Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Fail Merah

Oleh Fadima Mooneira

454 halaman

Diterbitkan oleh Fadneira Imaginative Empire (2022)

Fail Merah merupakan novel sulung yang dihasilkan penulis Fadima Mooneira yang sebelum ini pernah muncul dengan beberapa karya berbentuk cerpen yang diterbitkan dalam buku kolektif seperti Legasi Emak: Kari Ayam Cinta, Patah Tumbuh, Komplot Cerpen Penulis Paluan Seni dan lain-lain lagi.

Pada aku, Fail Merah sedikit unik kerana gaya penulisannya berhasil membentuk sebuah novel ‘hibrid’ dengan penggabungan elemen novel indie hipster dengan novel cinta arus perdana. Sebahagian bab-bab awal novel ini menampilkan elemen-elemen yang biasa ditemukan dalam novel-novel indie hipster seperti penggunaan bahasa kasar serta kritikan terhadap isu-isu sosio-politik negara yang disampaikan secara berani dan unapologetic. Manakala bermula bab-bab pertengahan novel ini menyaksikan suntikan elemen-elemen kisah percintaan yang ‘sweet-sweet’ pula.

Novel ini membawa kisah tragis yang menimpa keluarga Tuan Muhayat, seorang pegawai polis cawangan khas selepas dia ditemui mati secara mengejut di bilik pejabatnya suatu hari. Dia disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung oleh Dr Iskandar yang memeriksa jasadnya di hospital. Walaupun insan-insan yang rapat dengan Tuan Muhayat hampir tidak mempercayai bahawa pegawai polis yang sihat tubuh badan itu tiba-tiba terkena serangan jantung, namun mereka menerima sahaja takdir ketentuan tersebut.

Tidak lama selepas itu, Tuan Muhayat tiba-tiba disabitkan kesalahan secara ‘posthumous’ pula selepas pihak polis mendakwa menerima bukti dia pernah terlibat dalam jenayah penjualan kad pengenalan palsu kepada warga asing semasa hayatnya. Balu Tuan Muhayat, Puan Asra, berserta kedua anaknya yang masih remaja ketika itu, Emil dan Emilia, menerima tempias daripada pertuduhan tersebut. Maruah keluarga mereka tercalar sedangkan mereka yakin bahawa arwah Tuan Muhayat tidak mungkin melakukan jenayah tersebut. Malangnya Tuan Muhayat sudah tidak mampu memperbetulkan lagi keadaan kerana dia telah pergi bersama rahsia yang disimpannya.

Puan Asra dan Emilia redha dan pasrah dengan kejadian tersebut, namun Emil tidak mampu membiarkan peristiwa tersebut pergi menjadi memori pahit semata-mata. Dia mahu membongkar kebenaran dengan caranya sendiri. Apatah lagi setelah dia menemui beberapa petunjuk yang membayangkan siapakah penjenayah sebenar dalam kes penjualan kad pengenalan palsu tersebut. Tambahan pula, individu yang disyaki sebagai dalang kes penjenayahan itu juga dikatakan sebagai orang terakhir yang menemui Tuan Muhayat sebelum dia mati mengejut.

Sebenarnya, kemungkinan terdapat elemen ‘foul play’ dalam kematian Tuan Muhayat sudah pun disyaki oleh beberapa individu ketika itu, namun masing-masing mempunyai alasan peribadi untuk menutup mulut daripada membicarakan hal tersebut. Akibat keputusan yang mereka ambil itu, keadilan tidak dapat ditegakkan sedari awal dan telah menjadi titik tolak kepada sebuah dendam yang tidak berkesudahan yang tersimpan dalam jiwa Emil selama lebih satu dekad. Ketika kedua-dua individu yang mempunyai pengetahuan tentang kematian Tuan Muhayat itu akhirnya bersuara, mereka sudah pun terlambat kerana jiwa Emil sudah pun gelap dimamah dendam dan kebencian.

