Si Baju Kurung Kasut Kanvas oleh Umie Nadzimah
Si Baju Kurung Kasut Kanvas
Oleh Umie Nadzimah
557 halaman
Diterbitkan oleh Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd. (2016)
Manusia menyimpan perasaan hasad dengki dan busuk hati terhadap seseorang yang mempunyai kelebihan berbanding dirinya, adalah perkara biasa. Yang menjadi luar biasa, apabila ada manusia yang sakit hati terhadap orang yang serba-serbi kurang berbanding dirinya. Macam tak masuk akal! Tetapi inilah yang menjadi tema dan tulang belakang bagi novel Si Baju Kurung Kasut Kanvas.
Sampai satu peringkat, aku sudah tidak kisah lagi sama ada si heroin bakal bersatu dengan sang heronya ataupun tidak. Bagi aku, apa yang lebih penting daripada cinta mereka ialah memastikan semua pihak yang busuk hati terhadap si heroin bakal menerima balasan yang setimpal!
Suria Rihana, gadis ceria dan happy-go-lucky yang mempunyai prinsip teguh dan tidak mudah terpengaruh dengan orang sekeliling. Dari segi emosi dan rohani, Suria sememangnya sempurna. Namun di sudut fizikalnya Suria bukanlah gadis idaman lelaki kebanyakan. Dia tidak gemar bersolek dan setiap hari hanya mengenakan baju kurung kapas dipadankan dengan kasut kanvas tapak rata. Tambahan pula tubuhnya agak tembam, membuatkan ramai lelaki tanpa pertimbangan wajar terus menolak Suria daripada menjadi calon isteri mereka.
Ibu Suria, Cik Pah selalu sangat susah hati dengan keadaan Suria. Dia yakin benar Suria ‘tidak laku’ di mata para lelaki di luar sana kerana tidak pandai menjaga terampil diri. Walhal Suria tidak pernah ambil berat sangat hal tersebut. Bagi Suria, jodoh terletak di dalam kekuasaan Tuhan dan bukannya bergantung kepada sejauh mana cantiknya seseorang.
Dari segi kerjaya pula, Suria lebih berminat menjadi usahawan berbanding bekerja makan gaji, sedangkan Cik Pah mahu Suria bekerja di sektor kerajaan. Suria bekerja sebagai pembantu di sebuah kafe kucing, dan pada waktu lapangnya mengajar kanak-kanak mengaji Al-Quran di rumah Ustazah Latifah. Cik Pah tidak gemar betul dengan pekerjaan Suria tersebut. Cik Pah berpandangan hanya kerja kerajaan yang mampu menjamin masa depan (dan pendapatan) yang baik. Malah menjadi kakitangan kerajaan – biarpun hanya menyandang jawatan rendah – itu dilihat lebih bagus (dan glamor) oleh Cik Pah.
Pada suatu hari Suria dirisik oleh Mak Cik Ropawan yang sekampung dengan Cik Pah di Bagan Datuk, kononnya untuk dijadikan isteri kepada anak lelaki kesayangannya Jejai. Jejai sebelum ini memang berkawan baik dengan Suria sejak kecil lagi sehinggalah zaman universiti. Namun akhirnya Mak Cik Ropawan telah menolak menjadikan Suria sebagai menantunya. Rupa-rupanya Mak Cik Ropawan telah merisik tiga orang gadis serentak, termasuk Suria – dan akhirnya memilih Rosmaria yang jelita dan berada sebagai menantu. Mak Cik Ropawan bukan sahaja menolak Suria selepas merisiknya, malah mencanang pula di seluruh kampung bahawa dia menolak Suria kerana rupa Suria buruk dan kerja tidak seberapa.
Cik Pah malu yang teramat dan telah menyalurkan seluruh kemarahannya kepada Suria. Semenjak peristiwa penolakan dan penghinaan oleh Mak Cik Ropawan, Cik Pah mula memandang rendah terhadap Suria dan menyalahkan Suria dalam hal tersebut. Ada-ada sahaja perkara mengenai Suria yang tak kena di mata Cik Pah.
