memang unik habis: segalanya bermula dengan pasangan kekasih Arif dan Ainul yang tidak dibenarkan berkahwin selagi abang sulung Arif, Izzul tidak berkahwin dahulu. Ini kerana keluarga Arif berpegang teguh kepada tradisi aneh yang menyatakan bahawa perkahwinan dalam keluarga mereka wajib dimulakan daripada yang sulung dahulu, tidak kiralah sama ada si sulung itu lelaki atau perempuan. Selagi anak sulung tidak berkahwin, selagi itulah adik-adiknya tidak dibenarkan berkahwin.

Izzul pernah dikecewakan oleh satu-satunya teman wanitanya, Ain, hampir sepuluh tahun lepas. Dia cintakan Ain separuh mati sedangkan Ain hanya menggunakannya untuk mengikis wangnya yang berkepuk memandangkan Izzul adalah anak orang berada. Kemarahan dan kekecewaannya terhadap Ain membuatkan Izzul tertutup hati untuk menerima mana-mana perempuan dalam hidupnya. Perangai Izzul yang sudah sedia perfectionist menjadi lebih parah sehingga calon isteri pun dia mahukan wanita yang sempurna serba-serbi.

Keengganan Izzul mencari teman hidup, ditambah pula tradisi pelik keluarga mereka – telah memberi kesukaran dalam situasi Arif. Terutamanya setelah ibu bapa Ainul memberikan Arif kata dua agar segera meminang Ainul dalam tempoh enam bulan. Sekiranya Arif tidak berbuat demikian, maka mereka akan menikahkan Ainul dengan anak kenalan mereka sendiri.

Terdesak, Arif berpakat dengan Ainul untuk mencarikan calon isteri buat Izzul. Kebanyakan calon yang dicadangkan oleh Arif telah pun Izzul tolak mentah-mentah. Semuanya serba cacat di mata Izzul.

Akhirnya Ainul mendapat idea memperkenalkan Izzul dengan sahabat baiknya Alya. Ainul merasakan Alya sangat sesuai dengan Izzul, terutama dari segi fizikal yang sama cantik sama padan. Dengan memperjudikan perasaan sebenar Izzul dan Alya, Arif dan Ainul gigih merancang pelbagai taktik agar keduanya disatukan. Mereka yakin benar Izzul dan Alya mampu membina cinta dan kebahagiaan selepas bernikah nanti.

Kebetulan, Alya sedang menghadapi masalah keluarga di mana bapa tirinya menghilangkan diri setelah berhutang dengan ah long sebanyak RM 300,000. Ah long telah datang menyerang di rumah keluarga Alya, mengugut ibunya selain cuba memperkosa adik tiri Alya, Amani. Ah long juga pernah mencederakan seorang lagi adik tiri Alya, Azizi yang cuba mempertahankan keluarga.

Ainul mendapat tahu masalah Alya itu lalu menawarkan kepadanya wang sebanyak RM 500,000 sekiranya dia mengahwini Izzul. Sememangnya Arif telah bercadang untuk memberi hadiah wang tersebut kepada sesiapa yang mengahwini Izzul sebagai hadiah perkahwinan. Terdesak, akhirnya Alya setuju.

Alya, Ainul dan Arif berjanji untuk tidak membocorkan rahsia tentang wang sebanyak RM 500,000 itu. Apatah lagi, Izzul sebenarnya mahukan seorang isteri yang ikhlas mencintai dirinya bukan kerana rupa, jawatan mahupun harta.

Sebenarnya, Alya sudah lama pun menaruh perasaan terhadap Izzul iaitu sejak dia belajar di universiti dahulu. Tetapi ketika itu Alya berpenampilan seperti tomboy dan tidak memakai tudung. Malah ketika itu hati Izzul pun sudah dimiliki oleh Ain. Alya hanya bertepuk sebelah tangan. Tetapi kini, alang-alang dia berpeluang menikahi Izzul sambil menyelesaikan masalah keluarganya, Alya akhirnya bersetuju.

