Hidangan Terakhir ('Saigo no Bansan') oleh Nao Maita

Hidangan Terakhir (tajuk bahasa Jepun Saigo no Bansan)

Karya Nao Maita

191 halaman

Edisi Bahasa Malaysia diterbitkan oleh Kadokawa Gempak Starz Sdn. Bhd. (2020)

Sebelum ini nama Nao Maita biasanya dikaitkan dengan karya genre shoujo. Jadi aku betul-betul tak sangka beliau mampu hasilkan komik seram yang memang seram habis! Dengan pengecualian komik bertajuk ‘Tangga Matahari Terbenam’ (yang agak cenderung ke arah genre shoujo), karya lain yang dimuatkan dalam naskhah ini memang menampilkan kisah hantu atau kisah kegelapan dalam hati manusia.

Dua cerita yang paling menakutkan aku ialah ‘Sacchan di Landasan’ dan ‘Haibe-san’. ‘Sacchan’ memaparkan empat sekawan – Ibuki, Mana, Masaki dan Yuu – yang cuba mencari ‘thrill’ dengan melakukan ritual yang dikatakan boleh membangkitkan roh yang mati. Alkisahnya mereka memutuskan untuk membangkitkan roh budak yang bernama Sacchan yang mati dilanggar kereta api. Dalam ritual itu mereka perlu melukis figura manusia di atas kertas, menulis nama si mati di atas figura tersebut dan kemudian sama-sama menarik kertas tersebut sehingga koyak. Kononnya dengan itu maka roh itu akan kembali semula. Selepas itu tragedi mula menimpa mereka satu-persatu.

Mangsa yang pertama, Masaki diserang dan lengan kanannya tercabut dan hilang begitu sahaja. Pada hari kedua, Yuu pula diserang dan kedua belah kakinya dari lutut ke bawah dicabut. Mana dan Ibuki mula menyedari ketika mereka mengoyakkan lukisan figura manusia itu, cebisan kertas di tangan Masaki merupakan imej lengan kanan, manakala yang dipegang oleh Yuu adalah imej kedua belah kaki. Memandangkan tubuh asal Sacchan hancur teruk semasa kematiannya dahulu, maka adakah kemungkinan rohnya mula ‘merampas’ anggota tubuh empat orang yang menyerunya dahulu agar ia boleh kembali bangkit??

Kedua-dua yang masih belum ‘diburu’ Sacchan mula ketakutan. Jika anggota badan yang bakal dirampas adalah berdasarkan cebisan kertas yang mereka pegang ketika mengoyakkan lukisan figura itu dahulu, maka Mana bakal kehilangan semua anggota tubuhnya kecuali lengan kanan, kedua belah kaki dan juga kepala. Manakala Ibuki bakal kehilangan kepalanya! Akhirnya kedua mereka juga tidak dapat lari daripada roh Sacchan! Adegan paling seram ketika Sacchan datang memburu mangsa terakhir, Ibuki di rumahnya. Sacchan mengakui bahawa dia mahukan kepala Ibuki kerana mahu melengkapkan anggota badannya yang telah hancur dulu. Ibuki telah menutup pintu rumahnya dengan kemas tetapi Sacchan telah memasukkan tangannya melalui lubang surat untuk mencapai kepala Ibuki. Aaaaaaaargh!!!!

Kisah ‘Haibe-san’ juga mengisahkan sekumpulan remaja yang mencari nahas dengan melakukan ritual menyeru roh untuk menguji kebenaran sebuah urban legend tentang entiti bernama Haibe-san. Kononnya Haibe-san tinggal di dalam sebuah lurang yang berhampiran sebuah tokong di luar bandar. Sekiranya sekumpulan orang mengelilingi bulatan penutup lurang itu dan menyeru Haibe-san, ia akan keluar untuk menculik semua yang telah menyerunya dahulu. Kononnya Haibe-san pandai meniru suara dan akan memanggil mangsanya keluar rumah menggunakan suara yang mangsanya kenali. Sekiranya sasaran Haibe-san membuka pintu maka dia akan diculik.

