Cinta Puaka Simpang Empat (‘Shibito no Koiwazurai’) oleh Junji Ito

Cinta Puaka Simpang Empat (‘Shibito no Koiwazurai’)

Oleh Junji Ito

404 halaman

Edisi terjemahan Bahasa Malaysia diterbitkan oleh Anjung Taipan Sdn. Bhd. (2015)

Sebagai peniaga buku-buku terpakai, aku pernah beberapa kali mendapati manga-manga Junji Ito dalam stok barangan yang diperolehi. Dan berdasarkan pengalaman aku menjual buku karya Junji Ito, aku tahu manga-manga beliau laris bagaikan pisang goreng panas. Namun sebelum ini, aku tidak pernah terbuka hati pun untuk membaca mana-mana karya beliau kerana takut untuk membaca kisah seram.

Sehinggalah baru-baru ini aku berjaya memperoleh manga Junji Ito lagi, yang bertajuk Cinta Puaka Simpang Empat. Mindaku penuh persoalan, apakah yang menarik mengenai karya Junji Ito sehingga karyanya begitu diminati ramai? Akhirnya aku mengambil keputusan untuk membaca manga ini terlebih dahulu sebelum aku menjualnya.

Cinta Puaka Simpang Empat mengandungi beberapa buah cerita; kisah utama berkisar tentang puaka “Jejaka Kacak Simpang Empat” yang diceritakan dalam beberapa bab. Berdasarkan pembacaan aku, dapat aku simpulkan bahawa karya Junji Ito lebih menepati kategori “psychological horror” berbanding kisah seram biasa (“horror”) yang melibatkan gangguan luaran daripada entiti berupa hantu.

“Psychological horror” yang diketengahkan Junji Ito lebih banyak tertumpu kepada gangguan dalaman jiwa watak-wataknya yang kemudian dimanifestasi menjadi sesuatu yang lebih dahsyat sehingga menjadi gangguan luaran. Boleh dikatakan tiada roh atau hantu menakutkan yang terdapat dalam manga ini. Sebaliknya apa yang ingin ditonjolkan adalah mengenai kegelapan jiwa manusia yang lebih menakutkan berbanding kewujudan gangguan luaran daripada hantu-hantu. Pada aku, elemen kejutan dalam karya Junji Ito lebih ditonjolkan menerusi imej-imej yang ‘gory’ berbanding kemunculan hantu secara tiba-tiba.

Apa yang pasti, Junji Ito sememangnya berjaya menimbulkan aura kegelapan dan kesuraman dalam karyanya, bermula dari halaman pertama sehinggalah helaian yang terakhir. Senang cerita jangan haraplah ada pengakhiran yang mendamaikan buat watak-watak manga ini!

Bab 1 hingga 5 buku ini meliputi kisah-kisah berkaitan entiti yang disebut ‘Jejaka Kacak Simpang Empat’ yang berupa seorang lelaki misteri berpakaian serba hitam dan dianggap kacak (walhal mempunyai bebola mata serba putih). Penduduk pekan Nazumi mempunyai amalan yang aneh iaitu menunggu di simpang-simpang empat dan kemudian akan meminta orang pertama yang melintas di hadapannya untuk membuat ramalan nasib untuk dirinya. Malah mereka mempercayai tilikan nasib yang dilakukan oleh ‘random strangers’ itu.

Sekiranya individu yang membuat tilikan nasib itu adalah penduduk setempat yang sudah masak dengan amalan di situ, maka mereka akan diberikan ramalan yang bagus-bagus serta positif. Sebaliknya, nasib malang akan menimpa sekiranya nasib orang itu diramal oleh Jejaka Kacak Simpang Empat.

Entiti yang tidak diketahui asal-usul itu bukan sahaja memberikan tilikan yang buruk, malah mampu memukau minda mangsanya selain membuat mereka sungguh tertekan dengan hasil tilikan nasibnya sehingga membawa kepada perbuatan membunuh diri dengan mengelar leher sendiri. Contoh ramalan buruk oleh Jejaka Kacak Simpang Empat: masalah awak belum cukup besar, awak kena cari masalah yang lebih besar lagi barulah masalah sedia ada awak tu kelihatan remeh!

Mangsa-mangsa Jejaka Kacak Simpang Empat semuanya adalah wanita, dan nasib malang mereka tidak terhenti setakat kematian tragis sahaja. Wanita-wanita yang pernah ‘dipukau’ Jejaka Kacak Simpang Empat bukan sahaja tidak dapat mengawal diri daripada melakukan apa sahaja yang disebut oleh Jejaka Kacak Simpang Empat, malah mereka juga menjadi gila bayang terhadap entiti tersebut. Hingga selepas kematian mereka pun, roh mereka masih tidak dapat berhenti ‘mengejar’ cinta Jejaka Kacak Simpang Empat. Roh-roh wanita itu akan terus berduyun-duyun memburu Jejaka Kacak Simpang Empat dan merayu agar dibalas cinta mereka.