Tidak lama selepas itu, sepupu Suria dari kampung, Ratnasari hadir dalam hidup mereka dan telah merenggangkan lagi hubungan ibu dan anak itu. Ratnasari anak Mak Long yang tinggal di Parit Buntar, telah datang menumpang hidup di rumah keluarga Suria di Bangi kerana mendapat tawaran bekerja sebagai pembantu tadbir di Universiti Kebangsaan Malaysia. Ratnasari cantik dan pandai bermanis mulut dengan orang, menjadikan Cik Pah lebih menyayangi Ratnasari berbanding Suria. Apatah lagi Ratnasari dapat pula bekerja di sektor kerajaan.
Bagi Cik Pah, Ratnasari lebih boleh diharapkan untuk melunaskan harapan-harapan Cik Pah berbanding Suria. Cik Pah mahukan anak yang cantik dan pandai bergaya, dan Ratnasari yang memenuhi kriteria tersebut. Cik Pah mahukan anak yang bekerja di sektor kerajaan, dan Ratnasari telah berjaya mencapainya. Satu lagi impian besar Cik Pah ialah mendapat menantu yang kacak dan kaya-raya. Harapan tersebut disandarkan kepada Ratnasari sahaja. Bagi Cik Pah, Suria langsung tak boleh diharap. Justeru, hari demi hari dia semakin meminggirkan Suria dan mencurahkan segala kasih-sayangnya kepada Ratnasari.
Ratnasari sebenarnya indah di luarannya sahaja. Dia pandai bermuka-muka sehingga semua orang (terutama sekali Cik Pah) jatuh sayang dan percaya apa sahaja yang diperkatakannya. Bagaimanapun, dengan Suria dia tidak pernah berbuat manis, sebaliknya melontarkan kata-kata pedas dan hinaan terhadap Suria sekiranya tiada orang lain yang mendengar. Disebabkan itu, Suria hendak mengadu kejahatan Ratnasari terhadapnya pun tidak mampu memandangkan Cik Pah tidak akan mempercayai tuduhan tersebut. Cik Pah lebih mempercayai Ratnasari berbanding anak kandung sendiri.
Akibatnya, hubungan Cik Pah dan Suria semakin renggang. Pelbagai fitnah yang Ratnasari lemparkan terhadap Suria sehingga mengakibatkan Cik Pah selalu marah kepada Suria. Sudahlah Mak Cik Ropawan pun tidak habis-habis menghina Suria, maka bertambahlah panas hati Cik Pah terhadap Suria. Bagi Cik Pah, Suria sudah mencalarkan maruahnya sebagai ibu. Di rumah mereka, hanya bapa Suria, Encik Rahim sahaja yang tetap mempercayai Suria. Encik Rahim sahaja yang dapat melihat wajah sebenar di sebalik topeng berwajah cantik milik Ratnasari itu.
***SPOILERS DI HADAPAN***
Sementara itu, pertemuan Suria dengan seorang lelaki kacukan Inggeris dan Melayu bernama Gary Rahman pada suatu hari rupa-rupanya bakal mengubah hidup Suria selamanya. Segalanya bermula tanpa dirancang ketika Gary membantu Suria menukar tayar keretanya yang pancit. Suria agak tertarik kepada Gary kerana dia seorang lelaki yang mempunyai kualiti tersendiri berbanding lelaki-lelaki lain yang pernah Suria kenali sebelum ini (yang semuanya pun ‘reject’ Suria atas faktor kurang kecantikan di pihak Suria). Gary telah mengusik Suria dengan memanggilnya ‘budak’ ketika mereka pertama kali bertemu. Akibatnya Suria pula menggelar Gary dengan nama Pak Cik Rahman.
Selepas itu mereka bertemu lagi apabila Suria terlibat mengajar anak saudara Gary, Sophea, mengaji Al-Quran. Sophea ditinggalkan bersama bapa saudaranya Gary dan neneknya Puan Saira, selepas kedua ibu bapanya bercerai. Ibu bapa Sophea terus hanyut dalam arus kehidupan ala kebaratan manakala Puan Saira dan Gary berdikit-dikit mahu berubah kepada jalan hidup yang lebih Islamik. Disebabkan itulah mereka menghantar Sophea ke kelas mengaji Al-Quran. Malah Gary sendiri turut belajar mengaji bersama Ustazah Latifah.
