Aku Mahu Seoul Sister oleh Ain Maisarah dan Rashiela Nurain
Aku Mahu Seoul Sister
Oleh Ain Maisarah dan Rashiela Nurain
208 halaman
Diterbitkan oleh Blink Book Sdn. Bhd. (2017)
Aku Mahu Seoul Sister bermula dengan pengenalan watak Farah dan Ina yang merupakan sahabat baik yang masih menunggu keputusan peperiksaan SPM. Watak Farah dan Ina pernah membuat kemunculan awal dalam novel Aku Mahu Popular.
Farah pernah melakukan kesalahan yang menimbulkan amarah kedua ibu-bapanya ketika bercuti di Paris sendirian (kisah lanjut mengenai hal ini diceritakan dalam siri novel lain). Ibu Farah menegaskan bahawa hatinya akan terpujuk hanya sekiranya Farah berjaya merangkul Anugerah Bintang Sri Bangsar, iaitu anugerah untuk pelajar terbaik SPM di sekolahnya.
Pada hari keputusan SPM diumumkan, Farah mendapati hanya dirinya dan Ina sahaja yang telah beroleh pencapaian paling cemerlang dalam SPM lalu, iaitu 10A+. Tetapi desas-desus para guru menyebut bahawa walaupun keputusan SPM mereka sama cemerlang, kemungkinan besar Ina yang akan terpilih untuk menjadi pemenang anugerah tersebut. Ini memandangkan keputusan peperiksaan SPM percubaan Ina adalah lebih bagus dan konsisten berbanding Farah.
Farah yang sangat terdesak untuk meraih Anugerah Bintang Sri Bangsar demi membersihkan namanya di mata ibu bapa sendiri, telah nekad menggunakan taktik kotor bagi mendapatkan gelaran tersebut. Memandangkan hadiah Bintang Sri Bangsar adalah tajaan penuh daripada Yayasan Tan Sri Hisham, maka Farah telah meminta bantuan Fasha, anak Tan Sri Hisham sendiri agar mempengaruhi bapanya itu untuk memilih Farah sebagai pemenang anugerah.
Ternyata taktik kotornya berjaya dan Farah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Sri Bangsar. Ina yang tidak tahu-menahu tentang perbuatan Farah turut menumpang gembira atas kejayaan sahabatnya itu.
Selain hadiah trofi dan tajaan penuh pengajian di peringkat tinggi, pemenang Anugerah Bintang Sri Bangsar juga menerima hadiah dua tiket percutian ke Seoul, Korea Selatan. Farah nekad membawa Ina sebagai pasangannya untuk bercuti ke Seoul selama lima hari nanti.
***SPOILERS DI HADAPAN***
Setibanya di Seoul, mereka disambut dan diiringi oleh Kak Jee dan Kak Azima, dua senior yang juga alumni Sekolah Sri Bangsar dan pemenang Anugerah Sri Bangsar yang kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Ewha di Seoul. Sekiranya Kak Jee dan Kak Azima perlu menghadiri kuliah atau terlibat dalam program lain di universiti, mereka berdua akan ditemani oleh sahabat Ina yang berbangsa Korea, Kim Jiwon, yang juga merupakan seorang pemandu pelancong sambilan.
Percutian Farah dan Ina di Seoul berjalan lancar dan gembira sehinggalah pada suatu hari, Kak Jee dan Kak Azima tiba-tiba keracunan makanan di kolej lalu tidak dapat menemani Farah dan Ina bersiar-siar pada hari tersebut. Manakala Kim Jiwon juga mempunyai urusan keluarga pada hari yang sama. Oleh itu Farah dan Ina nekad meneroka bandar tersebut berdua sahaja. Tambahan pula, Ina pernah ke Seoul sekali sebelum ini (dan pada masa itulah dia berkenalan dengan Kim Jiwon).
Sudah ditakdirkan, ketika Ina mahu mengambil gambar Farah menggunakan telefon bimbit Farah, tiba-tiba sahaja masuk satu mesej Whatsapp daripada Fasha ke nombor Farah. Memandangkan Fasha sepatutnya adalah ‘musuh’ mereka di sekolah, Ina telah berasa curiga lalu mencuri baca mesej Whatsapp tersebut. Alangkah terkejutnya Ina apabila Fasha menyebut tentang “mengenakan rakan baik sendiri”, yang merujuk kepada Ina.
Dan ketika itulah pertengkaran besar meletus antara mereka berdua. Farah akhirnya mengakui penipuan yang dilakukannya demi merebut Anugerah Bintang Sri Bangsar itu, namun dia bertegas bahawa niatnya adalah kerana terdesak dengan permintaan ibu bapa dan bukannya niat mahu mengkhianati Ina. Apa pun alasan Farah, Ina tidak dapat menerimanya ketika itu. Ina terus membawa diri dan mereka berdua membawa haluan masing-masing di bandar asing tersebut.
Farah sangat menyesal atas perbuatannya dan berusaha sedaya-upaya untuk menjejaki Ina. Namun Ina sengaja tidak mahu melayan panggilan telefon dan mesej daripada Farah. Walau apa yang berlaku, Farah tetap menganggap Ina sebagai sahabat baiknya selamanya. Dia tidak tenang apabila telah menyakiti sahabat baiknya sendiri.