Emil kini tidak henti-henti memburu lelaki yang bernama Datuk Redzwan Yusof itu, nekad untuk menuntut bela atas kematian bapanya lama dahulu.

Sehinggalah dia bertemu dengan Dahlia Jamilah, anak gadis kepada Dr Iskandar, iaitu doktor yang mengesahkan kematian Tuan Muhayat dahulu. Sinar bahagia yang dibawa Dahlia ke dalam hidup Emil hampir-hampir berjaya mendorong Emil melupakan sahaja hasrat untuk melunaskan dendam kesumatnya.

Namun bahagia itu tidak lama. Suatu hari, Emil menerima petunjuk tentang punca sebenar kematian Tuan Muhayat. Dan ketika itulah, dua individu yang sudah lama menyimpan rahsia tentang apa yang sebenarnya berlaku pada hari kematian Tuan Muhayat, membuka mulut tentang apa yang mereka tahu selama ini. Luka lama di jiwa Emil berdarah kembali. Kini dia mahu membalas dendam dengan caranya sendiri agar hatinya puas!

Sebenarnya, sebahagian besar plot Fail Merah telah pun digambarkan secara ringkas dalam blurb novel ini – bermakna elemen kejutan bukanlah fokus utama dalam penceritaan plot novel. Namun apa yang paling membuatkan aku sebagai pembaca berasa suspens dan tertanya-tanya adalah, apakah tindakan yang bakal diambil oleh Emil? Adakah dia akan meneruskan hasrat membalas dendam ataupun tidak? Walaupun pada awalnya kehadiran Dahlia kelihatan mampu merubah pendirian Emil, namun setelah mendapat tahu rahsia sebenar mengenai kematian Tuan Muhayat, Emil seolah-olah tidak mampu dilembutkan dengan perasaan cinta lagi.

Jadi apakah tindakan Emil seterusnya? Dan adakah jiwanya bakal dimamah oleh kebencian dan dendam kesumat yang ada dalam dirinya? Jika cinta Dahlia pun sudah tidak mampu menghentikan perasaan kebencian itu, apakah lagi yang mampu menghalang Emil daripada mengambil tindakan berkiblatkan emosinya semata-mata?

Itulah jawapan yang paling ingin diketahui oleh para pembaca. Yang mana, ‘malang’ sekali, untuk post kali ini aku tidak akan kongsikan jawapannya 😜 Jika dilihat post-post dalam laman blog ini semuanya mengandungi spoilers mengenai apa yang akhirnya berlaku dalam sesebuah novel. Namun kali ini aku tidak akan kongsikan pengakhiran novel ini memandangkan Fail Merah masih terlalu baru di pasaran. Ramai pembaca yang masih belum membaca novel tersebut. Oleh itu jika berminat untuk mengetahui pengakhiran kisah ini, bolehlah mendapatkan naskhah novel ini yang sudah pun berada di pasaran atas talian 😉 Boleh klik link ke laman Shopee ini sekiranya berminat mendapatkan novel Fail Merah: Shopee SM Books & Collectibles

*****

Ulasan tambahan mengenai Fail Merah

Sepanjang pembacaan Fail Merah, aku mengalami perasaan deja vu beberapa kali kerana beberapa babak novel ini telah mengingatkan aku kepada beberapa novel lain yang pernah aku baca. Namun semua persamaan ini adalah kebetulan sahaja kerana aku tahu penulis novel ini belum pernah membaca novel-novel yang aku akan sebutkan di sini 😅:

Pertama, gangguan emosi yang dihadapi oleh Emil sepeninggalan Tuan Muhayat mengingatkan aku sedikit sebanyak kepada watak Emuel Hayden Empero dalam novel The Sultanate: Lord Empero tulisan Elvroseth. Bayang-bayang masa silam yang menghantui hidup kedua watak utama lelaki ini adakala mengganggu hidup mereka sehingga ke tahap tidak percaya kepada kebaikan lagi. Malah mereka berdua juga mengalami situasi meracau dalam tidur akibat gangguan emosi yang tidak tertahan. Bagaimanapun, persamaan antara Emil dengan Emuel Hayden berhenti setakat itu. Emil berjaya melepaskan diri daripada belenggu masa silamnya setelah menemui sesuatu yang berbeza daripada Emuel Hayden.

