Organisasi Rahsia Sekolah (“The Underground Kids”) oleh Shiiba Nana

Organisasi Rahsia Sekolah (“The Underground Kids”)

Oleh Shiiba Nana

Edisi Bahasa Melayu diterbitkan oleh Anjung Taipan Sdn Bhd (2009)

Kekangan masa yang aku hadapi menyebabkan aku masih tidak berkesempatan untuk membaca walau sebuah pun novel. Selain buku kanak-kanak, bahan bacaan yang sempat aku belek hanyalah komik 😅.

Pada bahagian awal manga ini, aku sangka Organisasi Rahsia Sekolah ialah sebuah kisah yang saspens dan serius. Namun ternyata sangkaan aku meleset sama sekali kerana manga ini (berserta dua buah lagi cerita dalam buku ini) semuanya adalah kisah komedi belaka 😂.

Organisasi Rahsia Sekolah mengisahkan sebuah pertubuhan tidak rasmi di sekolah Kimi Hiriyama, yang dikatakan dapat menyelesaikan semua masalah, daripada masalah bumbung bocor sehinggalah masalah peribadi yang lain. Organisasi ini dianggotai tiga orang pelajar lelaki tahun dua iaitu Issei, Dobashi dan Kouya. Namun tidak ramai yang menggunakan khidmat mereka kerana mereka sangat mementingkan bayaran upah selain terdapat caj-caj tersembunyi yang bakal ditambah selaras dengan perkembangan kes!

Pada suatu hari, Kimi terpaksa meminta bantuan kumpulan Organisasi Rahsia ini kerana menghadapi suatu masalah yang membimbangkan dirinya. Sejak kebelakangan ini, Kimi terasa dirinya seperti diperhatikan, dan beg sekolah serta mejanya kerapkali diselongkar oleh seseorang. Bagaimanapun, setakat ini tidak ada barang miliknya yang dicuri walaupun begnya selalu diselongkar. Semakin hari, Kimi semakin bimbang akan motif individu yang menyelongkar barangannya.

Issei dan kawan-kawannya berjanji akan membantu Kimi menjejaki individu misteri tersebut sehingga berjaya. Pada suatu malam, Kimi pulang dari sekolah agak lewat dan telah diserang oleh individu tidak dikenali. Lelaki tersebut ingin merampas loket yang sedang dipakai oleh Kimi. Tetapi percubaan lelaki itu gagal kerana Issei dan kawan-kawan muncul untuk melindungi Kimi.

Setelah itu barulah Kimi teringat bahawa barangan peribadinya mula diselongkar sejak dia menemui loket tersebut di belakang sekolah. Loket tersebut rupa-rupanya adalah sebuah kunci yang mempunyai rekaan yang aneh. Oleh kerana merasakan rekaan kunci itu cantik maka Kimi telah mengambilnya dan menjadikan kunci itu sebagai loket.

Pada awalnya Kimi ingin memulangkan sahaja loket tersebut demi menamatkan episod ngeri dalam hidupnya, namun dia tidak tahu pula siapakah lelaki misteri itu. Kalau dia ingin membuang sahaja loket itu pun tidak akan menyelesaikan masalah apa-apa memandangkan lelaki misteri itu pasti akan terus memburu Kimi untuk mengetahui di manakah loket tersebut berada. Mahu tidak mahu, Kimi terpaksa dijadikan umpan bagi membantu Issei dan kawan-kawannya menangkap lelaki misteri tersebut.

Pada suatu hari, Kimi menerima sepucuk surat berbaur ugutan yang meminta Kimi menjauhkan diri daripada Issei, Dobashi dan Kouya. Sekiranya Kimi terus meminta perlindungan daripada mereka bertiga, maka mereka turut akan menerima padahnya.

Kimi tidak sanggup melihat tiga pelajar lelaki itu menerima nasib buruk yang disebabkan oleh dirinya, maka dia telah menjauhkan diri dari Issei dan kawan-kawannya. Setelah itu, Kimi telah mengadu permasalahannya kepada guru subjek sains di sekolahnya iaitu Cikgu Kinjyou. Cikgu Kinjyou meyakinkan Kimi bahawa dia akan melindungi Kimi daripada penjahat tersebut.

Malang sekali, ketika Kimi hanya berdua bersama Cikgu Kinjyou di bilik makmal, Cikgu Kinjyou telah menyerang Kimi dan membuat percubaan merampas loket Kimi. Rupa-rupanya Cikgu Kinjyou adalah orang yang bertanggungjawab menyelongkar barangan Kimi selama ini!

Dalam keadaan cemas itu, Issei dan kawan-kawannya muncul tepat pada masanya untuk melindungi Kimi daripada tindakan kekerasan Cikgu Kinjyou. Cikgu Kinjyou pun bukannya kuat sangat, sekali ditendang terus tewas! 😂

Sebenarnya Cikgu Kinjyou tidak pernah berniat jahat terhadap para pelajarnya; dia hanya amat terdesak untuk mendapatkan semula kunci yang dia telah tercicir tidak lama dahulu. Menyedari betapa pentingnya kunci tersebut buat Cikgu Kinjyou, Issei tidak dapat menahan rasa curiganya: biarpun dihalang keras oleh Cikgu Kinjyou, Issei terus menggunakan kunci itu untuk membuka sebuah laci.

Alangkah terkejutnya mereka semua apabila mendapati laci tersebut mengandungi koleksi Cikgu Kinjyou yang berupa barangan anime comel!!! 🤣🤣🤣 Rupa-rupanya Cikgu Kinjyou seorang otaku dan berasa sangat malu akan minatnya, apatah lagi dia sanggup membeli patung koleksi edisi terhad yang disimpan dengan rapi di dalam laci tersebut 😂.

Oleh kerana rahsianya telah terbocor, Cikgu Kinjyou telah merayu agar Kimi, Issei, Dobashi dan Kouya merahsiakan perkara ini demi menjaga imejnya sebagai guru. Issei dan kawan-kawannya yang sememangnya sentiasa mencari peluang mendapatkan keuntungan atas perkhidmatan mereka, telah meletakkan syarat persetujuan mereka iaitu Cikgu Kinjyou hendaklah menjadi penasihat Organisasi Rahsia mereka. Sementara itu, Kimi yang tidak mampu membayar kos perkhidmatan mereka juga akhirnya diserap sebagai pengurus persatuan mereka yang dikehendaki berkhidmat secara percuma!

Selain Organisasi Rahsia Sekolah, manga ini mengandungi dua buah lagi cerita: Palsu, kisah gadis yang berpura-pura menjadi pelajar skema kerana tidak mahu menarik perhatian AJK disiplin sekolahnya. Tetapi sebaliknya ketua AJK disiplin telah jatuh cinta kepadanya kerana menjadi pelajar yang berdisiplin! Satu cerita lagi bertajuk Syurga Percintaan Musim Panas iaitu kisah seorang lelaki pasukan penyelamat pantai yang jatuh cinta pandang pertama kepada seorang pengunjung pantai tempat dia bekerja.


Comments

Popular posts from this blog

Fail Merah oleh Fadima Mooneira

Trilogi Khadijah Hashim (Jilid 1)

Jangka Atribut oleh Clay