Ketika hari perkahwinan mereka, Alya mendapat tahu secara tidak sengaja bahawa Izzul sebenarnya menikahinya kerana dendam terhadap Ain. Sejak akhir-akhir sebelum Alya dan Izzul berkahwin, Ain kerap muncul semula mengganggu hidup Izzul, kononnya untuk berbaik semula. Tetapi Izzul bertekad tidak mahu memberi peluang kedua kepada Ain lalu bersetuju mengahwini Alya.

Akhirnya perkahwinan Alya dan Izzul dibina tanpa kejujuran dan keikhlasan, malah boleh dikatakan persetujuan mereka untuk berkahwin dibuat secara tergesa-gesa sahaja sebelum mereka berdua sempat berfikir semasaknya tentang perasaan sendiri. Alya menyembunyikan rahsia tentang wang RM 500,000 itu, manakala Izzul merahsiakan tentang niat asalnya mengahwini Alya. Daripada ketidakjujuran inilah timbul pelbagai masalah dalam perkahwinan mereka (yang berupaya merobek mental para pembaca).

***SPOILERS DI HADAPAN***

Kadangkala Alya berjauh hati daripada Izzul kerana takut untuk menyerahkan cintanya kepada suaminya itu. Dia bimbang jika dirinya akan ditinggalkan ketika sudah mencintai separuh mati. Alya berusaha menjauhkan diri daripada Izzul untuk mengelakkan daripada hamil. Fikir Alya, kehadiran anak akan menambah sengsara sekiranya Izzul benar-benar mahu tukar angin dan kembali kepada Ain semula. Ternyata, beberapa bulan dalam perkahwinan mereka, Izzul pula timbul was-was terhadap perasaannya terhadap Alya. Pernikahannya dengan Alya langsung tidak menghentikan perbuatan Ain mengganggu Izzul melalui panggilan telefon, mesej dan pelbagai rayuan untuk bertemu. Izzul akhirnya membuat kekhilafan apabila terfikir bahawa dirinya masih mencintai Ain. Izzul cuba-cuba juga bertemu dengan Ain secara diam-diam sekadar untuk mengenalpasti perasaannya sendiri. Dia terasa dirinya mungkin masih mencintai Ain tetapi dalam masa yang sama dia juga menyayangi Alya. Bagi merungkai ‘kekeliruan’ itu dia sanggup mempertimbangkan untuk sesekali bertemu dengan Ain. Kemiripan wajah antara Alya dengan Ain semakin menambah kekeliruan dan langsung tidak membantu Izzul berfikir dengan waras.

Akhirnya, tahun pertama perkahwinan Alya dengan Izzul terbazir begitu sahaja dengan pelbagai tindakan mereka yang langsung tidak membawa kepada pengukuhan ikatan perkahwinan mereka. Pi mai, pi mai, tang tu. Ibaratnya seperti sebuah permainan tenis yang tidak selesai-selesai. Atau mungkin permainan tarik tali yang tiada pemenangnya. Inilah yang aku sebut awal tadi, pendirian ‘bipolar’.

Kedua-dua Izzul dan Alya menghabiskan masa sepanjang setahun perkahwinan mereka melayan perasaan was-was terhadap pasangan selain mempersoalkan perasaan sendiri sama ada mereka benar-benar boleh menerima antara satu sama lain seadanya. Ketika mereka berasa nekad untuk menyayangi antara satu sama lain, perasaan itu sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja dan kemudian timbul semula was-was di hati. Kedua-duanya seperti cuba untuk berhati-hati kerana takut bara api menjadi marak bila-bila masa.