Sementara itu, perhubungan antara Emil dengan Dahlia mempunyai gaya mirip perhubungan Daisy Bowman dengan Matthew Swift dalam novel Scandal In Spring tulisan Lisa Kleypas. Gaya ego dan serba-serbi sempurna Emil persis Matthew yang serba boleh dalam semua perkara, dan kuasa ‘magnetik’ Emil yang dengan mudah memukau Dahlia mirip Matthew yang menarik minat Daisy hanya dengan menjadi diri sendiri yang serba sempurna. Kedua-dua Emil dan Matthew juga mempunyai kisah lampau yang tragis melibatkan fitnah yang telah mencemarkan maruah mereka. Bezanya, Matthew lebih selesa melarikan diri daripada punca fitnah tersebut, manakala Emil bersungguh-sungguh mengejar pihak yang terlibat demi membersihkan nama baiknya.

Dan situasi Emil yang berhadapan dengan Dr Iskandar, doktor yang dahulunya terlibat dalam kes kematian Tuan Muhayat, tetapi kini muncul sebagai bapa mertua Emil – mengingatkan aku kepada watak Nik Adem dalam novel Gedebe (tulisan Allahyarham Imaen) yang mendapat tahu bahawa bakal bapa mertuanya adalah lelaki yang pernah menghumbannya ke penjara suatu masa dahulu.

Apa pun, Fail Merah adalah sebuah novel original yang menampilkan beberapa identiti tersendiri yang belum pernah aku temui dalam novel-novel yang pernah dibaca sebelum ini. Salah satunya adalah penggunaan kata-kata “and they start a new adventure together” bagi menggantikan frasa “and they live happily ever after” yang biasa digunakan pada pengakhiran kisah dongeng cinta. Selain itu, nama timangan yang digunakan oleh Emil yang menggelar Dahlia sebagai “Cinta” adalah suatu perkara baru untuk aku juga memandangkan kebanyakan hero novel-novel romantis akan membahasakan cinta hati mereka dengan gelaran “sayang”, “honey” dan lain-lain – bukannya “cinta”. Dan satu elemen lagi yang terpahat dalam memori aku ketika membaca Fail Merah adalah penggunaan kereta-kereta jenama tempatan oleh watak-watak dalam novel ini. Aku pun tak tahu kenapa tetapi aku asyik tersengih sahaja ketika membaca kereta berjenama Proton dan Perodua disebut di dalam novel ini. Proton Gen 2 pun ada yaa!! 😆

Akhir sekali, mesej utama yang menjadi tunjang novel ini - mengenai penyakit hati dan dendam kesumat - disampaikan dengan cara yang agak terkesan di hati pembaca dan ini wajar diberikan pujian.

"...menghukum dia bukan tugas Mil atau mama. Itu semua urusan Allah SWT..." - Puan Asra, halaman 361.

Untuk mendapatkan novel Fail Merah, boleh menghubungi penulis, Fadima Mooneira di link ini atau dapatkan terus di Shopee (link di sini).



Comments

  1. Thank you for sparkling review, Maddy dear. This means a lot to me. Btw, You make me wanna read Scandal In Spring. I just read the book’s blurb. Menarik and the romance sounds sweet. Excited nak baca. And love the cover as well 😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍

    ReplyDelete
    Replies
    1. My pleasure ❤❤❤❤ Regarding Scandal In Spring, yes you should read it too! And yeah, the cover for the new Avon edition is indeed very pretty! 😍😍😍

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

The Ravenels #3 – Devil In Spring by Lisa Kleypas

The Count of Monte Cristo by Alexandre Dumas