Pelajar sekolah menengah bernama Ryuusuke nekad menamatkan kekacauan yang dicipta oleh Jejaka Kacak Simpang Empat. Setiap hari Ryuusuke akan ke setiap simpang empat untuk melayan permintaan individu yang ingin meramal nasib. Ryuusuke kemudiannya akan memberikan ramalan yang bagus-bagus agar mereka tidak tertekan sebagaimana setelah mendengar ramalan Jejaka Kacak Simpang Empat.

Sebenarnya Ryuusuke dihantui peristiwa yang berlaku ketika beliau masih kecil. 10 tahun lalu, seorang wanita telah memintanya melakukan ramalan nasib dan Ryuusuke telah memberikan respons yang negatif. Keesokan harinya, wanita tersebut didapati telah membunuh diri dengan cara mengelar leher sendiri. Ryuusuke berasa sangat bersalah terhadap wanita itu meskipun mungkin sebenarnya wanita itu mengambil tindakan nekad itu kerana telah bertembung dengan Jejaka Kacak Simpang Empat. Kebimbangan Ryuusuke menyebabkan dia tertanya-tanya, adakah dia dengan Jejaka Kacak Simpang Empat itu ada perkaitan? Namun soalan tersebut terus tidak berjawab sehingga ke akhirnya.

Pada suatu hari Ryuusuke ingin menyerang Jejaka Kacak Simpang Empat yang sedang diekori banyak roh wanita, namun roh-roh tersebut telah menghalang Ryuusuke beramai-ramai. Ryuusuke diserang oleh roh-roh tersebut dan entah apa nasib yang menimpanya. Tahu-tahu, Ryuusuke kemudiannya muncul semula sebagai entiti bergelar Jejaka Kacak Berbaju Putih pula. Dia kini sudah turut menjadi entiti misteri yang mempunyai bebola mata putih. Sesiapa yang bertemu dengannya di simpang empat akan memperoleh kebahagiaan kerana dia memberikan ramalan yang positif.

Usai kisah Jejaka Kacak Simpang Empat, seterusnya adalah kisah enam beradik keluarga Hikizuri yang semuanya ‘psycho’ belaka. Ibu bapa mereka sudah meninggal dunia dan keluarga itu telah dipimpin oleh abang sulung mereka. Anak keempat bernama Narumi sungguh tertekan dengan kehidupan mereka yang sememang tak normal itu lalu mahu membunuh diri, namun diselamatkan oleh seniornya bernama Kotani. Kotani membawa Narumi tinggal bersamanya namun nyata Narumi memang bukan gadis impian lelaki di sebalik wajah jelita itu. Narumi bukan sahaja pemalas dan pengotor, malah emosional pula. Setelah abang-abang dan kakak Narumi berjaya menemuinya di rumah Kotani dan membawanya pulang, mereka adik-beradik berpakat pula untuk menghukum Kotani yang dianggap bersalah. Dengan perangai ‘psycho’ mereka itu, tak susah pun untuk menakutkan Kotani sehingga lelaki malang itu meninggal dunia akibat serangan jantung. Malah Narumi pun sama bersubahat dalam acara mengenakan Kotani itu. Antara kesemua adik-beradik, hanya anak kelima bernama Hitoshi yang berumur 10 tahun yang paling ‘normal’ dan logik akal pemikirannya namun dia tidak berani melawan adik-beradiknya yang lain yang ganas lagi gila. Hitoshi biasanya menjadi pak turut sahaja dan tidak akan memberikan pendapat melainkan dia ditanya (biasanya cadangan Hitoshi akan ditolak mentah-mentah kerana tidak cukup gila dan ganas). Babak akhir dalam kisah keluarga ini menyaksikan Hitoshi sebenarnya mempunyai kuasa psikik sehingga roh bapa mereka muncul melalui dirinya. Roh Hikizuri muncul dengan tiba-tiba dan dalam keadaan marah sehingga menakutkan kesemua adik-beradik tersebut. Hikizuri sempat memberi renungan tajam terhadap anak-anaknya yang gila itu sebelum menghilangkan diri ke kubur semula.

Banglo Ngilu kisah penghuni sebuah rumah misteri yang sesetengahnya mengalami kesakitan berlebihan sehingga menyerap kesakitan orang lain, manakala sebahagian penghuni lain pula tidak dapat merasa sebarang kesakitan pun walaupun kecederaan yang dialami sungguh serius sehingga membawa maut.

Tulang Rusuk Perempuan Gharib kisah gadis-gadis yang membuat pembedahan membuang tulang rusuk agar pinggang lebih langsing dan terbentuk. Pada malam hari, tulang rusuk yang ada akan bergetar sehingga mereka menemui wanita pelik yang bermain harp kecil diperbuat daripada tulang rusuk mangsa yang telah dibuang. Wanita pelik lagi psycho itu rupanya bersubahat dengan doktor pembedahan untuk membunuh gadis yang melakukan pembedahan itu lalu mencuri banyak tulang rusuknya untuk dipasangkan ke tubuhnya sendiri.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

The Ravenels #3 – Devil In Spring by Lisa Kleypas

The Count of Monte Cristo by Alexandre Dumas