Gary sebenarnya adalah seorang jurulatih kecergasan yang popular dan memiliki beberapa rangkaian gim. Gary mempunyai ramai peminat wanita yang cantik-cantik belaka yang berhasil menguruskan badan menerusi penyertaan dalam acara kecergasan yang dianjurkan Gary. Salah seorang peminat setia Gary adalah Ratnasari sendiri. Setiap kali Gary menganjurkan sebarang program, pasti Ratnasari akan mengikut sama kerana ingin cuba memikat Gary.
Namun begitu, Gary hanya tertarik kepada Suria seorang. Suria sangat berbeza dengan semua wanita yang pernah ditemuinya sebelum ini. Suria tetap menjadi diri sendiri walau apa jua situasi yang melanda, tidak seperti kebanyakan wanita lain yang berpura-pura demi memenangi hati Gary. Suria tidak kisah menggelarkan Gary sebagai “Pak Cik”, sedangkan wanita-wanita lain semestinya tidak akan melakukan sedemikian kerana ingin menjaga hati Gary. Malah, Sophea dan Puan Saira sendiri sangat menyenangi Suria. Puan Saira ingin sangat menjadikan Suria sebagai menantunya.
Pada suatu hari, keluarga mereka mengadakan kenduri kesyukuran kerana Sophea (dan Gary) semakin maju dalam pembelajaran Al-Quran mereka. Sebagai guru mengaji Sophea, tentulah Suria dijemput sama. Pada hari tersebut Suria telah berpakat untuk memakai pakaian sedondon dengan Sophea, namun pada hari kejadian dia dapati Gary turut berpakaian warna sama. Gary menjadikan alasan itu untuk bergambar bersama-sama Suria.
Gambar bersama Suria, Gary dan Sophea dengan pakaian sedondon telah dimuat naik oleh Gary di laman Instagramnya dan menimbulkan kekecohan di kalangan peminat Gary. Tanpa penerangan pada gambar tersebut, peminat-peminat Gary membuat spekulasi bahawa Suria adalah isteri Gary – dan malangnya, majoriti peminat-peminat wanita telah mengecam betapa buruknya ‘isteri’ Gary.
Salah seorang peminat Gary yang tidak puas hati itu, tentunya adalah Ratnasari. Selama ini Ratnasari tidak tahu Suria sebenarnya mengenali Gary secara peribadi. Setelah tersiarnya gambar tersebut di laman Instagram Gary, semakin rancaklah agenda Ratnasari untuk mencari fasal dengan Suria.
Pada suatu hari, Gary menghantar lamaran kepada Suria menerusi Ustazah Latifah. Encik Rahim yang menerima pinangan tersebut telah merahsiakan identiti Gary daripada pengetahuan ahli keluarga yang lain kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan. Apatah lagi dia maklum benar dengan perangai Ratnasari yang busuk hati. Seperti dijangka, Ratnasari sudah pun mula mengejek-ejek Suria bahawa dia bakal dikahwinkan dengan lelaki tua sebaya Encik Rahim. Namun Cik Pah menerima dengan pasrah walau siapa pun menantunya, kerana bagi Cik Pah, jika menolak pinangan kali ini, belum tentu selepas ini akan ada orang lain yang mahu melamar Suria lagi.
Semasa hari pertunangan Suria, pihak lelaki yang hadir cuma Puan Saira dan Sophea sahaja. Gary langsung tidak memunculkan diri, tetapi Suria sudah tahu siapa bakal suaminya setelah disarungkan cincin oleh Puan Saira. Namun begitu, Ratnasari juga dapat menghidu siapakah bakal suami Suria sebenarnya apabila melihat kelibat Sophea dalam majlis itu. Dia mengenali Sophea menerusi gambar di Instagram milik Gary.
Kemarahan Ratnasari memuncak selepas menyedari bahawa Suria yang akhirnya bakal memiliki Gary yang dipujanya selama ini. Operasi memburuk-burukkan Suria diteruskan dengan lebih intensif lagi sehingga adik-adik Suria pun turut terpengaruh sama sehingga hilang hormat terhadap Suria. Ratnasari juga cuba-cuba untuk menabur fitnah tentang Suria di hadapan Gary. Bagi Ratnasari, jika dia tidak dapat memiliki Gary, sekurang-kurangnya perhubungan Gary dan Suria juga patut terputus di tengah jalan. Namun Suria bernasib baik kerana Gary tidak mempercayai fitnah tersebut. Malah Gary dapat pula membaca niat sebenar Ratnasari.