Ketika buntu mencari Ina, Farah telah berbalas mesej di Facebook dengan Kim Jiwon. Rupa-rupanya, Ina telah menghubungi Kim Jiwon terlebih dahulu dan memaklumkan tentang hasratnya untuk pergi ke Namsan Tower. Sebaik mendapat maklumat tersebut, Farah terus menjejaki Ina di Namsan Tower.
Farah tiba di Namsan Tower pada lewat petang. Dia terus mengambil kereta kabel untuk ke puncak Namsan Tower. Ketika dalam kereta kabel tersebut, Farah dapat melihat kelibat Ina yang sudah pun mahu pulang. Namun, Ina telah memilih menggunakan tangga untuk turun berbanding kereta kabel. Dari kereta kabel itu jugalah, Farah telah menyaksikan insiden yang begitu dahsyat telah menimpa sahabat baiknya itu. Farah dapat melihat seorang lelaki telah menyerang hendap Ina dari belakang lalu menyebabkan Ina jatuh pengsan.
Tanpa membuang masa, sebaik sahaja tiba di puncak Namsan Tower, Farah berkejar untuk mendapatkan Ina di kawasan tangga yang agak sunyi dengan cahaya lampu malap itu. Kebanyakan pengunjung Namsan Tower turun menggunakan kereta kabel dan bukannya tangga kerana hari semakin gelap. Ina bernasib malang kerana telah memilih menggunakan tangga pada waktu tersebut.
Sebaik tiba di lokasi Ina diserang, Farah mendapati lelaki bertopeng yang memukul Ina itu sudah pun membawa lari Ina yang tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta. Tanpa berfikir panjang Farah mengejar kereta penculik tersebut menggunakan teksi, kemudiannya skuter dan akhirnya hanya berjalan kaki apabila mendapat tahu bahawa Ina telah dibawa ke sebuah kontena yang terletak di lokasi terpencil. Farah sempat mengirim mesej kepada Kim Jiwon melalui Facebook menyatakan situasi mereka sekarang dan memohon bantuannya. Farah juga sempat mengambil gambar lokasi tersebut dan membuat hantaran melalui Facebook tentang koordinat lokasi kejadian.
Selepas itu, Farah sendiri telah tertangkap ketika cuba menghendap kontena itu. Farah dipukul di kepala sehingga pengsan dan sebaik sahaja sedarkan diri, mendapati dirinya diikat di atas sebuah katil besi bersebelahan Ina. Farah melihat Ina yang juga tidak sedarkan diri sedang ‘dibedah’ oleh beberapa orang lelaki bertopeng. Farah sudah tidak terdaya melawan lagi lalu jatuh pengsan sekali lagi.
Farah kemudiannya tersedar dan mendapati dirinya sudah pun berada di hospital sambil dikelilingi oleh ahli keluarga Kim Jiwon yang tidak putus-putus memohon kemaafan daripadanya. Rupa-rupanya, salah satu penculik Ina dan Farah merupakan adik ipar kepada bapa Kim Jiwon.
Lelaki tersebut telah dibebani masalah hutang yang teruk selepas kematian isterinya, iaitu adik kepada bapa Kim Jiwon. Kerana terdesak, dia yang pada asalnya merupakan seorang doktor bedah, telah menyertai sindiket penjualan organ manusia. Sindiket itu menyasarkan para pelancong yang datang ke Korea sebagai mangsa jenayah mereka. Modus operasi mereka adalah dengan menculik para pelancong dan kemudiannya menjalankan pembedahan bagi mencuri organ tubuh mereka.
Farah nyaris menjadi mangsa, namun berbeza nasib Ina di mana salah satu ginjalnya telahpun berjaya dikeluarkan oleh kumpulan penjenayah tersebut. Manakala satu lagi ginjal Ina yang masih ada sudah mengalami kerosakan dan tidak dapat bertahan lama. Ina masih tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan yang kritikal.
Farah yang masih dihantui penyesalan dan rasa bersalah terhadap Ina, nekad mendermakan salah satu ginjalnya kepada Ina. Bagi Farah, itulah pengorbanan terbesar yang dia lakukan demi menyelamatkan sahabat baiknya itu. Farah benar-benar mengasihi Ina dan mahu Ina terus hidup walaupun dirinya akhirnya terpaksa hidup dengan satu ginjal sahaja.
Dengan bantuan Kak Jee dan Kak Azima serta wakil kedutaan Malaysia di Korea Selatan sebagai orang tengah dalam urusan tersebut, Farah akhirnya mendermakan sebelah ginjalnya kepada Ina dan Ina berjaya diselamatkan.
Akhirnya Ina sedarkan diri dan kembali pulih seperti sediakala. Hubungan persahabatan Farah dan Ina juga kembali mekar. Ina telah memaafkan Farah sebaik sahaja mendapat tahu pengorbanan yang telah Farah lakukan untuk menyelamatkannya.
Farah telah menawarkan untuk memulangkan semula biasiswa Yayasan Tan Sri Hisham yang dimenanginya kepada Ina, tetapi Ina menolak. Ina sebenarnya tidaklah terdesak untuk mendapatkan biasiswa tersebut kerana dia telah mengumpul wang yang mencukupi untuk pengajiannya, tambahan pula dengan keputusannya yang cemerlang itu masih boleh memohon bantuan kewangan daripada penaja yang lain. Bagi Ina, ‘hadiah’ ginjal daripada Farah itulah yang sebenarnya paling berharga buat dirinya.
Comments
Post a Comment