Akhirnya perang besar dalam rumahtangga meletus juga selepas Ain yang sememangnya berniat memisahkan Izzul dengan Alya, berjaya mendapatkan bukti tentang wang RM 500,000 yang dihadiahkan oleh Arif. Izzul memulaukan Alya tetapi tidak menceraikannya; dia nekad membuat isterinya menderita dengan cara menggantung tidak bertali. Izzul sebenarnya lebih berasa kecewa berbanding marah kerana menyangka Alya juga salah satu wanita yang menagih kasihnya kerana wang. Dia tidak bencikan Alya tetapi kekecewaannya membuatkan Izzul nekad menghukum Alya sebegitu rupa. 

Tidak lama selepas itu, Izzul pula ditangkap khalwat bersama Ain. Sebenarnya Ain yang memerangkapnya dengan berpura-pura sakit dan meminta tolong Izzul membawanya ke klinik. Kononnya tiada sesiapa yang dapat membantunya ketika itu kerana semua tidak dapat dihubungi. Izzul berat hati tetapi dia tetap ke rumah Ain dengan niat membantu orang dalam kesusahan. Sebaik sahaja tiba di rumah Ain, Ain telah memaksanya masuk ke rumah dan tidak lama selepas itu pihak Jabatan Agama Islam datang menyerbu ke rumah Ain. Sebenarnya Ain sendiri yang memanggil pihak Jabatan Agama Islam terlebih dahulu sebelum ketibaan Izzul kerana mahu memerangkap Izzul. Dengan terbongkarnya kes ‘khalwat’ tersebut, semakin parahlah perang dunia dalam rumahtangga Alya dengan Izzul.

Alya nekad membawa diri meninggalkan rumah untuk menenangkan jiwa. Dia sudah pun berpesan agar Izzul tidak mencarinya lagi dan dia pasrah sekiranya Izzul benar-benar mahu kembali ke sisi Ain. Alya menghilangkan diri sehingga tiga bulan lamanya, namun hatinya tetap tidak tenang juga. Dia rindukan Izzul dan dia tahu hatinya kuat mencintai suaminya itu.

Sementara itu, Izzul juga menanggung rindu yang teramat sangat. Pabila Alya sudah tiada di sisi barulah Izzul sedar bahawa perasaan cintanya adalah untuk Alya dan bukannya Ain. Ain juga hilang tanpa khabar selepas peristiwa ditangkap khalwat itu namun Izzul langsung tidak peduli pun. Dia hanya mahu Alya kembali ke sisinya. Tambahan pula dalam tempoh itu juga Izzul baru mendapat tahu hal sebenar berkenaan wang yang diberikan oleh Arif itu, iaitu sebagai membantu keluarga Alya melepaskan diri daripada cengkaman ah long. Sebelum ini Izzul langsung tidak memberikan Alya peluang untuk memberitahu hal sebenar.

Selepas tiga bulan berpisah barulah Izzul berjaya menjejaki Alya. Namun aksi tarik tali terjadi lagi apabila Alya tidak mahu memberi peluang mudah kepada Izzul memenangi hatinya semula. Dalam pada Alya jual mahal itu Izzul pun terluka sama. Akhirnya berlakulah aksi-aksi tarik tali, tenis, ping pong dan sebagainya: ketika satu pihak mahu berbaik, yang satu lagi jual mahal. Ketika yang seorang lagi pula cuba-cuba berbaik, satu pihak lagi tiba-tiba buat hal.

Mujurlah, akhirnya tiba satu saat Alya dan Izzul sama-sama menyedari kekhilafan sendiri secara serentak. Ketika itu barulah Alya sedar dia telah banyak berdosa terhadap suaminya, manakala Izzul pun sedar dia juga banyak bersalah kerana tidak cukup menghargai Alya selama ini. Akhirnya aku juga lega sama apabila pasangan suami isteri ini akhirnya berbaik semula. Setahun kemudian, Alya disahkan hamil dan mereka bakal menimang cahaya mata lelaki tidak lama lagi. Sementara itu, Ain benar-benar sudah tidak muncul lagi dalam hidup mereka; kononnya dia sudah melarikan diri ke Brazil dan berkahwin dengan penduduk tempatan.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Jangka Atribut oleh Clay