Walaupun kisah itu menyeramkan, namun Kaho dan tiga orang rakannya tetap melakukan upacara menyeru Haibe-san di tepi lurang yang diperkatakan itu. Mereka melakukannya hanya kerana mahu kelihatan hebat dan ‘cool’ di mata kawan-kawan sekolah. Keesokan harinya, ternyata Haibe-san sudah pun keluar memburu mangsanya. Seorang demi seorang yang menyerunya dahulu hilang tanpa kesan. Kesemuanya hilang pada waktu malam setelah membuka pintu rumah kerana percaya yang mengetuk pintu itu adalah ibu mereka yang baru pulang dari kerja.

Akhirnya tibalah giliran sasaran terakhir iaitu Kaho! Kaho percaya bahawa dia akan selamat sekiranya tidak mempedulikan sebarang ketukan pintu sepanjang malam. Dia yakin akan selamat setelah menjelangnya pagi kerana Haibe-san dikatakan suka kepada suasana gelap sahaja. Pada malam itu, Kaho mengambil keputusan menyorok di dalam almari di rumah rakan baiknya Kento. Ternyata, pada malam itu Kaho terdengar suara Kento memanggilnya agar keluar dari almari itu kerana kononnya Haibe-san sudah pergi. Kaho menguatkan dirinya agar tidak terpedaya kerana Haibe-san dikatakan boleh meniru suara lain untuk mengumpan mangsanya keluar. Selepas itu suara ‘Kento’ itu tidak kedengaran lagi. Setelah lama menyorok di dalam almari itu, akhirnya Kaho terdengar bunyi jam dinding berdenting sebanyak enam kali sebagai menandakan sudah masuk jam enam pagi. Kaho yakin Haibe-san akan hilang apabila menjelang pagi kerana Haibe-san hanya sukakan gelap. Kaho terus bergegas keluar dari almari tersebut, tetapi malangnya apa yang dilihat langit di luar masih lagi dalam kegelapan dan matahari belum lagi terbit! Jam masih menunjukkan pukul empat pagi, malah jam di rumah Kento adalah jam biasa sahaja yang tidak boleh berdenting. Rupa-rupanya Haibe-san yang telah meniru suara jam dinding dan membunyikannya sebanyak enam kali untuk mengumpan Kaho yang menyangka ia adalah bunyi jam sebenar! Akhirnya Kaho juga tidak terlepas dari genggaman Haibe-san. Memang meremang habis!!!

Manakala kisah yang menjadi tajuk buku ini, ‘Hidangan Terakhir’ mengisahkan sebuah restoran misteri di sebuah kawasan terpencil yang mana semua pekerjanya berkepala kambing. Hidangan di restoran tersebut semuanya sedap-sedap belaka dan boleh dimakan secara percuma sekiranya pelanggan datang membawa bahan sendiri dan menyerahkan kepada tukang masak untuk disediakan. Yang menjadikan kisah ini ‘creepy’ adalah bahan-bahan yang digunakan. Jika daging anjing sudah cukup memualkan, restoran itu juga turut menyediakan daging manusia dalam hidangannya!!

Chihana yang seolah-olah ketagih keenakan makanan di situ mula membawa anjing mati ke restoran itu. Setelah diberitahu bahawa hidangan daging manusia adalah lebih sedap lagi, dia mula membawa manusia yang dibenci ke restoran itu untuk disembelih hidup-hidup oleh pekerja restoran. Pada suatu hari, pekerja restoran itu memberitahunya bahawa hidangan daging manusia yang paling sedap ialah daging orang yang tersayang. Chihana terus menyimpan hasrat untuk mengorbankan teman lelakinya suatu hari nanti, tetapi dia akan pastikan teman lelakinya itu menjadi hidangan terakhirnya ketika dia mencapai umur tua nanti...


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

The Ravenels #3 – Devil In Spring by Lisa Kleypas

The Count of Monte Cristo by Alexandre Dumas