Egois oleh Norhayati Berahim
Egois
Oleh Norhayati Berahim
310 halaman
Diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn. Bhd. (2001)
Secara ringkasnya, Egois adalah kisah manusia-manusia yang “tak ada penyakit, tapi sendiri mencari penyakit”.
Atia dan Fikri sahabat baik semenjak zaman persekolahan lagi, malah ibu bapa Fikri juga bersahabat dengan bapa Atia, Haji Idris. Ibu Atia, Ramlah, sudah lama meninggal dunia. Jauh di sudut hati Atia dan Fikri sama-sama menyimpan perasaan cinta sayang terhadap satu sama lain. Malah orang tua kedua mereka juga mempunyai ekspektasi bahawa anak-anak mereka akan menjadi pasangan suami isteri suatu hari nanti.
Dalam hal ini Fikri telah pun terlebih dahulu berlaku jujur dengan meluahkan isi hatinya terhadap Atia ketika mereka menuntut di universiti. Namun Atia hanya mentertawakan Fikri kerana beranggapan kata-kata Fikri hanyalah hangat-hangat tahi ayam atau cinta monyet sahaja. Apatah lagi ketika itu Atia masih tidak bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri.
Namun Fikri masih tidak berputus asa. Selepas tamat pengajian, mereka sama-sama bekerja sebagai remiser di sebuah syarikat saham. Fikri tidak jemu-jemu meluahkan perasaannya terhadap Atia, namun Atia masih tetap seperti dahulu: tidak memberi respon yang positif terhadap Fikri.
Akhirnya Fikri mengambil keputusan menguji perasaan Atia terhadapnya: Fikri telah mereka cerita bahawa dirinya telah bertunang dengan seorang wanita. Tujuan Fikri hanyalah untuk menguji sama ada Atia akan kecewa dengan berita [palsu] tersebut. Sekiranya Atia kecewa maka itu merupakan tanda positif bahawa ada sekelumit perasaan Atia terhadapnya.
Sayangnya Atia tetap bersikap selamba dengan berita ‘pertunangan’ Fikri itu. Sebenarnya di dalam hati Atia hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa remuknya. Namun Atia pandai menyembunyikan galau di hatinya agar tidak terlihat oleh Fikri.
Akhirnya Fikri pula yang pening kepala kerana bukan sahaja hubungan dia dengan Atia semakin renggang, malah dia terpaksa pula meneruskan penipuan tentang pertunangannya itu kerana sudah buntu bagaimana hendak memberitahu hal sebenar kepada Atia. Jika hal sebenar diketahui Atia, tentulah Fikri malu besar apatah lagi Atia kelihatan seperti tidak ambil pusing pun tentang hal tersebut.
Sementara itu, Atia yang sebenarnya menanggung kekecewaan kerana mempercayai berita pertunangan Fikri itu, kerap pergi ke rumah Mak Longnya di kampung demi mencari ketenangan jiwa. Atia baru mengetahui kewujudan Mak Longnya itu beberapa tahun lepas selepas Haji Idris tiba-tiba sahaja memberitahunya mengenai hal tersebut. Sebelum ini kedua ibu-bapanya tidak pernah pun menyebut tentang hal tersebut. Haji Idris dan Mak Long Atia, Hasnah, masing-masing tidak memberitahu sebab kenapa hubungan kekeluargaan mereka disembunyikan kedua-dua pihak. Malah anak Mak Long, Azali juga tidak tahu-menahu. Atia dan Azali hanya mampu membuat andaian sahaja bahawa telah terjadi sesuatu peristiwa yang merenggangkan hubungan kekeluargaan mereka selama ini.
Akibat kekerapan Atia menziarahi Mak Long di kampung, Atia akhirnya semakin rapat dengan satu-satu anak Mak Long, Azali. Lama-kelamaan hati Azali terpaut kepada Atia dan dia menyuarakan hasratnya untuk memperisterikan Atia. Walaupun Atia masih tidak dapat melupakan Fikri, namun Atia juga menyenangi sikap Azali dan rela menerimanya sebagai pasangan hidup. Sangka mereka, apa salahnya berkahwin dengan sepupu?
Namun kebenaran adalah lebih kompleks daripada yang mereka sangkakan. Rupa-rupanya, Haji Idris pernah berkahwin dengan Mak Long sebelum dia berkahwin dengan Ramlah, ibu Atia. Dan Azali sebenarnya merupakan anak kandung Haji Idris juga! Ketika Mak Long Hasnah mengandungkan Azali, Idris telah mencuranginya. Sebenarnya Ramlah yang berperangai busuk hati sehingga tergamak menggoda suami kakak sendiri ketika itu. Akibat kecurangan itulah, Hasnah telah meminta cerai dan perhubungan dia dan Idris langsung terputus. Malah Azali membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.
Hakikat tentang peristiwa hitam tersebut menjadikan Atia dan Azali sebenarnya adik-beradik sebapa. Maka mereka sememangnya tidak boleh bernikah antara satu sama lain. Kejutan tentang berita tersebut menjadikan emosi Atia semakin tidak keruan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan hidup baru di Hong Kong.
Keputusan mengejut Atia telah menjadikan Fikri terdesak lalu akhirnya terpaksa menjalankan rancangan gila: menculik Atia! Fikri terpaksa melakukan hal tersebut kerana Atia langsung tidak mahu mendengar penjelasa Fikri tentang hal sebenar mengenai pertunangan palsunya.
Dengan bantuan kakak Atia sendiri serta teman-teman rapat mereka, Atia diculik dan dibawa ke sebuah rumah yang baru dibeli oleh Fikri untuk didiami setelah berkahwin dengan Atia nanti. Di situlah akhirnya Fikri membuat pengakuan tentang penipuannya mengenai status pertunangannya itu. Malah Fikri sekali lagi meluahkan perasaannya terhadap Atia dan melamar Atia agar mengahwini dirinya.
Atia belum lagi memberikan sebarang jawapan terhadap lamaran Fikri, namun segalanya ditentukan oleh nasib mereka apabila tiba-tiba rumah tersebut diserbu oleh beberapa lelaki yang mengaku sebagai pencegah maksiat. Bapa Fikri dan bapa Atia telah dimaklumkan mengenai penangkapan mereka di rumah tersebut. Disebabkan itu, Fikri dan Atia diperintahkan agar segera bernikah.
Akhirnya Fikri dan Atia selamat dinikahkan walaupun dalam sebuah majlis yang tergesa-gesa. Beberapa lama selepas pernikahan mereka, barulah mereka mendapat tahu bahawa serbuan pencegah maksiat di rumah Fikri pada malam kejadian Atia diculik itu sebenarnya adalah rancangan sahabat baik Atia sendiri, Siti. Fikri sendiri tidak tahu-menahu mengenai rancangan itu. Siti telah memohon bantuan suaminya dan rakan-rakan suaminya agar menyamar sebagai pasukan pencegah maksiat dan menghubungi bapa Atia dan Fikri. Tujuan Siti tidak lain tidak bukan untuk memastikan Fikri dan Atia selamat menjadi suami isteri. Siti tahu Atia dan Fikri saling mencintai, namun dia bimbang kiranya Fikri gagal memujuk Atia pada malam tersebut. Apatah lagi Siti kenal benar perangai Atia yang ego dan keras kepala itu. Maka dia telah merancang kejadian tangkap khalwat tersebut agar Atia tidak mempunyai pilihan lain melainkan bernikah dengan Fikri.
Comments
Post a Comment