Johorror (tulisan Kamarul Ariffin)

Johorror

Tulisan Kamarul Ariffin

350 halaman

Diterbitkan oleh WhiteCoat Enterprise (2019)

Buku ini mengandungi 31 buah kisah seram yang terdiri daripada pengalaman penulis sendiri selain kisah-kisah 'urban legend' dan cerita seram yang popular dalam kalangan masyarakat. Apa yang pasti, kesemua kisah ini dilaporkan berlaku di negeri Johor. Selain itu, ada juga dua buah cerita pengalaman individu lain yang diceritakan kepada penulis dan kemudian turut dimuatkan di dalam Johorror.

Melihat himpunan kisah-kisah seram sebanyak ini, aku tidak dapat mengelakkan diri daripada memikirkan tentang betapa banyaknya peristiwa angker yang pernah dilalui oleh penulis ini! Sebanyak 15 buah coretan – hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kisah dalam buku ini – merupakan pengalaman peribadi penulis semenjak bergelar pelajar sekolah sehinggalah dikenali sebagai Dr. Kamarul. Banyaknya!!!

Kisah-kisah paling meremang dalam buku ini (pada pandangan aku) adalah Apollo River View Hotel, Gunung Ledang, Hospital Permai dan Perpustakaan Sultanah Zanariah (semua tajuk cerita dalam buku ini merupakan nama lokasi kejadian seram tersebut).

Apollo River View Hotel mengisahkan penunggu-penunggu di hotel terbiar itu. Ketika penulis ke hotel tersebut untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir yang berlindung di situ, ternyata pasukan penyelamat itu terlihat ‘mangsa’ berjumlah lebih ramai daripada yang sepatutnya. Paling seram ketika hari semakin gelap dan bangunan tersebut tiba-tiba diterangi pancaran kilat, mereka mendapati bayang-bayang yang terhasil di dinding hotel itu menunjukkan jumlah manusia yang sangat ramai, sedangkan mereka di situ hanya lima orang sahaja. Malah salah satu bayang-bayang tersebut berbentuk budak lelaki yang tidak berkepala!

Kisah manusia yang diperdayakan hantu (jin) dengan tipu muslihat yang mengelirukan kebiasaannya memang menakutkan aku. Antaranya adalah Gunung Ledang, Hospital Permai dan Kukup.

Seperti yang tertera pada tajuk cerita ini, Gunung Ledang mencatat pengalaman penulis mendaki Gunung Ledang bersama dua sahabatnya Aswad dan Raja. Oleh kerana cuaca tidak begitu mengizinkan, mereka telah terpaksa bermalam di suatu lokasi yang sememangnya dikatakan keras. Pada malam itu penulis telah ‘disorok’ oleh jin ketika turun ke anak sungai, namun penulis tidak menyedarinya kerana apa yang dilihatnya, dia selamat pulang ke khemah dan mendapati kedua-dua sahabatnya itu ada di situ sebagaimana ketika dia meninggalkan mereka tadi. Namun inti perbualan antara penulis dengan ‘sahabat-sahabatnya’ selepas itu telah membuat penulis rasa tidak sedap hati dan terasa seperti salah seorangnya bukanlah sahabatnya yang sebenar. Apatah lagi setelah terlihat kelibat sahabatnya itu di luar khemah pula. Namun ‘Aswad’ dan ‘Raja’ yang berada dalam khemah itu berusaha meyakinkannya bahawa apa yang dilihat penulis di luar khemah itu adalah mainan penunggu hutan yang suka memperdayakan orang dengan ilusi. Penulis terus keliru dan keliru sehingga akhirnya beliau pengsan. Kemudiannya dia tersedar di hospital dan mendapati Aswad dan Raja (yang sebenar) ada di hospital bersamanya. Menurut Aswad dan Raja, penulis hilang dan tidak pulang ke khemah pun selepas turun ke anak sungai tempoh hari. Selepas itu mereka telah mendapatkan bantuan renjer hutan untuk mencari penulis. Penulis telah ditemui tidak sedarkan diri di sebuah kawasan lain, yang juga terkenal keras!