Walaupun imejnya sudah busuk di mata Gary, Ratnasari masih tidak putus asa untuk bersaing dengan Suria. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari seorang lelaki yang lebih hebat daripada Gary dan ingin memastikan dia bakal berkahwin dengan lelaki tersebut sebelum Suria naik pelamin dengan Gary. Dia mahu menunjuk-nunjuk kepada semua orang bahawa dia yang ‘lebih cantik dan baik’ pasti bertemu jodoh lebih awal selain mendapat suami yang lebih bagus daripada gadis yang buruk seperti Suria.
Memandangkan Suria telah menetapkan tempoh pertunangannya dengan Gary selama tujuh bulan – bagi memberi peluang kepadanya menguruskan saiz badan – maka Ratnasari pun cepat-cepat mahu menikah kira-kira dua bulan sebelum majlis Suria.
Namun begitu, pekung Ratnasari terbuka satu demi satu menjelang hari pernikahannya. Beberapa hari sebelum majlisnya berlangsung, Cik Pah dan seorang adik Suria telah menyaksikan Ratnasari mengamuk sakan melepaskan geram dan dendamnya dengan Suria. Ketika itu Ratnasari menyangka perbuatannya itu tidak disaksikan oleh sesiapa. Setelah itu barulah Cik Pah tahu wajah sebenar Ratnasari yang licik mengaburi matanya selama ini. Cik Pah sungguh menyesal kerana mengabaikan Suria selama ini.
Ketika majlis pernikahan Ratnasari hendak bermula, dia mendapat satu lagi tamparan apabila mendapati bakal suaminya tidak seperti yang dicanangkan kepada semua orang. Sememangnya bakal suaminya itu lebih segak daripada Gary, namun selama ini lelaki itu telah menipunya mengenai status kerjayanya. Ratnasari menyangka dia seorang CEO yang kaya-raya dan memiliki beberapa buah kereta mewah, namun rupa-rupanya dia hanyalah seorang pengawal keselamatan yang terpaksa mencari sumber kewangan tambahan sebagai pemandu.
Ratnasari terus memutuskan hubungannya dengan lelaki tersebut dan membatalkan pernikahannya. Ratnasari dan keluarganya malu besar, namun apakan daya perbuatan jahat Ratnasari selama ini ditakdirkan terbalas ketika itu. Oleh kerana keluarga tidak mahu menanggung malu, maka mereka bersetuju untuk mempercepatkan pernikahan Suria dengan Gary agar majlis yang telah dirancang itu diteruskan sahaja walaupun pengantinnya bertukar orang.
Ratnasari dipulaukan oleh ahli keluarganya selepas peristiwa memalukan itu. Akhirnya dia insaf dan sedar bahawa perbuatan dengki-mendengki dan busuk hati akan mendatangkan akibat buruk kepada dirinya sendiri akhirnya. Selepas itu Ratnasari menyembunyikan diri selama beberapa bulan sebelum ditemui oleh Suria yang sudah pun memaafkan perbuatan Ratnasari.
Suria bersyukur kerana hubungannya dengan Cik Pah dan adik-adiknya mesra semula, tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu Ratnasari hidup sengsara. Akhirnya Suria memujuk Ratnasari untuk memulakan hidup baru yang lebih baik. Tahun demi tahun, hubungan Suria dengan Ratnasari pun menjadi semakin baik sehingga Ratnasari akhirnya menjadi rakan kongsi dalam perniagaan pakaian yang diusahakan oleh Suria.
Among all Pn. Umie’s novels that I’ve read, I like this one the best. Ratnasari is the most remembered character in the story. She’s a villain that makes you laugh 😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂😂
ReplyDeleteYeah! Especially scene majlis nikah Ratnasari tu memang kelakar gile. Gelak guling-guling kita dibuatnya 😂😂😂😂😂
Delete