Hospital Permai pula mengisahkan penulis yang telah menerima sepucuk surat yang memerlukan tindakan segera beliau pada suatu malam. Surat tersebut dihantar oleh seorang lelaki yang datang ke rumah Dr. Kamarul menggunakan van Hospital Permai; kononnya surat tersebut ditulis oleh seorang pesakit mental di hospital itu. Surat tulisan tangan itu ditulis oleh pesakit yang didiagnos dengan penyakit skizofrenia bernama Adam. Adam mengadu tidak tahan dengan hidupnya yang sebenarnya dirasuk oleh entiti misteri yang mendampinginya sehingga dia tergamak membunuh isteri dan anaknya sendiri. Adam telah berharap agar dia dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan itu agar dirinya tidak lagi diganggu oleh makhluk tersebut, namun sebaliknya dia tiba-tiba disahkan sebagai ‘sakit mental’ lalu dirujuk ke hospital pula. Sementara itu, surat yang dikirim oleh Adam itu terlampau panjang sedangkan Dr. Kamarul sepatutnya memberi respon segera melalui lelaki yang memandu van tersebut. Oleh kerana terpaksa mengambil masa untuk membaca surat itu, Dr. Kamarul telah menjemput pemandu van tadi masuk ke rumahnya. Setelah tiba ke penghujung surat barulah Adam memaklumkan bahawa demi membuang entiti yang mengganggunya itu, dia telah pun mengirimkan makhluk tersebut kepada Dr. Kamarul, dan makhluk tersebut akan menghantui ‘tuan’ barunya itu sekiranya ia telah dijemput masuk ke rumah orang tersebut. Nyata, makhluk yang mengganggu Adam selama ini telah menjelma sebagai lelaki yang memandu van Hospital Permai dan dihantar oleh Adam untuk ‘berpindah tuan’ pula! Dr. Kamarul pula telah pun menjemput ‘lelaki’ itu masuk ke rumahnya sebentar tadi!!! ☠ (Cerita ini tergantung tanpa penyudahnya, namun nota kaki di perenggan akhir menyatakan bahawa kisah ini telah turut diterbitkan dalam buku Dr. Kamarul sebelum ini iaitu Ghostpital).

Sementara itu, kisah Perpustakaan Sultanah Zanariah pula mengambil tempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. Ketika penulis ingin melawat sahabatnya Iwe di kampus itu, didapati Iwe telah pergi ke perpustakaan pada malam tersebut. Lalu penulis pun turut ke Perpustakaan Sultanah Zanariah itu untuk bertemu Iwe. Namun penulis telah tersesat sehingga ke tingkat bawah tanah yang sebenarnya tidak wujud pun, lalu bertembung dengan puaka perpustakaan yang digelar ‘The Librarian’. Makhluk tersebut mencipta ilusi ruang perpustakaan yang penuh dengan rak buku yang tidak berpenghujung, kemudian ia muncul mengganggu mangsanya. Sekiranya mangsanya ketakutan atau membuat sedikit kebisingan di saat-saat cemas itu, ia pun mulalah membunyikan “Syyyyyy!!!!” 👻👻👻

Kisah-kisah lain dalam Johorror yang juga mampu bikin bulu roma meremang adalah seperti Aeon Tebrau City (tentang kereta usang yang telah lama ditinggalkan di tempat parkir, namun penulis telah mendengar bunyian dan suara meminta tolong daripada dalam kereta tersebut) dan Tangki Air Kolej Matrikulasi Johor (kisah penulis bersama kawan-kawannya yang berniat melepak di puncak menara tangki air kolej, namun aktiviti itu berubah menjadi pengalaman ngeri apabila penulis ditarik jatuh ke dalam tangki air dan nyaris mati lemas).

Banyak juga kisah pertembungan penulis dengan entiti pelik ketika meredah jalanraya dalam waktu senja atau malam, antaranya Hentian Sebelah Simpang Renggam, Ayer Baloi dan Lebuhraya Senai Desaru (E22).

Pasar Karat Rengit – mengenai pengalaman penulis terbeli radio antik yang berpuaka – juga boleh menderaukan darah, tetapi aku sudah pernah mendengar beberapa kisah yang hampir serupa: kejadian gangguan angker pada siaran radio, mahupun program radio yang tidak berhenti bersiaran sekalipun radio telah dimatikan, pernah juga dialami oleh beberapa orang kenalanku sendiri.

Selain itu, kejadian GPS yang membawa ke kawasan kuburan seperti dikisahkan dalam Tanah Perkuburan Mahmoodiah pula mirip kejadian yang pernah aku alami, namun sehingga kini aku tidak pasti sama ada ia merupakan gangguan makhluk halus atau bukan. Kejadian yang menimpa aku itu berlaku ketika aku ke Arau, Perlis dan sedang mencari hotel penginapan. GPS tersebut telah memberi arahan sehingga aku terlajak ke Kangar, kemudiannya memberhentikan aku betul-betul di hadapan tanah perkuburan. “Anda telah tiba ke destinasi,” katanya GPS itu! 😅 Namun ketika itu aku tidaklah terasa angker memandangkan kejadian berlaku pada waktu pagi dan aku pula bersama dua orang teman lagi.

Johorror turut memuatkan lebih 10 buah rencana pendek mengenai lokasi-lokasi di Johor yang diketakan seram, namun penulis sendiri tiada pengalaman peribadi di situ melainkan hanya mendengar kisah-kisah yang ditularkan atau diceritakan oleh pihak ketiga sahaja. Paling menyeramkan tentulah Banglo Taman Rinting (misteri banglo yang lenyap meninggalkan hanya lantai dan tangganya sahaja dalam tempoh satu malam), selain Hantu Kum Kum (wanita pengamal ilmu sihir yang meminum darah anak dara untuk menjadikan wajahnya cantik), Pulau Seri Buat (kawasan ibarat Segitiga Bermuda – ramai individu pernah hilang di situ), dan semestinya lagenda Villa Nabila.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Jangka Atribut oleh Clay

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)